Home Novel Keluarga SAKITNYA CINTA
SAKITNYA CINTA
Ramlah Rashid
11/1/2013 23:01:20
48,474
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 5

SUDAH  dua jam pulang, fikiran terus sarat.  Apa yang hendak dijelaskan terus juga diperam menjadi pekasam.  Berkali-kali nafas dihela namun yang berbuku terus terbuku.  Seteguk demi seteguk air ditelan mereka, akhirnya lima belas minit kosong belaka.  Perbualan sekadar berkisar berkenaan kanak-kanak yang mereka lawati di rumah kebajikan dan harapan masing-masing.   Mutiara  minta diri kerana ada urusan lain katanya.  Neor terkulat sendiri, membenarkan dalam keterpaksaan.

“Saya harap ini bukan kali terakhir kita minum bersama.”  Permintaan terakhirnya sebelum membantu gadis itu menutup pintu kereta.

“Insyaallah….”  Lembut anggukannya, Neor terkesima sendiri.  Ungkapan dan anggukan itu   menarik benar.  Rupa-rupanya masih kedapatan gadis sebegitu santun di abad ini, terlontar bicaranya sendirian. Tergoda lagi dia. 

Aku sangka sudah pupus selepas perginya Fifei….  Mengeluh dia perlahan, berasa mati hidup semula dia.  Dalam hati sudah ada mawar berkembang dan mewangi meski kelopak lama yang layu sudah kering, sering menyakitkan.

Apa agaknya pekerjaan dia?  Teragak pula dia ingin tahu namun segera dipadam.  Sudah kembali dia ke ruang asal, tidak ada lagi kenangan yang terlepas.

Untuk  apa aku tahu semua itu, yang penting apa pandangannya pada aku, apa perasaannya.  Telefon bimbit dicapai lagi.  Termasuk itu sudah tiga kali dipegang dan dilepas, dia terus sangsi sendiri.  Akhirnya dia nekat, nombor telefon Mutiara  ditekan, dirapatkan ke telinga dan menunggu, berteman  debaran.

“Ira, it’s me.  Neor.”

“O hai, assalamualaikum.”

Neor menyambut salam juga, debar di dadanya dikawal terus.

Ada apa Encik Neor?”

No, tidak ada yang penting. Cuma nak pastikan you selamat sampai.”

Mutiara  tertawa perlahan.  Lengguk tawanya menghibur sungguh.  Neor senyum sendiri.  Terasa si manis sedang tertawa di hadapannya.

“I  okay, selamat sampai tanpa gangguan.”

“Alhamdulillah, senang hati saya.”

Kedengaran Mutiara  tertawa lagi, mersik namun terlalu perlahan. Jelas sengaja direka.  Neor gelisah sendiri.  Nafas dihela panjang, dilepas juga panjang.  Kosong sudah dadanya.

“Ira, I ada sesuatu nak  beritahu  you.”

“Apa dia?”

“Saya suka awak.”

Mutiara   diam, sedikit lama masa terbiar memaksa Neor menyebut ‘hello’ perlahan bagi memasti gadis itu  masih di situ.  Mutiara  hanya menyebut ‘ya’, perlahan.

I love you.”  Diulangnya ayat sama dengan bahasa berbeza.

Mutiara   diam jua.  Sejurus telefon   terus senyap, bisu sudah yang di kejauhan.  Neor menyeru lagi, ternyata yang dipanggil sudah menghilang, menamatkan panggilan.  Meski tidak menerima sebarang jawapan, suka mahupun benci  namun Neor lega juga, berharap juga gadis itu mempertimbang perasaannya.  Sebelum meletak telefon, dia menghubungi Ezeti  pula, memberitahu gadis itu apa yang terjadi sedetik lalu.  Ezeti  sekadar tertawa lama.

“Kenapa?”

“Apa reaksi dia?”  pertanyaan Neor dijawab dengan persoalan juga.

“Terus tutup phone.”

Tertawa lagi Ezeti.

“Kenapa seronok sangat saya gagal?”

Tawa Ezeti  semakin kuat dan berlangsung   lama.

“Bukan gembira awak gagal memikat dia, tapi cara awak tu buat saya ketawa.”

“Kenapa? Lucu?”

“Bukan lucu, tapi awak  ingat ini drama ke? Mesti cepat-cepat menyudahkan konflik sebab drama awak cuma berlangsung 45 minit?”

Terdiam lagi Neor.  Kata-kata Ezeti  itu benar.  Dia terbawa-bawa emosi sewaktu beraksi di lokasi pengambaran drama.  Mengeluh dia perlahan.  Dialog itu juga disalin dari skrip lakonannya.

“Habis, macam mana ni?  Saya  sungguh-sungguh suka pada dia.”

“Awak dah meluahkan perasaan, kan?  Selebihnya terserah dia, usah dipaksa.”

“Ya.”  Perlahan, kecewa juga.

“Setahu saya dia memang tak ada special boy friend, dia juga jenis tidak terlalu memilih, so, pandai-pandailah.”

Pembayang  yang diberi Ezeti sudah cukup menjadi motivasi.  Satu klu  yang cukup kuat bagi menerangi jalannya.  Dia mencari pula kekotak pesanan ringkas di telefon bimbitnya, mahu menghantar pesanan ucapan maaf kepada Mutiara.  Itu  perlu demi menenangkan sedikit perasaan Mutiara yang mungkin sudah membenih perasangka buruk padanya. Lancar jemarinya menekan kekunci huruf sementara otak merencana ayat-ayat bersih, dalam diam berdoa juga agar Mutiara tergoda  pada lengguk bahasanya.  Itu sahaja caranya kini.  Selepas menaip sehingga penuh seluruh skrin, disemak semula.  Dia mahu memastikan tidak berlaku sebarang kesilapan dan ayat-ayat yang dihantar akan mengguris penerima.  Dua kali dibaca dan diperbetulkan, Neor berpuas hati, nombor Mutiara pula dikesan jarinya lalu kekunci hantar ditekan.  Yakin dia, berharap juga.  

Lama ditunggu, langsung tidak menerima apa-apa jawapan.  Sudah lebih tiga panggilan bolos dan berbelas pesanan ringkas masuk, dijawab juga tetapi hanya rakan-rakan sesama tugasannya.  Tidak satupun yang bertanda nama Mutiara.  Neor bungkam sendiri, dinginnya sikap Mutiara  membuat dia dibanjiri dingin peluh.  Penghawa dingin di ruang rehat kondomeniumnya ditongak, mahu memasti peralatan canggih itu masih berfungsi.  Jelas, lampu hijau terus menghijau, ada rembesan dingin terus setia melayangkan sehelai reben yang dijuntai di hadapan sesendengnya.  Senyap tetapi kekal dingin.  Itu rumusannya sendiri,  peluh di dahi dan belakang tengkok diseka perlahan.

Sabarlah hati, selepas teruk disakiti, tak mungkin aku akan sakit lagi hanya kerana dinginnya dia.  Beri dia masa….  Terus juga membujuk sendiri.  Berkali-kali nafas ditarik dan dihembus, terasa sebu seruang perutnya.  Ditepuk-tepuk perlahan untuk mengesan bunyi sama ada berisi angin atau lapar.  Tidak ada apa yang boleh dirumuskan namun seakan ada bara api yang memanas dan menghangus. Sesekali pula seperti terdapat kura-kura merayap, digosok dan ditekan-tekan kulit anjal di situ, terasa senak benar.

“Kenapa sakit perut pula ni?”  Keluhnya perlahan di luar sedar, terus juga menekan-nekan sendiri, ditepuk-tepuk juga perlahan untuk mengesan bunyinya.  Nafas kian menyenak, sudah seakan sesak nafas. 

Tak kembung, keluhnya perlahan.  Bangun pula dia, mencapai beg yang sering dibawa ke lokasi pengambaran, dicari-cari minyak angin kecil jenama ‘kapak’ yang sering diguna jika berlaku senak atau pening.    Diketuk-ketuk pada sebidang perut sebelum disapu menyeluruh.  Selepas sendawa angin,  dia berasa sedikit lega.  Seusai kerjanya dia meniarap pula, meletak pipi pada bantal.  Ditengah ruang tamu itu dia melamun dan memanja diri sendiri.  Berasa sunyi benar dia meski televisyen terus menyiarkan sebuah demi sebuah rancangan yang diselang-seli dengan iklan biasa.  Terus juga diabainya, tidak langsung diberi perhatian.

Telefon bimbit bernada, kuat.  Diangkat untuk dimatikan ‘alarm’ yang sengaja disediakan beberapa jam tadi.  Jam dinding ditongak juga.  Dia terhenyak sendiri melihat waktu yang berlalu pantas.  Singkat benar beberapa jam sudah ditinggalkan tanpa sepicing melelapkan mata. Sehingga sudah sampai masanya untuk dia ke lokasi untuk satu babak penting yang memerlukan suasana dingin dinihari.  Selain arahan dalam skrip yang mahukan waktu sebelum Subuh, suasana damai dan tenang tanpa banyak gangguan juga perlu untuk emosi para pelakon.  Mengeluh dia sendiri.  Seawal jam 9 malam sudah dipesankan pada mata  untuk tidur dan bangun jam satu pagi untuk bersiap ke lokasi. Dia wajib sampai sebelum jam dua pagi kerana pengambaran akan bermula pukul tiga pagi.  Dalam jadual yang diberi, mereka hanya akan berada di situ sehingga jam tujuh pagi.  Empat jam diperlukan untuk beberapa babak, berehat lagi semua pekerja dan ke sana semula sebelah petangnya.  Rutin pekerjaan yang cukup melelahkan, belum dicampur merakam lagu di studio rakaman.  Meski letih benar namun sekali kaki melangkah, dia  akur pada jadual yang ditetapkan.  Sehingga ke hari itu, dia cukup berdisiplin dan tekun pada kerjanya.  Lebih sibuk lebih bagus, terasa benar menghargai diri dan masa dimanfaatkan sepenuhnya. Itu katanya selalu pada diri sendiri.  Kesibukan dan keletihan juga ubat terbaik untuk  mengikis rasa pahit semalam, kenangan yang  pernah merentap semangatnya untuk terus hidup.

Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.