PERSIAPAN dilakukan sesedarhana
mungkin dan sesegaranya. Neor hanya memaklumkan kepada Makcik Rominah melalui
telefon. Makcik Rominah merestui dan hasrat akan mengadakan kenduri
kesyukuran sepulangnya dia dari menunaikan umrah. Neor bersiap seadanya, menyediakan apa yang
sepatutnya disedia pengantin lelaki dalam keadaan terdesak. Kenduri kahwin dan majlis persandingan akan
diadakan di kediaman mewah Tuan Jaafar dan Puan Sumila hanya seminggu berselang
dari kepulangan mereka dari Brunai.
Meski masih terlalu cetek perkenalan
ke dua mereka namun, Mutiara pasrah demi permintaan Tuan Jaafar. Bagi Neor pula, bagaikan orang mengantuk
disurungkan batal dan bagai bulan jatuh ke riba, disambut dengan seribu
kesyukuran. Surat kebenaran bernikah di luar negara tidak
sempat diperoleh dengan alasan kesuntukan masa.
Meski penegak undang-undang syariah namun Mutiara akur dengan masa yang seakan tidak memberi
izin. Berusaha dia memejam mata dari melihat kesalahan itu demi melaksana
permintaan Tuan Jaafar yang hanya punya 50% harapan pulih. Dia sedar, perbuatan mereka akan didakwa di
bawah kesalahan Akta Enakmen Keluarga
Islam Malaysia.
Bagi Neor, senggang yang singkat
sementara menunggu pengambaran drama seterusnya diguna sebaik mungkin. Katanya dia cuma ada kurang dua minggu untuk
segala urusan rasmi dan tidak rasmi.
Selepas dari tarikh itu nanti, dia akan kembali sibuk. Mutiara tidak bersoal banyak sedang fikiran sendiri
semak dengan kebimbangan pada kesihatan Tuan Jaafar dan keadaan Puan Sumila
yang cemas sepanjang waktu.
Ezeti membantu seadanya, sekadar
memberi motivasi dan sokongan moral.
Kepada Neor tidak sempat diterangkan apa perhubungan dia dengan Mutiara dan
kemelut yang mungkin dihadapi. Dia
sendiri bergelut dengan kesibukan saban waktu.
“Zet ikutlah kami….” Sudah berkali-kali Mutiara merayu.
“Sorry
Ira, aku sibuk sangat. Jadual sudah disusun, kalau gagal melunasnya, bakal
menyusahkan banyak pihak. Setakat
disaman, tak kisah lagi. Berapalah
sangat nilai saman itu berbanding hari bahagia engkau orang. Tapi aku tak sanggup menghampakan permintaan
pelanggan yang sudah menempah lama khimat aku.”
“Tapi tak bestlah…”
“Tak mengapa, yang penting, Neor, umi
dan walid. Semua orang ni gembira, aku
akan rasa gembira.”
Mutiara mengangguk beberapa kali, berharap harapan Ezeti
itu terlaksana. Dalam dingin ruang
kamarnya, berkali-kali dia terimbau pelbagai kenangan. Ingatan kepada Tuan Jaafar yang ditemuinya
dalam keadaan tenat dan uminya yang bengkak mata menangis, bernafas dalam
kebimbangan. Semua itu menambahkan semangatnya untuk menunai amanat lelaki itu
walau baharu sedikit benar diketahui berkenaan bakal suami.
Asal keturunannya, pekerjaannya, kaum
keluarganya serta keperibadiannya. Jika
bakal pengantin lain sibuk menyelami kegemaran bakal suami dari sudut makan
minum, pakaian dan gaya
hidup, Mutiara langsung tidak terfikir
untuk mengetahui apa-apa. Asal
membahagiakan uminya dan melapangkan fikiran ayahnya, bersedialah dia mempersembahkan Neor ke pangkuan mereka
sebagai menantu. Sementelah cintanya
sendiri sudah tertambat di tangkai hati lelaki itu.
“Apa yang perlu saya sediakan?” itu tanya Neor sebaik keputusan diambil.
“Pasport dan keterbukaan hati awak.” Hanya itu yang dipintanya. Tidak ada menyebut emaskahwin, wang hantaran
atau cincin berlian. Pekej berbulan madu
juga tidak termasuk sama sekali. Dia
pasrah segalanya.
Selama empat hari itu, penumpuannya
100% pada tugas yang tertunggak dan bakal dikerjakan minggu hadapan. Mereka tidak memerlukan cuti panjang untuk berbulan
madu, cuma untuk majlis perkahwinan yang sederhana dan bersama Tuan Jaafar
serta Puan Sumila.
Mutiara meletak dokumen yang siap diteliti di atas
meja Luisa. Sudah menjadi kebiasaan, Mutiara akan memangku sementara tugas yang sepatutnya
dilakukan Liya apabila rakan kongsi itu bercuti sakit. Mutiara menunggu
seketika seraya memantau sekitar, menjejak gadis awal dua puluhan itu. Dari kejauhan kelihatan Luisa tergesa-gesa.
“Maaf puan, saya ke tandas tadi.”
“Tak apa.” Fail yang diletak di atas meja dibukanya
untuk menunjuk perkara yang sepatutnya diberi penekanan sewaktu gadis itu
membuat pembetulan.
Terangguk-angguk Luisa, memahami apa
yang diinginkan ketuanya. Mutiara puas
pada penerangannya, baharu sahaja dia mahu meninggalkan meja Luisa, matanya
jatuh pada senaskah majalah hiburan di atas meja sederhana besar itu.
“Majalah siapa tu?”
“Saya. Saya baru membelinya, lupa nak simpan.” Sedikit gugup menjawap.
Mutiara tidak
mempeduli alasan itu, gambar di kulit majalah juga terus menjadi tumpuan. Matanya bagaikan dicungkil, sakit.
“Saya tak baca waktu kerja,
puan.” Lagi dia beralasan, juga tidak
dipeduli Mutiara.
“Bagi saya pinjam sekejap
boleh?” tidak menunggu permohonannya
diluluskan, majalah di atas meja sudah dicapai.
“Boleh.” Luisa membantu Mutiara yang
menghulur tangan mahu mencapai majalah.
“Pelakon perempuan ni pernah ke sini dan pulang dalam keadaan marah-marah bila puan
tolak permohonannya.” Cuba dia berdalih, sekadar mahu
menyejuk ketua yang mungkin akan menuduhnya ‘curi tulang’
waktu hakiki.
Mutiara angguk perlahan. “Mencari peguam bela untuk tuduhan sebutan
kes di Mahkamah Syariah seksyen 136, meminum arak di khalayak ramai.” Mutiara
mengingatkan.
Luisa angguk, ingat.
“Kes dia tak selesai lagi dan rasanya
harapan tipis. Mungkin didenda maksimum lima ribu ringgit, atau tiga
tahun penjara?”
“Tu tak serik lagi tu. Pakaian bukan main seksi.” Luisa menambah.
Mutiara angguk seraya mengeluh berat.
“Akan lebih malang
kalau ditambah dengan enam kali sebatan.
Tapi harap-harapnya dia menang kes.”
Tidak berminat Mutiara memperbualkan berkenaan artis wanita muda itu
lagi, yang menarik perhatiannya adalah sekujur foto lelaki di sisi wanita muda
yang bergelar ibu tunggal yang masih
muda itu.
“Tapi memang ramai yang nampak dia
mabuk malam tu.” Bersungguh-sungguh Luisa
menyatakan apa yang diketahuinya melalui gosib artis.
“Dik tipisnya harapan menang, maka
saya menolaknya. Lagipun saya tak nak bersubahat.” Mutiara terus
merahsiakan apa yang pernah dilihatnya beberapa bulan sebelum itu. Waktu itu
dia sedang membeli minuman beralkohol tinggi di sebuah pasaraya yang beroperasi
dua puluh empat jam, lewat tengah malam.
Meski mengenakan fesyen berlainan dengan sewaktu ke pejabatnya, Mutiara sudah
terpelajar dan berpengalaman luas dalam pengecaman.
“Harapnya ada keajaiban.”
“Kalau bersalah, tetap juga salah,
puan. Allah tidak akan menghalalkan apa
yang sudah diharamkannya.” Pintar
bunyinya dia.
Mutiara mengangguk
cuma. Semakin tidak berminat dia untuk
sabarang hujah tambahan, perhatiannya sudah menjadi satu cuma. Lelaki itu. Meski langsung tidak berminat pada dunia
hiburan namun, berpura-pura juga dia demi melindungi apa yang memedihkan.
Dia tidak pernah ambil peduli pada
dunia hiburan dalam mahupun luar negara. Dia sudah dididik orang tuanya, hanya menumpu pada pelajaran dan
perkara yang bersangkutan dengan realiti.
Segala bentuk hiburan dan cabang seni hanya melalaikan, tidak berfaedah
serta memundurkan masyarakat. Itu tanggapan
Tuan Jaafar dan pegangan itu ditanam pada mereka sejak dia di zaman kanak-kanak.
Namun, prinsib itu jelas beda dengan yang dimiliki Ezeti dan dik curamnya
jurang pemikiran itu maka perhubungan dia dan Ezeti kian renggang dan saling melukai.
Mutiara terus kembali ke bilik, pintu bilik ditutup
perlahan. Perlahan juga meletak punggung di kerusi di belakang meja
besarnya. Persekitaran tidak lagi dipeduli. Mata terus tertancap pada sehelai demi
sehelai lembaran majalah yang bakal memperturunkan rencana berkenaan gambar di kulit
luar majalah. Dia mencari-cari dengan
debaran kuat dan berdoa juga agar apa yang disangkanya di kulit majalah tidak
benar sama sekali.
Pastinya pelanduk dua serupa…. Itu juga doanya sejak tadi. Terpejam seketika dia waktu otak tiba-tiba
terimbas peristiwa suatu hari, pertemuan tidak sengajanya dengan Neor di luar
studio Ezeti. Neor mengenakan pakaian
begitu tetapi blazer hitam sudah
ditanggal, hanya digantung di lengan.
Tangan kanan sibuk pula membersih solekan di muka dengan tisu basah, tampak
tergesa-gesa mahu meninggalkan studio, tidak bersedia bertemu dia.
Sewaktu bertegur sapa, haruman dari jenama terkenal dari luar
negara yang diguna Neor menusuk. Tidak
pernah dia sewangi itu dan penampilan juga tidak pernah sekacak serta sekemas
itu. Mutiara tidak
mencurigai apa-apa, cuma beranggapan itu adalah hari berseri bagi Neor, mungkin
sehabis pertemuan penting berkenaan kerja.
Tidak dinafikan, dia benar-benar gemarkan keterampilan begitu dan
tergoda juga namun kini Mutiara rasa tertipu dan dibohongi juga. Menggeleng dia perlahan, mahu menolak
perasaan pelbagainya.
Selakkan halaman oleh Mutiara mati, jatuh matanya pada seraut wajah glamour
mengukir senyum nakal, membiar keberanian gadis yang tidak silu berpakaian
sedikit keterlaluan memaut pinggangnya.
Tersandar Mutiara diserang
kebingungan. Siapa dia sebenarnya? Pelbagai persoalan muncul dan menyemak di fikiran. Sudah timbul beberapa kali kenyataan
menidakkan kenyataan benar itu.
Menggeleng kepalanya namun tanpa sedar, angguk juga mengiakan tafsiran
otak yang ligat berfikir. Sepatah demi
sepatah perkataan dibaca, merangkak bagaikan baharu mengenali dua suku kata
sekali membaca. Akhirnya semuka penuh
rencana itu selesai dilafas. Pun begitu
dia kekal bingung, seakan tidak memahami apa-apa. Bodoh benar dia.
‘Neor’. Itu nama yang tertera. Berkerut kening Mutiara. ‘NEOR, PENYANDANG LELAKI MELAYU TERAKHIR dan
menjuarai pertandingan ‘ARTIS LELAKI PALING SEKSI’.
Huh, gelaran apa tu? Paling seksi? Apanya yang
seksi? Berkerut lagi keningnya.
Naifnya dia pada dunia hiburan
sehingga gelaran dan pertandingan begitu tidak pernah didengar. Menggeleng lagi dia, berusaha sungguh
menolaknya. Dibaca lagi ayat-ayat
seterusnya. Berharap Neor bukanlah Meor Rezamudin. Sewaktu lelaki itu memperkenalkan diri
sebagai Neor, disangkanya adalah singkat dari perkataan Meor Rezamudin.
Promosi drama berangkaian terpanjang yang
akan diterbitkan di televisyen swasta
berbayar tidak lama lagi, dibaca Mutiara lagi. Dari kata-kata di dalam semuka penuh itu, betapa
dua pelakon itu begitu berbakat, begitu popular dan glamour menghiasi industri
seni tanah air. Salain berlakon dalam
rangkaian drama berepisod itu, pelakon lelaki kegilaan ramai itu turut mencipta
lagu dan menyumbangkan suaranya untuk beberapa buah lagu dalam slot lakonannya. Neor juga sudah menyediakan dua buah lagu
untuk filem arahan pengarah hebat tanah
air.
Sungguh tak masuk akal! Sakit dada Mutiara bertumbuk
sendiri. Kebas pula jemarinya membentuk
penumbuk kemas sendirian di bilik dingin itu.
Ini hanya kebetulan, pelanduk dua
serupa. Tak mungkin dia…. Lagi dia membujuk sendiri.
Komputer riba di atas meja
dicapainya, dicari laman sesawang yang memungkinkan pemaparan lebih lanjut
berkenaan pemuda yang sedang dibicaranya di mahkamah hati. Nama seperti tercatat di dalam majalah ditaip
lancar. Diketuk kekunci ‘enter’ dengan
jari telunjuk kanan, kuat. Hanya
beberapa detik yang singkat terpapar pelbagai cerita yang enak dan busuk terdampar
di dada skrin. Pelbagai aksi dari pemuda
yang ternyata diberi jolokan pelakon lelaki versatile itu, terhidang di hadapan mata. Mutiara jadi mabuk sendiri, berasa mual benar namun
ditelan air liur cair bertalu-talu. Dari
satu cerita ke satu cerita, pelbagai pujian dari peminat dan wartawan juga
dijawab pelakon lelaki itu sendiri. Semakin
jauh ke dalam, semakin jelas siapa Neor dan semakin jelas persamaannya dengan
Meor Rezamudin. Gambar-gambar di awal
penglibatannya dalam bidang hiburan turut dipapar. Jelaslah lelaki itu adalah orang yang sama. Sama benar, bukan sahaja
serupa.
‘Neor, pelakon lelaki berbakat dan pernah
memenangi anugerah pelakon lelaki seksi, murah senyuman’. Itu jenama yang diberi kepadanya. Huh!
Mutiara benar-benar terpukul. Senak lagi pedih. Tidak dinafikan dia semakin
jatuh cinta pada aksi-aksi seksi Neor di dalam gambar namun dia menyedarkan
diri di mana prinsibnya berada. Telefon bimbit di sisi lengan kiri dicapai,
mahu segera menghubungi Ezeti, menyatakan apa yang baharu diketahui. Dia mahu Ezeti turut merasa apa yang
dirasanya. Namun belum sempat nombor Ezeti
dicari dan ditekan, telefon itu bernada panggilan pula. Pantas ibu jari menekan kekunci jawab tanpa
melihat nama yang tertera di skrin telefon.
Gelojoh benar dia. Mata masih
diletak pada skrin komputer riba.
Kacaknya actor lelaki itu menambat matanya.
Terpikat benar dia.
Sekilas mendengar salamnya dijawab
pemanggil, bulat matanya dilempar ke daerah lain. Monitor komputer riba ditinggalkan namun tidak
pasti apa yang mahu dijamah, sekadar mahu menumpu pada suara pemanggil.
“Ya, umi. Kenapa?” terhenti rasa nafasnya, sesak sungguh mendengar sedan Puan
Sumila.
“Walid sesak nafas lagi. Sekarang ini masih di unit kecemasan
hospital.”
Ya Allah, walid…. Tergamam lagi dia sendiri. “Umi tenanglah. Walid pasti tidak akan apa-apa, percayalah
pada kerja Tuhan.”
Tidak kedengaran apa-apa cuma tangis
dari kejauhan.
“Umi, tenanglah…” lagi dia membujuk dari tempatnya. “Apa punca walid diserang lagi?”
“Tadinya walid menyebut-nyebut nama Ira.
Rancak berbincang majlis nikah dan persandingan Ira bersama tukang reka
kamar dan anjung sanding. Tiba-tiba walid
sakit dada, terus sesak nafas lagi.”
Laju di celah sedan yang masih serupa.
“Doktor kata keadaan walid sangat-sangat
tidak stabil. Walid di line
critical. Doktor suruh kita bersedia.”
“Ya Allah. Umi, jangan takutkan Ira.” Sudah pedih matanya. Bergenang sudah lopaknya. Jantung juga kian rancak degupnya. Digosok juga berkali-kali dada itu,
menyabarkan sendiri.
Senyap di hujung talian, pastinya Puan
Sumila sedang menelan hiba sendirian.
“Ya Allah walid…” terlalu perlahan, hanya desiran kecil.
“Pulanglah nak. Umi takut tak sempat.”
“Ya, petang ni Ira fly.”
“Pulang bersama Neor ya?”
Mutiara mengalih
kembali mata pada skrin komputer riba di hadapannya. Ditatap kembali wajah Neor yang tampak
berbeza benar dari yang ada di hatinya.
Melihatkan karisma dan ketampanannya tidak mustahil ramai peminat dan
artis wanita menggilainya. Dia bangga
memiliki lelaki segagah itu, sekiranya dia adalah Meor Rezamudin yang tidak
terlibat dengan dunia hiburan. Kini rasa
bangganya menjunam terhempas, berkecai sudah hatinya. Tidak jijik pada kedudukan lelaki itu dalam
masyarakat tetapi dia pasti, Tuan Jaafar tidak sama sakali akan menerimanya sebagai
menantu. Tidak sanggup dia mengecewakan
orang tuanya, tidak bersedia mengingkari.
“Umi dah minta Pak Kiai uruskan
pernikahan kalian di mana sahaja, walau terpaksa dilakukan di hospital ini.” Itu kata akhir Puan Sumila sejurus sebelum
menamatkan perbualan runcing.
Mutiara mengeluh
perlahan namun ditelan, tidak mahu dimuntah.
“Ira dan Neor sudah bersedia….” Hanya itu yang mampu. Digosok dada perlahan.
Tika suara Puan Sumila sudah sedikit
lama senyap, telefon bimbit itu juga sudah diletak di tempat asalnya. Di sisi lengan kiri tetapi kata-kata Puan
Sumila masih bergentayangan jauh di dalam salur telinganya. Mata sudah kembali terpaku
pada seraut wajah manis Neor di skrin komputer riba. Pelbagai aksi menggiurkan dengan lirik mata
menggoda dan senyum seksi. Menyandar kaku Mutiara, terperosok sakit. Mahu memutuskan perhubungan yang baharu
bermula tetapi Tuan Jaafar sedang geruh.
Harapan tinggi Puan Sumila dengan pernikahan dia dan Neor, Tuan Jaafar
akan punya kekuatan, lalu sembuh.
Pintu diketuk perlahan dari luar, Mutiara
mendengar
tetapi seakan bingung benar. Hanya melempar renungan ke arah pintu,
menunggu pintu terkuak sendiri. Tidak
lama masa senggang, benar pintu ditolak perlahan dari luar. Terjengul wajah Luisa tanpa badan di celah
pintu yang tersendeng.
Mutiara angguk
cuma, gaya
memberi arahan masuk. Terus juga dia
terpaku longlai menyerah diri pada penyandar kerusi berpenyandar tinggi. Kusut benar.
“Puan, puan ok?”
Mutiara mengangguk
lagi, namun lemah benar.
“Kalau puan nak apa-apa, atau nak
berkongsi apa-apa, saya bersedia.” Patuh
benar pekerja itu. Berdiri tegak di
hadapan meja besar.
“No,
thanks. Sekejap tadi saya menerima
berita ayah saya….” Tidak berjaya
disudahkannya ayat ringkas itu. Takut
menyebut tenat dan tidak mahu sama sekali mengungkapkannya, bimbang akan
menjadi doa. Dia hanya mampu menggeleng
perlahan. Telefon bimbit kembali
digenggam, tidak terfikir untuk menghubungi sesiapa, cuma satu tindakan luar
sedar.
Luisa merenung gayanya,
sedar perlakuan cemasnya, Mutiara mengeluh
perlahan. Telefon bimbit diletak
kembali. Luisa yang memang sudah maklum
keadaan orang tua Mutiara sepulangnya peguam muda itu seminggu lalu,
turut mengeluh perlahan, mengangguk juga, faham.
“Sabarlah, esok puan dah nak
bertolak, kan? Cutilah lama sikit.”
Mutiara mengangguk
lagi.
“Saya nak berangkat petang ni, kalau
boleh.”
Luisa mengangguk, bersetuju. “Nak saya tukar tarikh penerbangan?”
Mutiara mengangguk juga. Dia membetulkan duduk agar tampak lebih bersemangat seraya mengeluh perlahan. Luisa sudah meletak sekeping fail nipis di
atas meja, hampir benar dengan Mutiara. Dibukanya seraya menunjuk tempat untuk
ditandatangani.
Mutiara akur, pen terpacak di atas meja dicabutnya
sambil membaca surat
pertama sepintas lalu sebelum menurunkan tandatangan. Surat
ke dua dibaca juga sepintas lalu dan dilakukan perkara serupa. Ditutup sekeping fail nipis itu lalu dihulur
semula kepada Luisa saraya mengucap terima kasih, perlahan.