Ikmal memandang sahaja
tingkahlaku Aleeya yang banyak mendiamkan diri daripada bercakap
dengannya. Selalunya mulut isterinya
becok macam mulut murai. Hari ini diam
seribu bahasa. Sekali bertanya, sekali
sahaja jawapan yang keluar. Marah
ke? Takkan marah? Dia ada buat salah ke? Hatinya cuak dengan sikap Aleeya, mesti ada
yang tidak kena di hati. Mesti ada yang
menyinggung perasaan isterinya itu.
“Awak okey ke?” Ikmal duduk di meja makan sambil
memerhati isterinya menyusun lauk-pauk di atas meja.
“Okey.” Aleeya
kembali ke dapur untuk mengambil nasi pula.
Malas nak bercakap. Hatinya masih
diulit resah dan sebak. Sudahlah
beberapa hari bercuti dengan suaminya, kelmarin telefon ajak suaminya keluar
kerana anak-anak tak nak makan di rumah.
Anak-anak kononnya ajak ayah mereka keluar makan. Dia?
Tak boleh ikut! Ada ke patut?
Cuba baagi tahu? Siapa tak
cemburu? Memanglah cemburu. Tak payah
bagitahu.
“Malam ni tak keluar dengan bekas isteri awak tu ke? Atau anak-anak tak ajak awak pergi ke
mana-mana ke?” kata Aleeya sambil duduk
mengadap suaminya yang buat muka selamba meratah lauk-pauk yang terhidang.
“Bunyi macam cemburu aje?’ Ikmal merenung wajah Aleeya yang asyik
melarikan anak matanya ke arah lain.
“Cemburu!? Uh!
Tengok kakilah. Tak mainlah
cemburu-cemburu ni. Nak cemburukan abang
dan anak-anak? Tak kuasa saya, banyak
perkara lain yang boleh saya buat selain fikirkan perasaan saya terhadap abang
dan anak-anak abang berserta bekas isteri abang tu.” Sengaja dia menekankan bekas isteri. Ada ke boleh tanya, cemburu ke tidak? Hey, dia perempuanlah. Siapa pun akan cemburu kalau suami asyik
berkepit sahaja dengan bekas isteri.
Bekas isteri! Okey.
Anak-anak? Kenapa nak bawa
anak-anak bekas isteri ikut sama? Ada sesiapa yang boleh bagitahu? Mesti ada agenda tersembunyi.
“Betul ni tak cemburu?
Awak tak sayangkan abang agaknya. Kalau orang lain dah tentu angin satu
badan.” Ikmal mengambil nasi pula dan mula menjamah makan malamnya. Ringkas
tetapi sedap. Aleeya memang pandai
memasak.
“Itu orang lain. Ini Aleeya Aneesa!” Tak angin satu badan? Sudah nak meletup tau. Aleeya mengetap bibir. Hatinya sudah cukup sakit. Tetapi dia masih lagi menjaga tatasusila
seorang perempuan Melayu yang tidak boleh marah-marah. Tak brutallah marah-marah ini.
Dia makan nasi terasa seperti sedang mengunyah Nadia sehingga lumat dan telan masuk ke dalam
tekaknya. Biar hancur dan akhirnya jadi
sisa buangan. Lenyap dan terus
senyap. Tidaklah menyusahkan suami dan
dirinya lagi. Sedang dia dan Ikmal enak
menikmati makan malam dengan hati yang sakit.
Telefon bordering. Telefon
suaminya berdering. Siapa pula yang
ganggu malam-malam ini. Kalau hal
pejabat, esok sahajalah. Kalau
kawan-kawan, tak tahu ke suaminya nak bersantai dan bergurau senda dengan
dirinya. Kalau….! Uh… tak kuasa nak sebut.
Semakin bernanar hatinya.
“Ya… Nadia. Ada apa?” Jawab Ikmal lembut dan mula mengangkat
punggung beredar dari meja makan.
Aleeya memandang dengan penuh tandatanya. Hal apa pula malam-malam ini.
“Abang kena keluar kejap.
Along demam. Nadia tak boleh nak
bawa along ke klinik sebab tiada siapa nak jaga yang lain,” beritahu Ikmal yang
sudah pun bersiap.
Hah? Demam
pula? Aleeya menggaru kepala. Semakin gatal kepalanya atau semakin sakit
hatinya.
“Saya tak boleh ikut abang ke?” tanya Aleeya.
“Tak payahlah.
Nanti awak letih pula. Kejap aje
tu. Lepas abang bawa along ke klinik,
abang terus baliklah,” jelas Ikmal sudah
pun berada di muka pintu.
Aleeya mengeluh.
Asyik kena ganggu sahaja.
Kenapalah Nadia tak bawa saja
semua anak-anaknya ke klinik? Ada sahaja
alasan untuk ajak suaminya keluar, anak sakitlah, anak ajak makan di luarlah…
anak, anak, anak! Aleeya menggumam
sendiri.
Aleeya gelisah di dalam
rumah. Dua jam berlalu, bayang suaminya masih tidak kelihatan. Matanya mula
mengantuk. Nak telefon bertanya ke? Dia mula tidak keruan. Sesekali menyelak langsir. Lampu diruang tamu dipadamkan. Dia naik ke tingkat atas, merebahkan diri di
atas katil sambil memikirkan ke manalah suaminya pergi. Tidak baik berfikir yang bukan-bukan. Suaminya pula, kenapa tidak telefon jika nak
balik lewat. Memang masalah betul. Air
mata mula bergenang di kelopak mata.
Terasa dirinya diketepikan.
Aleeya menyeka air mata. Jangan
bersedih hati. Dia perlu kuat. Ini semua
dugaan sahaja untuknya. Anak-anak itu
anak-anak dia juga. Jika mereka ada
masalah, suaminya harus bertanggungjawab.
Jangan ada cemburu di hati.
Suaminya tidak ada apa-apa hubungan dengan madunya.
***
Dia terjaga apabila azan berkumandang. Azan subuh sudah kedengaran di cuping
telinga. Sudah tiba waktu untuk
beribadah dan sujud kepada Yang Esa.
Aleeya memandang katil yang kosong di sebelahnya. Suaminya tak balik ke semalam? Hah?
Tak balik? Tidur di mana? Hish…
tak boleh jadi ni! Aleeya bingkas
bangun, membersihkan diri dan bersolat.
Dia mencapai telefon bimbitnya.
Dia mendail nombor telefon suaminya.
Tidak berjawab. Bibirnya dikepam
sekuat hati. Berombak dadanya menahan
marah. Mana suaminya pergi? Teruk sangat ke demam along sampai tak
balik? Aleeya menyandar di birai katil. Fikirannya berserabut. Apa sudah berlaku? Kenapa suaminya tidak
menelefon.
Keresahan semakin menjalar di hati. Sehingga dia keluar ke pejabat pagi tadi,
bayang suaminya langsung tidak kelihatan.
Ke mana pula perginya? Akal dan hatinya saling bertelingkah, bertanya sesama
sendiri. Dia cuba buang jauh-jauh
syak-wasangka. Tidak mahu mencipta
sengketa. Rumah tangga yang baharu di
bina biarlah bahagia sahaja sehingga ke penghujungnya. Sesekali merajuk, itu tidak mengapa. Tanda cinta dan kasih yang terus mekar dan
subur di hati. Hilang moodnya hendak
bekerja. Lebih memikirkan permasalahan
suaminya. Mana dia pergi? Hari itu hari yang tidak begitu mewarnai
hidupnya. Hambar, suram dan terasa malangnya.
Adakah dia terpaksa berkongsi kasih suaminya dengan orang lain? Orang lain itu adalah anak-anak
suaminya. Adakah Nadia juga cuba
mendapatkan semula perhatian suaminya?
“Ah!” keluhnya agak kuat.
Geram di hati, marah menusuk di kalbu.
“Kau kenapa Leya?” tanya Rozita.
“Tak ada apalah… masalah kerja,” jawab Leya. Tidak mahu membebankan orang lain dengan
masalahnya.
“Kalau ada masalah, aku sedia menjadi bahu untukmu, teman.”
“Terima kasih Rozita…”
Aleeya menyambung tugasnya semula.
Hatinya berkecamuk. Fikirannya asyik memikirkan suaminya sahaja. Wajahnya tidak seceria selalu. Suram dan muram melakar di wajah. Tengahari pun dia tidak semangat hendak
keluar makan. Hanya berehat di surau. Kepada rakan sekerja diberitahu dia tak
berapa sihat.
Telefon bimbit asyik menjadi tatatap matanya. Menanti dengan sabar suaminya menelefon. Tetapi hamba.
Bagaikan hilang tanpa berita.
Dia menongkat dagu. Pening dan sakit
kepalanya. Berdenyut rasa otaknya yang
mula membeku, berat dan sarat itu.
Terasa membahang tubuhnya. Berasa
sakit hatinya. Terbayangkan kemesraan
suaminya dan anak-anak tirinya berserta Nadia yang manis manja itu.
Petang itu Aleeya tidak terus pulang ke rumah. Dia perlu merehatkan fikiran dan dirinya
sendiri. Kalau suaminya pulang dan lihat dia tiada di rumah, pandai-pandailah
telefon dia. Aleeya singgah di IOI
Mall. Biarpun orang masih ramai, dia
tidak peduli, jiwanya sedang kacau-bilau sekarang ini. Biarlah dia bertenang. Matanya memerhati orang ramai yang
berpusu-pusu dengan urusan masing-masing.
Matanya juga singgah di wajah seorang yang amat dikenalinya. Aleeya mengetap bibir. Rasa hendak meraung di situ juga. Rasa hendak dikejar orang itu dan beritahu
betapa seksanya kehidupannya seharian ini.
Wajah-wajah ceria yang cukup menyakitkan hatinya. Aleeya melangkah laju kembali ke keretanya
dengan curahan air mata yang laju mengalirnya.
Dia meraung di dalam kereta.
Terasa dirinya dipermain dan berasa tertipu.
Adakah mereka benar-benar sedang mencipta kebahagian
bersama kembali? Bergetar jantungnya.
Terasa lembut lututnya. Berat kepalanya. Mana dia nak pergi? Pulang ke rumah? Tidak mungkin. Hatinya sedang sakit. Tidak mungkin dia berhadapan dengan lelaki
itu. Pasti meledak perang besar
nanti. Dia tidak suka bertekak. Dia tidak suka bergaduh. Itu bukan caranya.
Laju dia memandu meninggalkan perkarangan IOI Mall. Ingin segera meninggalkan kawasan itu yang
sudah pun mencalar duka di hati. Matanya
sakit, hatinya juga begitu. Kesuraman
semalam terus mencipta mendung di hatinya. Sudah pun turun hujan mencurah-curah
tanya hentinya. Dilap berkali-kali agar
tidak mengganggu pemanduannya. Semakin
kuat raungannya. Dia tidak boleh
meneruskan pemanduan jika dia tidak menenangkan diri. Aleeya berhenti seketika di tol Sunway. Melepaskan rasa sakit di hati dan menangis
semahu-mahunya. Kalaulah dia tidak
berkahwin, tentu hidupnya jauh lebih bahagia.
Kalaulah dia masih sendiri tentu sekarang ini sedang bersukaria dengan
teman-teman seangkatan dengannya. Kenapa
dia kahwin? Kenapa keluarganya paksa dia
berkahwin? Kata Aleeya marah dengan dirinya sendiri. Kenapa lelaki itu yang
menjadi pilihan keluarganya? Hampir
sejam berhenti, beristighfar berkali-kali. Mencari ketenangan di hati.
Telefon tidak, balik pun tidak. Tak tahu ke dia sebagai seorang isteri sedang
berombak risau. Burung pungguk yang
merindukan bulan usahlah diikut. Dia
bukan bulan, dia juga bukan pungguk. Dia
manusia yang ada hati, ada perasaan.
Tak boleh! Dia tak boleh membiarkan suaminya dirampas
kembali oleh Nadia. Siapa suruh
perempuan itu minta cerai dan tinggalkan suaminya? Bila suaminya sudah berkahwin semula, pandai
pula datang mengendeng. Hey… jangan
ingat dia akan membiarkan begitu sahaja.
Anak,anak juga. Dia juga punya
hak yang sama. Hoi! Ini isteri
Ikmallah! Aleeya mendabik dada. Benci,
benci, semuanya ini terjadi. Dia bukan
manusia yang tidak punya rasa dan tidak punya hati. Dia ada perasaan cemburu,
hatinya boleh terusik. Dia boleh merajuk
dan sememangnya suka dipujuk. Kenapa
Ikmal buat tidak tahu sahaja? Apakah sudah tidak suka dengan dirinya? Hey… tak boleh berfikir begitu. Mungkin ada perkara yang tidak boleh
diselesaikan dengan baik oleh suaminya.
Mungkin suaminya juga memerlukan ruang untuk menyelesaikan masalah yang
mendatang. Dia tidak boleh serkap jarang
sebelum mendapat maklumat yang terperinci daripada suaminya. Aleeya menarik nafas panjang. Terasa lelah
hatinya.