Ke mana sahaja suaminya
dan Nadia berserta rombongan anak-anaknya pergi, dia akan mengintip dari
jauh. Memandang dengan mata yang merah
menyala. Kalaulah dia makhluk asing
sudah lama dighaibkan Nadia yang terlajak mesra dengan suaminya. Mereka
tunggang ATV, dia pun sama. Tak biasa
sebenarnya. Hampir sahaja dia tergolek
menuruni bukit, nasib baik ada fasilitator yang sudi membantu. Kalau tidak kemalangan mautlah jadinya. Kawan-kawannya pula bukan main seronok
lagi. Mereka sudah biasa menunggang ATV
yang bertayar besar itu. Uh! Habis sakit satu badan.
Tengok Nadia buat hatinya menyala-nyala marah.
Geram. Rasa hendak dihumban perempuan
itu dalam kandang Singa putih yang
tinggal sendirian di sangkarnya itu. Memang
menyakitkan mata dan hati sahaja.
Siap memeluk pinggang
suaminya. Hey! Itu laki akulah! Jeritnya
dalam hati. Dia menghentak-hentak kaki
di tanah tempatnya berpijak. Mak ai!
Bertepuk bertampar lagi! Ini sudah
lebih. Ikmal pula bukan main menyengih.
Dapat pegang percuma. Wah! Mereka
sudah menyakiti hatinya bulat-bulat. Menangis dalam hati
sahajalah dia. Meraung sehabis suara
tetapi hanya dia sahaja yang mendengarnya.
Sakitnya tu di sini, sambil menghentak dadanya.
****
Di dalam bilik sewa mereka…
“Itulah akak, saya dah suruh jangan ikut mereka
menunggang ATV tu akak degil, nak pergi juga.
Kan dah sakit satu badan. Tak
pasal-pasal kami kena jadi tukang urut tak bertauliah akak,” bebel Lin yang
sudah mula mengurut badan Aleeya yang kecil molek itu.
“Buat apa akak skodeng mereka, sedangkan hati akak
sendiri yang sakit! Kami yang tak ada
apa-apa ni pun sakit mata tengok,” sampuk Ina
pula.
“Betul kak, esok tak payahlah ikut mereka ya? Kita bergembira sendirilah kak. Biarlah suami akak dengan anak-anak dia
tu. Lagipun bekas isteri suami akak tu
tak berani bertindak jauh, kak. Suami
akak bukan jenis buaya tembaga kan, kan, kan?”
Ros menyengih.
“Aduh! Sakitnya pinggang akak, kaki akak pun sengal habis.
Manalah akak tak intip adik-adik oi! Itukan laki akak. Yang bersama dengan dia tu, bekas
isteri. Kau tahu tak, bekas
isteri!” Aleeya merengek kesakitan.
“Macam mana nak keluar makan, kalau dah sakit macam ni
kak.” Lin menampar peha Aleeya yang
sedang diurutnya.
“Ala, setakat nak turun makan kat kafe hotel ni, boleh ajelah.” Aleeya mencebik. Tak guna punya Nadia. Menyusahkan dirinya sahaja. Bukan main miang lagi. Gatal sungguh nak goda suaminya. Dia pasti sangat Nadia ada hati nak berbalik dengan suaminya. Tengok gaya Nadia sahaja, dia sudah dapat
meneka.
“Betul ni? Akak
boleh jalan ke?” Ros mendekati Aleeya
yang berbaring di sofa.
“Bolehlah!” Aleeya
mengetap bibir. Perlahan-lahan dia
bingkas duduk dan menyandar di sofa.
Menarik nafas panjang melepaskan kelelahan dan kepenatan.
“Esok kita nak pergi safari pula. Jangan akak pergi jerkah suami akak dengan
bekas isterinya sudahlah. Jaga
tatasusila kak.” Ina tersenyum sumbing.
Jaga tatasusila?
Pasal jaga tatasusilalah dia tidak menyerang bekas isteri suaminya
itu. Kalau tidak! Tahulah Nadia langit ini tinggi atau
rendah. Erk… tinggikan?
“Harap tak jumpa suami dan sahabat akak tu ya,” usik Lin.
“Uh! Jangan nak mainkan akak pula!” Aleeya menjelirkan lidah. Budak-budak ini tak
padan dengan perempuan, pandai pula nak usik-usik dia.
Mereka hanya makan malam di restoran hotel. Makan malam yang disediakan enak-enak
belaka. Harga yang dikenakan tidaklah
mahal sangat. Berbaloilah. Dia
tercari-cari kelibat suaminya. Manalah tahu jika suaminya juga makan dan minum
di restoran itu. Sebenarnya hotel di
Gambang ini dibahagi kepada dua. Arabia
dan Caribbean. Dia dan rakan-rakannya
menginap di Caribbean. Mungkin juga
suaminya menginap di Arabia yang lebih
mewah dan cantik hotelnya.
“Akak, makanlah.
Usah dikenangkan orang yang sedang bergembira dengan anak-anaknya. Kita gembirakan hati sendirilah kak,” pujuk
Lin yang sudah pun menambah makanan di dalam pinggannya. Makan cara buffet, melantaklah sampai mengah.
“Banyak kau pun tak kenang. Entah-entah dia sedang peluk suami akak,
sakitnya tu di sini!” sambil menunjukkan dadanya.
“Kalau dah tahu nak sakit, kenapa benarkan suami akak
keluar dengan anak-anaknya?” tempelak
Ros.
“Mana boleh tak bagi Ros, itu anak-anak suami akak. Bukan anak tiri tau, anak kandung!”
“Sabarlah kak.
Inilah dugaannya kalau berkahwin dengan duda yang masih bernyawa bekas isterinya. Terpaksalah akak ‘bermadu’ dengan anak-anak
tiri akak tu, silap haribulan bermadu terus dengan bekas isteri suami akak tu
pula. Uh! Kes naya kak,” kata Ina
tidak bertapis.
“Hoi! Mulut tak ada insuran ke?” jerkah Aleeya. Bukan main sedap lagi sebut bermadu. Tak
kuasa dia. Janganlah jadi seperti itu,
nau’zubillah, doanya dalam hati.
“Tak mustahil kak,” racun Lin pula.
“Dah, dah, dah! Akak nak makan sampai mengah. Malas nak fikirlah!” Aleeya bingkas bangun dan menuju ke kaunter
yang terhidang pelbagai jenis lauk-pauk dan nasi. Nak makan ke tidak ini? Tekaknya terasa tidak berselera sedangkan
perutnya berkeroncong.
“Hai, kira apa pula tu?” Lin menyengih.
“Hish… budak ni!” Aleeya mencubit lengan Lin yang sudah
pun berada di sisinya.
“Apa main cubit-cubit kak. Sakit tau.” Lin mengusap bekas cubitan
tadi.
“Mehlah makan. Akak ambil lauk aje. Tak payah makan nasi. Nanti kita makan mee sup pula, jom kak!” ajak
Lin.
Aleeya mengikut sahaja langkah Lin yang menemaninya
memilih makanan untuk malam itu. Dia
cuba membuang jauh wajah suaminya dan Nadia yang bergurau senda di hadapan
matanya. Memanglah mereka tidak nampak
dia, tetapi dia nampak mereka. Kalau
boleh dia tidak mahu memikirkannya tetapi bagaimana? Itukan suaminya. Anak-anak suaminya pula sampai hati tidak
suka dengannya. Apa yang telah dia
lakukan? Dia sudah cuba menghampiri
mereka dan menjadi seorang ibu tiri yang baik.
Kenapa dia tidak diberi peluang?
Dia juga boleh jadi sebaik Nadia, ibu kandung mereka.
“Akak sabarlah ya. Jangan fikir sangat. Kalaulah saya tahu suami akak ada sini, saya
tak nak ikut ke mari. Kita datang nak
bergembira, kalau akak bersedih macam ni,kami pun tumpang sedih tau kak.” Lin membelai lembut lengan Aleeya, cuba
mententeramkan hati temannya itu.
“Yalah kak! Janganlah
muram. Esok kita tengok binatang, lepas
tu kita terus ke Kuantan, jalan-jalan, sebelum balik ke KL,” ajak Ros.
“Senyumlah kak.
Tak lawalah akak buat muka poyo macam tu. Kalau akak menangis dan meraung pun tak
guna. Suami akak sedang berseronok
dengan anak-anaknya dan bekas isterinya.
Lupakan mereka. Anggaplah mereka
tu tak wujud, kan.” Ina tersenyum manis.
Aleeya mengangguk, berasa bersalah pula dengan kawan-kawannya. Mereka ikut dia untuk
berseronok, dia pula buat mereka susah hati.
Tak patut, tak patut! Ceria, ceria, Aleeya bingkas bangun! Cerialah…
berwajah manis, gembira, gembira, bisik hati kecilnya sendiri.