Namanya Aleeya Aneesa,
bukan, bukan penulis novel itu tau, keluarga memanggilnya Leya. Dia hanya insan biasa yang dilahirkan
berpuluh tahun yang lalu. Erk… umur
rahsia, boleh begitu? Biarlah rahsia. Tidak perlu diuar-uarkan, terasa tua pula nanti. Sudah berkahwin beberapa bulan yang
lalu. Dia bekerja sebagai penjawat awam
di pejabat kerajaan. Gaji tidak besar
mana, sesuailah dengan kelulusannya yang hanya ada Diploma Sumber Manusia. Bukan dia yang memberi sumber kepada manusia.
Tinggi lima kaki empat inci.
Pinggang 24 inci. Cukuplah dia
memberitahu bahagian tertentu tubuhnya.
Boleh bayangkan sendiri, dia tidaklah gemuk, malah kurus dan cantik
bergetah, walaupun tidaklah seperti ala-ala model di luar sana. Sudah cukup untuk mengetarkan hati suami
sendiri. Setiap hari dia ke tempat kerja
memandu sendiri. Nun di Putrajaya, duduknya di Puchong Perdana. Rumah teres dua tingkat, sewanya usah cerita. Jaga status kata suaminya sedangkan boleh
saja sewa rumah flat dengan harga separuh dari sewa rumah teres dua tingkat
itu. Ikutkan sahaja, bukan dia yang bayar sewa, tetapi suaminya.
Untuk pengetahuan semua, dia berkahwin dengan seorang
duda beranak lima. Bagaimana perkara itu
berlaku? Uh! Panjang ceritanya. Menurut
pakar kajiselidik. Jika usia sudah melebihi 30-an orang yang akan masuk
meminang, jika bukan suami orang, sudah tentulah duda. Mahu tak mahu kenalah terima daripada
mendapat status andartu terlajak tak larisnya.
Takut tahu, jadi anak dara tua.
Jiran tetangga asyik bertanya bila nak makan nasi minyak? Sedangkan
setiap hari dia makan nasi minyak di kedai mamak. Kalau nak sangat belanjanya, boleh sahaja dia
beli dan jamu mereka semua. Emak dan
ayah juga membebel, asyik fikir pasal diri sendiri, tak nak berkahwin. Akhirnya terjumpa seorang lelaki yang sedang
merana kerana ditinggal isteri dan lima anaknya, terpaksalah dia kutip demi
merealisasikan impian kedua orang tua dan jiran tetangga. Erk… boleh tak begitu, berkahwin kerana nak
tutup mulut orang? Boleh sajalah. Asalkan ada jodoh dan sampai serunya. Bukan main pilih dan tangkap muat saja. Dia pilih juga.
Nama suaminya Ikmal Hakimi, sedapnya nama, kan, kan,
kan. Kalau tengok pada nama tentulah
orangnya kacak bergaya dan ada karismanya.
Boleh tahanlah, tetapi tidaklah sekacak Aaron Aziz atau siapa ya nama
pelakon lelaki yang sedang popular di Malaysia?
Cari sendiri, fikir sendirilah ya.
Sudahlah berkahwin dengan duda
anak lima, dia terus mendapat gelaran ibu segera, mana tidaknya lima orang dik
oi! Nasib baik bukan dia yang kena jaga, sesekali suaminya bawa juga
anak-anaknya pulang ke rumah, hanya untuk makan-makan dan beramah mesra. Ehm… kenalah jadi seorang ‘ibu tiri’ yang
baik semuanya. Dalam fikiran ramai
orang, ibu tiri selalunya jahat dan suka mendera. Maaflah ya, dia bukan spesis seperti itu.
Masih ada hati dan perasaan. Anak-anak
suaminya masih kecil dan memerlukan perhatian.
Tidak mungkin dia menjadi manusia jahat yang hanya ada hati tetapi tiada
perasaan. Tidak mungkin! Anak-anak suaminya tiga perempuan, dan dua
lelaki. Berumur daripada dua tahun sehingga lapan tahun. Hati naluri seorang ibu, tidak perlu belajar
menjadi ibu hanya ketika ada anak sendiri sahaja. Anak-anak suaminya, anak-anak dia juga. Walaupun bukan lahir dari rahimnya.
Untuk mengelak dapat suami orang, duda pun tidak
mengapalah. Ada anak lima pun dia tidak kisah.
Namun, kebahagian yang baharu menjelma bagaikan tercalar dengan sengaja,
atau disengajakan. Terasa hendak
menjerit sahaja. Walaupun tidak dimadu
atau bermadu, dalam diam tak diam dia sudah ‘bermadu’ dengan bekas isteri
suaminya. Huh! Susah juga berkahwin
dengan duda yang ada anak dan ada bekas isteri!
Lain kali berkahwin dengan duda yang kematian isteri tahu! Aleeya mengetap bibir sendiri. Rasa hendak dihempuk sahaja fail-fail yang
berselerakan di atas mejanya. Fikirannya
sudahlah berserabut, ditambah dengan masalah yang dicipta oleh manusia bernama
bekas isteri.
Wajahnya langsung tidak melakar bahagia. Muncung bibirnya boleh panjang sedepa kalau
dibiarkan sehingga ke petang. Sakitnya
di sini, di hati yang paling dalam.
Tidak mampu meluahkannya kerana yang terlibat adalah anak-anak suaminya
juga. Oleh kerana geram yang melampau
pernah juga terbit rasa di hati,
menyesal dia berkahwin. Biarlah jadi anak dara tua sehingga ke mati. Aleeya mengeluh berat.
“Kau kenapa? Sejak dari tadi, asyik mengeluh aje aku
dengar, tak penat ke?” Tanya Rozita kawan sepejabat yang selalunya prihatin
sangat dengan dirinya.
“Tu… bibir kau, boleh sangkut baju. Besar sangat masalah kau ke?” Sambungnya
lagi.
Aleeya memandang wajah rakannya itu tidak berkelip. Macam
mana dia nak mulakan kata-kata. Terasa
seperti mengumpat pula, lebih-lebih lagi hal rumah tangga sendiri. Buatnya Rozita canang satu pejabat, dia juga
yang malu besar nanti. Biarlah rahsia,
boleh tak? Kalau sudah muka poyonya yang berbicara, semua orang
ingin ambil tahu juga.
“Macam mana ya aku nak cakap?” Aleeya sedang
berkira-kira. Bukan kira matematik
itu. Kira-kira macam sedang
berfikirlah. Nak beritahu atau tidak?
“Kalau nak kongsi, aku sedia mendengar, kalau tak sudi,
aku pun tak paksa.” Rozita mengangkat bahu.
Aleeya menyengih.
Eh! Masih boleh menyengih
rupanya. Ingatkan sudah hilang kegembiraan di hati.
“Hah, boleh pun menyengih.” Usik Rozita.
“Nantilah aku cerita kat kau. Tapi, bukan waktu sekarang. Sekarang waktu kerja! Jangan culas, nanti kena tindakan
tataterbit!” Sempat lagi Aleeya bergurau. Hilang sedikit rasa marah di
hati.
“Yalah… bibir tu jangan biar muncung lama-lama, aku takut
tak boleh nak leperkan semula, nahas kau,” gurau Rozita.
Aleeya mencebik.
Rozita Yamin, ibu kepada dua orang anak yang sedang meningkat
remaja. Layak dipanggil kakak, baik dan
suka membantu orang lain. Pakaiannya ke
pejabat selalu ikut peredaran fesyen tetapi menutup auratlah. Pantang dengar
ada jualan murah, pasti dia yang muncul dahulu.
Kalau nak tahu pasaraya mana yang buat jualan murah, bolehlah tanya
kepadanya. Nak tahu kedai yang murah
boleh juga rujuk kepadanya. Tudungnya
pula beraneka ragam dan warna.
Agak-agaknya almari pakaian dan tudungnya entah besar mana. Aleeya tersenyum sendiri. Hatinya sudah
berbunga riang. Hilang menjauh seketika semua masalah yang bersarang di dada.
Masalahnya tidak akan berkurang. Masalah itu juga tidak akan berlalu
pergi. Melainkan diselesaikan oleh
suaminya sendiri. Bukan sahaja dia yang
pening. Suaminya sendiri juga pening
memanjang. Tangan asyik letaknya di dahi
semenjak dua menjak ini. Hendak
membantu, dia sendiri tidak tahu harus bagaimana. Semuanya melibatkan wang ringgit
semata-mata. Boleh papa kedana
jadinya. Hish, tak baik fikir
begitu. Mungkin semua ini ujian
semata-mata. Pasti ada jalan keluar yang
terbaik buat semua. Apa masalahnya? Kenalah tunggu saya tulis keseluruhan
cerita. Sekali lagi keluhan terlahir di
bibirnya. Mencanak rasa mual di hati
dengan masalah yang timbul bukan sebab dia dan suami. Masalah orang ketiga.
Bukan hadir untuk merampas suaminya, sedangkan mereka pernah bersama. Entah apa yang bekas isteri suaminya hendak
sebenarnya? Masih berfikir dan mencari jawapannya. Anak-anak menjadi pecaturannya. Keluhan terlahir lagi, kali ini begitu
menyesak jiwa. Diluah mati bapak,
ditelan mati emak. Bidalan orang tua-tua
yang benar-benar besar maknanya.
Tengahari itu nasi yang dijamah bagaikan tidak boleh
terhadam. Disumbat ke tekak terus
ditelan tanpa dikunyah seperti biasa. 40
kali kalau ikut sunahlah. Baik untuk
penghadaman jika makanan yang masuk ke
mulut dikunyah sehingga lumat. Ini bukan
soal malas mengunyah tetapi mengejar waktu rehat yang hanya sejam lamanya. Di tambah dengan masalah yang melingkari
jiwanya. Semakin kuranglah nafsu
makannya, biarpun makanan yang dibeli adalah kegemarannya juga. Hari ini hilang seleranya. Putus nafsu makannya. Habiskan sahaja kerana sudah membayar
sekelian harga siap dengan GSTnya
Restoran biasa sahaja, tetapi kenakan GST? Jangan-jangan auta sahaja. Lantaklah, sebelum ini dia tidak pernah makan
di restoran itu. Kerana ikut ajakkan
kawan-kawan, kononnya nak ubah selera. Asyik makan di kedai Wak Karman kata
mereka, jemu juga. Walaupun hanya gerai
biasa, gerai Wak Karman tetap di
hatinya. Selain murah, bersih juga. Itu sebab ramai rakan sekerja suka makan di
situ.
Kedai yang mereka sedang duduk bersantai ini, jarang didatangi
oleh rakan sekerja mereka. Masakannya
biasa-biasa sahaja. Harganya sahaja yang
buat perut memulas tiba-tiba. Mahallah.
Rasa hendak ketawa melihat wajah Rozita ketika melihat harga makanan
yang telah dikira. Ikan keli masak
sambal, ulam-ulaman, kuah kari dicurahkan atas nasi, sayur taugeh goreng
bersama air teh ais limau RM10.00. Biar
betul! Ringan sahaja mulut hendak
bertanya. Ikan keli takkan seekor
RM5.00? Kalau makan di kedai Wak Karman,
lauk seperti itu paling tidak RM7.00 sahaja.
RM3.00 lagi boleh buat minum petang.
Uh! Wak Karman hanya kau di hati.
Aleeya menyengih. Menyesal tak sudah.
Dia lagi mahal kerana ambil sotong dan udang yang memang kegemarannya. Kalau lauk udang di kedai Wak Karman,
biasalah RM10.00 sahajalah. Biasalah
udang dan sotongkan mahal. Ini
tidak. RM15.00 terbang hanya makan
tengahari sahaja. Larilah budjet kalau
macam ini. Apasal pula main kira-kira
makanan bagai? Memang kepalanya sedang
biul sekarang ini. Masalah kecil
dianggap bagaikan masalah negara. Tak
apa, tak apa, dia harus bertenang dan berdiri di belakang suaminya. Tidak akan mengalah dengan permainan janda
suaminya. Kuat Aleeya, kuat! Dia harus mempertahankan rumah
tangganya. Kebahagian milik dia dan
suami.