Aleeya melangkah masuk ke
dalam rumah. Keretanya diparkirkan di
belakang kereta suaminya. Awal pula
suaminya balik hari ini. Setelah menutup
kembali pagar rumah, dia membuka pintu utama yang berkunci rapat. Langkah di atur masuk ke dalam rumah. Matanya
meliar mencari kelibat seseorang. Ke
mana pula? Mungkin bersantai di bilik
agaknya. Langkahnya diayun laju mendaki
tangga ke tingkat atas yang menempatkan barisan tiga bilik termasuk bilik utama. Dua bilik lagi dikhaskan untuk anak-anak
tirinya jika mereka bermalam di rumah itu.
Belum lagi pernah mereka bermalam di situ.
Pintu bilik ditolak perlahan. Suaminya sedang berbaring sambil tangan
diletakkan di atas dahi. Masalah meruncing agaknya. Dia mendekati dan melakarkan senyuman buat
suami tercinta. Sayanglah siapa tak
sayang. Biarlah duda anak lima sekalipun, tetap segak dan kacak di mata.
Perutnya sedikit boroi, biarlah. Asalkan
sihat sentiasa.
“Abang!” panggil Aleeya sambil duduk menghadap Ikmal yang
masih berbaring. Mata terpejam rapat, tidurkah?
Atau buat-buat tidur.
“Dah balik?” Ikmal
membuka mata perlahan-lahan lalu bingkas duduk bersila di atas katil.
“Abang dah bayar bil-bil Nadia tu?” Tanya Aleeya, ingin
benar dia mengetahuinya. Eh, dia punya
hak untuk tahulah. Diakan isteri lelaki itu.
“Dah. Kalau tidak
bergelaplah budak-budak tu. Nadia tak
nak bayar, bil kuning dah sampai. Mahu atau tidak kenalah abang bayar,” jelas
Ikmal.
“Hah! Sampai macam tu sekali? Kering hati betul Nadia tu.” Aleeya terkedu mendengarnya. Sampai hati seorang ibu sanggup biar
anak-anaknya bergelap. Kalau suaminya
tak bayarlah. Nasib baik tak sempat
bergelap. Uh!
“Biarlah, anak-anak saya juga. Mahu tak mahu kenalah
bayar, kan?” Ikmal tersenyum.
Aleeya turut tersenyum.
Sabar sungguh suaminya. Kalau dia
belum tentu sesabar itu. Memanglah
anak-anak itu anak-anak suaminya.
Tetapikan, bekas isteri suaminya takkan tak boleh bayar bil-bil
itu. Hey, Nadia tu pensyarah tahu, gaji
besarlah. Takkan kedekut kut? Aleeya mencebik. Sengajalah nak menyusahkan suaminya. Ingat besar sangat gaji suaminya sebagai
Pengurus Syarikat swasta? Bolehlah,
walaupun tak mewah mana. Tapi, janganlah
memeras macam ini. Uh! Aleeya mendengus sendiri.
“Leya mandi dan solat dululah. Lepas tu nak masak
pula. Abang nak tolong Leya memasak
ke?” Tanya Aleeya sambil melenggok
manja.
“Boleh jugalah,” jawab Ikmal sambil menyengih.
Aleeya mengenyit mata.
Masalah Nadia dan suaminya
biarlah mereka selesaikan sendiri. Dia
tidak mahu masuk campur. Nanti lain pula
ceritanya. Boleh tahan juga mulut bekas
isteri suaminya itu. Kalau ikut hendak bertekak. Dia pun boleh
tahan juga celuparnya, tetapi bertempatlah.
Usai memasak seringkas mungkin, janji kena dengan selera.
Sawi masak bening, ikan selar goreng
cili, sambal belacan dan ulam-ulaman, cukup menyelerakan. Air tangan sendiri. Kalau sendiri tak puji siapa lagi. Melihat suaminya berselera menjamah
masakannya sudah cukup membuat hatinya berbunga riang. Sama-sama mengemas meja makan dan sama-sama
perut kenyang. Baharu sahaja melangkah
beberapa tapak ke ruang tamu telefon suaminya berbunyi. Masing-masing memandang ke arah meja kopi yng
terletak di ruang tamu. Di situlah
letaknya telefon bimbit mereka. Sudah berjanji, di meja makan tiada
sesiapa pegang telefon. Kononya hendak
menghabiskan masa bersama-sama, sambil makan sambil berbual.
“Uh! Nadia.” Kata Ikmal
sambil mengeluh perlahan.
Aleeya menggeleng.
Apa pula Nadia nak lagi. Aleeya
terus melabuhkan punggung di sofa. Dia
membiarkan suaminya berbual dengan Nadia di telefon. Manalah tahu ada masalah
dengan anak-anak. Sesekali matanya
menyinggah di wajah suami yang terpamer berbagai reaksi. Risau pula tengok wajah cemberut
suaminya. Kalau Nadia telefon sahaja,
wajah itu tidak akan terlihat kemanisannya.
Aleeya mengeluh dalam hati.
Simpati bercampur bimbang. Hampir
lima belas minit mereka bersembang.
Pelbagai reaksi terpancar di wajah suaminya. Semoga yang baik-baik sahajalah hendaknya,
doa Aleeya dalam hati.
“Kenapa bang?
Nadia nak apa?” Tetap bertanya, tidak
mahulah suaminya susah hati seorang diri.
“Anak-anak cuti sekolah minggu depan. Nadia suruh abang bawa mereka bercuti. Dia nak ikut sekali, tapi tak bagi bawa
awak,” ujar Ikmal dengan muka sebal.
“Kenapa pula?
Sayakan isteri abang? Hish…. Undang-undang mana dia pakai?” Aleeya terkejut mendengarnya. Suaminya bercuti dengan anak-anak dan
jandanya? Biar kentang! Mana boleh macam tu. Hey, diakan isteri yang sah Ikmal. Bukan perempuan simpanan! Macam-macamlah Nadia ini. Kan dah berkerut dahinya. Uh!
“Jadi, saya tak boleh ikut abang bercutilah dengan
anak-anak?” Tanya Aleeya sedik kesal.
Laju anggukan Ikmal.
Uh! Aleeya memeluk tubuh.
Dia memandang tepat ke mata suaminya.
Dia harus marah atau hanya ikut sahaja kehendak mereka berdua.
“Tak kira, nak ikut juga!” kata Aleeya berkeras.
“Kalau awak ikut, anak-anak tak nak bercuti dengan
abang,” jelas Ikmal.
“Sejak bila anak-anak abang tak suka dengan saya ni? Sebelum ni, okey aje?” Aleeya mengetap bibir.
“Entahlah… awakkan
kerja. Takkan nak ambil cuti pula?” Ikmal memandang wajah Aleeya minta kepastian.
“Saya rela ambil cuti tanpa gaji, dari membiarkan suami
saya bercuti dengan anak-anak dan jandanya!” Kata Aleeya keras. Dia mencebik.
“Uh! Cemburu ke?”
Ikmal menjeling manja. Terasa
hendak ketawa. Takkan cemburu kot? Bisik
hati kecilnya.
“Ini bukan soal cemburu atau tidak. Mana boleh abang ketepikan saya!” Aleeya berwajah serius. Memanglah cemburu, bisiknya dalam hati. Ada
boleh tak cemburu, itukan janda suaminya.
Mereka pernah hidup bersama.
Buatnya menyulam kisah lama, apatah lagi mereka ada anak bersama,
habislah dia. Kenapalah dia tak mengandung-ngandung
lagi agaknya, Uh! Memang tak boleh percayalah.
“Ala pergi dua tiga hari aje. Nanti penat pula awak,” kata Ikmal.
“Helo… abang!
Ingat saya dah tua sangat ke? Tua lagi
Nadia tu tau!” Aleeya
mencebik. Bibirnya sudah mula
memaparkan kemuncungan yang tidak boleh tidak terpaksa dipamerkan. Biar suaminya tahu, dia sedang berasa
hati. Erk… belum sampai tahap merajuk.
“Laa… janganlah banding-bandingkan. Abang tahulah, itu sebab abang cari yang
muda.” Pecah gelak Ikmal.
“Huh! Tak kelakar pun.”
Semakin panjang muncung Aleeya.
Dia tidak kira, tidak kisah, nak jadi apapun jadilah. Dia tetap akan ikut. Kata putus daripadanya. Tak boleh pakai kata putus daripada suami dan
bekas isteri suaminya itu. Memang
mangkuk ayun betullah. Menggelegak pula
hatinya nanti. Tidak pasal-pasal
tercetus perang dingin.
“Awak tak payah ikut ya?”
Pujuk Ikmal sambil mengerdipkan mata.
“Uh! Tak tergoda pun!”
Aleeya terus angkat kaki menuju ke bilik.
Dia mundar-mandir di dalam bilik. Matanya pula asyik memandang ke pintu. Apa alasannya untuk pergi? Apa yang harus dia lakukan? Kena ada strategik. Kena ada jalan. Biar Nadia tidak perasan yang
dia datang secara sengaja. Uh! Tak kuasa
nak biarkan suaminya bersendirian dengan jandanya. Tolonglah! Mak cik ni belum buta mata tau, entah-entah nak mengendeng
dengan suaminya. Ada hati nak balik kembali agaknya. Pelbagai perkara bermain difikiran. Dia tidak boleh membiarkan Nadia
mempergunakan anak-anaknya sebagai senjata untuk menyusahkan suaminya.
“Awak berlatih berkawad ke?” Ikmal melangkah masuk sambil menyengih.
“Uh!” Alamak!
Apasal tak perasan. Bila pula suaminya masuk ke dalam bilik. Aduh!
Kantoi!
“Ala… awak keluarlah dengan kawan-kawan sekerja awak. Kan
dah lama awak tak keluar dengan mereka.” Ikmal menarik tangan Aleeya dan duduk
di birai katil.
Uh! Nak pujuk supaya jangan pergilah tu. Maaflah,
dia bukan jenis yang makan pujuk
Keluar dengan kawan-kawan? Hmm…
idea terkini dan terbaik. Aleeya mula
menguntumkan senyuman. Wajah suaminya di
sisi dipandang seketika.
“Yalah! Nak buat macam manakan, diam tak diam terpaksalah
‘bermadu’ secara tiba-tiba!” Sindir Aleeya.
“Ada ke situ pula.”
Ikmal mengecilkan mata, memandang wajah Aleeya dengan tandatanya.
“Tak bermadu ke
namanya, tiba-tiba tak boleh ikut waktu abang bercuti dengan bekas janda abang
dan anak-anak? Apa namanya tu?” Soal Aleeya.
“Hish… salah tafsiran tu.” Ikmal ketawa.
“Salah tak salah, itulah yang saya rasa. Abang jangan nak main dan bermadu kasih pula
dengan Nadia,” amaran Aleeya. Matanya
dijegilkan.
Ikmal ketawa kuat.
“Ketawalah, ketawa! Kalau dah hati terpanah dengan kilat
cinta si Nadia tu… waktu tu abang jangan cakap saya tak bagi amaran! Saja
gunakan anak nak dekat dengan abang! Itu strategik namanya bang. Orang perempuan ni kalau dah tak laku, takut
hidup sendiri, bekas duda pun nak dijilat balik tau!” Kata Aleeya tegas. Geram mencanak masuk. Berapi-api mata dan hatinya.
“Awak ni, jauh perginya tu. Itulah banyak sangat baca novel, sampai
perkara macam itu pun awak boleh fikirkan.”
“Tapi tak mustahilkan, kan, kan?” Aleeya tidak mahu kalah. Semenjak dua menjak Nadia sengaja minta yang
bukan-bukan sedangkan mereka sudah lama bercerai. Sudah makan tahun pun. Bila Ikmal berkawhin dengannya, mulalah
muncul kembali Nadia secara tiba-tiba.
Kalau cemburu katakan cemburu.
Hish, kenapalah Nadia tidak cari suami baharu? Orangnya cantik, bergaya walaupun anak lima.
“Dahlah, jangan fikir yang bukan-bukan. Hati saya hanya
ada awak,” ucap Ikmal sambil merebahkan
diri di sebelah Aleeya yang masih bersila di atas katil.
“Kena fikir bang.
Malang tak berbau tau,” kata Aleeya lagi.
“Malang apanya pula?”
Ikmal mengerut dahi.
“Malanglah suami kena rampas dengan jandanya semula!
Boleh buat cerita dan lagu tau.” Aleeya merebahkan diri di atas katil. Kepalanya masih ligat berfikir. Uh… masalah!