Home Novel Fantasi Magnolia
Magnolia
Suhailah Selamat
4/2/2022 07:08:23
15,123
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 1

PROLOG

Negara Magnolia… Negara yang mengamalkan corak pemerintahan demokrasi. Di mana struktur pemerintahan kerajaan telah ditentukan melalui kuasa rakyat. Negara Magnolia juga merupakan salah satu pemegang kuasa ekonomi terbesar di dunia. Penyumbang utama kepada faktor tersebut terletak kepada dua tonggak utama negara yang turut diakui sebagai pemegang kuasa besar ekonomi negara. Melibatkan dua syarikat gergasi yang masing-masing diasaskan oleh keluarga Alfian dan keluarga Zarith secara turun-temurun. Diakui dua syarikat gergasi tersebut paling banyak menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara Magnolia. 

Melaburkan berjuta-juta ringgit Magnolia dalam sektok-sektor kritikal hingga menghasilkan keuntungan yang besar dan mampu berdiri di kaki sendiri. Membantu perusahaan-perusahaan kecil dengan memberi bantuan dari segi pinjaman modal dan peralatan yang serba terkini. Paling membanggakan, peratusan hasil kerajaan yang hanya melibatkan kiraan dari segi kutipan cukai meningkat setiap tahun. Peniaga kecil dan besar membayar cukai keuntungan yang mereka peroleh tanpa gagal.

Banyak peluang pekerjaan berjaya diwujudkan dalam pelbagai sektor terutamanya buat golongan muda lepasan sekolah dan pelajaran peringkat tertinggi. Seterusnya, mengurangkan jumlah pengangguran dalam kalangan anak muda. Serta, mereka yang kurang berkemampuan turut mendapat peluang sama rata dengan golongan yang berkemampuan. Malah, diberi sedikit kelonggaran seperti pengecualian bayaran yuran pengajian dan sebagainya melalui sumbangan dari dua syarikat gergasi tersebut. Sedikit sebanyak sumbangan mereka telah banyak membantu mengubah taraf hidup golongan bawahan ke arah yang lebih baik seiring dengan kepesatan pembangunan kerajaan Magnolia. 

Namun, persaingan sengit yang wujud di antara kuasa besar tersebut telah menimbulkan banyak kekacaun dan malapetaka pada Negara Magnolia. Berapa banyak nyawa rakyat yang tidak bersalah terkorban demi memenuhi nafsu serakah mereka yang terlalu mengejarkan keuntungan dan kemewahan dunia. Malah, pihak berkuasa juga terpaksa tutup mata demi menjaga kepentingan masing-masing. Kedudukan dan kekuasaan mereka bila-bila masa bakal tergugat jika mereka terlalu masuk campur. 

Keluarga Zarith merupakan pengeluar utama baja dan racun serangga selain terlibat dalam kajian penghasilan biji benih bermutu tinggi. Manakala, keluarga Alfian pula merupakan pemaju tanah, di mana sebahagian besar tanah yang dimiliki keluarga itu terdapat di desa. Keluarga Alfian juga turut menubuhkan sepasukan khas semata-mata untuk melakukan kajian bagi menukarkan tanah gersang menjadi tanah subur.  Banyak tanah-tanah subur di kawasan luar bandar berjaya dibangunkan menjadi tanah pertanian. Ada yang telah disewakan pada kadar yang berpatutan. 

Masalah demi masalah mula timbul setiap kali tanah baru untuk tujuan pertanian dibuka. Pasti ada perbalahan yang timbul yang memaksa campur tangan dari pemerintah sendiri. Pihak keselamatan sendiri tidak mampu menjamin keselamatan rakyat setiap kali dua kuasa besar ekonomi bergaduh. Mereka sentiasa dalam dilemma, tersepit di tengah-tengah di antara dua kuasa besar tersebut.

Itulah kenyataan yang terpaksa ditelan oleh pemerintah Negara Magnolia disebalik kemegahan negara yang terpaksa bergantung hanya kepada dua kuasa besar negara tersebut.

“Sampai bila kita nak terus hidup macam ni, abang. Aku bosan. Aku muak. Aku nak hidup normal macam orang lain juga. Ada kawan-kawan, kekasih…,” keluh Basit sambil melempar sebiju batu ke dalam tasik. Tubuhnya dibaringkan di atas tanah yang berlapikkan rumput berwarna hijau. Kedua-dua tangannya dijadikan alas kepala.

Dayyan sekadar tersenyum. Pandangannya terus dilemparkan ke arah Basit yang tidak henti-henti mengeluh.

“Abang faham apa yang adik maksudkan sebenarnya.  Abang pun macam adik juga. Ada keinginan untuk bergaul dengan orang lain. Sayang sekali. Kita tak seperti mereka. Boleh terbang ke mana sahaja, sebebas-bebasnya. Dunia kita dan dunia mereka tidak sama, Basit. Hidup kita sentiasa dilimpahkan dengan kemewahan. Pada masa yang sama, hidup kita juga terikat. Tidak bebas ke sana dan ke mari sesuka hati kita. Hidup kita sentiasa diburu dengan bayangan kematian.” Dayyan terdiam.

Tiba-tiba Basit memalingkan tubuhnya menghadap Dayyan. Tangan sebelahnya menongkat kepala. Bibirnya lebar mengukir segaris senyuman.

“Abang…”

“Emmm…?”

“Tahniah.”

Kedua-dua kening Dayyan terus terangkat ke atas. 

“Untuk apa?”

Basit tergelak kuat. Buat-buat tak faham pula.

“Malam ni kan semua orang bakal meraikan hari bahagia abang.”

“So?”

“Lepas tu… Lepas tu, malam ni juga abang akan hilang teruna!” Basit terus ketawa mengekek-ngekek. Dia melompat bangun dari perbaringannya. Lalu, berlari laju meninggalkan abang kembarnya termangu-mangu di situ.

“Tak guna!” Habis merah padam wajah Dayyan dibuatnya. Dia turut sama berlari mengejar Basit yang sudah jauh ke depan.

Bunyi deruman enjin helikopter yang tadi sayup-sayup kedengaran kini menjadi semakin jelas menghampiri mereka. Basit diam terkaku memandang ke atas. Begitu juga Dayyan. Tidak lama kemudian, mereka saling berbalas pandangan sebelum masing-masing bertempik serentak.

“Lari!” 

Sebaik sahaja pintu helikopter terbuka, tanpa amaran tembakan terus dilepaskan secara rambang dari senjata api jenis mesingan. Berpuluh-puluh das peluru di tuju ke arah Basit dan Dayyan. Penduduk awam yang berada berhampiran mereka juga turut terkena termpiasnya.

Tak jauh dari mereka, kelihatan seorang perempuan bertopi putih sedang berdiri tegak sambil menyaksikan adegan tersebut disebalik batang pokok. Rahangnya bergerak-gerak sedikit tanda dia benar-benar menikmati pemnadangan itu. Ah, dia benar-benar teruja! Pasti salah seorang daripada mereka sudah berkecai tubuhnya dikerjakan. Setelah dihujani puluhan das peluru yang disasarkan pada mereka.

“Atau mungkin… Kedua-duanya sekali sudah mampus.” Dia tertawa perlahan. Langkahnya segera diatur meninggalkan tempat itu dengan hati yang senang. Sekali tersilap langkah, pasti kehadirannya akan disedari oleh mata-mata pengintip yang berada di sekitar kawasan itu. 

Keesokan harinya, berita mengenai kematian waris utama keluarga Alfian terpampang besar di muka depan akhbar-akhbar tempatan. Lebih mengejutkan, suspek utama yang terlibat dalam merancang pembunuhan waris utama tersebut turut melibatkan ahli keluarga Alfian sendiri, iaitu waris kedua keluarga itu yang bernama Basit! Kini, suspek telah ditangkap dan ditahan reman. Negara Magnolia mula gempar setelah Basit mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan. Basit telah dibawa ke mahkamah lalu diputuskan oleh pihak hakim agar dijatuhi hukuman maksimum 20 tahun penjara berserta sebatan.














Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Suhailah Selamat