Home Novel Cinta The Witness
The Witness
Suhailah Selamat
1/10/2021 14:16:33
310
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Prolog

‘Zret!’ Langsir yang menutupi jendela wad persendirian itu ditarik ke tepi oleh jururawat yang bertugas. Bilik tersebut yang sebentar tadi gelap kini mula terang dengan cahaya matahari yang memancar dari luar.

Affiyah yang sedang terlena di atas katil perlahan-lahan mula tersedar. Matanya yang silau terasa sukar untuk dibuka. Akhirnya, gadis itu sekadar terkebil-kebil sambil memandang ke siling bilik. 

Sekali lagi mimpi itu datang mengganggu lenanya. Mimpi di mana dia dikejar oleh seorang lelaki berhoodie hitam. Setiap kali lelaki itu mendekatinya, pisau di tangan sentiasa berada dalam posisi bersedia untuk menyerang.

“Apa salah aku…?” bisiknya seorang diri. Matanya kembali dipejam rapat. Affiyah cuba mengusir jauh mimpi ngeri tersebut yang sering datang mengganggu lenanya, tanpa mengira siang dan malam. Walaupun dia sudah sedikit terbiasa, sedikit-sebanyak ia tetap menganggu prosesnya untuk sembuh.


Ketika Affiyah mula terlena, pintu bilik kelihatan dibuka seseorang dari luar. Lelaki itu tidak henti-henti tersenyum sambil mencium bunga di tangan. Bunga ros putih, bunga kegemaran Affiyah.

“Shhh!” Susan segera meletakkan jari telunjuknya ke bibir. 

Langkah Riqz serta-merta terhenti di pintu masuk. Kepalanya yang menunduk ke bawah segera diangkat ke atas. Lelaki itu yang masih terkejut sekadar termangu-mangu memandang wajah garang Susan. Setelah beberapa saat barulah dia berjaya menangkap maksud yang ingin disampaikan wanita bertubuh kecil itu.

“Okay.” Kedua-dua tangan diangkat separa dada ke atas. 

Susan mengenyit mata sebelum beredar dari situ. 

Rizq yang sudah mengambil tempat di sebelah Affiyah mula termenung. Wajah lesu Affiyah dipandang penuh simpati. Apalah dosa yang dilakukan oleh adiknya sehingga hidupnya berubah jadi begini. Kehilangan Encik Akif dan Puan Leia secara serentak. Tidak ingat apa-apa kerana amnesia.

Tangan Affiyah dicapai, lalu diramas dengan lembut. Sesekali gadis itu meracau-racau menyebut sesuatu yang tidak jelas.

“Affy…,” panggil Rizq tanpa suara. Sejak Affiyah tersedar dari koma, begitulah keadaannya setiap hari. Senyuman Affiyah sudah tidak seceria dulu. Rizq sedar beban yang berada di bahu Affiyah terlalu berat untuk dia pikul seorang diri. Apakan daya, dirinya hanya mampu memberikan kata-kata semangat kepada Affiyah agar gadis itu terus kuat dan tidak patah semangat. 

“Kasihan adik aku,” bisiknya lagi.

Sementara itu, kisah ‘semalam’ kembali menghantui mimpi gadis itu. Mimpi yang tidak pasti sejauh mana kebenarannya. Kerana ia hanyalah sekadar sebuah mimpi, tidak ada yang mampu mengesahkan kesahihannya. 

Benarkah gadis muda yang muncul di dalam mimpinya itu benar-benar dirinya di masa lalu? Jadi, kenapa dirinya diburu oleh lelaki misteri itu? Kesalahan apakah yang dia telah lakukan sehingga dia mesti dibunuh!

“Jangan… Jangan bunuh aku!” Peluh dingin mula memercik keluar di dahi. Nafasnya tersekat-sekat menahan takut yang amat.

Seperti selalu, yang mampu Rizq lakukan hanyalah mengusap kepala dan dahi Affiyah. Jika boleh, Rizq ingin mengusir jauh mimpi buruk yang sering menghantui tidur gadis itu. Lalu mengusir jauh kisah silamnya yang terlalu tragis untuk diingati.

Kalaulah dia boleh menggantikan tempat Affiyah, sudah lama dia melakukannya asalkan ia dapat mengurangkan rasa sakit yang ditanggung oleh gadis itu. 

“Rizq janji akan setiasa ada dengan Affy. Affy jangan takut lagi, ya…” Dahi Affiyah dikucup dengan linangan air mata. 

Sayang sekali, kata-kata itu tidak mampu memberi ketenangan kepada Affiyah. Maka, yang mampu dilakukan hanyalah bertahan dan terus berharap agar suatu hari nanti mimpi itu tidak lagi menganggu hidupnya.



-FP-

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Suhailah Selamat