Home Novel Cinta Dear First Love
Dear First Love
Suhailah Selamat
7/2/2020 23:36:57
227
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Prolog

Sebaik sahaja loceng tamat sekolah berbunyi, Myria terus berlari keluar dari kelas lalu langkahnya dituju ke Perpustakaan Mini Harmoni yang terletak di tingkat dua bangunan sekolah. Bangunan lama itu terletak di hujung kawasan sekolah dan bersebelahan dengan hutan simpan. Kedudukannya yang agak terpencil dari bangunan lain menyebabkan tempat itu jarang sekali dikunjungi oleh para pelajar biarpun pada hari minggu mahupun musim cuti persekolahan.

‘Krek! Krek!’ Bunyi pintu kayu ditolak jelas kedengaran sehingga ke hujung koridor. Pintu perpustakaan yang sudah lama dan usang. Menyebabkan pintu tersebut akan berbunyi setiap kali ia dibuka atau ditolak. 

Wajah Myria mula terjengul di muka pintu. Bibir mugilnya pantas mengukir senyuman sebaik sahaja terpandangkan figura Cikgu Gayatri di kaunter perpustakaan. Tangan wanita itu serta-merta terhenti dari menulis sebaik sahaja dia mendengar bunyi kuat dari arah depan.

“Oh, kamu rupanya Myria.” Cikgu Gayatri bingkas bangun dari duduknya. Kertas-kertas yang berselerak di atas meja kaunter disusun sebelum diletakkan di dalam bakul khas.

“Cikgu dah nak balik ke?” soal Myria yang sudah tercegat di hadapan kaunter perpustakaan.

“Ya, hari ini cikgu terpaksa pulang awal. Ada hal keluarga,” maklum Cikgu Gayatri sambil tersenyum kelat. Rasa sedikit terkilan kerana tidak berkesempatan untuk berbual lebih lama dengan Myria seperti selalu.

Myria sekadar menganggukkan kepala. Wajah cerianya tiba-tiba bertukar mendung. 

Faham akan maksud disebalik pandangan sayu gadis itu. Cikgu Gayatri terus menepuk bahu Myria sambil melepaskan tawa kecil.

“Oh, lupa pula cikgu nak beritahu. Dalam pukul 1 lebih nanti akan ada seorang pengawas perpustakaan yang akan datang bertugas untuk menggantikan tempat cikgu. So, kalau Myria nak pinjam buku. Tunggulah sampai pengawas tu sampai, ya.”

Wajah muram Myria kembali ceria. 

“Okay, cikgu. Terima kasih!” Dia juga sama seperti Cikgu Gayatri. Sedih kerana Cikgu Gayatri tidak dapat menemaninya di sini seperti selalu. Tapi, apa boleh buat. Cikgu Gayatri ada urusan lain yang tidak boleh dielakkan.

Ah, tak kisahlah! Asalkan dia dapat pinjam buku-buku yang best. Dah cukup baik, bisik Myria sekadar memujuk hatinya yang galau.

Myria melangkah penuh semangat menuju ke barisan rak yang menempatkan pelbagai jenis buku fiksyen di sudut sebelah kiri. Mujurlah buku-buku yang ditempatkan di situ telah dipisahkan mengikut kategori masing-masing. Tidaklah Myria kalut mencari buku yang diingininya yang kadangkala bercampur dengan buku dari genre lain.

Sudut perpustakaan tersebut telah dibahagikan kepada dua bahagian mengikut kategori buku. Bahagian sebelah kiri merupakan barisan rak buku jenis fiksyen. Di sebelah kanan pula untuk buku jenis bukan fiksyen termasuklah bahan-bahan ilmiah.

Setiap hari isnin, akan ada buku baru yang disusun di barisan rak pertama. Dan Myria juga merupakan satu-satunya pelajar Sekolah Menengah Harmoni yang akan meminjam buku baru tersebut. Biarpun kadangkala kelasnya habis lambat. Myria sanggup pulang lewat ke rumah. Semata-mata nak pinjam buku baru tersebut untuk dibawa pulang ke rumah.

Entah kenapa biarpun Perpustakaan Harmoni jarang dikunjungi oleh para pelajar. Buku-buku baru di yang berada di bahagian rak fiksyen selalu sahaja tiada di tempatnya. Apabila disemak dalam sistem rekod buku pinjaman, buku tersebut telah dipinjam oleh pelajar lain! 

Disebabkan itulah Myria sering bergegas ke sini semata-mata untuk memastikan buku baru yang diminatinya itu tidak dikebas pelajar lain! Tidak sebelum dia yang membacanya terlebih dahulu! Bukan dia tak boleh pinjam di lain hari. Cuma, dirinya sahaja yang kurang sabar. Tempoh pinjaman dua minggu. Sanggup ke dia bersabar selama itu. Rasanya tidak…

Sambil matanya sibuk memerhati deretan buku yang siap disusun mengikut abjad judul buku. Dia cuba mengingati nama si peminjam buku tersebut… Nama yang cantik dan agak unik baginya…

Myria tersenyum sendiri. Buku bertajuk ‘Cinta Pandang Pertama’ karya Asyura Lim berjaya menarik perhatiannya. Siapa yang tidak kenal dengan nama itu. Penulis muda yang kebanyakan karyanya termasuk dalam kategori bestseller setiap kali diterbitkan. Malah, bukunya turut diulang cetak beberapa kali kerana di kedai buku sering sahaja kehabisan stok.

“Ah…” Myria tersentak tatkala tangannya tersentuh sesuatu yang agak kasar dan sejuk. Jari jemari milik seseorang yang disentuh tanpa sengaja itu turut terkaku di tempat yang sama. 

“Maaf,” ucap suara garau itu sambil mengalihkan tangannya pada buku tersebut. Myria juga begitu.

Serentak, mereka menoleh ke arah yang sama dan saling berpandangan sesama sendiri hampir 1 minit lamanya.

‘Dup dap dup dap.’ Degupan jantung gadis itu mula tidak keruan. Myria seakan tergamam. Seluruh tubuhnya menggeletar secara tiba-tiba.

“Errr… Tak apa… Ab… Abang Alex.” Cepat-cepat dia menekup mulutnya dengan kuat. Alamak, habislah dia! Dia tersebut nama lelaki itu tanpa sengaja! 

Lelaki itu tetap memandang ke arah Myria dengan riak wajah yang kosong. Langsung tidak terkejut apabila gadis itu tahu namanya walaupun mereka tidak pernah kenal. Atau sebaliknya?

“Kita pernah kenal ke? Kalau tak, macam mana kau boleh tahu nama aku.” Pelajar lelaki yang bernama Alex Kim itu berterusan memaku pandangannya pada wajah panik gadis itu.

“Tak…,” balas Myria secara spontan. Dengan nada suara yang sengaja ditinggikan.

“So, macam mana kau boleh tahu nama aku…” Selagi dia tak dapat jawapan yang diinginkan. Jangan haraplah mulut lelakinya akan berhenti dari terus bertanya!

“Saya tahu nama abang dari… Errr… Dari…”

“Dari siapa?” Mata kuyu Alex Kim sudah bertukar lembut. Tidak tajam dan keras seperti tadi. Tiba-tiba dia rasa kasihan pula melihat keadaan Myria yang sedang menggelabah tidak tentu pasal.

Myria mengetap bibirnya kuat. Pandai sungguh Alex Kim bermain dengan psikologi orang. Sampaikan Myria yang sering mendapat jolokan ‘kutu buku’ dan ‘mulut murai’ dalam kalangan rakan sekelasnya terus bertukar jadi gugup!

“Dari buku log perpustakaan.”

“Haaa?” Alex Kim sedikit terpinga-pinga.

“Sebab saya sukakan abanglah saya sanggup…! Opsss!” Mata Myria terbuntang luas. Dia sendiri terkejut mendengar jawapan yang keluar dari mulutnya sesaat tadi. Hai, mulut. Kenapalah kau lancang sangat hari ni!

“Oh…” Lambat-lambat Alex Kim tersenyum penuh sinis. Senyumannya melebar sampai ke hujung telinga. Paling menjengkelkan, tawa lelaki itu juga kedengaran sinis.

“Kenapa awak ketawa macam tu?” Marah Myria yang sudah mula diserang perasaan jengkel.

“Hehehehehe…..” 

“Diam!”

“Hehehehehe….”

“Diam!!!” Myria terguling-guling di atas katil. Dia terus berguling, berguling dan berguling dalam keadaan mata yang terpejam rapat.

Pap! Myria jatuh tersembam di tepi katil. Dalam keadaan separuh sedar, telinganya dapat mendengar dengan jelas bebelan Puan Marwah. Begitulah rutih harian mamanya setiap pagi. Suka sangat membebel gara-gara dia terbangun lambat!

Myria menyandarkan kepalanya di tepi katil. Mimpinya sebentar tadi benar-benar mengundang pelbagai perasaan dalam hatinya. Sedih, benci, rindu dan… Sayang bercampur-baur menjadi satu.

“Alex Kim…,” serunya bersama tangisan. Saat ini betapa dia rindukan lelaki itu. Mata Myria kembali tertutup rapat. Serapat-rapatnya agar rasa kesakitan itu tidak terlalu dirasai. Tanpa sedar, ada air mata yang mengalir di pipi mulusnya.

“Abang Alex…,” serunya dalam sendu.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Suhailah Selamat