BAB 1
“Black coffee,” ujar Khaira kepada pelayan yang bertugas di bahagian kaunter depan. Kafe Broz Coffee baru sahaja dibuka. Kerusi dan meja masih belum siap disusun lagi. Waktu pun masih pagi lagi. Pukul 7.00. Namun, Khaira sudah pun tercegat di situ memesan kopi kegemarannya.
“Errr… Boleh cik tunggu sebentar? Kami baru aje nak buka kafe ni. Kemas pun belum,” maklum pelayan berkemeja biru putih itu dengan wajah yang serba-salah.
“Tak apa. Saya boleh tunggu.” Khaira melemparkan senyuman hambar sebelum berlalu ke sudut tepi luar kedai. Kebetulan, terdapat bangku kayu di situ. Kakinya pantas diayun mendekati kerusi tersebut lalu punggungnya dilabuhkan di atasnya.
Sambil mendengar lagu kegemaran melalui earphone, mata Khaira ligat memandang ke sekeliling. Skrin besar yang terpampang di hadapan matanya dipandang sekilas lalu. Khaira kurang berminat dengan siaran berita pagi yang sedang memaparkan berita-berita berkaitan isu semasa negara Magnolia. Apatah lagi yang berkaitan dengan dunia politik tempatan. Maklumat yang disampaikan hampir kesemuanya yang baik-baik sahaja. Yang buruk-buruk, awal-awal lagi sudah diedit keluar oleh pihak editor berita. Begitulah dunia…
Dia tersenyum sinis. Semuanya nampak palsu di mata gadis itu.
“Kopi, cik.” Pelayan yang bernama Ara muncul secara tiba-tiba di hadapannya. Sebiji cawan putih berlapikkan piring di bawahnya dihulur penuh sopan di hadapan Khaira.
Khaira tersentak. Pantas, dia menarik keluar earphone dari telinganya.
“Terima kasih.” Khaira menunduk sedikit sebelum menyambut huluran cawan tersebut. Perlahan-lahan dia menghirup air tersebut penuh nikmat.
Selalunya, tiap-tiap pagi Datin Freya lah yang akan sediakan secawan black coffee untuknya sebelum bertolak ke pejabat. Mulai semalam, selama sebulan wanita itu tidak ada di rumah atas urusan kerja. Jadi, terpaksalah Khaira ke Kafe Broza Coffee bagi melepaskan ketagihnya. Bukan Khaira tidak ada pembantu rumah. Ada! Tapi, kopi yang pembantu Indon itu buat tak sesedap black coffee buatan mama!
Dato’ Fendy pun sama juga. Sibuk memanjang di pejabat. Nak nampak batang hidung dalam sehari dekat rumah pun susah! Bukannya si Aimar, satu-satunya abang yang dia ada tidak menolong di pejabat. Cuma, Dato’ Fendy ni ada satu perangai dan kebiasaan yang buat dia susah nak percaya pada orang lain. Walau pun terhadap darah daging sendiri! Entah apa yang ayahnya kejarkan sangat. Harta menimbun pun nak buat apa kalau masa untuk anak-anak tak ada.
Pagi tadi dia sempat mogok tak nak makan sarapan gara-gara Datin Freya senyap-senyap keluar tanpa berjumpanya terlebih dahulu. Sebulan bukannya sekejap, okay! Kasihan, Aimar. Tak pasal-pasal lelaki itu kena penampar. Habis bekas tapak tangan Khaira melekat di pipi mulus lelaki berkulit cerah itu. Itulah, siapa suruh gatal sangat usik dia pagi-pagi buta. Siap panggil dia minah cengeng lagi. Kan dah makan penampar!
Hirupan Khaira yang entah kali ke berapa serta-merta terhenti. Seluruh tubuhnya pegun memandang ke arah skrin. Wajah seorang lelaki yang terpampang jelas di skrin besar itu berjaya menarik perhatiannya. Telinganya dipasang untuk mendengar lebih teliti.
‘… Bin Alfan telah dibebaskan pagi tadi setelah hampir 10 tahun anak kepada bekas pengusaha terkenal itu dimasukkan ke dalam penjara atas tuduhan cubaan membunuh dan memberontak….’
“Cik?”
Khaira tersentak.
“Errr… Ya?” Khaira tersentak. Cepat-cepat kepalanya dipusingkan ke sebelah kanan.
“Cik nak sarapan dulu? Kalau cik nak sarapan yang ringkas-ringkas…”
“Ini duitnya. Terima kasih.” Sekeping not RM 20 dihulur kepada Ara.
Khaira menarik beg sandangnya dan terus berlari menuju ke stesen komuter. Ada tempat yang ingin dia tuju saat ini.
Lelaki itu berdiri pegun di hadapan sebuah kubur. Memandang tanpa perasan kubur saudara lelakinya yang telah mati di pertengahan sengketa di antara dua keluarga yang begitu tamakkan harta dan kekuasaan. Tiada lagi air mata yang mengalir melainkan rasa dendam yang semakin berbuku di dalam hati. Rambut panjangnya bergerak-gerak ditiup angin.
Baju kotnya dirapatkan ke dada. Kesejukan semakin mencengkam hingga ke tulang. Mungkin juga musim salji sudah hampir tiba. Sepanjang tempoh 20 tahun, lelaki itu tinggal di sebalik birai besi yang berdindingkan batu konkrit. Empat musim silih berganti. Begitu juga siang dan malam. Tanpa dia sedari, hampir 20 tahun dirinya berada di situ. Menjalani sisa-sisa hidup yang bagaikan tidak berpenghujung.
Namun, sedingin-dingin tempat itu, dingin lagi hati lelakinya. Matanya mula beralih memandang kubur di sebelah saudara lelakinya.
“Khai…”
“Ayah,” seorang lelaki bertubuh tegap datang menyapa. Seterusnya, mematikan lamunan lelaki berusi 40-an itu.
Perlahan-lahan lelaki itu menoleh ke belakang. Bertentang mata dengan si anak yang tetap setia berada di sisinya ketika suka mahupun duka, saat jatuh dan bangunnya. Selain daripada isterinya yang telah pergi buat selama-lamanya. Lebih malang, wanita itu ‘pergi’ tanpa sempat menatap wajah permata hati mereka… Bukti cinta yang utuh si isteri buat sang suami…
Sebaik sahaja pintu terbuka secara automatik, Khaira melompat keluar dari ruangan komuter lalu berlari menuju ke tangga. Habis semua orang dilanggarnya. Hingga Khaira sendiri hampir terjatuh. Mujurlah tangannya sempat berpaut pada besi penghadang tangga.
Orang ramai yang berkerumun di hadapan sebuah bangunan berjaya menarik perhatian Khaira. Langkahnya serta-merta terhenti. Skrin besar yang terpampang di bahagian atas bangunan ditenung lama. Sebenarnya di mana-mana kawasan bandar ada diletakkan skrin besar tersebut. Bagi memudahkan sebarang informasi penting disebarkan kepada rakyat.
‘Majlis Kerjasama Strategik yang melibatkan dua pemegang kuasa ekonomi terbesar negara bakal berlangsung sebentar sahaja lagi. Di harap para hadirin bawa bertenang dan lebih bersabar…’ Suara pengatur acara jelas berkumandang meredakan suasana. Majlis yang hanya dihadiri oleh tetamu berstatus VVIP.
Melalui skrin besar yang sedang menyiarkan siaran secara langsung, kelihatan dua orang pemuda jalan beriringan masuk melalui pintu utama ke dalam dewan besar. Para tetamu VVIP dari kedua-dua belah pihak mula bangun dari tempat duduk masing-masing sebagai tanda hormat. Buat seketika suasana dewan gamat dengan tepukan gemuruh dan sorakan semua yang hadir.
Masing-masing dikawal ketat oleh beberapa pengawal peribadi yang berpakaian serba hitam.
Khaira masih khusyuk memandang pada skrin besar tersebut. Dia tertarik pada satu susuk tubuh yang sedang berdiri disebalik pintu utama. Seolah-olah kehadirannya di situ tidak disedari oleh sesiapa. Termasuklah yang menjaga pintu utama di bahagian luar dan dalam. Mungkinkah orang itu mempunyai kuasa halimunan? Sehinggakan boleh mengaburi mata orang ramai? Termasuklah penonton di luar sana! Tetapi, kenapa hanya dia seorang yang boleh melihat lelaki itu? Aneh sekali…
Mata Khaira membuntang besar tatkala lelaki itu mula mengeluarkan senapang jenis sniper dari dalam baju kutnya. Cahaya laser merah kini mula mencari-cari sasarannya. Dalam sekelip mata, lampu dewan tiba-tiba terpadam. Yang kelihatan hanyalah cahaya berwarna merah itu. Tiada sebarang bunyi yang kedengaran. Masing-masing diam membisu mengamati keadaan sekeliling yang gelap-gelita. Mereka sangkakan itu sebahagian daripada gimik semata-mata.
‘Pap!’ Keadaan dewan yang gelap kembali terang.
“Arghhh!” Serentak itu, suara jeritan kedengaran bergema di sana sini. Bersahut-sahutan bagaikan tiada kesudahan. Mereka benar-benar dalam ketakutan setelah melihat keadaan salah seorang daripada pemuda itu yang telah ditembak di bahagian perutnya. Lalu, menghasilkan satu lubang yang agak besar di bahagian tengah. Darah mencurah-curah keluar seperti air paip hingga membasahi permaidani putih yang terhampar indah di atas lantai. Mereka mula sedar yang itu bukan gimik. Tetapi, sebuah pembunuhan terancang!
Nubhan yang merupakan cucu lelaki sulung Tan Sri Alfian berdiri kaku di tempatnya. Perlahan-lahan tubuhnya berpaling menghadap ke sisi. Memandang wajah wanita kesayangan yang berdiri tidak jauh darinya.
Sesaat, mereka berbalas pandangan. Perlahan-lahan raut wajah pucat wanita itu bertukar kepada sinis. Tubuh Nubhan terjelopok jatuh ke lantai dalam keadaan mata yang terbuka luas. Jauh di sudut hati kecilnya, dia benar-benar kecewa. Orang yang paling dia sayang dan rapat akhirnya telah berlaku khianat terhadap dirinya dan seluruh ahli keluarga mereka. Wanita itu bagaikan duri dalam daging…
Mulutnya bergerak-gerak seperti sedang mengatakan sesuatu. Jari-jemarinya mula bermain-main di atas lantai yang sudah dipenuhi dengan darahnya sendiri. Mengukir lambang utama keluarga Alfian. Lalu, meleraikan kunci dan membuka ‘pintu’ itu demi mengubah sebuah takdir dan perjalanan hidup mereka… Sekali lagi!
‘Aku bersumpah atas nama keturunan keluarga Alfian. Sesiapa yang berlaku khianat mahupun telah menumpahkan darah keturunan keluarga ini dengan sengaja. Walau pun hanya setitis darah, dia tidak akan sesekali terlepas daripada menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatan khianatnya itu…’ Mata merah Nubhan bertukar putih sepenuhnya. Jasadnya mula kaku tidak bernyawa. Kematiannya bukan kematian biasa-biasa. Dia mati dengan meninggalkan sumpahan ber ‘nyawa’ yang bakal dilunasi tidak lama lagi.