MATAHARI
sudah pun segalah di atas kepala. Rumpun buluh yang menjulang tinggi
dan melentur hujungnya bagaikan menari-nari ditiup angin yang
sesekali menderu. Bayangnya melindungi sebuah pondok usang yang masih
kukuh berdiri daripada terik
mentari.
Di
atas serambi, ada seorang tua berkain sarung kelabu lusuh duduk
bersila. Rambutnya sudah beruban dan jarang-jarang, tetapi panjang.
Suasana redup begini begitu menyenangkan tatkala jari-jemarinya yang
sudah berkedut menguliti sebatang seruling buluh. Mendayu iramanya
ditiup si tua.
Bagaikan
batang kail ditarik ikan, sebatang buluh daripada rumpunan yang
berceracak ke langit itu melentur lebih jauh ke bawah. Ada seorang
pemuda berbaju Teluk Belanga merah dan berseluar sedondon dengan
berikat kain sarung di pinggang sedang berjejak di hujung pucuknya,
bagaikan rajawali yang terbang dan hinggap di dahan. Rambutnya yang
panjang lurus separas kepala bahu terbuai-buai ditiup angin. Wajahnya
bersih dan berkulit cerah. Matanya hitam tajam merenung ke serambi
pondok itu.
“Bertempiaran
semua unggas rimba mendengar tiupan seruling atuk.” Pemuda itu
mengusik si tua yang masih asyik dengan serulingnya. Terhuyung-huyung
pemuda itu mengimbangi badan apabila buluh yang dijejaknya itu
dilanda angin.
“Turun,
nanti ada yang melihat!” marah orang tua itu.
Pemuda
itu tertawa kecil, mungkin gembira dapat mengusik atuknya. Lantas dia
terjun ke bawah dengan memutarkan tubuhnya dan memijak tanah dengan
perlahan. Ligat umpama gasing, lembut umpama kapas melayang.
“Tiada
sesiapa di tengah hutan ini. Hanya kita berdua sahaja bagaikan kera
sumbang hidup terpisah.” Pemuda itu membuka capalnya dan naik ke
serambi mendekati atuknya dan bercangkung di belakang orang tua itu.
“Bayu,
kamu fikir tiada sesiapa memasuki hutan ini? Orang kampung di luar
sana tidak perlu mencari kayu api? Mencari akar-akar kayu? Tidak
mengidam daging pelanduk ataupun ayam hutan?” Atuknya menjeling.
Bertalu-talu bicaranya mengingatkan cucunya, Bayu Adi Jata.
“Janganlah sangka kita jauh dari orang bermakna kita terasing,”
sambungnya lagi sebelum meletakkan semula seruling di bibir.
Sejak
kecil lagi Bayu tinggal bersama atuknya,
Gelora Singara Jata di tengah-tengah rimba itu. Dia tidak pernah
mengenali wajah ayah dan ibunya. Orang tua itu sahajalah yang dia
ada. Orang tua itulah ibu dan bapanya. Tetapi dia tidak pernah tahu
mengapa mereka perlu hidup terasing di tengah rimba. Bagai ingin
merahsiakan kewujudan. Malah, dia juga dilarang menunjukkan ilmu
persilatan yang dipelajarinya.
Pernah
juga dia bertanya sebabnya mereka mengasingkan diri. Namun, tiada
jawapan yang pasti diterima. Cuma alasan ‘tidak mahu diganggu’
sahaja yang diberikan orang tua itu. Walaupun jauh di tengah rimba,
sesekali dia akan keluar ke kampung berdekatan untuk membeli
barang-barang keperluan dan menjual kayu api, seperti hari ini.
“Bayu,
di mana pengat pisang atuk pesan tadi?” tanya orang tua itu.
Seruling
diletakkannya ke sisi. Seruling itu bergolek-golek lalu terhenti
kerana tersekat pada celahan kepingan papan lantai serambi.
Bayu
menunjukkan bungkusan daripada daun keladi yang diikat dengan tali
yang dibuat daripada kulit batang pisang kering, tergantung di
pinggangnya. Gelora berpusing menghadap cucunya dan menghulurkan
tangan untuk mengambil bungkusan itu. Bagaimanapun sebelum tangannya
menyentuh bungkusan itu, Bayu segera melompat ke belakang dan
berjejak di hadapan tangga. Dia mengenakan capalnya lalu berundur ke
halaman.
“Kamu
nak bermain?”
“Atuk
cubalah,” Bayu tersenyum. Dia tunduk dan mendepangkan tangan,
bagaikan menanti cabaran.
Gelora
turut melompat ke halaman dan berdiri menghadapi cucunya.
Ketangkasannya membuktikan si tua ini bukanlah calang-calang. Usia
bukan ukuran.
Begitulah
kelakuan mereka. Selalunya Bayu yang merebut barang daripada atuknya,
tetapi kadang-kadang apabila kelebihan memihak kepadanya, atuknya
pula yang terpaksa merebut. Ada tujuannya Gelora mendidik Bayu
begini. Biar cucunya tahu, bukan mudah mahu mendapat apa yang
dihajati, biarpun ia jelas terpampang di hadapan mata. Ini juga
caranya bagi menguji kemajuan ilmu persilatan yang diperturunkan
kepada cucunya itu.
Suasana
hening seketika. Gelora menarik nafas dalam-dalam, matanya merenung
tepat ke mata cucunya. Mulutnya menutur lafaz bismillah. Dia
melepaskan sedikit nafas dan terus menyerbu ke arah Bayu. Cucunya
yang sudah pun bersedia dalam kuda-kudanya mengelak serbuan itu.
Tetapi serangan atuknya bukan setakat itu sahaja. Dia bergerak pantas
ke rusuk dan cuba merampas bungkusan di pinggangnya. Bayu segera
berundur dan datuknya berputih mata.
Tetapi
Gelora belum lagi mahu mengalah. Mereka berbalas jurus tempur tangan
sebelum orang tua itu tiba-tiba merebahkan tubuhnya untuk menyerang
bahagian kaki Bayu. Seolah-olah dapat membaca pergerakan datuknya,
dengan pantas Bayu melompat mengelak. Disebabkan serangannya tidak
menjadi, Gelora berundur bagi mengatur langkah dan nafasnya semula.
“Bagus!
Gerakan kakimu semakin baik,” puji Gelora.
“Atuk
pula semakin lambat,” Bayu mengusik atuknya
lagi. Dia mengambil kesempatan itu untuk memperkemaskan kuda-kudanya
dan mengawal alunan pernafasan.
Dengan
bibirnya tersenyum simpul, Gelora sekali lagi menyerang cucunya. Bayu
tahu makna senyuman itu. ‘Pasti atuk ada muslihat,’ fikirnya. Dia
tahu, dia perlu lebih berwaspada.
Mereka
meneruskan tempur jarak dekat. Kali ini Gelora langsung tidak mencuba
untuk merampas bungkusan itu dan membuatkan Bayu hairan. Namun,
teka-teki yang bermain di kepala terjawab sejurus kemudian apabila
atuk mula membaca mantera:
“Tunjang
berpasak tegak berdiri,
kaki
berpijak bertemu bumi,
melata
urat segenap sendi,
menjalar
mencengkam pasung pasak bumi!”
Seraya
dengan lafaz perkataan akhir, Gelora dengan pantas berundur dan
menghentak kakinya dengan kuat ke tanah.
“Atuk,
atuk!” Bayu menggeleng-geleng. “Apakah atuk lupa Bayu memakai
capal kulit kijang putih? Atuk sendiri yang berikan kepada Bayu
dulu.”
“Memang
atuk tahu ilmu jurus Pasung Pasak Bumi tidak dapat meresap
melalui kulit kijang putih. Mana-mana ilmu paku badan tidak akan
berkesan jika tubuh dan bumi di alas dengan kulit itu. Tetapi, apa
benarkah kamu masih memakai capal itu?” Datuknya tersenyum sumbing.
Bayu
terperanjat apabila mendapati dia hanya beralaskan daun-daun kering
di bawah telapak kakinya. Bayu memandang datuknya. Dengan bersahaja
datuknya menunjukkan capal kulit kijang putih yang terselit pada kain
sarung di belakang pinggang.
“Mana
mungkin! Atuk bermain jurus Tangan Ular merampas capal saya?
Atuk pernah berkata jurus itu hanya untuk pencuri. Tak patutlah atuk
menggunakan jurus itu!” Dia berteriak merungut. Tubuhnya tidak lagi
dapat bergerak, kecuali bahagian lehernya ke atas. Mangsa jurus
Pasung Pasak Bumi hanya mampu bercakap.
“Dalam
perebutan nyawa semua ini tidak diambil kira. Atuk mengajar kamu dari
segi tatasusila. Jika musuh berundur secara tiba-tiba, segeralah kamu
periksa tubuh kamu. Mungkin dia mencuri barang ataupun melekatkan
azimat ataupun tangkal pada kamu. Jangan memandang rendah pada musuh
yang kelihatan lemah.” Atuknya
berhujah dan Bayu pula mencemik muka.
Dia
teringat kembali semasa atuknya
cuba menyerang bahagian kakinya dan tiba-tiba berundur, berpura-pura
hendak mengatur nafas. Itulah ketikanya atuk
merampas capal dengan jurus Tangan Ular. Jurus yang
mementingkan kepantasan dan kelicikan pengamalnya. Jurus yang secocok
bagi pencuri.
Gelora
mendekati cucunya dan menepuk-nepuk kepala. “Ingat pesan atuk.”
Dia mengambil bungkusan di pinggang Bayu dan kembali naik duduk
bersila di serambi.
“Atuk!
Batalkanlah jurus ni! Lenguhlah!”
“Hukuman
bagi yang tewas!” Gelora kemudiannya tertawa riang dan tidak
mempedulikan cucunya itu. Dia membuka bungkusan di tangan. Raut
wajahnya kemudian berubah apabila melihat isi kandungannya.
“Di
mana daun rokok dan tembakau atuk? Kamu terlupa lagi?”
“Ada!”
Bayu tersenyum nakal kerana ada peluang baginya. “Atuk bebaskan
saya dahulu, nanti saya serahkan.”
“Bijak
kamu, ya?” Gelora menghulurkan kakinya ke tanah dan menghentakkan
tumit. Jurus terbatal dan Bayu dapat bergerak semula.
“Di
mana kamu simpan?”
“Sebenarnya,
saya terlupa membelinya.” Bayu menggaru-garu belakang kepalanya
yang tidak gatal. “Sekarang jugak saya belikan!”
“Hisy,
budak ini, pergi cepat! Ambil balik capal kamu ni!” Atuknya
merungut. Capal dilemparkan ke tanah dan Bayu cepat-cepat
menyarungkannya ke kaki.
Gelora
Singara Jata tersenyum. Kadangnya tidak dapat difahami akan sifat
cucunya itu. Ilmu persilatan dan jurus-jurus yang rumit diperturunkan
semuanya dapat diingat dengan mudah. Tetapi apabila dipesan barang,
pasti ada sahaja yang tertinggal.
Bayu
bergegas meninggalkan halaman pondoknya. Perjalanan ke Kampung
Peruwa, iaitu kampung yang paling dekat memerlukan satu petang untuk
sampai jika berjalan kaki.
“Atuk
akan mengamuk jika rokoknya lambat sampai.” Bayu meninjau-ninjau
sekeliling. “Tiada jejak orang berhampiran. Bolehlah hamba guna
Langkah Lipat Bumi. Lebih cepat sampai!”
Sambil
mempercepatkan langkah mengharungi hutan, Bayu membaca mantera ilmu
deras langkah yang diperturunkan datuknya,
“Gebar
senja pemisah siang,
Larut
malam bintang beribu,
Embun
menitis di hujung daun,
Melangkah
deras lari si kijang,
Membuka
jalan arah nan satu,
Tidak
tersekat hutan merimbun.”
Bagaikan
melayang terasa tubuhnya apabila jurus terlaksana. Umpama anak panah
dilepaskan dari busurnya. Tempat yang dituju semakin hampir...
***
SEBAHAGIAN
daripada pengat pisang disimpan untuk cucunya. Gelora tunduk ke
lantai dan menghela nafas panjang, lalu udara di dalam relung dadanya
itu dihembuskan perlahan-lahan. Wajah tuanya diganggu keresahan.
“Mentari
sudah condong. Burung-burung pun sudah berlegar di sarang. Tinggal
tiga ekor tikus sahaja yang masih terhendap-hendap.” Dia itu
(delete itu) tiba-tiba bersuara. Sudah lama dia menyedari akan
ada tamu yang tidak diundang.
Tiga
susuk tubuh manusia tiba-tiba melompat keluar dari hutan belukar di
penjuru belakang pondok itu. Masing-masing berpakaian serba hitam
berdiri bagai menanti di halaman.
“Ternyata
lembing setua dan seburuk mana sekalipun, masih tetap merbahaya.
Tetapi, adakah tangkai pemegangnya masih utuh ataupun sudah reput?”
Orang yang di tengah bersuara. Tubuhnya sederhana tinggi namun tegap
susuknya. Rambutnya bergelombang besar hitam berkilat dan panjangnya
hampir mencecah bahu dibiarkan bebas. Gaya dan nadanya bersuara
menunjukkan dia ketua kepada tetamu-tetamu yang tidak diundang ini.
“Cukuplah
jika sekadar hendak memukul tiga ekor tikus yang membuat kacau,”
Gelora menyindir. Serulingnya dicapai dan digosok-gosok. Ketiga-tiga
lelaki berpakaian hitam itu tidak dihiraukan.
“Malangnya
satwa yang mengganggumu bukan tikus. Masamu telah berlalu, orang
tua!”
“Jikalau
bukan tikus, mengapa perlu tunggu sehingga orang tua ini keseorangan
baru hendak bertindak?” Gelora berhenti menggosok serulingnya dan
menjeling kepada mereka.
Seorang
daripada mereka yang berbadan gempal dan berikat kain hitam menutupi
kepala membuka langkah untuk mara tetapi ditahan oleh lelaki di
tengah. Si gempal terpaksa akur dan berundur kembali ke sisi sebelah
kiri ketuanya.
“Tugas
lebih mudah dilaksanakan sekiranya tidak banyak rintangan menghalang,
bukan?” Lelaki yang
seperti ketua mereka bertiga itu tersenyum.
“Tikus-tikus
ini seperti bertuan. Apa tujuan kalian sehingga
sanggup meredah hutan mencari orang tua ini? Apa yang tuan kalian
hajatkan?”
“Sesuatu
yang telah lama hilang daripada
dunia luar. Sesuatu yang tuan hamba sembunyikan.” Lelaki yang
berdiri di sebelah kanan sekali bersuara. Tubuhnya kurus dan tinggi
lampai. Wajahnya kelihatan cengkung dengan tulang pipi tertonjol. Dia
juga mengenakan ikat kepala daripada kain berwarna hitam. Sekali
dilihat, mereka ini kelihatan seperti sekumpulan bajak laut yang
tersesat di tengah rimba.
Bicara
lelaki kurus itu membuatkan Gelora tersentak. Perkara yang paling
ditakutinya sudah berlaku. Sesuatu yang disembunyikannya selama ini
sudah dijumpai. Dia sanggup mengasingkan diri ke dalam hutan ini pun
semata-mata untuk melindunginya.
“Masih
ada orang mengingatinya? Siapa tuan kalian? Siapa arahkan kalian
mencarinya?” Gelora memandang tepat ke arah mereka. Seruling yang
diuliti di jari-jemari diletakkan. Dia mulai resah.
“Siapa
yang mencarinya tidaklah perlu tuan hamba tahu. Serahkan sahaja
kepada kami berserta nyawamu.” Lelaki yang di tengah melangkah ke
hadapan.
Gelora
tidak dapat mengelak, mereka perlu dihalang tetapi dia sedar akan
ukuran kudratnya. Dia tahu, ini perjuangan terakhirnya. Darah
pendekarnya yang telah lama sejuk kini mendidih semula. Walaupun
harapannya yang ada bagai sinar mentari senja yang menunggu gelap
malam, namun menyerah tidak sekali!
Dia
bangun dan menanggalkan kain sarungnya. Tinggallah
sahaja celana hijau paras betis yang dipakai. Lalu, dengan
berhati-hati dia menuruni tangga menghadapi mereka bertiga.
“Negeri
kemarau panasnya membara,
keringlah
sudah air di kali,
walau
nyawa di hujung senjata,
untuk
menyerah tidak sekali!”
“Memang
orang tua keras kepala!” Lelaki yang berada di tengah terus membuka
langkah dan menyerang.
Gelora
menyambut serangan dengan tenang dan berhati-hati. Semua pukulan
dapat dielak dan ditepisnya. Tetapi apabila dua orang yang pada
mulanya hanya memerhati turut serta dalam peraduan pencak, dia mulai
kelam-kabut. Dia perlu menjarakkan diri dari penyerang-penyerangnya
untuk menyusun semula langkah. Gelora menarik nafas dengan lafaz
selawat ke atas nabi junjungan dan mula membaca mentera dengan suara
halus bisikan,
“Awan
gemulung ditolak bayu,
angkasa
merah dinoda darah,
berpusar
angin kelilingi aku,
menghembus
kencang dengan perintah!”
Gelora
Singara Jata mendepangkan tangannya. Ketiga-tiga penyerang itu
tercampak jauh ke belakang dihembus angin kencang yang tiba-tiba
bertiup hasil daripada jurus si tua itu. Darah mengalir daripada bucu
bibir dan hidung mereka, tanda ada kecederaan dalaman. Dia sendiri
pula sudah mengah. Keringatnya laju bercucuran. Jurus itu terlalu
banyak memakan tenaga tuanya.
“Hamba
tidak menyangka si tua ini masih mampu melaksanakan jurus Ribut
Hembus. Namun jangan tuan hamba memandang rendah kepada kami,
Mergastua Bertiga!” Lelaki yang tadinya berdiri di tengah seperti
ketua, digelar Musang Darat sudah hilang sabar. Lantas dia memberi
isyarat kepada rakan-rakannya untuk laksanakan serangan terakhir.
Dengan
termengah-mengah, Gelora menyusun semula langkahnya. Dia sedar,
inilah batasannya.
BAYU
bergerak pantas mengharungi rimba. Bungkusan rokok daun pucuk nipah
sudah dalam genggaman. Dia tidak mahu terlambat, pastinya datuk sudah
bermasam muka menantikan tembakau dan daun rokoknya. Setiap kali
selepas makan sahaja, orang tua itu pasti mahu merokok. Sudah puas
dia menasihatinya supaya berhenti. Namun, orang tua itu selalu
menjawab, “Atuk sudah tua, bila-bila masa boleh ‘pergi’...”
Tiba-tiba
sebatang dahan tua gugur di hadapannya dan menghalang jalan. Bayu
tersentak. Entah mengapa dadanya berdebar-debar, bukan kerana
terkejut. Apakah ini suatu petanda? Adakah sesuatu telah terjadi?
Nalurinya membisikkan suatu tidak baik akan berlaku. Hatinya
bergelumang resah. Dengan segenap kudrat yang ada, mantera Langkah
Lipat Bumi dibaca supaya segera tiba ke sisi datuknya.