Suzanna sorong troli laju-laju. Pengalaman dua tahun mengendalikan
troli yang sarat dengan dua tiga batang mop, penyapu, dan bermacam
cecair pembersih dipergunakan dengan sebaiknya. Pejalan kaki yang
agak ramai di ruang legar dalam bangunan itu dielaknya dengan cekap.
Beberapa orang yang sedang berjalan menjerit marah kerana risau
dilanggar Suzanna. Suzanna tidak peduli. Dia perlu sampai ke
checkpoint di sayap Barat bangunan dengan segera.
Terdengar bunyi berdentum yang amat
kuat dari atas bumbung bangunan. Semua orang mendongak, dan ada
berhenti berjalan. Suzanna ikut mendongak, tetapi trolinya masih laju
ke hadapan. Di atas cermin bumbung skylight
bangunan itu, dia dapat melihat sesuatu sedang menjunam turun dari
langit. Orang ramai mula menjerit panik dan lari bertempiaran.
Suzanna meramal trajektori benda yang sedang jatuh itu – 10 meter
di hadapannya, sedikit ke kiri. Dan pada titik ramalan impak benda
itu ke lantai, ada seorang lelaki memegang briefcase
sedang terkebil-kebil melihat benda di langit itu. Kakinya
terketar-ketar seperti mahu melangkah, tetapi tidak bergerak. “Oi,
lari! Apa yang kau tercegat di situ!” jerit Suzanna kepada lelaki
itu.
Lelaki itu masih tidak berganjak.
Suzanna tahu lelaki itu panik. Benda yang sedang jatuh itu sudah
merempuh bumbung skylight
dan
terus menjunam ke bawah bersama serpihan kaca dan besi – ke titik
impak ramalan Suzanna. Dia mendengus geram. Suzanna menukar haluan
trolinya ke arah lelaki itu dan menolaknya selaju mungkin. Matanya
silih ganti memandang si lelaki panik, dan benda itu – yang dia
tahu diperbuat daripada logam kerana warnanya yang berkilat dan ada
beberapa biji lampu yang menyala padanya.
Suzanna
mencongak. Dia perlukan sepuluh saat untuk menyelamatkan lelaki itu,
tetapi benda logam yang sedang jatuh itu akan menghempap lelaki itu
dalam lapan saat. Suzanna perlu lebih pantas. Benda yang jatuh itu
semakin hampir. Suzanna menjerit dan melonjak sekuat mungkin –
meluncur bersama-sama trolinya dan terus melanggar lelaki itu. Lelaki
itu menjerit dan terjelepok ke atas troli Suzanna yang terus
meluncur. Terdengar dentuman yang kuat bersama bunyi deraian kaca dan
besi skylight
yang jatuh ke lantai. Mereka nyaris-nyaris nahas! Kalau Suzanna
lambat melonjak tadi, tentu kedua-dua mereka sudah arwah. Akhirnya
troli itu terbalik tidak jauh dari titik impak dan Suzanna serta
lelaki itu jatuh berguling-guling.
Perlahan-lahan lelaki itu bangun sambil memegang kepalanya. Dia
terasa sedikit benjol pada sebelah kiri dahinya. Suzanna pula bangun
sambil mengaduh. Dia menoleh kepada benda logam yang jatuh tadi di
belakang mereka. Akhirnya dia dapat melihat benda itu dengan jelas.
Besar – hampir sebesar kereta, berwarna krom dan berbentuk bujur
seperti telur.
“Terima
kasih kerana selamatkan saya.” Lelaki itu menghampirinya dan
menghulurkan tangan.
“Kita
belum selamat,” balas Suzanna tanpa mengendahkan huluran tangan
lelaki itu. Matanya terus merenung benda itu. Lampu-lampu yang ada
padanya bercahaya tidak stabil, seperti berlaku gangguan elektrik.
Kemudian, dia seperti tersedar sesuatu. “Mana sekuriti?”
Lelaki itu menyedari ada betulnya kata-kata gadis yang
menyelamatkannya itu. Tangan yang dihulur yang tidak disambut,
perlahan-lahan dimasukkan ke dalam poket. Malu juga dia. Nasib baik
tiada sesiapa melihat. Semua orang yang berjaya menyelamatkan diri
tertumpu pada benda yang jatuh tadi. Lelaki itu melihat sekeliling,
tiada kelihatan sesiapa yang cedera. Kemudian barulah dia ternampak
beberapa orang sekuriti datang bergegas dari laluan sayap Utara
bangunan. Mereka memeriksa keadaan sekeliling dan orang ramai. Dua
orang daripada mereka mendekati benda yang jatuh dari langit itu,
mahu memeriksa.
“Suruh
semua orang keluar dari bangunan ni,” kata Suzanna perlahan apabila
melihat benda logam yang berlampu-lampu itu mula bergerak-gerak dan
mengeluarkan bunyi yang berdengung. Empat batang logam yang runcing
mula keluar dari benda itu.
“Hah?”
Lelaki itu terpinga-pinga. Mungkin kepalanya masih 'weng' kerana
terhantuk tadi.
“Semua
orang keluar dari bangunan ni!” Suzanna melaung. Lelaki itu
terkejut dengan jeritan Suzanna. Benda itu mula aktif bergerak. Ia
sedang berubah bentuk. Semua orang yang ada di situ menjerit panik
dan lari bertempiaran. Dua orang sekuriti yang sedang melihat-lihat
benda itu segera berundur. Sekuriti yang lain pula mengawal orang
ramai dan mengarahkan mereka keluar dari ruang bangunan itu.
“Lari!”
Suzanna menggesa lelaki itu dan mula berlari. Sebaik sampai ke pintu
kaca yang menghubungkan bahagian bangunan itu ke laluan ke luar, baru
Suzanna sedar yang dia keseorangan. Dia menoleh dan ternampak lelaki
itu seperti sedang mencari-cari sesuatu di tempat trolinya terbalik
tadi. “Kalau dia mati, tak ada kaitan dengan aku. Tadi aku dah
selamatkan dia, sekarang dia cari nahas sendiri,” Suzanna mengomel
seorang. Dia menolak pintu kaca dan bersama-sama orang ramai
meninggalkan ruang bangunan yang berbahaya itu.
Lelaki yang diselamatkan Suzanna tadi cemas melihat sana sini di atas
lantai. Tadi semasa sedang berlari di belakang gadis yang
menyelamatkannya, dia terperasan briefcase yang dibawanya
sudah tiada. Mesti terjatuh semasa gadis itu melanggarnya dengan
troli tadi. Jadi dia perlu mencari di antara kawasan benda yang jatuh
dari langit tadi dan troli perkakas pembersihan yang terbalik. Benda
logam yang sedang berubah bentuk itu tidak dipedulikannya. Dia
mengangkat troli alatan pembersihan yang terbalik itu – tiada. Dia
meninjau lagi. Akhirnya dia ternampak briefcase yang dicarinya
itu, berada hampir dengan salah satu tiang lengkung yang menyangga
bumbung ruangan itu. Lelaki itu berlari mendapatkannya. Ditepuk-tepuk
briefcase itu yang sudah bertompok-tompok dengan debu
runtuhan. “Janganlah rosak barang di dalam ni,” ujarnya risau.
Tiba-tiba dia terdengar bunyi dengung jentera, amat kuat di belakang.
Lelaki itu menelan liur. Dia terlupa benda yang jatuh dari langit
tadi. Dia segera menoleh. Benda itu – yang sudah kelihatan seperti
seekor labah-labah besar dengan empat kaki runcing dan dua gatling
gun di atas ʻabdomenʼ
– berada betul-betul di hadapannya. “Drone Araknid...
rupanya benda tadi drone Araknid...,” ucapnya dengan
terketar-ketar.
Dua gatling gun drone Araknid itu berpusing-pusing ke
kiri dan kanan. Kemudian ia terpaku pada lelaki itu, seolah-olah
sudah menemui sasaran. Lelaki itu memeluk briefcasenya
erat-erat, sudah rasa mahu terkencing.
“Hoi, robot jahat!” Tiba-tiba terdengar laungan kuat.
Anggota-anggota sekuriti tadi datang semula. Mereka terus melepaskan
tembakan bertalu-talu kepada drone itu. Tetapi, peluru-peluru pistol
mereka tidak dapat menembusi badan drone itu. “Cepat lari! Kami
cuba tarik perhatian menatang ni!” jerit seorang daripada mereka
kepada lelaki itu.
Drone Araknid itu menjadi agresif kerana diancam. Kaki-kaki
runcingnya diangkat satu demi satu. Berdentam-dentum bunyinya kerana
beratnya drone itu, sehinggakan lantai yang dipijaknya retak. Ia
berpusing ke arah anggota-anggota sekuriti itu. Gatling gunnya
mula berputar ligat lalu memuntahkan peluru bertalu-talu, memaksa
para sekuriti itu bertaburan lari menyorok di balik-balik tiang.
Seorang daripada sekuriti itu tidak sempat berlindung dan terkorban.
Kemudian tembakan dihentikan. Putaran laras gatling gun drone
itu semakin perlahan dan seketika kemudian berhenti. Asap masih
bersisa daripada muncung laras-larasnya. Mungkin kerana drone itu
berasa tidak lagi diancam. Ia berpusing-pusing, seperti sedang
mencari-cari. Kemudian drone itu berjalan ke arah sebuah tiang di
penjuru kiri ruang bangunan itu. Hampir dengan pintu keluar.
Lelaki yang diselamatkan Suzanna tadi sudah takut separuh mati.
Nampaknya drone itu memburunya. Nampaknya drone itu menjunam dari
langit tepat ke tempatnya berdiri tadi bukanlah kebetulan. Tetapi,
kenapa? Kerana isi kandungan briefcasenya itu? Tetapi,
bagaimana drone Araknid itu yang pangkalannya entah di mana-mana
dalam galaksi Bima Sakti boleh tahu? Sedangkan isi kandungannya cuma
dia dan profesor di universiti tempat dia bekerja sahaja yang tahu
tentangnya. Dia cuma menunggu ajal di sini. Tadi dia sudah hampir
dengan pintu keluar apabila drone itu mula menembak anggota-anggota
sekuriti tadi dengan dua buah gatling gunnya. Dia terpaksa
melencong bersembunyi di balik tiang itu kerana takut menjadi sasaran
tembakan drone itu.
Lelaki itu dapat mendengar drone itu berhenti tidak jauh daripadanya.
Dia tidak berani menjenguk melihat. Briefcasenya dipeluk erat.
Kedengaran dua buah gatling gun drone itu mula berputar dan tembakan
dilepaskan. Tembakan bertalu-talu peluru 15mm yang dimuntahkan akan
merobek konkrit tiang tempat dia berlindung dalam kurang dua minit
dan kemudian peluru-peluru itu akan menembusi tubuhnya.
Tiba-tiba pintu keluar terbuka kasar dan lelaki itu dapat melihat
gadis cleaner yang menyelamatkannya tadi menyerbu masuk membawa
bersama dua batang besi. Gadis itu terus menggelongsor masuk ke bawah
drone itu dan menghentak-hentak perut drone itu dengan batang-batang
besi yang dibawanya.
Tembakan terus dihentikan kerana ia merasakan ada ancaman lain yang
berada di bawah, pada titik butanya. Drone itu bergerak miring ke
sisi untuk mendapatkan sasaran di bawahnya. Tetapi, tindakan itulah
yang ditunggu Suzanna. Sebaik drone itu mengangkat kaki depan
kanannya, Suzanna menusukkan satu daripada batang besinya pada sendi
kaki mekanikal itu. Drone itu mula hilang keseimbangan kerana kaki
depan kanannya itu tidak dapat bergerak. Kemudian ia mengangkat kaki
depan kirinya pula, dan Suzanna menikam batang besi yang satu lagi
pada sendi kaki itu pula. Percikan bunga api meletus pada kedua-dua
kaki mekanikal itu lalu drone itu terus hilang keseimbangan. Suzanna
segera keluar dari bawah perut drone Araknid itu sebelum ia
tersungkur ke lantai dan terus diam. Asap putih nipis keluar daripada
badan drone itu.
Suzanna pergi mendapatkan lelaki yang sudah diselamatkannya dua kali
itu. Lelaki itu pucat, tersandar sambil masih memeluk erat
briefcasenya. Terus ditamparnya kepala lelaki itu. “Kau
kalau nak mati, boleh tak jangan menyusahkan orang?” Dia melihat
briefcase yang dipeluk lelaki itu. Baru dia sedar kenapa lelaki itu
berpatah balik tadi. Semasa dia menggesa lelaki itu untuk lari tadi,
briefcase itu tidak ada. “Beg tu lagi berharga daripada
nyawa kau? Nyawa diorang?” Suzanna menunjuk ke arah para sekuriti
yang sedang mengangkat rakan mereka yang terkorban. “Kau pakai kot
cantik, smart macam orang terpelajar, tapi otak tak tahu nak
susun mana prioriti!” Suzanna belum puas membebel. Memang dia
sangat marah. Apatah lagi apabila tahu ada orang yang terkorban.
“Mampus aku nak cuci semua ni....” Suzanna memerhati kerosakan di
sekelilingnya.
“Maaf... mulanya saya tak tahu itu drone Araknid. Saya tak pernah
lihat bentuk drone itu dalam mode masuki orbit. Tak semua orang tahu
bentuk tu.” Lelaki itu menunduk. Kata-katanya ikhlas. Dia memang
amat rasa bersalah. Tetapi pada masa yang sama, dia kagum dengan
gadis cleaner ini. Betulkah gadis ini kerja tukang cuci?
Uniform yang dipakainya, memang uniform tukang cuci. Tetapi
ketangkasan gadis itu, dan pilihan diksi yang digunakan ketika
memarahinya tadi, sepertinya gadis ini terlatih dan terpelajar. Dan
gadis cleaner itu tahu bentuk drone dalam mode masuki orbit planet
beratmosfera. “Drone tu memburu saya. Ia semacam tahu apa isi
kandungan beg ni,” kata lelaki itu dengan nada lemah.
“Kau... ada benda yang Araknid mahu? Macam... kau ada blueprint
alat tachyon yang berfungsi?” Suzanna berasa pelik. “Araknid tak
membabi buta serang planet kapital konsortium. Dan benda tu berjaya
tembusi atmosfera planet kapital konsortium memang nampak mereka
terdesak. Ke mana Ultra Galaktik Rayyan?”
Lelaki itu mendongak memandang gadis itu. Sah! Dia bukan gadis
cleaner biasa. Mana ada tukang cuci bercakap seperti itu.
Tachyon? Mana ada tukang cuci yang tahu mengenai teknologi tachyon.
Siapa gadis ini sebenarnya? Kenapa dia jadi tukang cuci?
Tiba-tiba mereka terdengar bunyi putaran laras gatling gun
diiringi dengung jentera yang kuat. Drone Araknid itu hidup kembali
dan cuba bangkit semula. Batang-batang besi yang terbenam di sendi
kaki mekanikal drone itu semakin bengkok ditekan kekuatan hidraulik
pada setiap ruas kakinya. Akhirnya, drone Araknid itu berdiri gagah
kembali.
Anggota-anggota sekuriti segera melepaskan tembakan ke arah drone
itu. Mereka menjerit-jerit marah kerana drone itu telah membunuh
seorang rakan mereka. Tetapi, kali ini drone itu seperti tidak
menghiraukan mereka. Dua laras gatling gunnya cuma tertumpu
pada lelaki yang memeluk briefcase itu.
“Aku dah mati akal. Lumpuhkan kaki drone tu pun dah tak berguna,”
ucap Suzanna, seakan-akan pasrah.
“Lari. Awak masih sempat selamatkan diri,” ucap lelaki itu kepada
Suzanna. “Benda tu cuma nakkan saya.”
Suzanna menjeling kepadanya. Dia sudah mencongak, dia tidak akan
sempat selamatkan diri. “Nama aku... saya Suzanna.”
“Saya Aswad,” balas lelaki itu.
“Awak memang celaka, Aswad.” Suzanna tersengih.
Putaran laras gatling gun sudah capai kelajuan maksimum.
Peluru akan dimuntahkan bila-bila masa. Suzanna dan Aswad sudah tidak
mampu buat apa-apa, cuma menunggu peluru-peluru menembusi tubuh
mereka.
Ada bunyi berdesing yang kuat – lebih kuat daripada dengung jentera
drone dan bunyi putaran laras gatling gun. Dalam sekelip mata,
kelihatan satu susuk bayang menjunam dari langit melalui bumbung
skylight yang sudah berlubang. Drone Araknid itu tiba-tiba
terpenyek, seperti dihentak dengan tukul besar dengan kuat.
Bersama-sama itu bunyi dentuman kuat terdengar dan menghasilkan
gelombang kejutan sehingga membuatkan Suzanna, Aswad, dan
anggota-anggota sekuriti terpelanting. Lantai melekuk menjadi kawah.
Asap putih nipis naik daripada bangkai drone itu. Api kecil mula
merebak. Di sebalik asap nipis itu, kelihatan samar-samar susuk sasa
seorang lelaki sedang bangkit.
“Maaf, Ultra Galaktik Rayyan terlambat,” kata lelaki sasa itu
dengan wajah masam.