Home Novel Thriller/Aksi Takluk Jagat 3
Takluk Jagat 3
12/8/2016 08:57:52
13,715
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab Bab 9 & Bab 10

Bab 9

“Khidmat hamba cuma sampai di sini,” ucap Salhaddin dengan senyuman mesra. Kepalanya ditundukkan sedikit, tanda hormat. Janggutnya yang putih terbuai-buai dihembus angin dermaga.

“Setinggi penghargaan hamba ucapkan,” balas Suria, ikut senyum dan menunduk hormat. “Halalkan makan dan minum hamba sepanjang di bawah jagaan tuan hamba,” sambungnya lagi.

“Usah dikhuatirkan hal itu. Tuan hamba sudah membayar hamba dengan lumayan!” Salhaddin kemudiannya berdekah yang kedengarannya seperti dibuat-buat.

Senyuman Suria lantas hilang, yang nyata kemesraannya tadi juga hanya lakonan. Dia melontar pandangan melampaui bahu juragan tua itu, ke arah laut. Cuma ada dua buah kapal mengepil dermaga. Salah satunya kapal dagang yang ditumpanginya dan sebuah kapal lain yang lebih kecil. Melihat pada seni binanya, ia seperti dari perairan itu juga kerana tidak mungkin kapal kecil yang layarnya berbentuk rencong yang cuma satu itu mampu meredah samudera luas. Entah apa barang yang dibawa kapal itu, Suria tidak peduli. Yang dapat dilihat cuma beberapa anak kapal itu turun naik kapal membawa peti-peti kayu kecil. Barangan dagangan dari perairan sekitar barangkali. Entah, itu bukan halnya.

Pandangannya melirik pula ke kapal Salhaddin. Anak-anak buah juragan tua itu sedang tekun memunggah barangan dagangan turun dari kapal mereka. Dia menunggu sesuatu, tetapi belum lagi kelihatan. Suria menoleh ke belakang pula, meneliti lorong-lorong dan jalan di pelabuhan itu yang menjadi tempat peniaga melakukan urusan jual beli bersama pelanggan. Suara mereka saling bertingkah, riuh! Jadi, suara ketawa Salhaddin yang bergempita bukanlah satu-satunya bunyi yang didengarnya. Di arah timur tidak jauh dari tempat mereka berdiri pula adalah kawasan gedung dan gudang-gudang. Kebanyakan barang dagangan yang dibawa turun dari dua buah kapal yang berlabuh dipindahkan ke sana. Termasuk barangan daripada kapal Salahaddin. Namun, Suria tidak pasti ke gudang yang mana satu barang-barang itu dibawa. Itu bukan perkara penting baginya. Dia cuma menunggu barangnya sahaja dibawa turun.

“Masih perlukah jubah itu? Tuan hamba sudah pun sampai ke tanah asal tuan hamba. Tidak perlu lagi bersembunyi,” ujar Salhaddin apabila menyedari Suria tidak mengendahkannya.

“Tugas tuan hamba sudah selesai. Tidak perlu pedulikan hamba lagi,” jawab Suria acuh tak acuh. Di sebalik bayang penutup kepalanya, matanya masih liar memerhati sekeliling.

“Baiklah....” Salhaddin mengeluh seketika. “Mahu sahaja hamba mengucapkan, waspada dalam perjalanan pulang ke daerahmu, tetapi apa gunanya. Mustahil ada penyamun yang mampu menggugat orang berilmuPawaka Saktimuna...,” ucap juragan tua itu bersahaja sambil menyeringai sengih.

Suria tersentak apabila nama ilmu itu disebut. Dengan pantas dia menoleh kepada Salhaddin dan mencekak leher juragan tua itu.

“Hamba tidak tahu tuan hamba siapa, tetapi hamba tahu tuan hamba seorang yang berbahaya. Hamba pernah dengar perihal orang yang mampu membaca gerak bibir! Dan hamba tidak mahu hal hamba disimpannya!” Suria menderam. Tangannya yang mencekak leher Salhaddin mula kemerah-merahan dan berasap nipis.

“Hai, perempuan Melayu. Mana pergi susila tuan hamba sebentar tadi?” Dengan penuh sukar, Salhaddin cuba berbicara – sepatah-sepatah. Dia masih lagi menyeringai, biarpun sukar, dan cuba berlagak tenang. “Boleh kita lihat, siapa rebah dahulu?” tanyanya.

Suria melonggarkan cengkaman tangannya apabila terdengar bunyi seperti batu berlaga di perutnya.

“Mungkin kita boleh cuba, ilmuPawaka Saktimuna dapat menahan bedil dari jarak sedekat ini?” tanya Salhaddin.

Suria melepaskan cengkamannya dan berundur. Diperhatikannya tarkul yang berada di tangan Salhaddin. Kancing roda tarkul itu sudah ditarik, dan bersedia untuk membedil. Dia tidak mahu cuba menduga apakah dia mampu menahan sekiranya dibedil pada jarak dekat di perutnya. Pelurunya mampu menembusi zirah besi yang tebal. Dia belum tentu selamat.

Salhaddin menyimpan kembali tarkulnya ke dalam sarung yang disembunyikan di balik pakaian. Juragan tua itu berdehem-dehem kasar sambil mengurut-urut lehernya. “Tuan hamba usah khuatir. Hamba sudah lama meninggalkan apa yang hamba lakukan dahulu. Cuma tabiat lama yang sukar dibuang.” Dia kemudian tertawa berdekah-dekah sebelum terbatuk-batuk kasar. “Hamba sebenarnya mahu melihat sejauh mana hebatnyaPawaka Saktimuna di laut tadi. Apabila hamba sedar perubahan di langit – sehinggakan awan berubah dan berpusar di atas kapal lanun tadi, hamba sedar yang tuan hamba perlu dihentikan. Kapal hamba terlalu hampir, bagaimana hamba mahu berdagang lagi andai kapal kesayangan hamba musnah?”

Suria mendengus kasar mendengar kata-katajuragan tua itu. Dia sedar yang dia terbawa-bawa dengan perasaannya tadi. Sekiranya tidak dihentikan, pastinya dia akan membawa kerugian kepada semua. Untuk itu, dia mahu berterima kasih kepada Salhaddin. Tetapi, cukuplah di dalam hati. Dia tidak mahu juragan tua itu berasa 'menang' dengannya.

Tiba-tiba Suria ternampak barangnya sedang diturunkan dari kapal Salhaddin – sebuah peti yang sederhana besarnya dan panjang seperti keranda, ditanggung oleh dua orang anak kapal. Dia segera ke sana dan menunggu di hujung pelantar tempat barang-barang diturunkan.

“Waspada!” Suria berasa risau melihat kedua-dua anak kapal itu terhuyung-hayang membawa petinya. Namun, nasib baiklah peti itu dapat diturunkan dengan selamat. Anak-anak kapal itu tercungap-cungap mengambil nafas selepas meletakkan peti itu.

“Batukah di dalamnya?” tanya seorang daripada mereka sambil duduk di hujung peti itu. “Beratnya bukan main!”

“Peti ini bukan untuk diduduk!” Suria tiba-tiba berang. Dia menepuk hujung peti bertentangan dengan tempat anak kapal itu duduk. Peti itu lalu terjungkit dan anak kapal itu terlambung jatuh ke dalam laut. Pelantar tempat barang-barang diturunkan bergegar. Anak-anak kapal yang berada berdekatan tergamam. Suria kemudiannya mengangkat peti itu sendirian dan memikulnya di atas bahu. Dia berkalih ke arah Salhaddin dan menuding kepadajuragan tua itu dengan jari telunjuk. “Ingat, tuan hamba tidak pernah melihat hamba!” Lalu wanita itu berlalu pergi meninggalkan Salhaddin yang mula dibasahi keringat dingin.



Bab 10

Prawisna Jiwa menjengah ke dalam balairung seri istana. Terbau haruman kayu wangi yang dibakar. Ruang itu sepi. Cuma ada seorang lelaki separuh umur berdiri membatu menghadap singgahsana yang terbiar kosong. Busananya serba hijau dengan bertekat benang emas. Walaupun dari belakang, Prawisna Jiwa mengenalinya, pemimpin Bunian dari Kampung Dilasri, Paduka Raja Kensali.

“Tuan Prawisna Jiwa Jata sedar bukan, kemungkinan yang bakal diminta?” tanya Paduka Raja Kensali tanpa menoleh. Tidak perlu melihat. Apabila terdengar sahaja lantai balairung seri itu diinjak dari arah pintu hadapan, baginda tahu siapa yang tiba.

“Apakah tuanku paduka tidak menyayanginya?” Pertanyaan dibalas dengan pertanyaan. Prawisna Jiwa menghentikan langkah. Dia menatap belakang tubuh Pemimpin Kampung Dilasri itu dengan pandangan mata yang mengharap. Dadanya sedikit bergelora. Ada nada belas yang mengharap terlepas dalam tuturnya.

Paduka Raja Kensali menunduk. Raut wajahnya tampak runsing dan serba salah. Tanpa sedar, tangannya dengan sendiri mengelus-elus pelipisnya. Bibirnya bergerak-gerak, seperti mahu mengucapkan sesuatu, namun tiada sebarang buah kata yang dapat diluah.

“Ada masanya kita perlu melepaskan apa yang kita pegang sekian lama. Pantang larang yang dilanggar demi menyelamatkan satu nyawa, tidakkah ia berpatutan?” ucap Prawisna Jiwa lagi apabila pertanyaannya tidak dijawab. Kemudian dia merenung ke luar jendela, melihat pohonpulasan yang musim berbuahnya sudah berlalu. “Kita tidak patut menggadaikan nyawanya kerana takutkan sesuatu yang tidak pasti.” Pandangan matanya kembali menatap susuk tubuh Paduka Raja Kensali.

“Sesuatu yang tidak pasti? Tuan Pendekar lihatlah diri sendiri!” Paduka Raja Kensali tiba-tiba berkalih menghadap Prawisna Jiwa, merenung matanya dan membentak. “Setiap kepantangan ada sebabnya! Mementingkan diri demi satu nyawa bukanlah....” Tiba-tiba suara Paduka Raja Kensali mengendur dan terus terhenti. Raut wajahnya menampakkan kesal. Perlahan-lahan pandangan matanya dilarikan ke arah lain.

“Hamba mengerti apa yang tuanku paduka tanggung. Bukan mudah berada di persimpangan,” ucap Prawisna Jiwa dengan suara mendatar. Belum sempat dia menyambung bicara, terdengar derap kaki dari arah dalam istana menghampiri. Mereka berdua sama-sama memandang ke arah laluan yang menghubungkan balairung seri dan rumah induk istana.

“Kita tidak punya banyak masa. Biarpun apa sahaja keputusan yang akan diambil, kita tidak punya banyak masa,” ucap susuk tubuh yang empunya bunyi derap kaki, Raja Madisar Duli Castra, Raja Kampung Kaswana. Nadanya rawan, suaranya hampir tidak kedengaran. Isterinya, Ratu Falshiha mengikut di belakang dengan langkah yang hampir menyeret.

“Ampunkan hamba... tetapi, kita perlu bersedia,” ujar Paduka Raja Kensali dengan nada lemah dan perlahan. Kepala baginda tertunduk, tidak sanggup bagi menatap wajah pasangan pemerintah Kampung Kaswana itu.

Prawisna Jiwa merenung tajam Paduka Raja Kensali. “Diamlah tuanku paduka di sini,” ucapnya dengan gelora dada menahan geram. “Adinda akan cuba lakukan sesuatu.” Dia memandang pula Raja Madisar dan isterinya.

“Tuan Prawisna jangan cuba berani!” Tiba-tiba Paduka Raja Kensali menoleh kepada Prawisna Jiwa dan membentak. “Tuan tahu apa yang bakal berlaku jika....”

“Kita selesaikan satu demi satu!” Prawisna Jiwa segera memintas. “Yang penting, ikhtiar kita untuk selamatkan dia!” ucapnya lagi kepada Paduka Raja Kensali. Kemudian, dia menjeling kepada Raja Madisar dan isterinya. “Kakanda berdua usah khuatir. Adinda belum berserah harap,” ucapnya lalu berundur melangkah ke pintu istana.

“Tuan hamba akan membangkitkan perang!” bentak Paduka Raja Kensali. “Perwira Dilasri, halang Prawisna Jiwa!” baginda menjeritkan arahan. Raja Madisar Duli Castra dan ratunya saling memandang. Wajah mereka jelas dalam keharuan dan serba salah.

Prawisna Jiwa Jata tersenyum sumbing. Dia segera mempercepatkan langkah menuruni tangga. Perwira Bunian dari Dilasri pula datang menyerbu dari halaman istana. Mereka tampaknya sudah pulih daripada kesan serangan Prawisna Jiwa awal tadi. Zilastra hanya bingung berdiri memerhati dari halaman. “Bangsa yang hebat dikenal dengan peperangannya!” jerit Prawisna Jiwa, membalas kata-kata Paduka Raja Kensali tadi.

Para perwira Bunian semakin hampir mendekatinya. Namun, muncul pula angin berpusar ligat mengelilingi lelaki dengan selendang hijau pucuk pisang itu. Perwira-perwira Bunian itu lantas tercampak ditolak pusaran angin itu. Prawisna Jiwa Jata meluncur pantas ke arah Zilastra yang nampak tergamam. Bagaikan raja udang yang tangkas menyambar ikan di muka kolam, Prawisna Jiwa memaut waris terakhir Rumah Helang Tunggal itu dan membawanya pergi dengan jurus Melayah Sang Garuda. “Mengapa hamba selalu jadi mangsa jurus ini!” Jeritan Zilastra didengar semakin sayup....

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.