PADA
pagi sehari selepas berkenduri, semua penduduk Kampung Bendang
Keliling berkumpul beramai-ramai untuk mengucapkan selamat jalan
kepada Bayu. Masing-masing tidak melepaskan peluang untuk bersalam
dan menyatakan penghargaan kepada pendekar muda itu.
Maisirah
pula menyampaikan makanan yang dimasaknya sendiri sebagai bekal untuk
dibawa bersama. Disebabkan itu, teruk dia diusik oleh Masiran dan
orang kampung sehingga merah padam mukanya.
Setelah
bersalaman dengan Tok Putih, Tok Yah, Masiran serta sebahagian
penduduk, Bayu segera memulakan langkah meneruskan perjalanan. Dengan
hati senang, dia menyusuri batas sawah bendang keluar daripada
kampung itu.
Tiba
di denai luar kampung, langkahnya terhenti. Dukun Kidam berdiri di
hadapan, terpaku menghalang jalan.
“Sehari
sebelum ketibaan tuan hamba ke kampung ini, ada sesuatu yang terjadi
di dalam Hutan Rapat,” katanya dengan membelakangi Bayu.
“Maksud
tok? Adakah ia berkaitan dengan hamba?”
“Letusan
kuasa aneh yang hanya sesetengah orang dapat rasakan. Beberapa ketika
kemudian, ia hilang. Kuasanya hampir serupa dengan yang timbul dari
lenganmu, cuma ia lebih kuat dan liar.”
“Takluk
Jagat!” Bayu gembira mendapat petunjuk baru.
“Hamba
andaikan tidak mendengar nama itu.” Kata-kata Dukun Kidam
membuatkan Bayu hairan.
“Kenapa
tok berkata begitu?”
Dukum
Kidam berpusing menghadap Bayu. “Tiada apa yang hamba tahu berguna
untukmu. Cepat! Teruskan perjalananmu ke barat laut. Rentasi Hutan
Rapat hingga tiba di Kota
Silabida, iaitu jalan pintas untuk tiba ke kota itu. Orang yang kamu
kejar pasti singgah di sana.”
“Jikalau
begitu, terima kasih hamba ucapkan. Izinkan hamba pergi dahulu.
Assalamualaikum!”
Dengan
pantas, Bayu berjalan ke arah yang ditunjukkan. Seperti kata Dukun
Kidam, ia jalan pintas ke Kota Silabida. Kota yang menjadi pusat
pemerintahan negeri tumpah darahnya – Dasyuria!
***
PERJALANANNYA
disegerakan. Berlari dan kadang-kadang berjalan. Jemu berjalan,
meluncur laju pula dengan Langkah Lipat Bumi. Merentas
kampung, denai, belukar, hutan dan bukit. Sampai masanya di kawasan
padang rumput terbentang, perutnya berbunyi. Dia mencari-cari teduhan
untuk menikmati rezeki kuniaan ILAHI yang disampaikan melalui air
tangan Maisirah. Di sebelah bahu kirinya tidak berapa jauh, ada
kumpulan pohon-pohon yang rendang. Tampak seperti sebuah pulau di
lautan rumput.
Sambil
menyuap nasi yang sudah sejuk berlaukkan sepat padi salai, Bayu
merenung ke arah yang ditujunya. Bagaikan ada tembok hijau memanjang
mengisi sebahagian kaki langit. Masih jauh tempat ditujunya, tetapi
dia yakin dapat sampai ke sempadan Hutan Rapat itu pada lewat petang.
Selesai makan dan sesudah solat, Bayu meneruskan perjalanan. Terus
meluru laju.
***
PETANG
sudah larut dan Bayu bagai dihalang oleh hutan yang merimbun di
hadapannya. Direnungnya hutan yang terbentang, lebih tebal daripada
hutan yang menjadi kediamannya. Pokok-pokok yang tumbuh tinggi dan
besar begitu dekat antara satu sama lain. Layaklah digelar Hutan
Rapat.
Sedang
leka Bayu memerhatikan kemegahan hutan itu, dia dikejutkan oleh
seekor burung pungguk yang terbang melintasi kepalanya dan hinggap di
atas dahan pokok tidak jauh di hadapan. Terpegun Bayu memerhatikan
kecantikan burung itu. Bulunya licin, cantik dan kelihatan jinak
pula, bagaikan ia seekor burung peliharaan yang sentiasa dijaga.
Tiba-tiba,
angin kencang menyejukkan bertiup berpusar-pusar mengelilinginya dan
kemudian menghala ke arah hutan. Pohon-pohon kayu bergoyang
melambai-lambai dihembus angin itu. Burung pungguk itu berayun-ayun
bersama dahan yang dihinggapinya.
“Assalamualaikum,
wahai pewaris baru Indera Bumi. Pejamkan matamu dan depangkan
tanganmu. Hamba akan menunjukkanmu jalan seterusnya.”
Satu
suara lembut seorang wanita kedengaran di antara deru angin.
Kemerduan suara itu mampu menidurkan insan manusia jika mengalunkan
syair dalam kesepian malam. Bayu terpinga-pinga memandang ke
sekeliling mencari empunya suara.
“Siapakah
tuan hamba? Jin ataupun iblis yang ingin memesongkan anak Adam ini?
Kenapa hamba perlu mendengar katamu?” Bayu membentak untuk
mengatasi deruan angin kencang. Dia perlu berwaspada. Mungkin ini
permainan jin atau iblis. Hutan pekat seperti ini tentu dihuni
pelbagai makhluk.
“Niat
hamba tiada buruk. Tanyalah hati nuranimu.”
Suara
itu lembut membisik ke telinganya. Bayu tiada pilihan lain lalu
dipejamkan matanya untuk menaakul. Jika jin ataupun iblis punya
angkara, pasti Indera Bumi akan bertindak balas sebagaimana ketika
dia berhadapan dengan Sigorong. Hatinya memberat untuk mempercayai
suara itu. Mungkin dia berpeluang untuk bertemu dengan empunya suara
yang gemersik merdu itu. Walaupun keadaan sebegini terasa janggal,
namun dia tidak mencium sebarang mara bahaya.
Bayu
membuka matanya semula. “Hamba turuti kemahuanmu,” katanya sambil
memandang sekeliling.
Burung
pungguk yang bertenggek di dahan mengepak-ngepakkan sayapnya dan
terbang masuk ke dalam hutan dan hilang daripada
pandangan. Bayu tidak menghiraukannya lantas memejamkan matanya dan
menurut seperti yang dikehendaki oleh suara itu.
Terasa
ada sesuatu yang lembut seperti sehelai kain sutera menyentuh
tangannya. Angin yang bertiup dirasakannya semakin kuat. Dirinya
terasa terbuai-buai dibawa angin. Tubuhnya bagaikan melayang tinggi.
Bayu cuma bertawakal supaya sesuatu yang buruk tidak menimpa.
Seketika
kemudian, dirasakannya angin yang bertiup kencang menjadi semakin
perlahan dan kemudiannya berhenti. Kakinya dapat memijak tanah
semula. Lantas, dia membukakan matanya dan memerhati sekeliling.
Dirinya kini sudah berada di dalam hutan itu. Tetapi dia tidak tahu
sejauh mana dia dibawa. Keadaan sekeliling samar-samar. Hutannya
tidak begitu tebal sebagaimana pemandangan di pinggirnya sebelum dia
melangkah masuk.
Bayu
memandang langit di atas. Di celah-celah daun-daun yang memayungi
rimba, dia dapat melihat langit kemerah-merahan menandakan hari sudah
hampir senja, sama seperti masa sebelum dia ‘dibawa’ datang ke
sini. Apakah kesaktian yang mendorongnya? Terasa cuma seketika sahaja
jurusnya dilaksanakan. Tetapi dia dapat merasakan, tempat ini sangat
jauh daripada pinggir rimba tadi.
“Suara?”
Bayu berpusing-pusing, mencari-cari. “Suara!” jeritnya lagi.
Namun, segalanya sepi. Hanya bunyi unggas yang kedengaran.
Dia
meneruskan langkah untuk mencari tempat bermalam. Untung nasibnya
kerana ternampak sebuah pondok dari celahan pokok-pokok. Tanpa
berlengah, dia terus menghampirinya.
“Sungguh
baik sang suara tadi menyediakanku tempat bermalam. Walaupun sudah
usang, lebih usang daripada pondokku, namun lebih baik daripada
tidur di atas dahan pokok,” katanya seorang diri.
Apabila
semakin hampir dengan pondok itu, tiba-tiba Indera Bumi bergetar.
Bayu terus memakukan langkahnya. Ada sesuatu di dalam pondok itu.
Tetapi setelah diamati, dirasakannya getaran itu berlainan daripada
yang dirasakannya ketika berhadapan dengan Sigorong. Getaran ini
lebih ‘mesra’.
Dengan
berhati-hati, Bayu menghampiri pondok itu dan melangkah masuk.
Ditelitinya setiap penjuru pondok itu. Daripada kesan habuk yang
terdapat di lantai, dia tahu ada orang pernah bermalam di dalamnya
beberapa hari lepas. Terdapat tiga pasang kesan tapak kaki berbeza
pada debu di lantai itu.
Di
satu sudut, dia terjumpa sebuah pelita yang masih berisi minyak.
Dapatlah menjadi penerang malamnya. Dia meraba-raba ke dalam
bungkusan pakaiannya dan mengeluarkan dua butir batu api.
Dilaga-lagakannya batu itu sehingga memercikkan bunga api, lalu
menyambar sumbu pelita itu.
Indera
Bumi yang masih bergetar dirasakan seperti menarik-narik tangannya ke
arah penjuru kiri pondok itu. Bayu mengangkat pelita dan memeriksa
sudut itu. Setelah diamati, dia ternampak satu kesan lubang yang
tirus pada tiangnya. Kesan tikaman keris!
“Takluk
Jagat telah dihunus! Allahuakbar! Betapa hebat keris ini sehinggakan
sisa kekuasaannya masih melekat pada kesan tikamannya. Patutlah atuk
takut ia disalah guna.”
Indera
Bumi masih bergetar membuatkan lengannya berasa tidak selesa.
Perlahan-lahan dia duduk bersila dan memikirkan cara untuk
‘menenangkan’ pelindung lengan itu. Dia cuba menekan-nekan Indera
Bumi itu di atas lantai tetapi tidak berhasil. Dikepitnya di celah
ketiak dengan sekuat hati, tidak juga berhasil. Dicubanya pula dengan
mengetuk-mengetuk pada tiang, sebaliknya pondok itu yang bergegar!
Bayu
sudah mati akal. Mungkin tiada cara untuk menghentikannya. Ingin
ditanggalkannya sahaja, tetapi dia takut kehilangan pelindung lengan
itu. Mana tahu suara tadi berniat untuk merampas Indera Bumi ketika
dia leka?
“Indera
Bumi ini ada kelebihannya. Mungkin hamba dapat menenangkannya dengan
kerahan tenaga dalam.” Bayu membuat andaian. Lantas, ditumpukannya
aliran tenaga kepada lengan kanan. Setelah seketika, Indera Bumi
tidak lagi bergetar.
“Jadi,
beginilah caranya...”
***
“MUSANG,
selamatkah kita di sini?” Tikus Bumi berasa tidak senang dengan
suasana tempat persinggahan mereka.
“Ada
masanya lebih ramai orang di sekitar, lebih menguntungkan pengembara
seperti kita,” jawab Musang Darat sambil menolak selak untuk
mengunci pintu.
“Pengembara?”
Helang Langit tersenyum sumbing mendengar jawapan bersahaja Musang
Darat.
“Menguntungkan?
Lebih ramai orang, bermakna lebih besar peluang ‘ia’ dirampas!”
Tikus Bumi kurang bersetuju dengan keputusan yang diambil oleh Musang
Darat. “Lebih baik kita bermalam di dalam hutan. Lebih mudah kita
mengawasinya. Siapa rapat, kita hapuskan!” Bersemangat dia
memberikan cadangan.
“Tikus,
kota ini pusat pemerintahan negeri Dasyuria. Tempat bersemayamnya
sultan. Sentiasa terkawal. Jika dicuri sekalipun, tentu pahlawan ke
bawah duli sultan terlebih dahulu menangkapnya sebelum sempat kita
menghunus senjata. Jadi, kita boleh tidur lena di sini tanpa perlu
berjaga hingga subuh,” terang Helang Langit panjang lebar.
Musang
Darat mengangguk. Nasib baik si Helang faham akan niatnya kerana dia
sudah malas hendak menerangkan perkara begini kepada Tikus Bumi.
Pasti ada saja bangkangannya!
“Tetapi,
bagaimana jika mereka tahu ‘ia’ berada di dalam tangan kita? Kita
tidak mungkin dapat melepaskan diri daripada bandar ini dengan
pahlawan ke bawah duli yang berkawal di sana sini? Apakah bandar ini
sentiasa begini?” Tikus Bumi masih belum berpuas hati. Kurang
senang hatinya kerana bandar itu dipenuhi dengan pahlawan sultan yang
berkawal.
“Tiada
siapa tahu mengenainya dan tiada siapa akan tahu. Elakkan daripada
melakukan sebarang kekecohan selama kita singgah di sini. Kita tidak
mahu menarik perhatian orang. Kita cuma pengembara.” Musang Darat
mengingatkan rakannya.
Tikus
Bumi mengangguk malas. Rasanya tidak perlulah dia sangsi dengan
keputusan yang diambil oleh rakan yang dipandang sebagai ketuanya
itu. Selama ini, keputusan yang diambil oleh Musang Darat tidak
pernah membawa kemudaratan kepada mereka. Dia seorang yang bijak dan
tidak pernah menyombong sesama mereka. Itu yang dihormatinya.
“Sesuatu
yang sentiasa menjadi sebutan dalam jagat persilatan berpuluh tahun
dahulu, kini terus dilupa bagaikan tidak pernah wujud. Apakah benar
ia dilupakan orang? Atau sesuatu telah menimpa mereka yang tahu
mengenainya?” Si Helang menyuarakan rasa hairan.
“Persoalannya,
jika kita tidak diberi tugasan ini tentu kita pun tidak tahu apa-apa
mengenainya. Tetapi, hamba tidak menyangka tugasan kali ini membawa
pengakhiran kepada pencarian hamba selama ini. Menyelam di kali,
sambil minum airnya!” Musang Darat tersenyum. Senyuman yang penuh
makna. Hanya mereka bertiga sahaja faham apa yang tersirat di
sebaliknya.
“Desakan
perjalanan kita beberapa hari ini membuatkan hamba lupa tentang
perkara itu. Apa rasanya sekarang setelah hutang dituntut?” tanya
Tikus Bumi kepada Musang Darat yang sedang menepuk-nepuk tilam kekabu
di atas pembaringan di bilik tumpangan mereka. Setelah berpuas hati
dengan tilamnya, dia duduk bersila di atasnya dan menghela nafas
panjang.
“Entahlah.
Hamba kini berasa kosong. Bagaikan kehilangan api yang membakar
semangat hidup hamba selama ini. Bagaimanapun, hamba puas!”
Tiba-tiba,
terdengar ketukan di pintu. Musang Darat segera melompat dari
pembaringan dan menguis bungkusan yang menyimpan Takluk Jagat ke
sudut gelap di bawahnya.
Setelah
diberikan isyarat oleh Musang Darat, barulah Helang Langit membuka
pintu. Berdiri di luar, seorang lelaki berpakaian hulubalang, berbaju
belah dengan di dalamnya baju sarung kancing satu. Di pinggangnya
berikat samping songket dagang luar dan berseluar panjang juga
bertanjak sedondon berwarna biru. Cuma yang kurangnya, tiada keris
yang tersisip. Lelaki itu bersama-sama empat orang pengiring
bersenjatakan tombak sedang menanti di luar.
“Salam
ke atas saudara bertiga. Maaf, jika kedatangan hamba mengganggu
saudara sekalian beristirahat.” Hulubalang itu berbicara sambil
tersenyum ramah. “Hamba Sidari Jimbalinggi. Panglima kepada ke
bawah duli sultan. Datang memeriksa bilik ini dan juga bilik-bilik
lain di rumah tumpangan ini, atas arahan sultan.” Lelaki itu
memperkenalkan diri. Musang Darat dan rakan-rakannya berdebar-debar.
“Boleh
izinkan hamba masuk?” pinta lelaki itu.
“Silakan.
Ini kawasan Datuk Panglima. Kami hanya singgah menumpang sahaja.”
Musang Darat mempelawa dengan penuh adab.
Tikus
Bumi menekap mulut menahan ketawa geli hati dengan tingkah laku
Musang Darat. Selama mereka berkenal, tidak pernah dia melihat Musang
Darat begitu lembut dan bersopan.
“Apa
tujuan kalian bertiga berkunjung ke kota ini? Peniaga atau datang
melawat saudara?” soal Panglima Sidari ketika melangkah masuk ke
dalam bilik. Pengiring-pengiringnya cuma menunggu di luar.
“Kami
pengembara, datang melihat tempat orang, meluaskan pandangan,”
jawab Musang Darat.
Datuk
Panglima mengangguk mendengar jawapannya. Diperhatinya setiap penjuru
bilik hinggakan ke balik alang. Setelah tidak menemui apa-apa, dia
menuju pula ke pembaringan. Semakin kuat debaran di dada mereka
bertiga. Bagaimana jika panglima itu ternampak bungkusan yang
disembunyikan? Helang Langit dan Tikus Bumi saling menjeling. Musang
Darat tahu mereka ingin bertindak. Segera dia berdeham sebagai
isyarat supaya mereka bersabar. Dia perlu lakukan sesuatu!
Panglima
Sidari berlutut untuk mengintai bawah pembaringan setelah
diperiksanya bahagian atas.
“Datuk
Panglima, apakah yang sedang berlaku di bandar ini? Begitu ramai
pahlawan ke bawah duli berkawal di bandar dan bagaimana pula seorang
panglima terpaksa memeriksa rumah tumpangan?” Tiba-tiba, Musang
Darat membuka mulut.
Datuk
Panglima Sidari mengalihkan perhatian kepada Musang Darat, lantas
berdiri semula.
“Semua
orang di bandar ini sudah pun tahu, jadi tiada gunanya hamba
berahsia. Begini, sejak akhir-akhir ini timbul ketegangan di antara
Dasyuria dengan jiran kami iaitu Sedinggi. Untuk mengekalkan keamanan
bandar ini, semua tenaga yang berkhidmat ke bawah duli sultan
dikerahkan untuk berjaga-jaga. Rumah tumpangan diperiksa untuk
menangani pengintip yang mungkin bersembunyi,” terang Panglima
Sidari.
Mendengar
penerangan panglima itu, barulah mereka faham mengapa bandar itu
sentiasa dikawal. Musang Darat tersenyum lega kerana berjaya
memesongkan perhatian Panglima Sidari.
“Apakah
kami disyaki?” soal Helang Langit pula.
“Pada
mata hamba, semua orang luar di kota ini disyaki. Tetapi, untuk
mencari yang sebenar antara yang disyaki, terpulang kepada hidung
hamba.”
Kata-kata
Datuk Panglima membuatkan Mergastua Bertiga berasa hairan. Kenapa
pula hidung yang digunakan untuk mencari pengintip?
“Secara
mudahnya, hamba dapat mencium bau pengintip Sedinggi,” terang
Panglima Sidari setelah dilihat tetamu kotanya itu tercengang
kehairanan mendengar jawapannya tadi. “Tetapi, saudara bertiga
janganlah bimbang. Bau yang hamba cari tiada pada kalian. Keamanan di
sini terkawal. Harapnya saudara selesa tinggal di kota ini. Tugas
hamba di sini sudah selesai.” Panglima Sidari menunduk hormat dan
menuju ke pintu. “Jika ada sebarang kesulitan, laporlah pada
mana-mana pengawal. Hamba mohon diri,” pesannya sebelum melangkah
keluar dan meneruskan pemeriksaannya ke bilik lain pula.
Mergastua
Bertiga saling memandang dan masing-masing menghembuskan nafas
kelegaan.
Tikus
Bumi dengan segera menutup dan mengunci pintu. “Nyaris nahas kita,”
katanya separuh berbisik.
“Musang,
kita mungkin akan terperangkap di sini jika perbalahan Dasyuria dan
Sedinggi menjadi lebih buruk!” Helang Langit menyuarakan
pendapatnya.
Musang
Darat mengangguk tanda setuju.
“Kita
perlu segera meninggalkan bandar ini.”