Home Novel Fantasi Takluk Jagat
Takluk Jagat
5/2/2015 00:01:35
48,985
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 10

ORANG di kota ini sungguh aneh!” kata Helang Langit sambil memerhatikan barangan yang dijual di pasar sepanjang jalan. Sengaja mereka bertiga bersiar-siar seketika setelah meninggalkan warung Pak Mamat. Mungkin bertemu sesuatu yang menarik di kota ini sebelum meninggalkannya.

Panglima negeri! Ketua angkatan pahlawan ke bawah duli sultan, takut bini!” Tikus Bumi ketawa terkekeh-kekeh.

Hamba sendiri berasa gentar tadi,” ujar Musang Darat. Kata-katanya itu memeranjatkan rakan-rakannya.

Tuan hamba sudah takut hendak beristeri?” tanya Tikus Bumi.

Bukan itu yang dimaksudkan Musang!” Si Helang lantas menepuk kepala Tikus Bumi.

Semasa wanita itu menjerit-jerit tadi, hamba dapat rasakan dia memendam tenaga dalamannya. Rasanya, tenaganya lebih hebat daripada hamba,” terang Musang Darat. Sekali lagi, rakan-rakannya terperanjat.

Apakah wanita itu lebih hebat daripada suaminya seorang panglima?” Helang Langit inginkan kepastian.

Hamba tak fikir begitu. Orang yang berkelakuan begitu memang sukar diduga. Seperti Budak Tiada Wajah. Hamba rasa, dia pun bukan calang-calang orangnya.” Musang Darat menyuarakan rasa hatinya.

Dalam lautan boleh diduga...” Helang Langit berperibahasa tetapi sengaja tidak menghabiskannya.

Musang, kita...”

Hamba tahu. Kita ke pinggir kota, di sana tiada orang. Kita memerangkapnya di sana.” Musang Darat segera memintas percakapan Tikus Bumi setelah disedarinya mereka sedang diekori.

Mereka berjalan ke pinggir kota dan berpura-pura bagaikan tiada apa yang berlaku. Namun, Musang Darat dapat merasakan orang yang mengekori mereka semakin dekat. Mereka tidak perlu menunggu lama apabila orang itu memulakan langkah terlebih dahulu menyerang dari belakang. Mergastua Bertiga segera berpecah untuk mengelak serangan orang itu. Akhirnya, dia terperangkap apabila dikepung dari tiga penjuru.

Nampaknya, benarlah telahan hati hamba. Tuan hamba adalah satu ancaman, Budak Tiada Wajah!” Musang Darat nyata tidak silap menilai.

Ancaman? Pelik? Kerana hamba rasa ancaman itu datangnya daripada tuan hamba bertiga,” balas Budak Tiada Wajah. Dia hanya tunduk memandang bumi ketika berbicara. Rambutnya yang panjang lurus sentiasa melindungi wajahnya.

Pemuda ini menyerang dari belakang. Sudah nyata dia ingin merompak atau mencuri,” ujar Helang Langit kepada Musang Darat. “Apa mahunya daripada kami? Wang? Kami bukan orang kaya. Kalau kami kaya sekalipun, tulang empat keratmu itu akan dipatahkan terlebih dahulu. Selepas itu, barulah tuan hamba mendapat wang daripada kami. Sebagai sedekah kepada pengemis, pekerjaan baru tuan hamba selepas ini,” sindir Helang Langit.

Kami juga akan sediakan mangkuk. Tampak lebih bergaya daripada menadah dengan tangan kosong!” tambah Tikus Bumi sambil tersengih-sengih.

Baik betul budi tuan-tuan sekalian sehinggakan mangkuk pun sudi diberi. Malangnya, hamba tiada minat pada wang. Minat hamba cuma isi bungkusan itu,” kata Budak Tiada Wajah sambil jarinya menuding bungkusan yang disandang oleh Musang Darat.

Datanglah ambil kalau begitu inginkannya. Tetapi, jangan salahkan kami andai nyawa melayang!” Musang Darat memberi amaran.

Tanpa mengendahkan amaran, Budak Tiada Wajah segera menerkam Musang Darat. Dengan pantas, Musang Darat melenturkan tubuhnya ke belakang untuk mengelak. Helang Langit dan Tikus Bumi bersama-sama menyerbu dari belakang.

Setelah terkamannya kepada si pembawa bungkusan tidak mengena, Budak Tiada Wajah segera berkalih untuk menghadapi Helang Langit dan Tikus Bumi yang menyerbunya dari belakang. Dia berjaya menangkap lengan Helang Langit yang lebih hampir kepadanya, lalu dihumbannya kepada Tikus Bumi menyebabkan mereka tercampak agak jauh dari situ. Tiba-tiba, satu pukulan telapak tangan hinggap di dadanya menyebabkan dia terpelanting ke belakang.

Hebat juga tuan hamba. Dapat menyerang dari sudut yang hamba tidak nampak,” puji Budak Tiada Wajah kepada Musang Darat sambil menepuk-nepuk pakaiannya yang dikotori dengan tanah.

Itulah kelicikan musang,” balas Musang Darat ringkas.

Musang? Jadi, pasti si kurus itu helang dan yang gemuk itu, Tikus! Mergastua Bertiga!”

...yang akan meratah mangsanya!” Lantas, Musang Darat terus menyerang Budak Tiada Wajah.

Helang Langit dan Tikus Bumi yang telah bangun setelah dijatuhkan turut menyertainya.

Wah! Memang hebat seperti yang hamba dengar di warung Pak Mamat!” Budak Tiada Wajah masih boleh berbicara walaupun hebat diserang dari tiga penjuru.

Musang Darat tertanya-tanya di dalam hati, entah setakat mana tingginya ilmu pemuda ini, walaupun tidak nampak wajahnya, tetapi dia tahu umurnya masih hijau!

Tiba-tiba, keseimbangan badan Budak Tiada Wajah terganggu. Tanah di bawah kakinya merekah. Helang Langit dan Musang Darat mengambil kesempatan itu dengan ‘menghadiahkan’ tumbukan ke tubuh pemuda itu dengan serentak. Pemuda itu meraung dan terpelanting jauh berguling-guling sehingga dihentikan perdu pokok yang agak besar.

Kail cuma sejengkal, lautan dalam hendak diduga?” Tikus Bumi yang tersembul dari bawah tanah menyindir.

Kasihannya... Kail siapa yang sejengkal itu?” Budak Tiada Wajah membalas. Rupa-rupanya, dia cuma berpura-pura dicederakan.

Jahanam!” bentak Musang Darat setelah menyedari serangannya tidak menunjukkan kesan dan barangnya pula dirampas!

Kelihatan senyuman di celah-celah rambut yang menutupi wajah Budak Tiada Wajah. Di tangannya pula tergenggam bungkusan yang berjaya dirampasnya daripada Musang Darat.

Dasar pencuri! Tak sah jika orang seperti kamu tak tahu jurus Tangan Ular!” Tikus Bumi tidak berpuas hati.

Setelah mengatur nafas, sekali lagi Mergastua Bertiga menyerbu pemuda itu. Takluk Jagat perlu dirampas semula!

Anehnya, Budak Tiada Wajah cuma duduk bersila tanpa sebarang tindakan untuk mempertahankan diri. Dia mendongak sambil memerhatikan dahan-dahan pokok di atas dan burung-burung yang berterbangan. Lagaknya seperti tiada apa yang berlaku.

Mergastua Bertiga sudah terlalu dekat. Budak Tiada Wajah masih tidak berganjak dari silanya dan tidak mempedulikan mereka. Sebaliknya, dia mengalih perhatian kepada bungkusan itu dan mula sibuk membukanya.

Penumbuk Mergastua Bertiga yang sudah hampir mengenai dada, perut dan kepalanya tiba-tiba terhenti. Serangan mereka terhalang, langkah mereka dimatikan.

Musang Darat terkejut apabila mendapati tangan mereka bertiga dibelit oleh sehelai selendang cindai yang panjang bernatar ungu yang datangnya dari atas dahan pokok. Musang Darat cuba untuk membebaskan tangannya tetapi belitan itu terlalu kuat dan bersulam arus tenaga dalam! Kain itu tiba-tiba disentap, lalu mereka bertiga terpelanting ke belakang dan lilitan yang membelenggu terungkai.

Kain itu dengan laju ditarik kembali tuan empunyanya, seorang wanita yang berpakaian seperti lelaki serba ungu. Separuh daripada wajahnya dilindungi hijab juga berwarna ungu disematkan pada selendang putih yang menutupi rambutnya. Yang kelihatan cuma matanya yang bundar dan cantik. Wanita itu melompat turun dari dahan pokok dan berdiri di hadapan Budak Tiada Wajah. Kedua-dua belah tangannya dililiti sehelai kain cindai bernatar ungu yang menjadi senjatanya tadi.

Siapa pula tuan hamba ini?” soal Musang Darat dengan menahan kesakitan. Tenaga dalaman yang dialirkan pada kain cindai telah meresap masuk ke dalam tubuhnya.

Hamba? Adanya Budak Tiada Wajah, sudah pasti ada juga Gadis Tiada Wajah,” jawab wanita muda itu acuh tak acuh. Entah betul, entah main-main.

Wah, cantiknya! Hebat keris panjang ini! Sayangnya, tidak dijaga. Biar hamba mengasap dan melimaukannya, bagaimana?” tanya Budak Tiada Wajah terpesona dengan ukiran pada sarung keris di dalam bungkusan itu.

Mendengar kata-katanya, Musang Darat menggagahi dirinya untuk bangun merampas kembali Takluk Jagat, tetapi tidak berdaya dan dia rebah semula.

Serahkan kembali kepada kami! Tuan hamba tidak boleh mengambilnya! Itu amanah kami!” Dia hanya mampu menghalang dengan kata-kata.

Wanita muda itu menjeling untuk melihat isi bungkusan itu dan kemudiannya, anak matanya dilarikan kepada Budak Tiada Wajah. “Kita tiada guna akan keris itu. Mereka bertiga bersungguh-sungguh mempertahankannya. Kembalikanlah sahaja,” ujarnya separuh berbisik.

Tetapi, bagaimana kalau keris ini dirampas mereka? Tuan punya asalnya dibunuh dan seluruh kampungnya dibakar? Dinda juga pernah mendengar onar yang dilakukan mereka,” ujar Budak Tiada Wajah kepada wanita muda itu.

Itu cerita di warung kopi. Kalau benar sekalipun, kita tiada masa untuk mencari asalnya keris ini. Kita masih ada perkara yang lebih penting untuk difikirkan,” desak wanita itu.

Budak Tiada Wajah terdiam sejenak. Kemudian, dibungkus kembali keris itu dan dia bingkas bangun. Didekatinya Musang Darat yang sedang melutut menahan kesakitan dan diletakkan bungkusan itu di sebelahnya.

Ini bukan yang hamba cari. Hamba tidak tahu bagaimana tuan hamba bertiga mendapatkannya dan hamba tidak mahu tahu. Kalau caranya baik, ampunkan kekasaran kami. Kalau sebaliknya, semoga ada pengadilan yang menyusul, pasti!” Budak Tiada Wajah menoleh kepada wanita muda yang membantunya. “Ayuh, adinda Cindai Ungu. Mari pergi! Oh, ya! Kesakitan kalian akan hilang sebentar lagi.” Lantas Budak Tiada Wajah bersama Cindai Ungu, gelaran wanita muda itu berlari pergi dan hilang dari pandangan.

Musang Darat kebingungan. Sangkanya, Budak Tiada Wajah ingin merompak mereka tetapi bukan itu yang terjadi.

Apakah tujuan pemuda itu jika bukan Takluk Jagat? Apakah perkara lebih penting yang disebutkan Cindai Ungu? Mungkinkah ada kaitan dengan perbalahan dengan Sedinggi? Jika benar, siapakah mereka berdua sebetulnya? Apakah kami diserang kerana pemuda itu tersilap anggap kami ini pengintip untuk Sedinggi? Ah! Terlalu banyak persoalan!’

Cis! Mulanya hamba fikirkan dia itu orang jahat. Alih-alih kita yang diceramahnya.” Tikus Bumi masih dapat bergurau. Kesakitan pada badannya dirasakan sudah semakin hilang.

Hamba sudah berkira-kira dapatlah kita bermain lama sedikit, tidak disangka pula gadis bersenjatakan kain cindai itu bersungguh-sungguh,” ujar Helang Langit. Tangan kurusnya menongkat lutut untuk cuba bangun. Menyeringai bibirnya menahan sakit kerana bisa aruhan tenaga dalam Cindai Ungu masih tersisa dalam tubuh.

Musang Darat hanya mendiamkan diri. Disandangnya bungkusan Takluk Jagat pada bahu. Dengan saling berpimpinan, mereka bertiga melangkah pergi. Perjalanan masih jauh untuk ditempuhi.

Musang, Helang, kita pernah bakar kampungkah?”

Kalau hamba dapat siapa yang menambah-nambah cerita tentang kita, hamba jahit mulutnya!”

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.