SELESAI
solat subuh bersama-sama di masjid, Bayu diajak Raja Madisar ke taman
belakang istana. Katanya ingin menunjukkan sesuatu kepadanya.
Sebaliknya, dia pula yang disuruh menunjukkan Indera Bumi kepada raja
itu.
“Hulurkan
tangan kananmu.” Raja Madisar meminta dan Bayu menurut sahaja.
“Apa
yang anakanda tahu mengenainya?” soal Raja Bunian itu.
“Ia
sangat ampuh. Peredaran darah hamba menjadi lancar apabila
memakainya. Tetapi menghauskan tenaga apabila digunakan terlalu
memaksa. Bergetar apabila ada semangat jahat berhampiran dan juga
dapat mengesan tenaga daripada Takluk Jagat.” Bayu pantas menjawab.
“Tempoh
anakanda mengenali Indera Bumi ini amat singkat, tetapi sudah banyak
yang anakanda tahu mengenainya.” Raja Madisar kelihatan gembira.
“Banyak
yang telah hamba lalui dalam beberapa hari ini.”
“Pada
firasat anakanda, apa gunanya?”
“Ia
adalah pelindung lengan. Pasti untuk mempertahankan diri,” jawab
Bayu dengan yakin.
“Itu
benar. Tetapi, ia juga dapat digunakan sebaliknya.”
Kata-kata
raja itu mengingatkannya ketika bertarung dengan Sigorong. Indera
Bumi digunakannya sebagai senjata.
“Hamba
pernah gunakannya dengan jurus Bayu Berolak hamba.”
“Tunjukkan,”
pinta Raja Madisar lalu Bayu mengabulkannya. Ditunjukkan semua gaya
dan pergerakan yang terkandung di dalam jurus yang penuh gemalai
tetapi keras membidas itu. Kecantikan pergerakan jurus itu menarik
perhatian penduduk kampung yang berjalan pulang dari masjid di
sebelah istana. Lebih mudah mereka melihat kerana istana Bunian ini
tidak berpagar. Mereka memandang begitu asyik menikmati keindahannya.
“Sungguh
indah. Anakanda sudah menguasainya tetapi belum sempurna. Jangan
risau, ia akan sempurna apabila semakin jauh kaki melangkah,” puji
Raja Madisar manakala penduduk-penduduk kampung bertepuk tangan dan
memuji-muji setelah Bayu selesai mempersembahkan jurusnya.
Bayu
pula cuma tersengih dang menggaru-garu belakang kepala. “Semakin
jauh kaki melangkah?” tanya Bayu kerana tidak memahami maksud
kata-kata raja tadi.
“Maksud
hamba, apabila anakanda semakin banyak pengalaman!”
Bayu
mengangguk-angguk. Bahasa kiasan nyata menyusahkannya.
“Tetapi,
jurus yang dilengkapi Indera Bumi ini hanya sesuai untuk menewaskan
lawan yang berdamping dengan semangat jahat. Hamba rasa ianya tidak
dapat membantu jika lawan itu handal tanpa pendamping dan
berpengalaman,” Raja Madisar menyuarakan rasa hatinya.
“Tetapi
tuanku Raja Madisar, jurus ini dapat membalikkan semula tenaga yang
dikenakan kepada pengamalnya kembali kepada lawannya biarpun sekuat
gajah!” Bayu mengulangkan semula kata-kata yang pernah diucapkan
datuknya dahulu ketika jurus silat itu diperturunkan kepadanya.
“Harus
diingat, anakanda Pendekar Bayu. Ada bezanya lawan yang kuat dan
lawan yang berpengalaman, yang langkahnya sudah jauh melangkaui jejak
anakanda. Bersedia, hamba akan tunjukkan. Jangan mengambil ringan
terhadap hamba, jika tidak, anakanda tidak akan faham.”
Lantas
dengan lafaz bismillah, Raja Madisar menarik nafas dalam dan bersedia
untuk menyerang. Bayu tidak berani mengambil enteng setelah melihat
ketegasan wajah raja Bunian itu. Walaupun sudah berumur, tetapi dia
tahu buah pukulan raja itu masih berbisa. Jika tersilap langkah, dia
akan cedera!
Dengan
pantas, Raja Madisar menyerbu. Bayu terperanjat kerana tidak
menyangka lelaki berumur itu lebih tangkas daripada sangkaannya.
Tetapi, dia berjaya menyekat serangan itu dan menggunakan tenaga yang
dikenakan kepadanya untuk menolak Raja Madisar. Tidak disangka, raja
itu memutarkan tubuhnya dan membalikkan tenaga untuk menolaknya tadi
kembali kepada Bayu dan kesudahannya, dia yang tercampak jauh!
“Ini
bukan kekuatan. Ini pengalaman,” kata Raja Madisar sambil
menghulurkan tangan menarik Bayu bangun.
“Lihatlah
tenaga yang kecil, apabila diedarkan semula, berubah menjadi besar,”
katanya lagi.
Bayu
mengangguk faham. Tenaga yang cuma digunakan untuk menolak, apabila
dikembalikan kepadanya, mampu mencampaknya jauh.
“Jika
bertemu dengan lawan yang didampingi oleh semangat asing,
hapuskanlah dahulu semangat itu. Jangan ambil mudah mereka yang
tewas. Pengamal ilmu hitam yang bersekongkol dengan syaitan dan iblis
ini sangat keji dan sanggup membelakangkan agama. Jika anakanda
kasihani mereka, pasti anakanda akan ditikam dari belakang!”
“Ilmu
hitam? Bagaimana dengan mantera yang digunakan untuk melancarkan
jurus? Tidakkah itu juga ilmu yang sesat?” Bayu berasa keliru. Dia
mula tertanya-tanya apakah mentera yang dibacanya adalah bertujuan
untuk menyeru semangat?
Tetapi
ketika membaca mantera-mantera itu, tidak pernah terlintas di
fikirannya untuk menyeru apa-apa bentuk bantuan luar. Dia membacanya
kerana dia diajar begitu. Sangkanya, ia cuma satu bentuk kesenian
orang-orang Melayu.
“Letakkan
tangan tuan pada dada,” suruh Raja Madisar.
Bayu
terpinga-pinga dan hanya menurut. “Untuk apa?” Bayu kehairanan.
Apa kena-mengena tangan pada dada dan kemusykilannya tadi?
“Apa
yang tuan rasa?” soal Raja Madisar.
“Rasa?
Apa yang sepatutnya hamba rasa?” Bayu masih belum faham.
Raja
Madisar cuma mengangkat kening merenungnya.
Rasa?
Ya! Hamba dapat rasakan!
“Ada
getaran apabila hamba berbicara! Tetapi, apa kena-mengenanya?” Bayu
sudah mula memahami. Tetapi, tidak sepenuhnya.
“Apabila
kita berbicara, seluruh isi di dalam badan, paru-paru, perut, hati
dan yang lainnya akan bergerak-gerak, bergetar mengikut patah bicara
kita. Kita juga perlu bernafas untuk berbicara. Sebab itulah
dirasakan dada kita bergetar. Apa yang dilakukan ketika membaca
mantera?” Raja Madisar tidak ubah seperti seorang guru yang
mengajar muridnya. Penuh semangat!
“Mengedarkan
tenaga dalam.” Bayu memberi jawapan. Kepalanya mendongak memandang
raja itu.
“Tenaga
dalam akan berubah-ubah dan dicerna oleh perut, paru-paru dan hati di
dalam badan yang bergetar bersama nafas yang diambil dan dihembus
ketika melafaz mantera. Setiap jurus, berbeza kaedah dan jumlah
tenaga dalam yang dicerna. Sebab itulah lain jurus lain manteranya.
Jadi, ia bukan bertujuan untuk menyeru mana-mana pendamping. Kecuali
mantera yang sememangnya bertujuan untuk menyeru semangat-semangat
ghaib. Anakanda pasti dapat membezakan yang mana jurus mutlak dan
yang mana jurus sesat,” terang Raja Madisar dengan panjang lebar.
“Barulah
hamba berasa tenang. Tak terduga dalamnya ilmu tuanku. Tetapi, kenapa
tuanku memanjat pokok?” Bayu hairan melihat gelagat Raja Madisar.
Semakin rancak dia bercerita, semakin tinggi pohon pulasan di taman
itu dipanjatnya.
“Ha?
Oh! Hamba memang suka mengajar dari atas pokok, senang melihat anak
murid,” jawab Raja Madisar yang kelihatan menggelabah turun dari
atas pohon itu.
Bayu
tunduk melihat tanah. Tidak disangkanya, kaum Bunian pun melatah.
“Ayahanda
ini tak akan berubah. Semakin bersemangat, semakin tidak sedar
kelakuan diri!” rungut Puteri Ariasha yang memerhati dari jendela
istana.
“Cukup
dahulu setakat ini. Kita sambung selepas asar,” ujar Raja Madisar
sebelum menghilangkan diri naik ke istana.
***
PETANG
itu, sekali lagi Bayu Adi Jata menghadap Raja Madisar di taman
belakang istana, di bawah pohon pulasan yang berbuah lebat, tempat
yang sama.
“Mengikut
adab susila manusia, yang selalu bermain di mulut mereka yang
kononnya berbudi dan mulia hati, kekejaman patut dilawan oleh
kelembutan dan kesopanan budi bicara. Hati yang kejam lambat-laun
berubah.” Raja Madisar bersemangat memulakan pengajarannya petang
itu.
“Tetapi,
jika rahang sudah patah, tangan cacat, bolehkah kita berlembut lagi?
Jagat persilatan adalah kejam. Kuat berkuasa, lemah merana. Tetapi
masih ada yang membela. Untuk itu, syukur kepada ALLAH. Namun,
berdepan dengan Takluk Jagat, kejam perlu dilawan dengan kezaliman!”
Kata-kata Raja Madisar kali ini agak menggentarkan Bayu. Dia sentiasa
diingatkan untuk bersikap lembut tetapi berhati-hati oleh datuknya.
Tidak pernah diajarnya berkasar.
“Sampai
suatu masa, anakanda Pendekar Bayu perlu menjadi zalim untuk
menyelamatkan nyawa yang lain!”
“Zalim?
Tetapi, itu sifat yang cela.” Bayu kurang bersetuju dengan cara
yang disarankan walaupun di hatinya sedar, sesetengah keadaan, itu
sahaja caranya.
“Indera
Bumi pasangan Takluk Jagat; juga lawannya. Ia mampu mengekangnya
dengan cara yang tersendiri. Cara yang zalim!” Raja Madisar
memandang Indera Bumi pada lengan Bayu ketika berbicara.
“Mana
mungkin tuanku? Ia cuma pelindung lengan. Bukan pedang ataupun
golok!” tegasnya. Aneh sekali, bagaimana sebuah pelindung lengan
mampu berlawan dengan sebilah keris?
“Sudah
hamba katakan pagi tadi, ia boleh digunakan sebagai senjata untuk
menyerang. Salah satu caranya, tuan sendiri temui. Tetapi caranya
yang mutlak, Seni Permainan Indera Bumi masih lagi
terselindung, belum anakanda sedari.”
Kata-kata
Raja Madisar membuatkan Bayu semakin tertanya-tanya. Apa maksudnya
‘Seni Permainan Indera Bumi masih lagi terselindung’?
Sudah berkali-kali Bayu membelek Indera Bumi, tetapi tidak menemui
apa-apa pun?
“Lihatlah
ukirannya,” pinta Raja Madisar setelah melihat Bayu mula keliru.
Lalu,
Bayu sekali lagi membelek ukiran yang menghiasi pelindung lengan itu,
setelah entah berapa puluh kali dibeleknya semenjak menjumpai benda
itu. Ukiran aneh seperti pucuk-pucuk menyulur membelit dengan corak
tertentu berpecah menuju ke bahagian atas dan ke bawah. Pucuk-pucuk
yang menuju ke atas pula berpecah kepada dua bahagian. Bahagian
sebelah kirinya terdapat bunga-bunga kecil manakala yang kanannya
terdapat garis-garis halus di bahagian luar pucuk kelihatan seperti
lapisan yang melindunginya.
“Cantik
tetapi aneh ukirannya pada pandangan mata hamba.” Bayu tidak mahu
menyinggung perasaan raja itu kerana dia pasti Indera Bumi ada
kaitannya dengan kaum Bunian.
“Jika
begitu, anakanda telitilah ia. Jika sudah faham, datang temui hamba.”
Raja Madisar berlalu naik ke atas istana semula.
“Tetapi,
ia mungkin akan memakan masa. Jika tuanku terangkan kepada hamba,
pasti lebih cepat!” Bayu melaung ke dalam istana.
“Kefahaman
setiap orang terhadap ukiran itu pasti berbeza. Hamba tak boleh
ceritakan kefahaman hamba kerana ia pasti tak sesuai dengan anakanda
pendekar Bayu. Lebih elok anakanda memahaminya sendiri kerana
anakanda adalah warisnya,” balas Raja Madisar yang menjenguk dari
bukaan jendela.
“Apa
kena mengena ukiran ini dengan Seni Permainan Indera Bumi?”
soal Bayu lagi.
“Kesemuanya!”
***
“UKIRAN
ini pasti mempunyai makna. Tetapi, tiada apa-apa petunjuk yang
terlintas di fikiran hamba.” Puteri Ariasha berkerut dahi membelek
Indera Bumi, lalu diserahkannya kembali kepada Bayu.
“Bagaimana
tuanku raja tahu begitu banyak tentang Indera Bumi? Hamba rasa ia ada
kena-mengena dengan kaum Bunian, apakah telahan kanda ini benar?”
“Menurut
ceritanya, ia memang ditempa oleh kaum Bunian untuk mengekang Takluk
Jagat yang bermaharajalela suatu ketika dulu.”
“Mengapa
hamba tak diberitahu sebelum ini?”
“Tiada
terkeluar pun pertanyaan tuan hamba mengenainya,” jawab Puteri
Ariasha sambil membetulkan duduknya di atas dahan pohon pulasan.
‘Pelik
benar orang Bunian, semuanya perlu disoal,’ fikir Bayu sambil
memetik buah pulasan lalu dihulurkan kepada Puteri Ariasha yang duduk
terjuntai di sebelahnya.
“Mungkin
ia sebuah peta!” Bayu membuat andaian.
“Ke
mana?”
“Tempat
ia ditempa. Barangkali penempa atau keturunannya masih wujud. Atau
mungkin ia menunjukkan arah ke tempat rahsia Seni Permainan Indera
Bumi tersembunyi!”
“Perkampungan
tempat ia ditempa telah lama ditinggalkan. Susah untuk kita menjejaki
keturunan penempanya. Lagipun, hamba tidak merasakan ia sebuah peta,
tiada pemandu arah yang boleh kita jadikan pedoman.”
“Mungkin
ukiran ini sama dengan ukiran pada bangunan tertentu? Yang mungkin
menyimpan rahsianya?” Bayu cuba meneka lagi.
“Setiap
bangunan kaum bunian terdapat ukiran yang tersendiri untuk
membezakannya. Tuan hamba sendiri dapat perhatikannya di kampung ini.
Hamba tahu semua ukiran-ukiran ini.” Puteri Ariasha berhenti
berbicara dan memegang Indera Bumi pada lengan Bayu dan membeleknya
sebelum menyambung bicara, “Tetapi apa yang terdapat pada Indera
Bumi sesuatu yang tidak pernah hamba lihat. Coraknya bercampur aduk.
Nampak aneh walaupun pada pandangan mata kaum kami.”
Puteri
Ariasha sendiri bingung memikirkan rahsia yang tersirat pada Indera
Bumi. Dia telah mencuba sedaya memikirkannya untuk membantu tetapi
masih belum berjaya.
Bayu
sudah buntu akal. Hari semakin gelap. Angin petang yang berhembus
dirasanya begitu menyejukkan. Membekukan sekali fikirannya daripada
terus berfikir. Puteri Bunian diam terkunci mulut, merenung wajah
pemuda di sebelahnya.
“Malam
ini selepas selesai solat isyak, hamba ada kejutan untuk tuan hamba!”
ucap Puteri Ariasha dengan riang.
“Kejutan?
Apakah gerangannya? Tuan hamba ingin masakkan makan malam?”
“Jika
diberitahu, bukanlah lagi kejutan namanya.”
“Bertemu
tuan hamba juga satu kejutan.”