Wanita Misteri
"Doktor Sarah?" soal Marina kehairanan. Dia tidak sangka rakan karib ayahnya itu akan datang.
"Hai Marina. Kamu apa khabar?" ucap wanita itu dengan lembut. Punggungnya dilabuhkan ke atas sofa yang terletak berhadapan dengan Marina. Dia memandang tepat ke arah Marina.
"Baik. Cuma…" Marina menunduk.
"Tak mengapa…..auntie faham . Auntie pun tak sangka perkara ini boleh terjadi"
"Marina masih tak percaya yang ini boleh terjadi"
"Sabar ya…" pujuk Doktor Sarah sambil tangannya menepuk-nepuk bahu Marina.
"Emm… ada apa auntie datang ke sini?"
"Saja nak jenguk kamu. Auntie ingat nak pergi naik ke rumah kamu. Tapi tiba-tiba nampak kamu ada di sini"
"Kenapa tak telefon dahulu?" tanya Marina. Doktor Sarah tidak menjawab. Dia hanya tersenyum tawar. Suasana sepi seketika, masing-masing seolah-olah tiada idea untuk meneruskan perbualan.
"Apa kamu buat di sini? Tunggu seseorang?" Doktor Sarah tiba-tiba menyoal.
"Ya. Saya sedang tunggu Inspektor David. Katanya ada hal yang ingin dibincangkan dengan saya"
"Oh, begitu" Doktor Sarah mengangguk-angguk. Mereka meneruskan perbualan mereka. Nampaknya Doktor Sarah begitu mengambil berat tentang Marina. Doktor Sarah memang rapat dengan keluarganya sejak dulu lagi. Dia merupakan kawan baik ayahnya sejak mereka belajar di universiti lagi. Dia bekerja di Pusat Penyelidikan Utama Pasadianka (PPUP). Dahulunya, Doktor Adam Raufal juga bekerja di situ, namun selepas hampir lima belas tahun, dia beralih minat dalam bahagian pengurusan Pusat Sains, Teknologi dan Seni Negara. Selain daripada itu, Doktor Sarah juga menubuhkan Yayasan Rahsia Hati. Satu badan amal yang ditubuhkan untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik. Agak lama juga mereka berbual dan sesekali Marina melihat jam tangannya. Inspektor David yang ditunggu-tunggu masih belum sampai lagi.
"Nampaknya dia masih belum sampai lagi?" ujar Doktor Sarah setelah melihat Marina yang kelihatan gelisah dan tidak habis-habis melihat jam tangannya.
"Tak tahulah auntie. Ada masalah sedikit agaknya" kata Marina. Dia menyedapkan hatinya sendiri.
"Kalau macam tu, auntie minta diri dululah. Banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan. Kalau ada apa-apa telefon auntie ya. Bila majlis pengebumian ayah kamu tu?" tanya Doktor Sarah sebelum berlalu.
"Kalau boleh secepat yang mungkin. Tapi pihak forensik masih belum selesai lagi melakukan siasatan."
"Baiklah Marina. Bersabarlah, ini mungkin dugaan"
"Terima kasih auntie"
"Jaga diri baik-baik ya" pesan Doktor Sarah kepada Marina.
Marina bersalaman dengan Doktor Sarah dan wanita itu pun berlalu.
Truut… Truut… telefon bimbit Marina bordering. Marina pantas membuka tas tangannya dan menjawab panggilan telefon itu.
"Hello"
"Hello. Maria, ini Inspektor David, awak dah tunggu di lobi ke?" suara Inspektor David kedengaran.
"Ya dah lama saya tunggu awak"
"Oh. Maafkan saya. Saya baru sahaja memasuki perkarangan Pangsapuri Seri Damai. Kamu tunggu sebentar ya"
Inspektor David mematikan talian. Marina mengeluh seketika. 'Lambatnya…' dia berkata-kata di dalam hati. Selang beberapa minit kemudian, Inspektor David kelihatan memasuki ruang legar lobi pangsapuri itu. Langkahnya pantas sambil tangannya melambai-lambai ke arah Marina yang sedang menunggu kehadirannya sejak tadi.
"Hai Marina, apa khabar?" ucap Inspektor David sejurus sahaja sampai. Dia mengelap dahinya yang dibasahi peluh.
"Baik" jawab Marina ringkas.
"Maaflah, jalan raya sesak tadi. Sebab itulah saya lambat" Inspektor David member alasan. Rasa bersalah juga kerana membiarkan Marina menunggu.
"Never mind you're forgiven. Lagi pun kawan Doktor Adam ada datang melawat saya di sini. Jadi kenapa Inspektor nak jumpa saya ni?"
"Tentulah tentang Doktor Adam Raufal. Saya harap cik Marina boleh member kerjasama"
"Sudah tentu. Tiada masalah. Inspektor boleh tanya apa saja soalan" kata Marina. Inspektor David menarik nafasnya dalam-dalam. Dia memandang ke arah Marina yang tersenyum.
"Baiklah cik Marina. Saya ingin bertanya tentang kehidupan peribadi Doktor Adam. Secara jujurnya, saya tidak banyak tahu mengenai Doktor Adam Raufal. Seperti kebanyakkan orang, saya hanya tahu mengenai sumbangannya yang mengagumkan itu. tetapi saya ingin tahu lebih lanjut lagi mengenai hidup Doktor Adam. Jadi, boleh awak beritahu serba sedikit tentang perkara-perkara di luar bidang kerjanya" Inspektor David memulakan sesi soal-siasatnya.
"Memberitahu perkara-perkara di luar bidang kerjanya umpama menulis buku autobiografi yang membosankan"
"Maksud awak?"
"Tak banyak yang boleh saya cakap mengenai perkara-perkara yang berada di luar bidang kerjanya. His life was all about work for so long and nothing as important as work"
"Dia tak pernah beritahu awak sedikit pun mengenainya?"
"Seingat saya tak pernah. Tapi setahu saya, dia jarang bersosial atau melakukan aktiviti luar. Sepanjang hidupnya, dia amat komited dengan kerjanya."
"Mungkin, rahsia peribadi itu boleh dicungkil daripada kerja yang dilakukannya selama ini. Rahsia gelap yang telah member warna hitam kepada sejarah Pasadianka"
"Boleh jadi juga. Saya pasti kejadian semalam adalah satu yang luar biasa sekali. Ini kali pertama dalam tempoh dua abad"
"Awak tak marah dengan kata-kata saya tadi"
"Marah? Untuk apa?"
"Sebab…"
"Saya faham apa yang awak maksudkan. Walaupun ayah saya yang menjadi mangsa pembunuhan itu. Ada kemungkinan, orang lain sengaja 'menghukum' dia kerana sesuatu yang dilakukannya. Bukankah itu yang awak maksudkan?"
"Ya. Pandai awak baca fikiran saya. Tapi saya tidak mengatakan yang Doktor Adam itu jahat."
"Saya tak marah kerana saya tahu tiada seorang pun yang sempurna. Walaupun dia ayah saya. Tak semestinya saya kenal dia seratus peratus. Mungkin ada sesuatu yang disembunyikannya daripada saya"
"Sesuatu? Seperti apa?"
"Mungkin kisah silam dia, kegiatan luar yang dilakukan atas nama kerja atau bahagian dirinya yang tak pernah ditunjukkan kepada orang ramai"
"Em… Awak kenal siapa kawan dia yang paling rapat?"
"Tak ramai. Tapi yang paling rapat hanya dua orang sahaja..... Doktor Sarah dan Doktor Fendi. Baru sebentar tadi dia datang melawat saya untuk bertanyakan khabar"
"Doktor Sarah atau Doktor Fendi"
"Doktor Sarah"
"Doktor Sarah yang bekerja di PPUP tu ke?"
"Ya. Inspektor kenal dia?"
"Siapa yang tidak kenal dengan dermawan seperti dia. Lagipun, saya pernah berjumpa dengannya ketika saya menyiasat kehilangan mayat di PPUP"
"Oh ya! Saya ingat lagi kes itu." ujar Marina.
"Bagaimana pula dengan Doktor Fendi?"
"Saya tak pernah berjumpa dengannya"
"Tapi awak kenal dia kan….?"
"Saya hanya kenal suaranya sahaja. Selama lebih dua puluh tahun, saya tak pernah bersemuka dengannya"
"Doktor Adam tak pernah bawa awak berjumpa dengannya?"
"Tidak" jawab Marina. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. "Jika awak nak tahu, Doktor Fendi telah menimbulkan syak saya selama ini. Dia membuatkan saya tertanya-tanya."
"Apa yang awak sangsi mengenai Doktor Fendi?"
"Saya hairan kenapa ayah saya tidak pernah membawa saya bersemuka dengannya dan saya sangsi mengenai hubungan lelaki itu dengan ayah saya"
"Doktor Sarah pernah bercakap dengan awak mengenai Doktor Fendi?"
"Tak pernah. Ayah saya tidak membenarkan saya bercakap mengenai Doktor Fendi di hadapan Doktor Sarah."
"Awak tahu sebabnya?"
"Entahlah. Walaupun ayah saya liberal orangnya, ada ketikanya dia bersikap konvensional."
"Konvensional?"
"Yalah. Orang tua-tua zaman dahulu, jika anak mereka bertanya 'kenapa', jawapan mereka mudah. 'Buat saja!' atau 'Banyak tanya pula!' ".
"Itu yang awak maksudka dengan konvensional rupanya. Jadi awak tak suka dengan cara itu"
"Tidak. Saya tidak sukakannya. Sememangnya, kita perlu bertegas tetapi saya tidak sukakan dogma. Tiada dogma dalam hal-hal yang berkait rapat dengan kebenaran. Sikap konvensional sebegitu rupa akan mencipta ramai pemberontak"
"Saya kagum dengan awak. Tapi nampaknya kita sudah lari dari tajuk asal kita"
"Maafkan saya"
"Tak mengapa. Mungkin soalan saya yang membuatkan awak berkata-kata sebegitu rupa." Kata Inspektor David. "Maaf kalau saya bertanya. Bagaimana pula dengan arwah ibu awak?"
"Apa yang awak nak tahu tentang dia?"
"Saya dapat tahu yang dia meninggal beberapa tahun lalu akibat satu kecelakaan jalan raya"
"Ya. Memang. Dia meninggal kerana kemalangan itu. Tetapi nasib ayah saya baik. Jika melihat kepada keadaan kereta pada ketika itu, ramai yang tidak percaya yang ayah saya hanya cedera ringan."
"Dia benar-benar beruntung"
"Ya. Tapi bukan semalam"
"Bila kali terakhir Doktor Adam menghubungi cik"
"Tiga minggu lepas"
"Tentang hal apa"
"Dia bertanya tentang pangsapuri ini, sayakan baru sahaja pindah ke sini. Jadi dia risau"
"Itu saja?"
"Emm… itu sahaja yang kami bualkan tadi. Oh ya. Dia ada bertanya sama ada saya menerima gangguan dari sesiapa atau pun tidak"
"Bagaimana dengan nada suaranya ketika itu?"
"Macam biasa sahaja cuma dia seperti risaukan sesuatu. Tapi saya tak syak apa-apa pun ketika itu"
" 'Sesiapa'. Agak-agak Marina, siapa 'sesiapa' tu?"
"I have no idea." Jawab Marina ringkas, dia sendiri tidak tahu jawapan apa yang patut diberi.
"Nampaknya, Doktor Adam seolah-olah tahu yang keluarga Cik Marina berada dalam bahaya. Cik Marina pernah diancam atau diganggu sejak akhir-akhir ini?"
"Diancam?" kata Marina. Dia berfikir seketika. Tak pernah. Tapi sejak akhir-akhir ini…." Marina memikirkan sesuatu.
"Teruskan cik Marina" Inspektor David seperti tidak sabar-sabar ingin mendengar jawapan dari Marina.
"Sejak akhir-akhir ini, saya rasa ada orang yang sering mengikuti saya. Dia seperti mengintip pergerakkan saya"
"Mengintip? Apa yang berlaku?"
"Sejak kebelakangan ini, ada seorang wanita yang mengikuti pergerakkan saya. Ke mana sahaja saya pergi, dia mesti ada"
"Cik kenal wanita itu?"
"Tak"
"Macam mana rupa dia?"
"Saya tak dapat nak cam sebab dia selalu memakai topi dan warna rambutnya agak perang"
"Apa baju yang selalu dia pakai?"
"Sweat suit berwarna putih"
"Adakah dia memakai sweat suit putih setiap kali cik Marina ternampak dia?"
"Ya. Dan wajahnya… Oh! Saya tak tahu sama ada saya perlu beritahu kamu tentang perkara ini." Marina teragak-agak untuk memberitahu Inspektor David.
"Come on Marina. Just tell me."
"I've never told anybody about this….Saya tak tahu sama ada saya sedang berhalusinasi but I think wanita itu menyerupai saya"
"Menyerupai awak?!" Inspektor David agak terkejut dengan kenyataan Marina.
"Ya. Cuma rambutnya sahaja yang berbeza dan kulitnya sedikit keperang-perangan"
"Pelik sungguh. Betulkah ini?"
"Kenapa Inspektor tak percaya ke?"
"Percaya… Cuma saya terfikir sesuatu. Jika betul apa yang kamu katakan tadi. Kemungkinan besar dia adalah orang yang…."
"Membunuh Doktor Adam?"
"Ya. Dan maafkan saya jika apa yang saya katakan ini akan menakutkan awak. Tetapi jika kelmarin Doktor Adam menjadi mangsa. Ada kemungkinan orang yang seterusnya diburu adalah awak" kata Inspektor David.
Wajah Marina tidak berubah. Tidak ada apa-apa reaksi yang dapat dilihat daripada wajahnya.
Inspektor David terus menyoal Marina dengan soalan-soalan yang kadang-kadang membuat Marina berasa tidak senang terutama sekali apabila ia menyentuh soal peribadi. Walau bagaimanapun dia menjawab dan menghadapinya dengan tenang. Kadangkala, dia sempat ketawa kecil dan tersenyum apabila ada yang melucukan hatinya. Ini membuatkan Inspektor David tertanya-tanya bagaimana wanita ini masih mampu tersenyum walaupun bapanya baru sahaja meninggal dunia.
Ketika Marina sedang memberi keterangan, konsentrasinya tiba-tiba terganggu apabila dia ternampak seorang wanita yang mencurigakan berada di kawasan tempat letak kereta pangsapuri itu. Dari lobi berdinding cermin itu, Marina dapat melihat dengan jelas wajah wanita itu. Dia yakin wanita itulah yang seringkali mengekorinya. Tanpa berlengah lagi dia terus memberitahu Inspektor David.
"Inspektor, dengan kadar perlahan saya nak Inspektor pusing sembilan puluh darjah ke kiri dan tengok wanita berbaju putih yang sedang berdiri di sebelah kereta Satria berwarna merah" kata Marina. Dia hanya menggerakkan mulut dan matanya sahaja. Inspektor David menoleh. Dia melakukan apa yang disuruh oleh Marina.
"Marina adakah dia…"
"Ya… ya… dialah orangnya. She does look like me right?" kata Marina. Inspektor David mula memikirkan sesuatu.
"Ok. Saya ada rancangan. Saya nak awak pandu kereta awak ke Candy World dan biarkan dia ekori awak. Saya pula akan ikut dari belakang"
"Tapi bahaya" kata Marina. Dia sedikit bimbang dengan keselamatan dirinya.
"Awak perlu beri kerjasama. Saya janji, keselamatan awak akan saya jaga" Inspektor David memberi jaminan.
"Baiklah. Saya akan lakukan" Marina member kata persetujuan walaupun sebenarnya dia masih ragu-ragu untuk melakukan apa yang dirancang oleh Inspektor David.
Seperti yang dirancang, Marina mula memandu keluar kereta Satria birunya dari Pangsapuri Seri Damai. Inspektor David menunggu di dalam jip pacuan empat rodanya dengan penuh sabar. Seperti yang dijangkakan, wanita misteri itu mengekori Marina. Dia memandu kereta wira berwarna merah yang tiada nombor pendaftaran.
Marina memandu keretanya dengan kadar perlahan. Matanya sentiasa ditumpukan ke arah cermin sisi keretanya. Dari pantulan cermin itu Marina dapat melihat kereta wanita itu. Dia masih lagi mengekorinya.
Selepas hampir lima belas minit, Marina memasuki Jalan Temasik yang menjadi laluan utama pengguna jalan raya untuk ke pusat membeli belah Candy World. Tiga ratus kilometer dari tempat pemanduannya, dia dapat melihat tiga orang anggota polis sedang melakukan pemeriksaan lalu lintas. 'Ini peluang baik' Marina bermonolog. Marina melihat cermin sisi keretanya. Wanita misteri itu masih lagi mengekorinya. Marina mempercepatkan kelajuan keretanya menuju ke arah pegawai polis yang sedang bertugas. Namun dengan tak semena-mena wanita misteri itu memotong Marina dan memandu laju meninggalkan Marina di belakang. Inspektor David yang menyedari hal itu mengejar kereta yang dipandu oleh wanita itu. Dari jauh dia dapat melihat lampu isyarat berwarna kuning dinyalakan. Wanita misteri itu terus memecut dan berjaya melepasi jalanan itu sebelum lampu bertukar merah. Namun, nasib tidak menyebelahi Inspektor David, dia tidak dapat melepasi jalan itu sebelum lampu bertukar merah. Pantas, dia memberhentikan keretanya.
"Damn it…!" Inspektor David menghentak stereng keretanya. Geram sungguh rasa hatinya. Dia hampir-hampir dapat mengekori wanita misteri itu.