KONDOMINIUM SOSUMMER
BANGSAR
Ruang dapur kondo kelihatan agak sibuk pada pagi itu, tidak seperti hari-hari biasa.Ezrina sedang menyapu roti bakarnya dengan jem cranberry. Fiza sedang mengisi mugnya dengan instant oat. Anggerik sedang menuang air panas ke dalam mugnya manakala Emma pula sedang berdiri dengan mug di tangan menunggu Anggerik selesai menuang air panas ke dalam mugnya. Masing-masing hanya memakai camis dan berseluar pendek.
Ezrina, Fiza, Anggerik dan Emma tidak pernah mengabaikan sarapan pagi walaupun mereka hanya bersarapan dengan satu mug instant oat ataupun dengan sekeping roti. Mereka tahu sarapan pagi amat penting dalam memastikan tubuh mereka kekal ramping dan seksi.
Bersarapan pagi akan mengurangkan rasa lapar apabila tiba waktu tengahari. Selalunya waktu makan tengahari mereka berempat akan menjauhi nasi. Bihun dan mi sering dijadikan pengganti, itupun dengan jumlah yang sedikit sekali. Jika ada hidangan salad, itulah yang pertama sekali akan mereka kerumuni.
Ezrina menggigit juring roti bakar yang rangup itu lalu dikunyahnya dengan penuh berselera sekali. Sejak dari kecil lagi roti bakar amat Ezrina gemari. Dengan tidak semena-mena, fikiran Ezrina meneroka peristiwa malam tadi. Gambaran gelagat Razif membuatkan Ezrina tersenyum sendiri.
“Haa…ingat siapa tu senyum sorang-sorang?” Tegur Anggerik yang sedang berjalan ke meja makan. Dia menarik kerusi lalu duduk di sebelah Ezrina.
“Alah, siapa lagi kalau bukan Mikhael,” sampuk Emma sambil mengacau-ngacau instant oat dalam mugnya dengan sudu.
“Tak, bukan Mikhael. I rasa tentu pasal mamat yang dua orang semalam, kan?” Fiza pula menyampuk.
“Haha…masa tu memang rasa annoyed tapi ingat-ingat balik kelakar jugak. Nasib baik I pergi jumpa diorang. Kalau tak, sampai bila-bila pun kita akan ingat diorang tu kepala tak betul.”
“Yang tukang nyanyi tu handsome jugak, kan? Kening lebat, hidung mancung, ada darah Arab kot. Badan pun nampak tegap. Mesti sedap peluk. Haha..” Anggerik ketawa.
“Eh,yang sorang lagi tu pun not bad looking. Muka macam bad boy. Nampak sexylah dia pakai baju hitam gambar tengkorak kambing ke apa, haha..” Fiza turut ketawa.
“Hey, Fiza! Bukan tengkorak kambing, tengkorak setanlah! Haha...tapi rasa ralat jugak kan tak ambik nombor diorang. Alah, setakat buat kawan apa salahnya.” Tambah Ezrina.
“Tapi kenapa agaknya diorang tak nak join kita semalam? Diorang segan kot?” Emma pula bertanya.
“Entahlah.Tapi Razif, yang tukang nyanyi tu nampak beriya-iya nak join kita. Cuma si Haris tu yang tak nak. Maybe masa tu dia ingat I main-main je ajak diorang.Tapi apapun, seronok, kan semalam? Akhirnya dapat juga kita semua berkumpul tanpa perlu berkepit dengan boyfriend masing-masing. I tau you guys susah nak berenggang dengan your boyfriends. So guys, thank you very much for making it happened last night.”
“Alah Rin, small matterlah. Lagipun kita semua kan dah lama tak outing sama-sama. Frankly speaking, I rasa kalau kita buat girl’s night out ni lebih kerap seronok jugak, kan?” Fiza memberi cadangan.
“Setuju,”balas Emma.
“Me too,” balas Anggerik pula.
“Okey, kalau semua dah setuju, nanti I buat survey kat mana kita nak pergi outing lepas ni. Sementara tu, I nak pergi packing dulu. I dah janji dengan my mom nak balik Damansara hari ni.” Ezrina menuju ke sinki membasuh mugnya.
“Eh Rin, tell your mom we all semua kirim salam.” Fiza berpesan-pesan.
“Okey,” Ezrina meletakkan mug di rak pinggan dan beredar ke biliknya.
KOLEJ DELTA
Haris dan Razif baru saja selesai membasuh motosikal masing-masing. Sekarang mereka sedang berehat-rehat di bilik sementara menunggu waktu makan tengahari. Haris membelek-belek komik The Walking Dead, Razif pula sedang menonton konsert Therion di Youtube. Dia mengklik ikon pause untuk mempercepatkan proses buffering.
“Eh Sheikh, aku lupalah nak tanya, kau ada tak album Therion yang diorang cover lagu Perancis tu?” Razif memula bicara.
“Yang mana? Les Fleurs du Mal?”
“Ah-ah,dengan Les Epaves sekali.”
“Alah, dua-dua tu ada dalam laptop aku, kau copy je.”
“Ler, apasal kau tak cakap?”
“Dah kau tak tanya.”
Razif mengambil flash drive dalam beg komputer ribanya lalu menghampiri computer riba Haris. Dia memasukkan flash drive itu ke dalam USB port dan menghidupkan komputer riba itu.
“Eh, kau dah tukar password baru ke?”
“Ah-ah.”
“Apa dia?”
“Dianora.”
“Eja?”
“D,I,A,N,O,R,A,semua huruf besar.”
Razif mengulang sebut huruf yang diucap Haris sambil jari-jarinya menekan papan kekunci komputer riba. Sebentar kemudian paparan desktop dengan imej tengkorak bertanduk merah muncul di skrin komputer riba.
“Dianora ni siapa? Awek kau masa tadika ke?”
“Bukanlah, tu nama girlfriend aku dalam game Planescape Torment. Tapi dalam game tu ejaan dia lain sikit.”
“Kau ni punyalah buaya, dalam game pun ada awek. Game zaman bila tu? Tak pernah dengar pun.”
“Dah lama, tak silap aku tahun 99. Aku kan minat benda-benda retro ni. Tapi game ni memang best. The best RPG game yang pernah aku main.”
“Aku tak suka sangat game RPG. Banyak kena pikir, nak layan dialog lagi. Aku suka yang tembak-tembak bodoh je. Lagi ganas lagi best. Tembak kepala otak bersepai.”
“Aku suka game RPG ni sebab selalunya jalan cerita dia best. Tapi game tembak bodoh pun suka jugak, tambah-tambah yang ada zombi.”
“Eh, sebut pasal zombi ni, Walking Dead season baru bila start? Tak sabar nak tengok zombi-zombi pecah kepala kena tembak.”
“Minggu depan. Supernatural yang baru pun tak silap aku start minggu depan jugak.”
“Aa..season baru ni mesti lagi best. Kau jangan lupa tau cakap dengan mama kau kasi record semua episod.”
“Don’t worrylah, nanti aku bagi taklimat kat mama aku pasal tu.”
“Fail Therion tu kat mana wei?”
“Dekat desktop tu je.”
“Yang ni ke?” Razif menudingkan jari telunjuknya kepada ikon fail yang bertajuk“METALBLOOD”.
Haris menjenguk ke skrin komputer ribanya.
“Ah-ah. Aku baru buat grouping, tak siap lagi. Yang metal semua dalam fail yang tu.Bukan Therion je, band lain pun ada. Metallica, Megadeth, Slayer, Bathory, Sepultura, Morbid Angel, banyak lagilah.”
Setelah proses memindah fail selesai, Razif mencabut flash drivenya dari USB port dan mematikan komputer riba Haris. Dia melangkah kembali ke meja tulisnya dan memasukkan flash drive itu ke dalam USB port komputer ribanya. Haris memandang saja gelagat Razif itu. Pandangan matanya kemudian terkunci pada dua biji botol budu yang masih tersergam di atas meja tulis Razif.
“Wei, aku baru nak tanya, pasal apa botol budu tu ada lagi? Tak laku ke?” Tanya Haris.
“Bukan tak lakulah, tak keluar bilik pun lagi.”
“Diorang malu kot nak keluar bilik. Yalah, nanti kang kena ejek dengan botol kicap.”
“Kau jangan pandang rendah diorang ni. Semangat suka merantau dah sebati dalam diri.”
“Tapi kalau ikutkan perkembangan semasa, aku tak rasa yang botol-botol budu ni berani keluar bilik.”
“Eh Ris, aku rasa aku ada idealah macam mana nak settlekan dilema botol-botol budu ni.”
“Hah, tak payah! Aku tak nak dengar idea kau. Dah faham sangat. Kalau tak libatkan aku, mesti libatkan mama aku.”
“Kau dengar jer dulu. Aku janji, kalau idea ni tak berhasil, aku akan sedekahkan diorang kat makcik dewan makan walaupun makcik dewan makan tu orang Nigeria.”
“Eh,macam tu lagi bagus. Kau sedekah jelah kat makcik Nigeria tu. Boleh dia kenal makanan tradisional orang Malaysia. Apa ke jadah nak pikir pasal idea semua.”
“Yalah,tapi kurang-kurangnya bagilah peluang diorang jadi santapan rakyat Malaysia.Takdelah botol-botol budu tu rasa kecik hati. Orang Nigeria mana reti nak nilai pasal budaya bangsa semua. Tinggal kat sini pun buat perangai samseng macam kat kampung dia.”
“Okeylah. Hah, cakaplah idea kau tu apa dia?”
“Okey, mula-mula kau call mama kau, lepas tu cakap dengan dia, aku ada benda nak bincang dengan dia.”
“Haa! Baru je aku cakap tadi, pasal apa nak libatkan mama aku dalam hal ni? Hey, mama aku orang Penang, papa aku orang Pahang, aku pulak orang Selangor, apa kena mengena aku dan keluarga aku dengan budu?”
“Eh,kau call je dulu mama kau, bukannya aku suruh kau tangkap buaya!”
“Yalah, yalah!” Haris dengan perasaan separuh bengang mencapai telefon pintarnya dan menelefon mamanya menggunakan nombor telefon rumah.
“Hello?”
“Hello papa, mama ada?”
“Hmmm…”keadaan sunyi seketika.
“Hello, Haris ya? Eh, tak gerak lagi ke?”
“Haris ingat nak gerak lepas Zohor, hari ni kat dewan makan ada ayam goreng ala Kentaki.”
“Ishh, apalah sangat, ayam goreng mama lagi sedap.”
“Tapid iorang goreng tak masin, mama goreng masin, Godzilla pun tak nak makan.”
“Eh, pandai je komplen ayam goreng mama, macamlah Haris tu pandai sangat goreng ayam.”
“Mama, ni ada budak nak cakap dengan mama. Nama dia Razif, mama kenal ke?”
“Razif? Laa, Razif best friend Haris tu? Apa pulak tak kenal, mama dah anggap dia macam anak mama.”
“Hah,mama nak ambik dia jadi anak angkat? Tapi Haris tak suka dia mama, dia jahat.”
“Wooii! Apa pulak cakap aku jahat, ” Razif menyampuk.
“Eh, tu suara dia ke Haris? Dia nak cakap pasal apa dengan mama?”
“Entah, mama cakap sendirilah dengan dia.”
“Nah, jangan cakap lama-lama. Bateri dia dah nak habis tu.” Haris menyerahkan telefonnya kepada Razif.
“Hello,mama. Eh, hello auntie, assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam Razif. Alah, nak panggil mama pun tak apa, auntie tak kisah.”
“Takpelah auntie, kang jealous pulak Haris tu.”
“Haha, Razif nak cakap apa dengan auntie?”
“Macam ni auntie, auntie suka makan budu tak?”
“Budu? Haha…dulu suka jugak tapi sebab masa auntie mengandungkan Haris tak boleh bau budu, terus muntah-muntah, sampai sekarang auntie tak makan budu. Kenapa, Razif nak jual budu kat auntie ke?”
“Takdelah, minggu lepas saya balik kampung, ada pulak orang bagi budu, tapi saya tak boleh makan budu, alergik. Budu ni special auntie, nama dia budu air pasang. Kalau auntie nak cuba rasa, saya boleh kirim kat Haris. Bukan nak jual, buat hadiah je.”
“Eh, bolehlah. Auntie nak cuba rasalah. Apa nama tadi, budu air pasang ya? Nak makan tu ada cara tertentu ke?’
“Makan macam tu pun dah sedap, auntie. Tapi kalau nak lagi sedap, kena tambah ramuan sikit. Nanti saya tulis bagi kat Haris. Okeylah auntie tak boleh cakap lama-lama, Haris takut bateri dia habis. Auntie nak cakap dengan dia ke?”
“Tak apalah, Razif bagi budu tu kat Haris sekali dengan senarai ramuan dia. Cakap dengan Haris jangan bawak motor laju-laju.”
“Okey auntie, assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.”
Razif menyerahkan kembali telefon kepada Haris.
“Eh, mama kau excited sangat nak try budu special tu. Nanti aku tulis senarai ramuan yang nak dicampur dengan budu tu, kasi tambah dia punya kick. Aaa..satu lagi, mama kau suruh kau bawak motor seslow yang mungkin.”
“Aku hairan betullah. Apa ilmu kau pakai? Apa saja kau cakap mesti mama aku percaya. Kau tau tak, seumur hidup aku, aku tak pernah tengok botol budu kat rumah aku. Dan aku tak pernah tengok mama atau papa aku makan budu. Sekarang ni mama aku boleh percaya budu tu sedap sedangkan kau sendiri pun tak pernah rasa budu tu.”
“Wei, aku cakap berdasarkan pengalaman orang ramai. Kak Melah sendiri peminat nombor satu budu air pasang tu. Apa faedahnya kalau dia saja-saja nak reka cerita pasal kesedapan budu tu? Dia jual kain, bukannya jual budu. Baru tadi je mama kau cakap dulu dia suka makan budu. Tapi sebab masa dia mengandungkan anak jantan bertuah dia tu dia tak boleh bau budu, dia jadi muntah-muntah, so dia pun terus tak makan budu sampai sekarang. Jadi logiklah kalau dia terasa nak cuba budu yang kak Melah bagi tu.”
“Entahlah Labu, harap-harap budu tu betul-betul sedap. Kalau tak sia-sia je aku bayar duit minyak bawak balik botol-botol budu tu kat Shah Alam.”
“Kau cakap biar logiklah, Labi. Yang kau bawak ni botol budu, bukannya tempayan budu.”
Razif kembali menumpukan perhatiannya kepada skrin komputer riba. Video konsert Therion masih lagi berada dalam keadaan pause.
“Eh, kau dah beli ke kertas hadiah nak buat balut kain tudung tu?” Razif kembali membuka bicara.
“Alah, bagi macam tu jelah. Mama aku sendiri, bukannya nak bagi dekat wakil rakyat.”
“Gila kau, jatuhlah darjat kain tudung tu. Itu yang nak dibuat hadiah, bukan nak bagi kau pakai sendiri. Cepat pergi beli, kat kedai koperasi berlambak-lambak. Biar aku yang balut pun takpe.”
“Kau ni saja je nak sakitkan hati aku. Kau ingat mama aku peduli sangat ke dengan kertas hadiah semua tu. Dia suka ke tak dengan kain tudung tu pun belum tahu lagi.”
“Takde, macam mana pun aku nak balut jugak dengan kertas hadiah. Separuh duit aku adadekat kain tudung tu. Kau pergi beli sekarang. Susah sangat ke nak buat benda yang simple macam tu?”
Haris mendengus tak puas hati. Tapi beberapa saat kemudian dia bangun berdiri. Dia menyambar kunci motor dan helmet dari atas meja lalu melangkah ke luar bilik. Pintu bilik dihempas sekuat-kuat hati. Razif terkejut seketika namun kemudian dia tersengih geli hati.