Home Novel Cinta AKU TAK SUKA KAU! (NINA/ISKANDAR)
AKU TAK SUKA KAU! (NINA/ISKANDAR)
EMY RUSLI
16/6/2015 14:32:30
88,793
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 8
PENULIS :EMY RAZIELA
TERBITAN : ALAF 21 (MEI 2015)

Jangan lupa dapatkan novel AKU TAK SUKA KAU (NINA/ISKANDAR) yang kini sudah pun berada di semua kedai buku.

Anda baca pasti BERDARAH HIDUNG MELELEH AIR MATA!

Ikuti kisah yang sarat dengan tragedi, air mata dan pengajaran.

---------------------------------------------------------------------------------------


NINA membuka jendela bilik. Pancaran matahari terik mengenai mukanya. Dia baru sahaja bangun dari tidur.

Jam di dinding dipandang sekilas. Sudah pukul 11.00 pagi. Solat subuh telah lama ditinggalkan bahkan solat-solat yang lain juga tidak pernah dihiraukan. Nina lebih suka melakukan perkara yang dia suka dan tinggalkan perkara yang dia tidak suka. Perintah TUHAN dipandang remeh.

Bahkan buku-buku agama juga tidak pernah dibaca apatah lagi hendak membaca al-Quran. Lapan tahun dia berada di Australia. Apa yang dia lakukan di sana tiada siapa peduli. Jika dia tidak melakukan suruhan TUHAN, tiada siapa yang kisah. Tan Sri Shahril sibuk dengan urusan perniagaannya. Puan Sri Suzana pula sama sepertinya. Tidak mengambil berat hukum-hakam agama.

Nina gembira hidup begini. Tidak perlu menyusahkan diri dengan membaca al-Quran, tidak perlu solat lima kali sehari. Dia tidak perlu risau apa-apa. Keluarganya dari golongan yang kaya-raya. Soal duit tidak menjadi sebarang masalah kepadanya.

Rambutnya yang panjang mengurai diselak ke belakang. Nina menguap. Dia masih lagi terasa mengantuk. Pagi semalam dia sanggup turun ke Kuala Lumpur untuk berkunjung ke pusat hiburan bersama rakan-rakannya dan pulang pada hari yang sama.

Dia seronok dapat menari dan bertemu rakan-rakannya. Tubuhnya terasa letih. Telefon bimbitnya yang berada di atas katil dicapai dan kembali ke jendela. Nombor tunangnya didail.

Lama menunggu barulah Izz Zhafran menjawab panggilannya.

“Helo sayang! Kenapa you lambat nak jawab panggilan I ni? Sibuk sangat ke?” Nina bersuara seakan-akan merajuk.

Nolah, sayang. I kat ofis ni baru aje sampai. Bukan sengaja lambat jawab panggilan you,” jawab Izz Zhafran dengan niat mahu memujuk Nina.

“Hmm... yalah tu.” Nina menjawab hambar seolah-olah berjauh hati dengan tunangnya ini.

“Kenapa ni sayang? Dengar macam tak ada mood aje? Seronok pergi KL?” soal Izz Zhafran mula menceriakan suaranya.

Nina mengalihkan telefonnya di telinga kiri pula.

“Seronok memanglah seronok sebab dapat jumpa kawan-kawan. Dapat menari, menyanyi dan dengar lagu. Macam-macam aktiviti dalam kelab malam tu. Rasa macam tak nak balik. Tapi lagi seronok kalau you ada. Kawan-kawan I semua bawak boyfriend. I aje yang sorang-sorang.”

Izz Zhafran ketawa kecil.

“Bukan I tak nak temankan you, Nina. Tapi I memang sibuk sangat sebab papa I baru aje dapat projek baru dan I kena selesaikan banyak urusan. I janji lepas ni kita sama-sama turun KL ya. You jangan risau. Masih banyak lagi masa untuk kita berseronok.”

“Lepas ni you janji kita akan ke KL sama-sama okey? I malu bila kawan-kawan I tanya mana you? Takkan I nak jawab yang you sibuk dengan kerja. Tak sesuai alasan tu. Nanti kawan-kawan I kata yang tunang I ni gila kerja dan tak pentingkan I. I tak nak macam tu,” tambah Nina lagi dengan suara yang kedengaran agak manja.

“I promiseyou yang I akan ikut you lepas ni. Segala meeting atau projek I akan tinggalkan demi insan yang I cinta. Oh ya, tak ada yang cuba pikat you di kelab malam?”

Nina mengerutkan keningnya. Izz Zhafran sudah menunjukkan sikap cemburu butanya.

“Ada! Ramai!” jawab Nina laju tanpa memikirkan perasaan Izz Zhafran.

Izz Zhafran berdecit tidak puas hati. Dia tahu ramai yang tergilakan Nina. Tunangnya ini jelita dan manis. Setiap lelaki yang memandang Nina pasti akan tertoleh beberapa kali. Maklumlah tunangnya ini cantik jelita persis pelakon popular Filipina, iaitu Marian Rivera.

Tubuhnya kecil molek, berkulit putih, hidung mancung, bibirnya pula kemerahan. Siapa tidak terpikat dengan kejelitaannya? Sebab itu kadang-kadang hati Izz Zhafran tidak yakin apabila Nina ke mana-mana tanpa dirinya. Bimbang jika bunganya disambar sang kumbang yang lain.

“You layan lelaki lain ya?” soal Izz Zhafran serius.

“You ni jangan nak mengarutlah. Memang ada yang mengurat I tapi I tak layan pun! Lain kali kalau you tak percaya pada I, you kena ikut sekali!” ujar Nina agak bengang.

Izz Zhafran ketawa.

“I tahu yang you hanya cintakan I. Oh ya, macam mana dengan majlis menyambut kepulangan you ni? On ke tidak?”

Of courselah jadi. Takkan tak jadi pulak. Mama I dah arrangekan semua. I call you ni pun nak beritahu benda yang sama. Majlis tu akan berlangsung hujung minggu ni. Pada majlis tu nanti mama I nak umumkan tarikh pernikahan kita sekali. You okey ke?”

Nina mula bersuara ceria. Hatinya gembira. Matanya melilau keadaan sekeliling Villa Suzana melalui jendela biliknya.

“Sudah tentu I okey! I dah tak sabar nak kahwin dengan you dan hidup bersama you,” balas Izz Zhafran dengan perasaan yang sangat teruja. Tidak sabar lagi dia mahu memiliki Nina.

Nina senyum bahagia.

“Kalau macam tu okeylah. Nanti kita jumpa pada majlis tu nanti ya. I pun tak sabar nak jadi isteri you. I love you sayang.

“Love you too... bye!

Talian dimatikan. Nina senyum meleret. Hatinya berlagu riang dan hidupnya terasa benar-benar bahagia. Tidak dapat dibayangkan majlis pernikahannya bersama Izz Zhafran. Sudah tentu glamor dan meriah. Yalah, dia satu-satunya anak tunggal kepada Tan Sri Shahril, jutawan tersohor di negeri Kelantan. Sudah pasti suasana perkahwinannya mewah.

Saat Nina mahu berpaling belakang, dia ternampak kelibat seseorang tidak jauh dari biliknya. Lelaki itu seperti sedang mengintai sesuatu. Lama Nina memerhati aksi lelaki itu. Mukanya berubah merah. Tangannya dikepalkan. Mulutnya terkumat-kamit menyumpah seranah.

“Apa yang dia buat kat bilik aku ni? Mesti dia nak mengintai aku. Tak guna punya jantan. Bodoh!” Nina bercakap pada dirinya sendiri.

“Jaga kau!”

Nina laju berjalan ke tandas yang terletak di dalam biliknya. Sebaldi air panas dibawa keluar menuju ke jendela. Baldi air itu diletak ke tepi.

Lelaki itu masih di situ.

“Eh, Iskandar! Kau buat apa kat situ?” Nina menjengah melalui jendela dan menjerit kuat mengejutkan Iskandar.

Iskandar terus memandang Nina yang merenungnya tajam.

“Sini kau!” panggil Nina agak kuat.

Iskandar mengelap peluhnya. Penat dia mencuci kawasan Villa Suzana ini. Kebetulan hari ini Pak Cik Mahmud bercuti. Maka dia mengambil alih tugas tukang kebun itu.

“Ada apa Cik Nina? Saya sedang buat kerja ni. Saya nak cepat. Kejap lagi saya nak ambil Tan Sri di pejabat.” Iskandar menjawab jujur.

“Aku cakap datang sini, datang ajelah! Pekak ke apa kau ni? Aku ni tuan rumah! Kalau aku panggil tu datang ajelah! Jangan cakap banyak! Degil betul kau ni! Apa mak kau bagi kau makan masa kecik sampai kau jadi degil macam ni?”

Ya ALLAH! Melalut pula si Nina ni.

Iskandar menghela nafasnya. Banyak-banyak bersabar dengan kerenah anak Tan Sri Shahril.

“Cepatlah!” laung Nina lagi dengan muka bengis. Namun kecantikannya tidak pernah padam.

Mahu atau tidak, Iskandar berjalan menghampiri koridor bilik Nina. Dia sudah berdiri di situ dan mendongak memandang gadis ini. Mata kedua-duanya bertemu.

“Kau mengintai aku ya? Kau ni dah tak ada kerja lain ke? Papa aku bayar gaji kau tiap-tiap bulan untuk mengintai aku ke?” tanya Nina tanpa usul periksa.

Iskandar terperanjat. Boleh si Nina ni menuduhnya mengintai. Tak masuk akal!

“Ya ALLAH! Tak baik Cik Nina tuduh saya macam tu. Saya tak mengintai Cik Nina. Saya pun tak tahu ni bilik Cik Nina. Saya tengah kemas kat sana. Tak ada rancangan pun nak buat perkara jahat,” balas Iskandar, jujur.

“Tak ada rancangan konon! Kau ingat aku tak nampak yang kau terhendap-hendap kat sana? Habis tu kau nak mengintai siapa lagi? Aku sorang aje anak dara dalam rumah ni! Atau kau mengendap orang gaji kat rumah ni?” herdik Nina dengan muka bengisnya.

Iskandar menggeleng berkali-kali.

“Cik Nina salah sangka ni.”

“Salah sangka apanya? Aku nampak dengan mata aku sendirilah! Aku bukannya buta! Kalau aku report pada papa aku apa yang kau buat ni dah tentu papa aku akan pecat kau! Masa tu kau akan tahu langit tinggi ke rendah! Bila kau dah tak ada kerja, jangan nak mengemis di rumah aku pulak! Aku tendang kau sampai tergolek! Kau nak macam tu?”

Masya-ALLAH! Lancangnya mulut gadis ini menghina orang lain. Moga-moga Nina diberi petunjuk oleh ALLAH.

“Saya ke sini untuk bekerja, bukan untuk melakukan perkara yang tak baik. Cik Nina boleh nampak sendiri barang-barang yang saya kemas tu. Tak ada masa saya nak mengintai Cik Nina.” Iskandar mula menjawab serius. Geram juga dengan kelancangan mulut Nina.

Nina menunjukkan muka meluatnya.

“Eleh! Kau ingat aku nak percaya orang macam kau! Entah-entah kau ambil kesempatan nak mengintai aku, kan? Yalah, kau pun tahu aku dah duduk sini mesti kau nak ambil kesempatan tengok sesuatu pada tubuh aku kan? Orang lelaki baik dan alim macam mana sekalipun, kalau bagi perempuan akan rebah jugak kat tanah!”

Iskandar menggeleng berkali-kali.

“Tak baik Cik Nina buruk sangka macam ni. Bukan semua lelaki macam tu. Saya memang tak mengintai Cik Nina. Saya buat kerja saya. Daripada saya mengintai Cik Nina, baik saya mengintai monyet tengah buang air besar.”

Terbeliak biji mata Nina mendengar kata-kata terakhir daripada lelaki ini. Kelihatan Iskandar berlagak biasa. Sakit hatinya. Lelaki ini memang nak kena!

“Kurang ajar kau kan? Kau nak cakap yang aku ni macam monyet, ya? Mak kau tak ajar kau supaya menghormati orang lain bila bercakap? Kalau mak kau tak ajar kau, biar aku yang ajarkan! Sebab kalau aku yang ajar, confirmkau akan ingat sampai nyawa kau tu tersekat di kerongkong!”

Nina mengangkat baldi berisi air panas. Tanpa berfikir panjang, dia terus menuang air panas tersebut dan terus mencurah ke atas kepala Iskandar dan seterusnya basah mengenai tubuh lelaki itu.

Iskandar tergamam dan terkejutf besar. Air yang agak panas ini terasa bahang di tubuhnya. Dia meraup mukanya yang basah. Nina puas hati melihat Iskandar tidak membalas apa-apa. Sudah pasti lelaki ini takut padanya.

“Padan muka kau! Kalau dengan perempuan lain bolehlah kau nak loyar buruk! Tapi dengan aku, jangan harap! Ini Nina Natasha! Kau tak kenal siapa lagi aku!”

Serentak dengan itu Nina mencampak baldi itu ke tanah. Sikit lagi mahu terkena kaki Iskandar. Jendela ditutup kuat.

Iskandar masih di situ. Tergamak Nina melayannya begini. Sedikit sebanyak dia tergores dengan sikap anak majikannya ini.

MAJLIS makan malam di Villa Suzana sempena menyambut kepulangan Nina begitu meriah. Kawasan Villa Suzana sudah dipenuhi orang ramai. Semuanya kaum kerabat Tan Sri Shahril dan sahabat handai Nina. Beberapa buah khemah berdiri megah. Kedengaran muzik yang kuat menjadi penghibur para tetamu.

Puan Sri Suzana sibuk menyambut tetamu yang baru tiba. Begitu juga Tan Sri Shahril yang berdiri di tepi kolam sedang rancak melayan sahabatnya. Lampu-lampu pelbagai warna memeriahkan lagi suasana.

Di hujung sana sudah tersedia barbeku untuk tetamu. Di sebelah kolam renang pula disediakan live band. Sungguh meriah majlis menyambut kepulangan anak gadis Tan Sri Shahril dan Puan Sri Suzana ini.

Pelayan hotel yang ditempah oleh Puan Sri Suzana ke hulu hilir menyediakan pelbagai jenis makanan. Kereta mewah berderet di luar pagar Villa Suzana. Semuanya milik tetamu yang diundang oleh tuan rumah.

“Hai auntie!

Sapaan itu mengejutkan Puan Sri Suzana yang sedang rancak berbual dengan salah seorang sahabatnya yang baru sampai.

Bibir wanita itu terbuka luas. Terkejut. Dia terus menghulurkan tangannya pada anak muda ini. Anak muda ini terus menyambut huluran tangan Puan Sri Suzana.

“Hai Izz... baru sampai ke? Mummydengan papa mana?” tanya Puan Sri Suzana dengan perasaan yang begitu teruja mahu bermenantukan Izz Zhafran.

“Tu hah!” Izz Zhafran memuncungkan mulutnya ke arah kedua-dua orang tuanya yang sedang berbual di tepi pagar.

“Kenapa tak panggil masuk?”

“Kejap lagi mummy dengan papa masuk. Kebetulan jumpa kawan papa. Itu yang dia orang berborak panjang,” jawab Izz Zhafran sambil tersenyum pada bakal mertuanya ini.

Puan Sri Suzana membalas senyuman itu.

“Kalau macam tu Izz pergi dulu, makan dan buat apa yang patut ya. Janganlah malu-malu. Inikan rumah Izz jugak. Tak lama lagi Izz akan jadi anak auntie.”

“Yalah auntie. Izz pun dah tak sabar nak kahwin dengan anak dara auntie tu,” balas Izz Zhafran pula dengan senyumannakal.

“Itu Izz jangan risau. Auntieakan pastikan Nina tetap kahwin dengan Izz dan kau orang berdua akan hidup bahagia selamanya. Kejap lagi auntie akan umumkan tarikh pernikahan kalian berdua, ya.”

Bersungguh-sungguh Puan Sri Suzana memberitahu bakal menantunya ini. Izz Zhafran senyum bahagia.

“Okey auntie. Oh ya, Nina mana?”

“Apa lagi tengah bersiaplah tu. Ada dalam bilik dengan kawannya. Kejap lagi dia turunlah. Izz pergi makan dulu ya. Banyak makanan yang auntie tempah.”

“Yalah, auntie. Izz ke sana dulu.”

Izz Zhafran terus berlalu pergi. Puan Sri Suzana yang anggun bergaya, berjalan menghampiri bakal besannya.

Di belakang Villa Suzana pula, kelihatan Iskandar sedang memimpin Puan Leha yang terhenjut-henjut berjalan.

Puan Leha henti berjalan. Dia tidak boleh berjalan terlalu laju. Kakinya yang tempang itu akan cepat berasa sengal. Maklumlah usianya juga sudah semakin senja. Puan Leha memandang Iskandar yang masih memegang lengannya.

“Mak, kenapa? Mak okey ke?” soal Iskandar penuh perhatian.

“Mak okey. Cuma mak rasa takut pulak nak ke majlis besar-besar macam ni, Is. Yalah, kita ni bukan taraf mereka. Tengoklah baju mak ni. Buruk!” Suara Puan Leha dengan wajah yang suram.

Iskandar tersenyum.

“Kalau ikutkan hati, Is pun tak nak ke majlis macam ni mak. Dengan muziknya yang bising, macam-macam jenis orang ada. Kalau boleh Is nak rehat aje kat rumah. Habiskan masa dengan mak lagi bagus. Tapi Tan Sri Shahril tu bersungguh-sungguh mintak Is datang dan bawak mak sekali. Kalau tak pergi nanti apa pulak kata Tan Sri. Mak pun tahukan yang Tan Sri tu baik orangnya.”

Puan Leha mengangguk dan senyum.

“Mari mak. Kita pergi sekejap pun jadilah. Sekurang-kurangnya Tan Sri tak berkecil hati dengan kita.”

Iskandar memegang kembali lengan emaknya dan beriringan berjalan memasuki kawasan Villa Suzana. Terbeliak biji mata Puan Leha dan Iskandar melihat suasana yang cukup meriah. Gaya suasana mengalahkan majlis perkahwinan.

Puan Leha dan Iskandar memandang antara satu sama lain. Tidak pernah kedua-duanya menghadiri majlis sebegini rupa. Takut pula untuk berada di tengah-tengah kelompok manusia yang kaya-raya. Yalah, yang hadir pun bukan calang-calang orang. Semuanya orang yang hebat-hebat belaka.

Iskandar membawa Puan Leha ke meja.

“Mok duduk sini. Is gi amik makanan. Mok jange gi mano plok,” (Mak duduk sini. Is pergi ambil makanan. Mak jangan pergi ke mana-mana ya,”) pesan Iskandar penuh rasa hormat.

Puan Leha duduk. Geli hati dengan kata-kata anaknya ini.

Mok nok gi mano lagi, Is. Kaki mok ni pun tok cukup sebeloh. Nok jale pun payoh,” (“Mana lagi mak nak pergi, Is. Kaki mak ni pun tak cukup sebelah. Nak berjalan pun susah,”) balas Puan Leha tersenyum memandang anak bujangnya ini.

Mok jange royak gitu. Is takut ado ore culik mok. Mugo mok Is ni comel lagi loni,” (“Mak jangan cakap macam ni. Is takut kalau ada orang culik mak. Sebab mak kan masih cantik,”) ujar Iskandar mahu memujuk emaknya.

Kemudian Iskandar meninggalkan Puan Leha di situ untuk mengambil makanan. Orang yang semakin ramai di Villa Suzana tidak dipedulikan. Selesai makan, dia terus mahu pulang ke rumah.

Puan Sri Suzana menggigit bibirnya menahan rasa marah. Matanya tajam merenung wanita tua di hujung sana. Gelas yang berada di tangannya dipegang kuat. Silap hari bulan boleh pecah gelas itu.

‘Macam mana orang tua ni boleh ada kat sini? Sesat ke apa? Dia tak tahu ke ini majlis apa?’ Puan Sri Suzana berbicara di dalam hati dengan perasaan marah yang meluap-luap.

“I nak ke sana sekejap,” beritahu Puan Sri Suzana pada sahabatnya.

Kemudian dia terus berjalan ke arah Puan Leha yang sedang tunduk merenung rumput.

“Hei orang tua! Kau buat apa kat sini?” jerkah Puan Sri Suzana dengan suara yang kuat. Tetamu yang lain tidak mendengar jerkahan itu dek kerana muzik yang membingitkan.

Puan Leha yang terkejut dengan suara itu terus mengangkat mukanya. Dia tergamam. Tubuhnya menggeletar. Takut melihat wajah bengis tuan rumah ini yang tegak berdiri di depannya.

“Aku tanya ni! Kau buat apa kat sini? Siapa jemput kau datang sini hah? Dengan baju yang buruk macam ni, bau yang busuk, kau ingat rumah aku ni tong sampah ke?” pekik Puan Sri Suzana dan memandang tepat pada Puan Leha.

“Err... saya...”

“Kalau rumah aku ni macam tong sampah bolehlah kau nak datang! Masalahnya rumah aku ni macam istana! Satu istana aku ni bau badan kau yang busuk! Lagi satu baju kau ni lagi buruk dari kain lap tangan kat dapur aku tu! Macam ni kau nak pijak rumput Villa Suzana? Rumput rumah aku pun geli nak rasa tapak kaki kau tu!” herdik Puan Sri Suzana lagi tanpa memberi peluang kepada Puan Leha bercakap.

Terkumat-kamit bibir Puan Leha mahu berkata sesuatu tetapi lidahnya kelu. Dia takut untuk membalas kata-kata wanita sombong ini. Puan Leha tunduk dan menelan air liurnya. Sebak dadanya dengan penghinaan Puan Sri Suzana.

“Mesti anak kau yang berlagak alim tu bawak kau datang sini kan? Anak kau tu kalau boleh semua saudara-mara kau tu dia nak angkut datang sini! Nak tumpang senang di rumah aku! Kau ingat makanan yang banyak ni murah ke? Orang-orang kaya aje boleh makan kat rumah aku. Kalau duit kau tu tak berkepuk dalam bank, makan rumput ajelah kau anak- beranak! Tak payah tukang kebun tu susah-susah nak mesin rumput ni lagi!”

ALLAHUAKBAR! Zalimnya Puan Sri Suzana. Sehingga begitu sekali dia menghina wanita tua yang cacat ini. Air mata Puan Leha berlinangan di tubir mata. Terasa mahu pecah dadanya mendengar herdikan wanita ini.

Puan Leha diam. Tiada guna dia berbalas kata dengan Puan Sri Suzana. Kedudukannya terlalu jauh dari Puan Sri Suzana.

“Anak kau tu hanya drebar keluarga aku aje! Bukannya setiausaha sulit keluarga Tan Sri Shahril! Jangan kau ingat bila laki aku dah bagi duduk rumah kat belakang tu, kau boleh ke sini sesuka hati. Itu bukan tanda sayang, itu tanda nak cari nahas namanya!”

Puan Sri Suzana terus menghamburkan amarahnya. Sakit hati betul dengan orang tua tak sedar diri ini. Tetamu yang berada di situ tidak dipedulikan. Puan Sri Suzana langsung tiada perasaan malu. Yang penting, hatinya puas.

“Lagi satu aku nak beritahu kau, tetamu aku malam ni tak ada yang cacat anggota! Semuanya cukup sifat! Kalau dah tahu diri tu tak ada kaki sebelah, jangan nak merayap! Duduk rumah baca al-Quran, lagi banyak pahala kau akan dapat nanti! Ini tidak, berjalan pun macam orang kena sawan, ada hati nak datang makan kat sini! Kau dengan anak kau sama aje! Tak sedar diri!”

Masya-ALLAH! Lancangnya mulut wanita sombong ini menghina manusia lain. Tidak tahukah dia tentang hukum-hakam agama? Terlalu pahit untuk ditelan kata-kata nista yang lahir dari mulut Puan Sri Suzana. Puan Leha memegang dadanya yang mula sebak. Perasaan sakit hati dengan penghinaan itu menumbuk-numbuk dadanya.

Apabila melihat wanita tua ini hanya tunduk, Puan Sri Suzana bersuara lagi.

“Lepas dah habis rumput rumah aku ni kau anak-beranak makan, tolong balik ya! Aku malu kalau tetamu yang lain tengok kau macam ni. Lain kali kalau nak mengemis, tengok tempat dulu. Kalau salah tempat, orang akan halau! Macam yang aku buat sekarang ni! Faham?”

Terjengil-jengil biji mata Puan Sri Suzana memarahi Puan Leha dan terus berlalu pergi. Setitis air mata mengalir di pipi Puan Leha. Ya ALLAH! Tergamaknya wanita kaya ini menghina dirinya yang tidak berharta.

“Mak!” panggil Iskandar lembut.

Puan Leha tidak menjawab. Dia masih teringatkan kata-kata Puan Sri Suzana sebentar tadi.

“Mak!” Sekali lagi Iskandar memanggil emaknya.

Puan Leha tersedar. Cepat-cepat dia menyapu pipinya yang basah dan mendongak memandang Iskandar. Iskandar memerhati wajah tua emaknya. Dia tahu, pasti Puan Sri Suzana datang memarahi emaknya. Dia juga tahu emaknya menangis. Tadi dia sudah melihat bagaimana Puan Sri Suzana memarahi emaknya. Tergamak Puan Sri Suzana melayan emaknya begitu.

“Puan Sri cakap apa pada mak? Dia marah mak ke?” soal Iskandar agak serius dan merenung tepat wajah Puan Leha.

Puan Leha cepat-cepat tersenyum.

“Hisy... tak adalah! Puan Sri tak ada cakap apa pun. Dia cuma beritahu mak kalau nak makan apa-apa, ambil sendiri.”

Iskandar menghembus lembut nafasnya. Dua biji pinggan di tangannya diletakkan di atas meja.

“Mak tipu Is, kan? Is tahu mak menangis. Mak tak boleh nak tipu Is walau sezarah pun. Is kenal Puan Sri tu. Mesti dia ada cakap sesuatu yang sakitkan hati mak, kan?” Iskandar cuba meneka.

“Biarkanlah mereka tu. Kita berdoa ajelah agar Puan Sri tu mendapat hidayah ALLAH. Kalau kita dah tahu dia macam tu, jangan kita lawan. Kalau kita lawan, maknanya kita sama macam mereka tu. Kita diamkan diri bukan bermakna kita lemah. Is fahamkan maksud mak?”

Walau hati tuanya masih terluka dengan penghinaan Puan Sri Suzana, Puan Leha bijak menyembunyikan rasa itu. Dia masih mampu tersenyum. Iskandar mengangguk tanda memahami kata-kata emaknya.

“Is! Tengok tu!”

Puan Leha menepuk lengan anaknya yang masih lagi berdiri di depannya.

Iskandar memandang ke arah yang ditunjukkan oleh emaknya. Matanya terpaku tepat pada satu wajah yang jelita itu. Tidak berkelip Iskandar melihat Nina yang dikerumuni teman-temannya.

Ya ALLAH! Cantiknya ciptaan-Mu TUHAN. Bertambah cantik jika ciptaan-MU itu tahu menggunakan pemberian-MU itu ya ALLAH! Sempat Iskandar berkata-kata di dalam hati.

Kelihatan Nina begitu ceria di samping teman-temannya. Wajah yang cantik itu tidak lekang dengan senyuman di bibir. Manis! Inilah pertama kali Iskandar melihat senyuman Nina. Sebelum ini, tidak pernah dia melihat senyuman anak gadis Tan Sri Shahril kerana Nina hanya berwajah bengis apabila berdepan dengannya.

Semua tetamu memandang ke arah Nina.

“Assalamualaikum dan selamat malam!”

Kedengaran suara pengerusi majlis mula bersuara di atas pentas di kawasan taman Villa Suzana. Muzik sudah dihentikan. Semua tetamu memandang ke arah pentas utama menantikan kata-kata seterusnya dari pengerusi majlis.

“Saya selaku pengerusi majlis, sempena menyambut kepulangan Nina Natasha Bt Tan Sri Shahril, mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir ke Villa Suzana pada malam yang sungguh meriah ini. Ada pelbagai jenis makanan disediakan untuk kita semua. Tan Sri Shahril ada berpesan kepada saya supaya memberitahu anda semua supaya menjamu selera hingga pecah perut.”

Tetamu yang hadir ketawa dengan kata-kata pengerusi majlis. Tan Sri Shahril yang berada bersama Puan Sri Suzana dan Nina hanya menguntumkan senyuman.

“Sebelum itu saya dan tetamu yang hadir pada malam ini mengucapkan selamat pulang ke Malaysia pada Cik Nina Natasha. Selamat kembali Cik Nina yang cantik jelita pada malam ini,” ulas pengerusi majlis itu lagi.

Nina hanya mengangguk dan menghadiahkan senyuman kepada tetamu yang memandang ke arahnya.

Pengerusi majlis menyambung kembali tugasnya.

“Baiklah. Sambil kita menjamu selera, saya menjemput Puan Sri Suzana dan ahli keluarganya ke pentas untuk memberikan ucapan sepatah dua kata. Puan Sri Suzana juga ada perkara penting yang akan dikongsi bersama kita semua. Dipersilakan keluarga Tan Sri Shahril!”

Tan Sri Shahril sekeluarga sudah pun berada di atas pentas. Semua tetamu tertumpu ke arah pentas.

Iskandar terpempan. Hatinya sedikit terusik. Seorang lelaki yang bergaya memegang erat tangan Nina. Siapa lelaki itu? Sudah tentu kekasih hatinya, bisik hati Iskandar.

Hatinya sedikit kecewa kerana cemburu. Walau dia tahu Nina tidak akan menjadi miliknya, namun hatinya benar-benar menyukai gadis itu.

Kelihatan Nina begitu ceria di samping kekasih hatinya. Sesekali lelaki itu memeluk bahu Nina dan kedua-duanya berdiri begitu rapat.

Puan Sri Suzana mengambil tempat untuk berucap.

“Selamat malam kepada semua tetamu yang hadir. Saya, Puan Sri Suzana mengucapkan selamat pulang kepada satu-satunya anak gadis saya, iaitu Nina Natasha. Seperti yang diketahui, anak saya Nina Natasha telah pun bertunang dengan Izz Zhafran, iaitu anak kepada Datuk Haniff. Mereka berdua akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi dan kad undangan perkahwinan akan diedarkan bila tiba masanya nanti.”

Puan Sri Suzana tersenyum tanda bahagia. Sesekali dia memandang ke arah Nina dan Izz Zhafran. Dia kembali berucap.

“Mereka berdua telah pun bertunang selama setahun. Jadi, pada malam ini saya ingin mengumumkan perkara penting untuk dikongsi bersama anda semua. Dengan berbesar hati, saya ingin menjemput semua tetamu yang hadir pada hari ini ke majlis perkahwinan puteri kesayangan saya pada hujung bulan ini di Hotel Renaissance.”

Serentak dengan itu tetamu memberikan tepukan gemuruh dan mula mengerumuni Nina dan Izz Zhafran untuk mengucapkan tahniah kepada kedua-duanya.

Iskandar mengunyah perlahan makanannya. Rasa tidak tertelan makanan ini. Nina bakal menjadi milik lelaki lain? Ya, itulah hakikatnya. Dia dan Nina ibarat langit dan bumi. Memiliki Nina hanyalah angan-angan yang tidak mungkin menjadi realiti.

ISKANDAR melalui celah-celah orang ramai. Tangannya tidak lepas dari memegang lengan Puan Leha. Dia mahu cepat pulang ke rumah. Suasana di Villa Suzana masih gamat dengan alunan muzik pelbagai irama.

Langkah Iskandar terhenti. Dadanya berdegup kencang. Begitu juga dengan langkah Puan Leha yang turut sama terhenti.

“Woiii! Buta ke?”

Suara garau itu menjerkah kuat dan menolak kasar bahu Iskandar membuatkan Iskandar hampir terjatuh ke belakang. Kemudian lelaki bertubuh kasar itu mengelap bajunya yang basah.

“Maafkan saya encik. Saya tak sengaja,” ucap Iskandar penuh rasa hormat.

Dia memandang lelaki di depannya yang berwajah garang.

“Mintak maaf? Kau ingat dengan ucapan maaf tu boleh hilangkan kotor di baju aku ke?” Lelaki itu berterusan memarahi Iskandar.

“Saya mintak maaf banyak-banyak encik. Saya memang tak sengaja langgar encik tadi. Saya tahu salah saya. Maafkan saya,” pohon Iskandar lagi.

Tetamu mula mengerumuni Iskandar.

Lelaki itu memandang Puan Leha dari bawah ke atas. Geli dia melihat pakaian lusuh wanita tua ini. Kemudian, dia memandang kembali pada Iskandar dengan muka yang bengis.

“Kau memang sengaja nak langgar aku, kan? Punyalah banyak jalan kat sini, tempat aku jugak kau nak lalu! Tengok baju aku ni! Siapa nak basuh? Orang tua ni nak basuh?”

Jari telunjuk lelaki ini ditala tepat pada Puan Leha yang kuat memegang lengan Iskandar.

Sayo mitok encik hormat ore tuo ni. Ore tuo ni mok sayo. Sayo ngaku saloh sayo sebab langgar encik tapi sayo tok sengajo. Sayo mitok tulong jange kaitkan mok sayo dale hal ni.”(“Saya mintak encik hormat orang tua ni. Orang tua ini mak saya. Saya mengaku salah sebab langgar encik, tapi saya tak sengaja. Saya mintak jangan kaitkan mak saya dalam hal ni.”) Kali ini Iskandar bersuara agak tegas.

Apabila melibatkan emaknya, Iskandar tidak boleh bersabar. Dia tidak sanggup melihat emaknya diperkotak katikkan.

Lelaki ini mula naik angin apabila Iskandar melawan kata-katanya lantas mencengkam kuat kolar baju Iskandar

Ooo... mung nok tunjuk besar palo dih? Mung tahu dok mung ni drebar jah? Kalu tahu diri tu saloh, salohlah! Nok lawe ore plok! Mung tok kenal aku ni sapo?”(Ooo... kau nak tunjuk besar kepala ya? Kau tahu tak yang kau tu drebar aje? Kalau tahu diri tu salah, salahlah! Nak lawan orang pulak! Kau tak kenal aku ni siapa??”) Izz Zhafran mencekak kuat kolar baju Iskandar.

“Jangelah apo-apokan anok mok cik. Tulonglah...” (“Jangan apa-apakan anak mak cik. Tolonglah...”) Puan Leha merayu lembut dengan air mata berlinangan di pipi. Dia tidak sanggup melihat anaknya disakiti. Kenapa sikap orang kaya begini? Yang miskin dicaci dan dihina. Dunia ini tidak adil terhadap insan lemah sepertinya.

“Izz! Kenapa ni?”

Kemunculan Nina membuatkan Izz Zhafran melepaskan kolar baju Iskandar. Izz Zhafran memandang tunangnya ini.

What happen, Izz? Kenapa baju you basah?” soal Nina lagi dengan suara yang cemas. Matanya tidak kalih dari melihat baju tunangnya yang basah.

“You tahu tak drebar cabuk ni dah kotorkan baju I? Dah langgar orang, nak berlagak pulak! Kalau ikutkan hati I, I belasah aje dia kat sini,” beritahu Izz Zhafran dengan angkuh.

“Cik Nina jangan dengar cakap dia. Saya bukan sengaja melanggar Encik Izz tadi. Saya...”

Belum pun sempat Iskandar menghabiskan kata-katanya, mukanya terasa basah. Semua yang ada di situ terkedu. Rupanya Nina lebih pantas mencurahkan air minuman yang berada di tangannya pada muka Iskandar.

“Siapa jemput kau berdua datang ke majlis aku hah? Kalau kau bukan keturunan orang-orang kaya, jangan nak tunjuk muka kau kat sini! Sudahlah orang bagi tinggal secara percuma, makan minum pun kau nak Tan Sri tanggung?”

Nina menghamburkan kemarahannya. Dia langsung tidak memikirkan maruah papa dan mamanya. Yang dia tahu, Iskandar perlu diajar. Wajahnya merah menyala memandang Iskandar dan Puan Leha. Sakit hatinya apabila melihat baju Izz Zhafran basah dan kotor.

“Saya tahu saya dan mak saya bukan orang-orang kaya seperti Cik Nina. Tapi Cik Nina tak boleh menghina saya dan mak saya. Tan Sri yang jemput saya. Kalau bukan Tan Sri yang mintak saya datang, saya takkan muncul dalam majlis macam ni.”

Iskandar masih lagi mampu bersabar dengan apa yang telah dilakukan oleh Nina sebentar tadi. Mata kedua-duanya bertentangan.

“Sedar pun diri tu! Dah tahu diri tu tak ada harta, berambuslah! Tunggu apa lagi kat sini? Kau bawak balik orang tua selekeh ni! Jangan nak tinggal kat sini pulak! Nanti seluruh majlis ni bau busuk!”

Puan Leha memegang dadanya. Ya ALLAH, beratnya kata-kata penghinaan gadis ini. Sampai begini sekali Nina menghina mereka dua beranak.

“Mari kita balik nak...” Puan Leha menarik tangan Iskandar yang masih tegak berdiri.

Perlahan-lahan dia mengelap muka anaknya yang basah. Setitis air mata Puan Leha mengalir di pipi. Sedih dia melihat anaknya diperlakukan begini.

“Apa lagi kau nak? Berambuslah!” pekik Izz Zhafran pula.

Iskandar masih seperti tadi. Diam tanpa kata. Dia hanya merenung Nina tanpa sebarang makna.

“Kenapa kau pandang aku? Kau tak puas hati dengan aku? Atau kau tak cukup makan lagi?” Nina berterusan menyoal Iskandar dengan matanya tajam menikam mataIskandar.

Puan Leha menarik agak kuat tangan Iskandar. Dia mahu cepat pergi dari situ sebelum air mata berterusan membasahi pipinya. Kali ini barulah Iskandar mengikut langkah emaknya tanpa membalas kata-kata Nina.

“Ambil makanan ni! Kau anak-beranak kebulur sangat kan?”

Tepat Nina melontarkan beberapa makanan ringan dan terkena belakang Iskandar dan Puan Leha.

ALLAHUAKBAR! Hebatnya manusia ini menghina manusia yang tidak berharta. Setiap perbuatan ada balasannya. Yang di atas tidak selamanya berada di atas. Setiap kesenangan adalah ujian dari ALLAH, begitu juga dengan setiap kesusahan. Moga-moga manusia ini akan bertaubat kelak.

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.