Home Novel Cinta AKU TAK SUKA KAU! (NINA/ISKANDAR)
AKU TAK SUKA KAU! (NINA/ISKANDAR)
EMY RUSLI
16/6/2015 14:32:30
88,011
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 4
PENULIS : EMY RAZIELA
TERBITAN :ALAF21 (MEI 2015)

P/S : NOVEL INI SUDAH PUN BERADA DI KEDAI BUKU
BOLEH JUGA ORDER MELALUI PENULISNYA.

Dijadikan CINA BUTA untuk kepentingan diri sendiri. Gerun apabila mendengarnya. Walau pun kejadian cina buta tidak lagi berlaku tetapi saya tetap mahu membongkar satu kisah yang di katakan CINA BUTA.

Saya mahu membuka fikiran masyarakat untuk menyingkap kembali kisah-kisah yang jarang berlaku di dalam masyarakat kita.
Saya mahu pembaca tahu apakah itu CINA BUTA dan situasi bagaimanakan dilabelkan cina buta?

 Novel AKU TAK SUKA KAU mempunyai jawapannya. IKutilah kisah NINA/ISKANDAR yang bukan sahaja untuk di jadikan kenang kenangan tetapi untuk menambah ilmu pengetahuan di samping terdapat nasihat-nasihat berguna dari seorang suami kepada isterinya.

Terimalah.....................


------------------------------------------------------------------------------------------------------

PUAN Sri Suzana menuruni tangga. Dia kelihatan cantik dengan kemeja putih dipadankan dengan jeans hitam. Rambut merahnya separas bahu dibetulkan. Walaupun usianya sudah menjangkau 50-an, namun wajah dan bentuk badannya tidak ubah seperti anak dara.

Pagi ini dia mahu ke salun kecantikannya yang terletak di Bandar Kota Bharu. Selain memiliki spa, Puan Sri Suzana juga menguruskan salun kecantikan dan butik pakaian moden.

Masuk hari ini sudah seminggu Tan Sri Shahril pulang ke Villa Suzana. Ketika Puan Sri Suzana melangkah keluar, telefon di ruang tamu berbunyi nyaring minta diangkat. Puan Sri Suzana membiarkan saja. Dia mengharapkan Mak Cik Minah untuk menjawabnya. Namun, telefon itu tetap berdering kuat.

Puan Sri Suzana tidak jadi hendak melangkah keluar. Dengan perasaan geram, dia menuju ke satu sudut yang menempatkan telefon rumahnya.

“Mana pulak pergi orang tua ni! Aku dah lambat ni, banyak urusan nak kena selesai. Huh!” Puan Sri Suzana bermonolog dengan rasa sombong.

Puan Sri Suzana duduk di atas kerusi dan gagang telefon diangkat.

“Helo!” Puan Sri Suzana menyapa geram.

“Helo mama! Nina ni!”

Suara Nina Natasha di hujung talian bergema kuat membuatkan Puan Sri Suzana menjauhkan gagang dari telinganya.

“Kamu ni Nina suka sangat menjerit-jerit bila bercakap. Cuba bagi salam ke apa ke. Hisy...” marah Puan Sri Suzana pada anak tunggalnya yang menuntut di Australia.

Nina ketawa kuat mendengar kata-kata mamanya.

“Tengok tu! Orang marah dia boleh pulak ketawa macam pontianak!”

“Ala mama... kenapa macam bad mood aje ni? Nina ganggu mama ke?” soal Nina yang sudah berhenti ketawa.

“Taklah sayang. Nina tak ganggu mama pun tapi ketawa Nina macam nak pecah telinga mama ni. Nina kat mana ni sayang?” Suara Puan Sri Suzana sudah berubah lembut. Rindu pada anak gadisnya ini.

“Kat kampuslah mama. Minggu ni Nina final exam. Lepas tu dah boleh balik Malaysia. Rindunya pada mama, papa dan Mawi. Oh ya, Mawi sihat ke ma?”

Suara Nina begitu teruja. Dia benar-benar tidak sabar mahu menghabiskan peperiksaan akhir dan pulang ke Villa Suzana. Walaupun Tan Sri Shahril dan Puan Sri Suzana selalu melawatnya di sana, Nina tetap rindukan kedua-duanya.

“Mawi? Sibuk sangat dengan Mawinya tu. Mawi sihat dan makin gemuk. Pemandu baru papa tu yang jaga.”

Nina ketawa lagi.

“Mama ni dengan Mawi pun nak cemburu. Yalah, Nina rindu jugak pada Mawi. Sejak kecil lagi Mawi tu tinggal dengan kita. Kalau boleh, Nina nak aje bawa Mawi tu tinggal dengan Nina kat sini.”

“Jangan nak mengarutlah Nina. Ni, Nina dah makan ke belum? Izz tak pergi jumpa Nina?” soal Puan Sri Suzana bertalu-talu.

“Kejap lagi Nina nak keluarlah pergi airport ambil Izz. Lepas tu baru kami nak makan sama,” balas Nina sejujurnya.

Perasaannya begitu teruja. Tidak sabar mahu berjumpa tunangnya itu.

“Izz pergi sana ke? Kelmarin Izz baru datang jumpa mama kat butik bincang tentang hal kamu berdua. Tak ada pulak dia cakap nak pergi jumpa Nina. Hisy... si Izz ni pun satu, nak rahsia-rahsia pulak.”

“Ala, si Izz tu saja nak rahsoiakan daripada mama. Bukan dia nak rahsiakan dari mama. Mama janganlah ambil hati pulak.”

“Tak adalah. Mama cuma terkejut aje. Berapa lama pulak Izz kat sana?” soal Puan Sri Suzana mahu tahu dan membetulkan kedudukannya.

“Izz akan teman Nina kat sini, ma. Mungkin sampai Nina habis examdan kami akan balik sama,” balas Nina dengan perasaan yang teruja.

“Kalau macam tu baguslah. Balik nanti terus kahwin, tak payah nak tunggu lama-lama.”

“Mama ni... sabarlah. Papa buat apa ma?”

“Tadi ada. Entah mana pergi pulak papa Nina tu. Mama nak keluar ni.”

Mata Puan Sri Suzana mencari-cari suaminya.

“Mama ni asyik keluar aje. Cuba duduk rumah, jaga papa baik-baik. Bisnes mama kan dah ada orang jaga. Buat apa mama nak sibukkan diri pulak.

Nanti kalau mama asyik tak ada kat rumah, papa cari lain baru tersengih Puan Sri Suzana. Mama nak macam tu?”Nina menggertak manja. Biar mamanya rasa tergugat.

Berderau darah Puan Sri Suzana dibuatnya. Nina ni kalau bercakap memang tak sayang mulut.

“Amboi! Ada jugak yang makan serbuk cili balik nanti! Mama bukannya pergi melepak macam orang muda! Mama ada banyak urusan! Tan Sri Shahril tu faham orangnya!” bidas Puan Sri Suzana. Bertambah geram dia apabila mendengar ketawa Nina.

Dia tahu Nina mengusiknya.

“Mama nak keluar ni dah lambat. Nanti sampaikan salam mama pada Izz.”

“Yalah Puan Sri Suzana,” sahut Nina seakan mengejek mamanya.

Gagang telefon diletakkan. Puan Sri Suzana bangun. Terkejut dia melihat Tan Sri Shahril berada di belakangnya.

“You ni! Terkejut I. Kalau I ada lemah jantung boleh mati I nanti,” marah Puan Sri Suzana perlahan.

Tan Sri Shahril buat tidak endah.

“You tu yang lebih-lebih terkejut. Bukannya I sergah you. You berborak dengan Nina ke?”

“Yalah. Dengan anak kesayangan you tulah.”

Puan Sri Suzana sudah berjalan ke depan. Tan Sri Shahril mengikut dari belakang.

You all dua beranak berbual pasal apa?” Tan Sri Shahril mahu tahu.

“Kami berbual kosong aje. Nina cakap Izz ke sana jumpa dia. Next week mereka akan balik bersama. I jugak cadangkan Nina supaya cepat-cepat kahwin. Mereka berdua tu dah lama sangat bertunang.”

Wajah Tan Sri Shahril berubah serta merta. Kurang senang dengan keputusan terburu-buru isterinya ini.

“You ni janganlah gopoh sangat. Bagilah Nina dan Izz buat keputusan sendiri. Mereka tahu waktu bila yang terbaik untuk mereka berkahwin. I dah buat rancangan lain untukNina.”

Tan Sri Shahril sama sekali kurang setuju dengan tindakan isterinya itu. Puan Sri Suzana suka membuat keputusan sendiri tanpa bertanyakan pendapatnya sebagai ketua keluarga.

Puan Sri Suzana pusing belakang dan memandang tepat wajah Tan Sri Shahril.

“Rancangan apa pulak yang you nak buat pada Nina tu?” soal Puan Sri Suzana serius.

“I nak Nina bekerja dulu dengan syarikat dan uruskan bisnes I tu. Bila Nina dah biasa di syarikat tu nanti, barulah I nak kahwinkan dia. Lagipun niat I nak lantik Nina untuk jadi pengarah syarikat tu nanti. Bila I dah tak ada, Nina boleh uruskan syarikat.”

Tan Sri Shahril berterus terang. Dia mahu anak gadisnya menguruskan segala aset syarikat apabila dia sudah tiada nanti. Hanya Nina yang dia harapkan.

“Suka hati youlah! I tetap dengan rancangan I nak kahwinkan Nina dengan Izz cepat-cepat. Bila Nina dah kahwin, dia masih boleh bekerja dengan you,” ujar Puan Sri Suzana lalu terus melangkah keluar.

“You nak ke mana tu Zana? Hari minggu macam ni pun nak keluar jugak. I kat rumah ni sorang-sorang. Cubalah duduk rumah temankan I. Hari-hari lain I pulak yang sibuk.”

Tan Sri Shahril masih berlembut. Tiada riak marah di wajahnya.

“I pun macam you jugak ada bisnes. I nak tengok bisnes-bisnes I tu,” balas Puan Sri Suzana selamba dan mula menyarung kasut.

Tan Sri Shahril terdiam di muka pintu. Degil! Itulah Puan Sri Suzana. Tanpa mempedulikan suaminya, Puan Sri Suzana terus menuju ke garaj kereta. Tergeleng-geleng Tan Sri Shahril dengan sikap isterinya ini yang tidak pernah berubah sejak muda lagi.


-----------------------------------------------------------------------------------------------------

NINA membelek Samsung S4 miliknya. Kemudian, menekan folder picture dan melihat gambar-gambarnya bersama Izz Zhafran, tunang kesayangannya. Ada aksi mereka berpeluk sambil ketawa dan gambar kedua-dua belah keluarga ketika meraikan hari pertunangan mereka.

Saat itu adalah detik yang paling membahagiakan Nina dan Izz Zhafran. Setelah tiga tahun menyulam kasih bersama anak Datuk Hanif, akhirnya hubungan mereka diikat dengan tali pertunangan.

Nina amat mencintai Izz Zhafran dan begitulah sebaliknya. Nina yang cantik jelita dan Izz Zhafran yang bergaya. Kedua-duanya secocok.

Dulu, sukar untuk Izz Zhafran memikat hati Nina kerana gadis itu terlalu memilih orangnya dan mementingkan kedudukan. Dia mahukan yang berharta dan boleh memberikan dia segalanya. Itulah Nina Natasha, anak gadis Tan Sri Shahril.

Kini sudah setahun mereka bertunang. Izz Zhafran tidak sabar lagi mahu memperisterikan Nina dan hidup bersama selamanya. Dia mahu menjaga Nina seperti menjaga dirinya sendiri. Izz Zhafran pula nekad akan mengahwini Nina sebaik sahaja tunanganya itu tamat pengajian. Dia tidak boleh bersabar lagi! Bimbang jika si cantik jelita diambil orang.

Nina tersenyum manis. Hatinya benar-benar teruja mahu menemui Izz Zhafran. Lapangan Terbang Melbourne, Australia yang besar ini dipenuhi orang ramai. Nina tidak peduli. Dia dengan dunianya sendiri. Sesekali dia memandang sekeliling. Tunangnya itu akan tiba bila-bila masa saja. Nina tetap sabar menunggu.

Nina kembali menatap gajetnya. Dia tersenyum apabila matanya ditekup dari belakang. Dia sudah dapat mengagak gerangan manusia yang menutup matanya ini. Nina meraba-raba tangan itu.

“I tahu you dah sampai. Baik you tarik tangan you sebelum I gigit.”

Nina bersuara ceria dan tidak menolak tangan tersebut. Hatinya berbunga ceria.

Tangan itu masih menutup matanya. Nina mula berasa geram. Dia menarik tangan itu dan menggigit manja.

“Ouchh!!!” Suara kasar itu menjerit dan tangan itu terlepas dari menutup mata Nina.

Nina terus bangun dan pusing belakang.

“Izz!!! You tak payah nak kenakan I lah. I tahu itu tangan you.” Suara Nina begitu ceria dan dia kelihatan teruja.

“You ni kalau bab menggigit nombor satu! Tengok, merah tangan I ni!” tukas Izz Zhafran marah-marah sayang dan mendepakan tangannya.

Tanpa segan silu, Nina terus memeluk Izz Zhafran. Di sini siapa yang peduli? Masing-masing buat hal sendiri.

“I rindu sangat pada you Nina,” beritahu Izz Zhafran ceria.

Kedua-duanya melepaskan pelukan. Nina memaut erat pinggang Izz Zhafran dan mata mereka saling bertentangan.

“Kalau you rindukan I sekali, berkali-kali I rindukan you, Izz. Kalau boleh I tak nak berpisah langsung dengan you,” balas Nina sejujurnya.

“Sebab tu I nak ajak you terus kahwin dengan I. I tak boleh tunggu lama-lama lagi. I takut nanti ada orang rampas you dari I.”

“You ni! I hanya ada you aje. Dah tak ada orang lain dalam hati I selain you. Lagi satu, takkan ada yang berani rampas I dari youlah,” kata Nina sambil ketawa agak kuat.

So, you setujulah nak kahwin dengan I bila balik Malaysia nanti?” tanya Izz Zhafran lagi dan memaut bahu tunangnya itu.

“I tak cakap pun setuju atau tidak. My plan nak kerja dulu dengan papa. Papa nak ajar I tentang bisnes dan nak lantik I sebagai ketua pengarah syarikat nanti.”

“Ala, bila you kahwin dengan I nanti pun you masih boleh bekerja dengan papa you. I takkan kongkong you, Nina. I tahu apa yang you mahukan dalam hidup you.”

Nina mengenyitkan mata beberapa kali, sengaja mahu menyakat Izz Zhafran.

“Nantilah kita bincang soal kahwin. Sekarang ni I lapar sangat. Dari pagi tadi I tak makan sebab nak makan dengan you,” ajak Nina, mula mengheret tangan Izz Zhafran.

“Apa-apa pun I tetap akan kahwin dengan you bila kita balik Malaysia nanti! Kalau you tak setuju, I akan larikan you ke Thailand!” tegas Izz Zhafran memberi amaran.

Nina mula berasa geram dan terus menarik tangan Izz Zhafran.

“Yalah-yalah. Jom kita pergi makan sekarang!”

Barulah kini Izz Zhafran mengukir senyuman. Impiannya untuk berkahwin dengan Nina akan tercapai. Dia akan berusaha untuk memiliki gadis seksi ini.

“KITA berdua ni bila nak berhenti tabiat ke kelab malam? Kalau papa I tahu yang kita masih lagi menjadi pelanggan tetap kelab malam, dah tentu papa membebel.”

Nina yang sedang memandu merungut perlahan. Dia memandang sekilas ke arah Izz Zhafran yang masih memejamkan mata. Tunangnya ini masih mamai akibat meneguk minuman keras. Tergeleng-geleng Nina melihat Izz Zhafran.

Sebenarnya mereka berdua baru saja pulang dari kelab malam yang terletak di Bandar Melbourne. Itulah tempat utama Izz Zhafran apabila berkunjung ke sini untuk menemui Nina. Dia pasti akan membawa Nina berhibur. Katanya mahu tenangkan jiwa.

Izz Zhafran menguap agak kuat. Tubuhnya terlalu letih dek kerana menari tidak henti-henti sepanjang berada di kelab malam. Nina mula geram. Dia memandang tunangnya sekali lagi.

“You dengar tak apa yang I cakap ni, Izz?” Kali ini suara Nina kedengaran sedikit tegas.

“Dengar.”

Sepatah jawapan yang lahir dari mulut lelaki ini. Matanya masih tertutup.

“Dah tu kalau you dengar, kenapa tak jawab apa yang I cakap tadi?”

“You cakap apa?” soal Izz Zhafran mula membuka mata.

Nina merengus geram. “Tadi cakap dengar! I cakap kita ni bila nak berhenti tabiat ke kelab malam? Kalau papa I tahu, dah tentu I kena marah! Faham?”

Izz Zhafran ketawa kecil dan mencapai tangan Nina. Tangan lembut itu dibawa ke bibir dan dikucup lama. Kemudian, Nina menarik tangannya dari genggaman Izz Zhafran.

“You ni macam tak tahu pulak perangai I. Kita bukan baru kenal sayang. Hobi I suka ke kelab malam dan berhibur. Kalau dalam seminggu I tak ke kelab malam, jiwa I takkan tenang. Kelab malam adalah rumah kedua I. Kenapa? You dah bosan? Bukan ke you pun suka menari?”

Kali ini Izz Zhafran mengenakan Nina pula.

“I tak kata pun tak suka. Tapi sampai bila kita nak macam ni, Izz? Tak lama lagi kita dah nak kahwin. Takkan selamanya kita nak macam ni? Nanti bila dah ada anak, you still nak melawat kelab malam?”

“Wow!!!” Izz Zhafran ketawa kuat mengejutkan Nina.

“Kenapa you ketawa? Salah ke apa yang I cakap?” tanya Nina, pelik.

Izz Zhafran berhenti ketawa.

“You cakap soal anak? Biar betul Nina? Nanti kalau dah anak, kita susah nak bergerak Nina sayang oii... lepas tu dengar budak kecik menangis, merengek dan macam-macamlah. I bukan jenis yang rajin nak jaga budak kecik.”

Laju sahaja ayat itu terbit di bibir Izz Zhafran. Bercakap langsung tidak berfikir.

Nina mencebik.

“Habis, you ingat I nak anak sangat ke? I cuma ingatkan you aje. I pun sama macam you, bukan jenis yang rajin jaga budak kecik. Lagi satu, I tak pandai nak main dengan budak kecik.”

“Ha! Kalau macam tu lagi senang. Kita kahwin aje nanti. Tak ada anak pun tak apa. Cukuplah ada you untuk terus bersama dengan I.”

“Jadi, betul ni you nak kahwin dengan I?” soal Nina mahukan kepastian.

Of course sayang,” kata Izz Zhafran sambil mencuit manja dagu Nina.

“Balik Malaysia nanti I nak kita terus kahwin. I dah beritahu mummy I untuk uruskan majlis perkahwinan kita. Mama you pun dah setuju. Cuma papa you tu I rasa payah sikit.”

“You jangan risau tentang papa I. Mama I boleh handle,” balas Nina penuh yakin.

“Tapi I mintak sangat tolong jangan curang pada I! I cemburu tahu tak bila you menari dengan perempuan lain tadi.”

Nina mula memasamkan muka. Bukan main seronok lagi Izz Zhafran menari bersama wanita warga Australia sebentar tadi. Bahkan kedua-duanya berpelukan seakan tidak mahu berpisah.

Sakit juga hatinya melihat Izz Zhafran mengusap-ngusap pipi wanita itu, namun dipendam di dalam hati. Makan hati juga dia dengan sikap Izz Zhafran yang suka melayan perempuan lain.

“Laa... cemburu pulak. Tadi you jugak tak kisah I ajak perempuan lain teman I. Come on Nina, kami bukan buat apa pun. Kami cuma menari aje. You jangan fikir yang bukan-bukan ya.” Izz Zhafran memujuk lembut dan sekali lagi menguap akibat terlalu mengantuk.

Nina memandang Izz Zhafran. Tunangnya itu sudah berdengkur. Nina mengeluh perlahan.


Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.