Home Novel Cinta AKU TAK SUKA KAU! (NINA/ISKANDAR)
AKU TAK SUKA KAU! (NINA/ISKANDAR)
EMY RUSLI
16/6/2015 14:32:30
88,012
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 3

PENULIS : EMY RAZIELA

TERBITAN : ALAF21 (MEI 2015)

P/s manja : Boleh add penulis, EMY RAZIELA NOVELIS di Facebook :-)

Ya Allah, Ya Tuhanku… Aku mendengar seruan dan hanya kepada-MU ku beriman.

Apabila perkara maksiat disembunyikan, banyak keburukan yang akan berlaku. Bukan kepada si pelaku, bahkan juga kepada mereka yang menyembunyikan perkara maksiat tersebut.

Moga-moga kita semua mendapat rahmatNYA. Teruslah mengikuti kisah NINA/ISKANDAR yang sarat dengan mesej-mesej tersirat dan tersurat.

------------------------------------------------------------------------------------------------------

ISKANDAR sudah siap sedia. Hari ini dia pulang awal. Setiap hari Khamis, Iskandar akan pastikan dia pulang ke rumah lebih awal. Pada setiap malam Jumaat dia akan menghadirkan diri ke kuliah agama di Masjid Syuhada yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

Kuliah agama itu disampaikan oleh sahabat baiknya, iaitu Ustaz Syukri. Iskandar tidak mahu melepaskan peluang ini. Pada hari lain pula jika dia pulang awal ke rumah, dia akan ke masjid-masjid yang akan menyampaikan kita-kitab ALLAH.

Itulah Iskandar yang teramat cintakan ilmu akhirat. Jika dia tidak dapat hadirkan diri ke kuliah agama, hidupnya terasa tidak lengkap. Syukur pada ALLAH yang sentiasa membukakan pintu hatinya untuk terus mencari ilmu akhirat.

Iskandar berdiri di depan cermin usang. Wajahnya yang putih berseri direnung lama. Jubah putih melekat elok di tubuhnya yang tinggi. Kopiah putih juga dipakaikan di atas kepalanya. Sekejap lagi azan maghrib akan berkumandang. Dia mahu cepat tiba di Masjid Syuhada.

“Tak usah renung lama-lama cermin tu, Is. Anak mak ni dah cukup sempurna di mata mak. Lebih handsome dari pelakon-pelakon kat tv tu.”

Puan Leha berjalan terjongket-jongket menuju ke ruang tamu dengan senyuman yang tidak lekang di bibir. Sejuk hatinya mengandungkan Iskandar. Iskandar memusingkan tubuh. Dia membalas senyuman emaknya.

“Mak ni saja nak ambil hati Is, kan?” teka Iskandar lembut.

“Hisy... apa pulak nak ambil hati Is. Betullah apa yang mak cakap ni. Anak mak ni dari dulu lagi memang handsome.Dahlah handsome, baik pulak tu. Setiap kali tengok Is, mak rasa senang hati sangat.”

Iskandar ketawa mendengar pujian Puan Leha.

Handsome pun tak ada orang nak pada anak mak ni. Takut jugak nanti Is jadi bujang terlajak. Maklumlah anak mak ni tak ada harta,” balas Iskandar seraya ketawa halus.

“Harta tu tak boleh bawa ke mati, nak... amal ibadat kita nanti yang akan dipersoalkan di dalam kubur. Harta banyak pun tak guna kalau hati ni jauh dengan ALLAH. Mak yakin suatu hari nanti pasti jodoh anak mak akan sampai. Mak berdoa agar anak mak temui wanita yang baik dan solehah.” Panjang lebar Puan Leha berpesan.

Iskandar menghampiri Puan Leha. Senang hatinya mendengar nasihat daripada emaknya. Tangan Puan Leha dicapai dan dikucup lama.

“Terima kasih, mak. Is bangga ada ibu seperti mak. Maklah ibu yang paling baik di dunia ini. Sampai mati pun Is tetap akan sayangkan mak.”

Puan Leha mengusap pipi anak bujangnya itu dan tersenyum manis.

“Is nak ke masjid ni, mak. Bila habis kuliah nanti Is akan balik rumah terus. Kalau mak lapar, makanlah dulu. Is dah hidangkan lauk tadi. Nanti mak kunci pintu, ya. Assalamualaikum mak.”

“Waalaikumussalam. Hati-hati nak,” pesan Puan Leha penuh kasih sayang.

Selepas itu Iskandar terus melangkah keluar dari rumah papan itu.

AZAN maghrib baru sahaja berkumandang. Ustaz Syukri mengimamkan solat maghrib. Sesudah itu barulah kuliah maghrib dimulakan sementara menunggu waktu isyak.

Iskandar mengambil tempat duduk di hadapan bersama jemaah yang lain. Khusyuk dia mendengar kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Syukri. Sesekali dia mencatit sesuatu di atas kertas.

Selesai solat isyak, Iskandar melangkah keluar dari Masjid Syuhada bersama Ustaz Syukri. Wajahnya kelihatan agak sugul dan otaknya ligat berfikir. Biasanya apabila bersama Ustaz Syukri, banyak yang akan Iskandar persoalkan. Namun, malam ini dia banyak membisu. Ustaz Syukri sendiri perasan akan perubahan sahabat baiknya itu. Seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Iskandar, mung okey dok ni? Aku tengok mung lain mace jah male nih.”(Iskandar, kau okey tak ni? Aku tengok kau lain macam aje malam ni.”) Ustaz Syukri memulakan bicara.

Mereka berdua mengambil tempat duduk di tepi tangga masjid. Jemaah lain sudah pun pulang. Kini hanya tinggal mereka berdua.

Pertanyaan Ustaz Syukri dibiarkan tanpa jawapan. Iskandar masih termenung. Fikirannya jauh melayang di Villa Suzana. Apakah harus diceritakan kepada Ustaz Syukri apa yang pernah dilihatnya di Villa Suzana atau membiarkannya saja?

“Is...” panggil Ustaz Syukri lagi.

“Hah!” Iskandar terkejut dan terus memandang sahabatnya itu di sebelah.

Serta-merta wajah Iskandar merona merah.

Bakpo mung ni, Is? Senyap jah. Kalu dok gak mace-mace soalan mung tanyo. Ni, mesti ado tok keno,”(“Kenapa dengan kau ni, Is? Senyap aje. Kalau tak macam-macam soalan kau tanya. Ni mesti ada yang tak kena,”) teka Ustaz Syukri lagi mahukan kepastian.

Iskandar mengeluh perlahan dan meraup mukanya. Lama membisu barulah dia bersuara.

Aku pun tok tahu nok royak rano ko mung.”(“Aku pun tak tahu nak cakap macam mana pada kau.”)

Berat benar bunyi nih!”(“Berat sangat bunyinya tu!”) Ustaz Syukri ketawa kecil. Adalah tu perkara yang membebankan sahabatnya itu. Setahunya, Iskandar tidak lokek bercerita jika ada masalah.

Ustaz Syukri menyambung semula kata-katanya.

“Ceritalah. Jangan pendam sorang-sorang. Kita bukan baru berkawan. Kalau kau perlukan pendapat dan nasihat aku, insya-ALLAH aku boleh bagi. Cerita pada aku.”

Iskandar memandang Ustaz Syukri.

“Ni berkaitan dengan isteri majikan aku.”

“Maksud kau, isteri Tan Sri Shahril tu ke?” soal Ustaz Syukri lagi mahukan kepastian.

Iskandar mengangguk perlahan.

“Aku pun tak tahu nak mulakan macam mana. Dalam masa yang sama aku jugak tak nak buruk sangka. Tapi aku dapat rasa, ada sesuatu yang tak kena dengan Puan Sri Suzana tu.”

Ustaz Syukri membetulkan kedudukannya. Dia kelihatan berminat untuk mengetahui kisah selanjutnya.

“Cerita pada aku!” arah Ustaz Syukri.

“Sekarang ni Tan Sri Shahril ke luar negara ada urusan perniagaan selama dua minggu. Aku tak nak fitnah yang bukan-bukan, tapi aku nampak dengan mata aku sendiri ada seorang lelaki muda masuk ke Villa Suzana masa aku nak keluar dengan Mak Cik Minah tempoh hari.”

“Lepas tu...” Ustaz Syukri tidak sabar lagi ingin tahu.

“Bila aku balik semula ke Villa Suzana, aku nampak lelaki itu keluar dari rumah tergesa-gesa. Puan Sri pun ada. Aku nampak mereka berdua tu lain macam aje. Bila aku tanya Mak Cik Minah, dia pun tak tahu.

Tapi aku rasa Mak Cik Minah tu ada sembunyikan sesuatulah. Dia sengaja tak nak beritahu aku. Aku bukanlah nak tuduh yang bukan-bukan, tapi cara mereka berdua tu lain macam aje. Aku sendiri dapat rasa, ada sesuatu antara Puan Sri Suzana dengan lelaki muda tu.

Kalau lelaki tu saudara-mara Puan Sri Suzana, aku tak adalah kisah sangat, tapi kalau bukan saudara-mara, siapa pulak? Keadaan mereka tu mencurigakan. Entahlah, aku pun tak tahu nak cerita lebih lanjut pada kau. Kalau saudara sekalipun, perkara haram tetap haram.”

Panjang lebar Iskandar bercerita. Ustaz Syukri khusyuk mendengar dan sesekali mengangguk. Belum habis Iskandar bercerita dia sudah dapat menangkapnya.

“Kau cuba risik lagi sekali pada Mak Cik Minah. Mana tahu Mak Cik Minah tahu hal yang sebenar,” saran Ustaz Syukri.

“Kalau mereka berdua tu melakukan maksiat, takkan aku nak berdiam diri pulak. Nanti dengan aku pun turut sama berdosa sebab sembunyikan perkara yang tak baik ni. Aku tak naklah macam tu.”

“Kau yakin ke itu bukan saudara-mara Puan Sri?” tanya Ustaz Syukri lagi, memandang tepat wajah putih bersih sahabatnya ini.

Iskandar mengangguk.

“Kalau saudara-mara takkanlah sampai nak cium-cium tangan dan usap-usap pipi. Itu pun dah boleh buatkan orang berfikir yang tidak baik.”

Ustaz Syukri menghembus lembut nafasnya.

“Macam nilah, aku pun tak nak fikir yang bukan-bukan. Kalau sekali lagi perkara tu berlaku depan mata kau, cuba kau tanyakan hal tu pada Puan Sri. Kalau betul tekaan kau, kau kenalah tegur Puan Sri tu cara baik. Maksiat depan mata kita tak boleh biarkan. Dengan kita sekali menanggung dosa sebab bersubahat,” beritahu Ustaz Syukri serius.

“Puan Sri tu lain sikit, Syuk. Dengan orang lain pun dia boleh marah-marah, apatah lagi dengan pemandu cabuk macam aku ni. Selama ni kalau bercakap dengan aku pun dia tak pernah senyum. Inikan nak tegur dia pulak. Mahu dia libas aku dengan parang nanti,” jawab Iskandar berterus-terang.

Dia akui Puan Sri Suzana tegas dan garang orangnya. Wanita itu jarang mengukirkan senyuman dan payah sekali untuk menegur pekerja di rumahnya. Berlainan dengan Tan Sri Shahril yang peramah dan tidak pernah sombong walau dengan sesiapa pun. Mungkin itulah salah satu keberkatan perniagaannya yang semakin maju.

“Hisy... kau ni nak takut apanya? Kita kalau nak cegah perbuatan yang tidak baik tak perlu rasa takut.Cuma cara kita tegur tu mestilah dengan cara yang baik dan berhemah. Kalau betul mereka melakukan maksiat, orang yang melihatnya pun akan sama menanggung dosa.

Sama jugak kalau seorang pemimpin melakukan perkara yang tidak baik dan rakyat tidak diberi peluang untuk menegur, perkara yang tidak baik tu akan terus berleluasa sampai bila-bila. Tapi itulah dunia sekarang. Yang tak baik itulah yang kita sembunyikan. Kau nak tambah lagi dosa?” Bersungguh-sungguh Ustaz Syukri menguji sahabatnya ini.

Iskandar menggeleng.

“Aku pun tak nak macam tu. Aku lebih rela berhenti kerja dari melihat maksiat depan mata aku. Nanti kalau aku dah tegur Puan Sri tu dan dia tak boleh terima teguran aku macam mana?” soal Iskandar pula mahukan penerangan lebih lanjut.

“Bila tanggungjawab kau dah selesai, terpulanglah kepada dia untuk terima atau tidak. Yang penting nasihat kita supaya dia sedar dan berubah. Mana tahu bila kau tegur, dia akan sedar dan insaf. Itu dah dikira satu rahmat. Kau pun akan dapat pahala nanti.

Kita ni kalau nak buat perkara baik tak perlu rasa takut. Setiap masalah ALLAH dah bagi jalannya. Dalam masa yang sama berdoalah agar Puan Sri tu mendapat petunjuk dari ALLAH.” Ustaz Syukri terus memberi nasihat dan kata-kata semangat kepada Iskandar.

Barulah kini Iskandar berasa sedikit tenang.

“Insya- ALLAH, aku akan cuba. Jika benarlah apa yang aku duga ni, kesian pada Tan Sri Shahril. Tan Sri tu suami yang baik dan tak pernah meninggikan suara pada Puan Sri.”

Ustaz Syukri mengangguk tanda faham. Moga-moga hal ini akan dapat diselesaikan dengan baik. Itulah juga harapan Iskandar.

------------------------------------------------------------------------------------------------------

ISKANDAR menelan air liur apabila melihat Toyota Hilux terletak elok di dalam kawasan Villa Suzana. Sahlah, lelaki itu ada di dalam rumah.

‘Ya ALLAH, tutupkanlah penglihatanku dari melihat perkara maksiat.’ Sempat Iskandar berdoa di dalam hati.

Hatinya tidak senang selagi tidak mengetahui hubungan antara Puan Sri Suzana dan lelaki muda itu yang lebih kurang seusia dengannya.

Ketika kakinya hendak melangkah ke belakang rumah, lelaki muda itu beriringan keluar bersama Puan Sri Suzana sambil berpelukan. Jelas di matanya Puan Sri Suzana mengucup pipi lelaki itu lalu dia membalas perbuatan Puan Sri Suzana.

Iskandar melarikan pandangannya.

“Astaghfirullahalazim!” ucap Iskandar perlahan.

Tidak tahukah Puan Sri Suzana maksiat adalah satu dosa besar. Dosa pada suami dan dosa pada ALLAH. Jika Tan Sri Shahril tahu akan perkara ini, sudah tentu hati Tan Sri Shahril kecewa dan terluka.

Iskandar menggeleng. Tidak sanggup lagi dia menyaksikan perbuatan tidak bermoral itu. Sampainya hati Puan Sri Suzana mengkhianati suaminya. Tanpa menunggu lebih lama, Iskandar terus ke belakang. Dia mahu ke dapur menemui Mak Cik Minah.

“Mak Cik Minah!” panggil Iskandar perlahan.

Mak Cik Minah yang sedang membasuh pinggan terkejut dan terus pusing belakang.

“Is! Kamu nak makan ke? Nasi goreng pagi tadi ada lagi. Ni mak cik baru nak masak makanan tengah hari,” balas Mak Cik Minah ramah dan berhenti membasuh pinggan.

“Err... tak apa mak cik. Saya dah makan tadi kat rumah. Mak cik dah makan ke?” soal Iskandar kembali.

“Mak cik pun dah makan. Kamu ada tugas ke hari ni?”

“Haahmak cik. Saya nak cuci kereta dan nak pergi ke pejabat pos hantar barang. Ni, saya ada perkara sikit nak bincang dengan mak cik.”

Mak Cik Minah mengelap tangannya yang basah. Lain macam aje suara pemandu Villa Suzana ini. Ada yang tak kena ke? Mak Cik Minah pula tidak sedap hati.

Mak Cik Minah memandang Iskandar yang masih berdiri di muka pintu belakang.

“Kalau ya pun masuklah dulu. Ni berdiri kat tepi pintu tu kenapa?”

“Hmm... tak apa mak cik. Saya cuma nakkan pengesahan aje. Bukan saya nak masuk campur urusan keluarga ini. Tapi mak cik dah tentu tahu banyak perkara dalam rumah ni. Yalah, mak cik kan dah lama bekerja di sini. Maaflah kalau pertanyaan saya nanti menggoreskan hati mak cik.”

Iskandar berterus terang. Harap-harap Mak Cik Minah akan bekerjasama.

“Apa dia? Beritahu mak cik.”

Iskandar membalas pandangan Mak Cik Minah.

“Mak cik kenal tak lelaki muda yang sejak akhir-akhir ni selalu datang ke sini dan jumpa dengan Puan Sri? Saya rasa sebelum ni dia tak datang bila Tan Sri ada di rumah.”

Wajah Mak Cik Minah berubah pucat. Dia serba salah. Dia tahu Iskandar mengesyaki sesuatu di antara lelaki itu dan Puan Sri Suzana.

“Mak cik jangan sembunyikan apa-apa daripada saya. Kalau ada yang tak kena beritahulah saya. Benda yang tak elok kita kena cegah, mak cik. Saya bukan nak tuduh yang bukan-bukan dan saya jugak bukan nak masuk campur urusan orang lain, tapi sebagai manusia yang ada agama kita kena nasihat-menasihati antara satu sama lain. Mak cik faham kan maksud saya?”

Wajah Iskandar kelihatan serius. Mak Cik Minah menelan air liur. Dia malu dengan Iskandar. Anak muda yang punyai ilmu agama yang cukup tinggi.

“Err... mak cik...” Tergagap-gagap Mak Cik Minah dibuatnya.

“Saya tahu mak cik sembunyikan sesuatu dari saya. Jangan takut mak cik. Kita nak betulkan perkara yang tak betul. Rezeki ALLAH ada di mana-mana. Kalau khidmat mak cik dah tak diperlukan lagi di sini, ALLAH dah sediakan yang lebih baik lagi pada mak cik. Saya jugak begitu. Cuba beritahu saya perkara yang sebenar.”

Mak Cik Minah lama berfikir. Kemudian dia merenung Iskandar.

“Mak cik pun tak tahu macam mana nak beritahu kamu perkara sebenar. Kamu tahulah Puan Sri tu macam mana.”

Mak Cik Minah menjengah ke kiri kanan. Bimbang jika Puan Sri Suzana mendengar perbualannya nanti.

“Sebenarnya lelaki yang kamu nampak tu kekasih Puan Sri Suzana!”

Astaghfirulahalazim. Iskandar mengucap di dalam hati. Dia sudah dapat mengagaknya.

“Dah lama ke perkara ni berlaku mak cik?” soal Iskandar lagi ingin tahu.

Mak Cik Minah yang tadinya tunduk, kembali mengangkat kepala. Malu dia mahu berterus-terang pada Iskandar.

“Dah hampir empat tahun Puan Sri Suzana bercinta dengan lelaki tu. Setiap kali Tan Sri Shahril ke luar negara, lelaki tu pasti akan datang ke sini. Kadang-kadang bermalam di sini. Mak cik bukan nak sembunyikan hal ini dari kamu. Mak cik sendiri pun malu dengan perbuatan Puan Sri,” beritahu Mak Cik Minah lagi. Dia tidak mahu sembunyikan apa-apa lagi. Biarlah anak muda ini turut sama mengetahuinya.

Iskandar tunduk. Tidak takutkah Puan Sri Suzana dengan azab ALLAH? Ya ALLAH, ya TUHANku, berikanlah petunjuk dan hidayah-MU kepada Puan Sri Suzana.

“Kekasih Puan Sri Suzana tu sebenarnya hanya mahukan harta Tan Sri Shahril. Lelaki tu selalu mintak duit dengan Puan Sri. Bukannya sedikit tapi berpuluh-puluh ribu. Entah-entah dah sampai setengah juta Puan Sri Suzana laburkan pada kekasihnya tu.

Ikutkan, mak cik jugak berdosa kerana membiarkan maksiat berlaku di depan mata mak cik tapi entahlah mak cik sendiri pun tak tahu apa yang perlu mak cik buat.”

Wajah Mak Cik Minah kelihatan kesal. Kasihan pada Tan Sri Shahril. Tergamaknya Puan Sri Suzana curang kepada Tan Sri Shahril.

“Hmm... kalau macam tu tak apalah mak cik. Saya cuma nak tahu. Harap-harap kita boleh bantu Puan Sri Suzana supaya kembali ke pangkal jalan.”

“Tapi mak cik harap sangat Is takkan pecahkan rahsia ni pada Tan Sri Shahril. Boleh huru-hara jadinya nanti. Kamu fahamkan maksud mak cik?”

Mak Cik Minah kelihatan bimbang. Takut jika dia dipersalahkan jika Tan Sri Shahril mengetahui perbuatan Puan Sri Suzana.

“Insya-ALLAH mak cik. Takkan ada perkara buruk berlaku. Percayalah pada saya,” balas Iskandar sambil tersenyum dan berlalu pergi.

Tergamaknya Puan Sri Suzana melakukan perbuatan terkutuk itu. Moga-moga Puan Sri Suzana akan mendapat petunjuk dari ALLAH. Itulah yang diharapkan oleh Iskandar.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.