Home Novel Cinta AKU TAK SUKA KAU! (NINA/ISKANDAR)
AKU TAK SUKA KAU! (NINA/ISKANDAR)
EMY RUSLI
16/6/2015 14:32:30
88,028
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 9
Lagi dan lagi kisah NINA/ISKANDAR...
Jangan lepaskan peluang untuk terus mengikuti  kisah NINA/ISKANDAR...
Yang terbaik hanyalah AKU TAK SUKA KAU!

-------------------------------------------------------------------------------------

TAN Sri Shahril berdiri tegak di ruang tamu Villa Suzana. Matanya memandang tepat pada anak dan isterinya yang duduk di atas sofa. Kedua-duanya kelihatan seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Puan Sri Suzana dengan wajah selambanya manakala Nina pula sibuk dengan telefonnya langsung tidak pedulikan Tan Sri Shahril.

Majlis di Villa Suzana baru sahaja selesai dan kesemua tetamu sudah pun pulang. Yang tinggal hanyalah pekerja hotel yang sedang membersihkan tempat majlis berlangsung sebentar tadi.

Kedua-dua beranak ini tahu apa yang mahu dikatakan oleh Tan Sri Shahril. Sudah tentu pasal Nina memaki hamun Iskandar dan emaknya.

“Nina tahu tak kenapa papa panggil Nina?” soal Tan Sri Shahril, serius. Tiada senyuman langsung di bibirnya. Dia masih berdiri tegak di situ.

Nina menjawab hanya dengan mengangkat bahunya.

Tan Sri Shahril bertambah geram. Dirampas telefon yang berada di tangan Nina. Nina tergamam dan memandang Tan Sri Shahril.

“You kenapa ni Shahril? Tak boleh ke you cakap baik-baik dengan Nina? Yang you rampas telefon dia kenapa?” Puan Sri Suzana terlebih dahulu bersuara menyebelahi anaknya. Geram dengan sikap kasar suaminya.

“Entah papa ni. Kalau nak cakap, cakap ajelah. Tak payah nak rampas-rampas,” tukas Nina selamba.

“Kalau papa tak rampas, kamu akan sibuk mengadap telefon tu. Ni, papa nak tahu. Apa yang Nina dah buat pada Iskandar hah? Kenapa Nina hina mereka anak beranak?” tanya Tan Sri Shahril dengan suara yang sedikit kuat.

Nina dan Puan Sri Suzana berpandangan antara satu sama lain. Kemudian, Nina memandang Tan Sri Shahril pula.

“Apa yang Nina dah buat pada dia orang? Nina tak buat apa-apa pun.”

“Jangan nak bohong, Nina Natasha! Nina ingat papa tak tahu apa yang dah jadi sebentar tadi? Papa ni belum buta dan pekak lagi. Papa dah tengok sendiri apa yang Nina buat pada Is! Orang lain pun kaya jugak! Tapi tak adalah perangai teruk macam kamu ni!”

“Hisy... mana papa tahu? Entah-entah dia orang yang kaya tu lagi teruk pada kita ni, pa. Tadi tu bukannya teruk mana pun Nina kenakan si Is tu. Setakat baling makanan aje. Bukannya sakit pun!” balas Nina selamba, seolah-olah mengejek papanya.

Geram Tan Sri Shahril dengan jawapan Nina.

“Tahu tak papa malu! Malu sangat pada kawan-kawan papa! Nanti dia orang cakap yang papa tak tahu nak ajar anak menghormati orang lain!”

“Ala, nak malu apa papa. Kalau pasal pemandu cabuk papa tu, tak payah nak ambil berat sangatlah, pa. Lagi satu Nina nak beritahu papa yang si Is tu memang tak layak nak makan makanan yang mahal-mahal kat majlis tu. Dia tu siapa? Kaya macam kita ke?”

Nina masih dengan sikap sombongnya. Tergeleng-geleng Tan Sri Shahril dengan sikap anaknya ini. Salah dia kah dalam mendidik anaknya ini?

“Jangan terlalu bongkak, Nina. Apa yang kita ada sekarang ni hanyalah pinjaman dari ALLAH. Bila-bila masa ALLAH boleh tarik!” balas Tan Sri Shahril, geram.

Nina dan Puan Sri Suzana menunjukkan muka meluat.

“Papa tahukan yang Nina tak suka bergaul dengan orang-orang miskin macam dia tu. Yang papa jemput dia tu kenapa? Tengok kawan-kawan Nina. Semuanya anak orang kaya. Yang datang semua harta berjuta-juta. Tiba-tiba terselit orang macam dia kat majlis tu. Malulah Nina! Bawak pulak mak dia yang tempang tu macam pengemis aje Nina tengok! Lepas tu, pemandu papa tu langgar Izz pulak! Mahunya Nina tak angin.”

“Dia bukannya sengaja langgar si Izz tu. Dia dah cakap yang dia tak sengaja. Is pun dah mintak maaf pada Nina dan Izz kan? Tak cukup lagi ke?” marah Tan Sri Shahril.

“Masalahnya baju Izz tu mahallah papa! Kalau dia kerja dengan papa bertahun-tahun pun, belum tentu dia boleh bayar!”

Nina tidak mahu mengalah. Puan Sri Suzana diam melihat kedua-dua beranak ini bertikam lidah.

“Nina! Kalau bercakap tu biar berlapik sikit! Jangan nak terlalu sombong dan takbur!” jerkah Tan Sri Shahril. Sakit hati dengan mulut lancang anaknya ini. Ikutkan hati, mahu saja ditangankan anak gadisnya ini. Terlalu kurang ajar!

Nina membalas pandangan mata papanya. Langsung tiada rasa hormat dalam dirinya pada Tan Sri Shahril.

“Kenapa? Salah ke apa yang Nina cakap? Papa janganlah manjakan sangat pemandu papa tu sampaikan majlis besar macam tadi pun papa nak jemput dia! Memang Nina tak boleh terima.”

“Kamu ni dah melampau! Si Izz tu pun sama! Bukannya kotor sangat baju tu sampai nak pukul Is. Buat malu aje! Anak jantan apa macam tu! Itu pengecut namanya!”

Puan Sri Suzana dan Nina terkedu. Kali ini Puan Sri Suzana pula naik angin.

“Yang you bela sangat pemandu you tu, kenapa? Dia dah jampi serapah apa kat you?” Kali ini Puan Sri Suzana bersuara. Dari tadi dia geram dengan sikap suaminya ini.

Tan Sri Shahril memandang isterinya.

“I tak bela dia! I cuma nak betulkan salah silap anak you ni. You ni pun sama! Ajarlah perangai buruk you tu pada anak kesayangan you ni!”

Jari telunjuk Tan Sri Shahril ditala tepat pada wajah Puan Sri Suzana.

“You dah tahu yang I dan Nina pentingkan darjat. Kami pentingkan kemewahan. Kesimpulannya, kalau orang tak berduit, bukan kawan kami! You ni, itu pun tak faham. Bukan baru hari ni you kahwin dengan I!” sampuk Puan Sri Suzana lagi.Geram betul dia dengan Tan Sri Shahril.

“Duit berkepuk tu boleh bawak masuk kubur ke Zana? Duit banyak yang you ada ni boleh jamin untuk masuk syurga ke? Kalau macam tu, I orang pertama yang nak masuk syurga sebab I banyak duit!”

Tan Sri Shahril berterusan memarahi Puan Sri Suzana. Salah silap Nina tidak pernah mahu ditegur. Sebaliknya Puan Sri Suzana memanjakan lagi anaknya.

Nina mula bangun. Bosan! Wajahnya cemberut.

“Mama dengan papa bergaduhlah sampai esok pagi. Tak kuasa Nina nak layan. Nina nak tidur. Esok pagi nak bangun awal sebab nak mulakan kerja. So, papa see you in the office tomorrow morning. Good night!

Nina terus berlalu ke biliknya.

Tan Sri Shahril dan Puan Sri Suzana memerhati lenggok Nina yang semakin menghilang. Kemudian, Tan Sri Shahril memandang Puan Sri Suzana.

“Macam tu ke cara you didik anak selama ni?” soal Tan Sri Shahril masih tidak puas hati.

“Itu kan anak you jugak. Tak payahlah you nak salahkan I. Kalau I salah didik Nina, bermakna you pun salah jugak. Kalau I tak layak jadi ibu, you pun tak layak jadi bapak! Sudahlah Shahril, you tak payah nak tunjuk baik sangatlah. You dulu pun bukan baik sangat. Sejak you ada pemandu baru tu, you pulak jadi alim. Selama ni sembahyang you tak pernah cukup pun!”

Selamba Puan Sri Suzana mengenakan Tan Sri Shahril tanpa memikirkan dosa kerana meninggikan suara pada suami.

Tan Sri Shahril terpempam! Tergamak isterinya berbicara begitu padanya. Di manakah rasa hormat Puan Sri Suzana padanya? Memang selama ini Puan Sri Suzana tidak pernah menghormatinya sebagai suami.

Sebaik berkata begitu, Puan Sri Suzana bangun. Tanpa memandang Tan Sri Shahril, dia terus berlalu pergi meninggalkan suaminya.

Tan Sri Shahril duduk di atas sofa. Kepalanya pusing memikirkan anak dan isterinya. Kenapa ini terjadi dalam keluarganya? Dia punyai segala-galanya, tetapi kemesraan dan kasih sayang tidak pernah wujud dalam rumah tangganya. Dia meraup mukanya berkali-kali. Dia cukup kesal dengan sikap anak dan isterinya.

Apakah masih ada ruang lagi untuk dia perbaiki kelemahan diri? Ya ALLAH, berikanlah aku kekuatan untukaku perbetulkan kesilapan dalam rumah tanggaku ini ya ALLAH. Aku gagal mendidik anak dan isteriku sebaiknya. Aku sedar kesilapan aku ya ALLAH. Aku alpa dan lalai dengan setiap nikmat yang kau berikan kepadaku. Tunjukkanlah pada anak dan isteriku jalan yang benar.

Dulu, aku banyak melakukan dosa ya ALLAH. Aku tidak melakukan setiap suruhan KAU dan aku juga tidak tinggalkan larangan KAU ya ALLAH. Kini, aku insaf. Aku semakin tua ya ALLAH. Bila-bila masa sahaja malaikat maut akan menjemputku untuk bertemu-Mu ya ALLAH.

Setitis air mata kekesalan mengalir di pipi tua ini. Segala yang dia miliki bukanlah satu kebahagiaan baginya.

DIA menghampiri Toyota Vellfire hitam yang sedang menunggunya. Nina kelihatan cantik dengan seluar slek kelabu dipadankan dengan blazer warna yang sama. Rambutnya yang sedikit perang dilepaskan dan beralun cantik. Wajah putihnya kelihatan berseri.

Hari ini merupakan hari pertama Nina akan memulakan kerja di Shahril Holding. Jawatannya sebagai Pengarah Urusan telah pun dilantik ketika dia masih lagi menyambung pengajian di Australia. Segala-galanya cukup senang pada gadis ini. Tidak pernah sekalipun Nina merasa susah selama hidup di atas dunia ini.

Cantik! Detik hati Iskandar. Peristiwa malam tadi yang membuatkan hatinya terluka akan dipadamkan terus dari kamus hidupnya. Dia tidak akan mampu memiliki permata yang cukup indah ini. Bahkan dia nekad akan terus melupakan permata yang tidak pernah suka padanya. Iskandar sedar semua itu. Tiada guna dia menyimpan perasaan itu jika dia tidak mampu meluahkannya.

Benar! Jatuh cinta ini terlalu memeritkan. Bertambah sakit jika jatuh cinta pada insan yang langsung tidakmenghargai kita. Mungkin cinta yang sedang dirasai Iskandar ketika ini hanyalah satu perasaan indah untuk menghidupkan jiwanya yang kosong. Moga-moga cintanya pada Nina akan terus lenyap dan tidak akan kembali lagi. Gadis ini akan menjadi hak mutlak lelaki lain selepas ini. Moga-moga Nina bahagia hendaknya.

“Apa yang kau tunggu lagi? Nampak apa kat tangan aku ni?” Sapaan Nina yang begitu kasar membuatkan Iskandar terkejut. Terus dia memandang Nina yang berwajah garang. Jauh dia mengelamun sebentar tadi. Semuanya tentang gadis ini.

Tanpa berkata apa-apa, Iskandar terus mengambil briefcase di tangan Nina. Pintu Vellfire sudah pun terbuka.

“Jemput naik, Cik Nina. Mulai hari ni saya akan ambil dan hantar Cik Nina ke ofis,” beritahu Iskandar.

“Aku tahulah! Dah namanya pemandu, memang kerja kaulah ambil dan hantar aku ke tempat kerja. Takkan aku nak suruh orang gaji tu pulak ambil aku kat opis!” balas Nina, garang.

Iskandar hanya mengangguk. Malas hendak mengulas apa-apa. Kemudian dia terus ke tempat pemandu.

Toyota Vellfire terus keluar dari perkarangan Villa Suzana dan menuju ke Bandar Kota Bharu. Shahril Holding terletak di tengah-tengah bandar Kelantan.

Jalan raya di Bandar Kota Bharu tidaklah terlalu sesak seperti di Kuala Lumpur. Cuma kadang-kadang jika berlaku kemalangan, jalan raya akan menjadi sesak. Iskandar tenang memandu. Sesekali dia mengerling pada Nina melalui cermin belakang. Kelihatan Nina leka melihat ke arah luar. Gadis itu senyum.

Entah apa yang lucu, Iskandar sendiri tidak tahu. Tetapi senyuman itu cukup membuatkan hatinya rasa gementar. Senyuman itu cukup cantik dan manis di pandanganmatanya.

Sekali lagi Iskandar cuba memandang Nina melalui cermin belakang. Saat ini juga mata Nina terpandang cermin belakang. Terus berubah wajah Nina.

“Apa yang kau tengok? Kau mengintai aku ke?” soal Nina, serius.

Mata Nina masih lagi di situ. Menyampah dia melihat Iskandar.

Kali ini Iskandar pula senyum. “Tak adalah, Cik Nina. Saya nak tengok belakang tadi. Tak perasan Cik Nina pun pandang cermin ni.”

Nina mencebik.

“Alasan! Macam aku tak tahu. Jantan sekarang ni memang tak boleh percaya. Nampak aje macam alim, tapi gatal nak mampus! Baik yang muda atau tua sama aje!”

“Bukan semua macam tu, Cik Nina. Kalau lelaki tu gatal, normal namanya. Memang gatal dan cemburu itu adalah sifat orang lelaki. Kalau orang perempuan tak mahu orang lelaki gatal, orang perempuan kenalah berpakaian sopan. Barulah lelaki tak gatal dan tak miang.

Cuba Cik Nina tengok orang perempuan yang berpakaian menutup aurat, ada ke lelaki gatal tengok perempuan tu? Tapi kalau perempuan tu pakai pakaian tak cukup kain, lelaki pasti akan tengok. Lepas tu cop lelaki tu gatal. Sebenarnya gatal orang lelaki ni berpunca dari siapa?”

Wah, panjang lebar Iskandar berbahas! Tapi apa yang dikatakan oleh Iskandar benar belaka.

Nina mula tidak senang duduk. Hatinya terasa panas. Berani drebar cabuk ni kenakan aku! Bisik hati Nina.

“Ooo... kau perli aku, kan? Kau nak cakap yang aku ni tak tutup auratlah ya?” soal Nina agak keras dan memandang Iskandar melalui cermin belakang kereta.

“Masya-ALLAH! Saya tak ada niat nak perli Cik Nina. Saya beritahu benda yang betul. Kalau benda ni tak betul, saya tak akan kongsi dengan sesiapa pun.” Iskandar membalas tenang.Bimbang juga jika gadis ini mengamuk.

“Eleh, macam aku tak tahu. Cara kau cakap tu memang tuju pada aku! Kau tu tak payah nak sibuklah urusan orang lain. Papa dengan mama aku pun tak peduli pasal aku! Aku nak pakai baju ke, nak telanjang ke, bukannya kau yang tanggung dosa aku!”

“Memang saya tak tanggung dosa Cik Nina tapi saya dan lelaki-lelaki lain akan dapat tempias dosa tu sebab mata kami ni melihat Cik Nina. Saya yakin Cik Nina sangat cantik kalau menutup aurat dengan betul. Percayalah cakap saya.”

“Sebelum kau nak betulkan diri aku ni, ada kau check diri kau tu betul ke tak? Sembahyang kau tu bagus sangat ke sampai nak nasihatkan aku? Pendidikan agama kau tinggi mana? Kalau semua tu tak ada pada kau, jangan berlagak macam ustazlah Iskandar oi!!!”

Nina memekik kuat. Merah mukanya menahan marah. Mahu saja dicakar-cakar muka lelaki berlagak baik ini.

“Saya pun tak pandai mana Cik Nina. Saya jugak bukan cukup baik tapi saya nak jadi orang yang baik-baik. Kalau Cik Nina nak tahu, fitnah terbesar bagi orang lelaki adalah perempuan.”

“Ah! Banyak cakap pulak kau ni! Cepatlah sikit! Bawak kereta pun macam semut! Aku ni dah lambat. Kalau kau nak berceramah sangat, pergi masuk TV. Banyak rancangan-rancangan yang nak pakai pendakwah ni! Meluat aku dengan kau ni!”

Belum sempat Iskandar menghabiskan kata-katanya, Nina terus menyampuk. Bosan dia dengan bebelan pemandu tidak sedar diri ini. Tajam Nina menjeling pada Iskandar.

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.