Home Novel Cinta AKU TAK SUKA KAU! (NINA/ISKANDAR)
AKU TAK SUKA KAU! (NINA/ISKANDAR)
EMY RUSLI
16/6/2015 14:32:30
88,289
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 1
PENULIS :EMY RAZIELA
TERBITAN :ALAF 21 (MEI 2015)

Terima kasih kepada mereka yang sudi membaca karya saya, AKU TAK SUKA KAU! (NINA/ISKANDAR)
Saya akan terus berkongsi hasil Ilham saya sehingga ke kemuncaknya.
Mohon kalian terhibur dan terus mengikuti kisah Nina/Iskandar yang sarat dengan suka duka, pahit manis, bahagia derita.

"KENANGILAH ERTI CINTA YANG BERMULA,
KEMBALILAH AGAR BISA IA MERUBAH.
TERANGILAH HATI AGAR CINTA TERUS
BERSINAR..."


-------------------------------------------------------------------------------------------------------

KAWASAN rumah mewah itu ditinjau. Dari belakang rumah sehinggalah ke depan rumah dia berjalan dan memerhati kawasan sekitar bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan yang baik. Inilah rutinnya setiap hari. Sebaik sahaja sampai di Villa Suzana, dia terus melakukan tugasnya. Dia mahu menjadi pekerja yang rajin, jujur dan amanah.

Masuk hari ini sudah dua bulan dia bekerja dengan Tan Sri Shahril sebagai pemandu, merangkap penjaga rumah mewah milik majikannya itu. Segala urusan berjalan dengan lancar. Walaupun majikannya tersenarai antara yang terkaya di Malaysia, namun sikap rendah diri lelaki itu begitu memikat hatinya.

Pada awalnya dia bimbang juga untuk bekerja dengan orang kaya, khuatir jika golongan ini akan memandang rendah padanya. Namun, Tan Sri Shahril lelaki berusia awal50-an mudah didampingi dan senang untuk berbicara. Malah tidak lokek dengan senyuman. Sebab itulah perniagaannya semakin laris di dalam dan luar negara.

Dia berdiri tegak di kawasan tanah lapang yang terletak di depan rumah mewah yang diperbuat seratus peratus daripada kayu. Inilah cita rasa Puan Sri Suzana, isteri kepada Tan Sri Shahril. Rumah setingkat yang luas dan besar ini kelihatan sangat kemas. Jika hendak dibandingkan dengan rumahnya, jauh panggang daripada api.

Rumah yang didudukinya bersama Puan Leha hanya mempunyai satu bilik. Itu pun ruang bilik yang sempit. Namun, Puan Leha tidak pernah mengeluh apabila anaknya ini tidak mampu menyediakan rumah yang lebih selesa.

“Jauh mengelamun. Kamu tengok apa tu, Is?”

Sapaan Pak Cik Mahmud yang sememangnya peramah mengejutkan Iskandar lantas dia berpaling. Pak Cik Mahmud merupakan tukang kebun yang sudah lama berkhidmat di Villa Suzana ini. Usianya sudah menjangkau 60 tahun dan dia merupakan pesara tentera. Sama seperti Iskandar, Pak Cik Mahmud selesa bekerja di Villa Suzana.

Iskandar membalas senyuman lelaki tua ini sebagai tanda hormat.

“Oh, tak ada apa-apa pak cik. Saya ralit tengok rumah Tan Sri ni. Besar betul ya. Kalau saya kerja 20 tahun pun belum tentu dapat buat rumah sebesar ini. Jarang-jarang ada rumah macam ni di bandar kan pak cik?”

Iskandar tersenyum meleret.

“Eh, tak tentu jugak tu Is. Kalau rezeki ALLAH nak bagi, sekejap aje kita akan dapat. Mana tahu suatu hari nanti Is pulak dapat gelaran Tan Sri. Mungkin masa tu pak cik dah tak ada,” seloroh Pak Cik Mahmud dengan senyuman tidak putus di bibirnya.

“ALLAH pak cik, nak jadi tauke apa saya ni untuk dapat gelaran Tan Sri? Saya sekolah pun bukannya tinggi mana,” balas Iskandar lembut.

“Jangan fikir macam tu. Ingat yang dapat pangkat Tan Sri, Datuk, semua tu ada kelulusan tinggi ke? Kalau berjaya dalam bisnes pun boleh dapat pangkat tu. Jadi tauke perabot pun okey. ISKANDAR PERABOT!”

Pak Cik Mahmud terus berjenaka dan disambut dengan ketawa Iskandar. Pak Cik Mahmud memang pandai bergurau.

“Ada-ada aje pak cik ni,” balas Iskandar pula.

“Iskandar!” jeritan Mak Cik Minah mengejutkan Iskandar dan Pak Cik Mahmud. Iskandar terus pusing ke belakang.

“Ya, mak cik. Ada apa?” Lembut Iskandar bertanya bagi menghormati wanita yang mungkin sebaya emaknya itu.

Mak Cik Minah turut senyum. Senang hati melihat anak muda ini.

“Tan Sri panggil! Katanya dah boleh angkat beg-beg untuk dibawa masuk ke dalam kereta. Semua barang Tan Sri ada di ruang tamu kedua.”

Iskandar menepuk dahi.

“Ya ALLAH! Saya lupa mak cik. Ralit sangat tengok kawasan rumah ni. Sekarang jugak saya ambil beg Tan Sri. Pak cik, saya masuk dulu nak selesaikan kerja saya.”

“Yalah. Pak cik pun nak sambung bersihkan kebun kat belakang rumah. Nanti kalau tak kemas, marah pulak Puan Sri Suzana,” balas Pak Cik Mahmud dan terus berlalu pergi.

Apabila Pak Cik Mahmud dan Mak Cik Minah sudah tiada di situ, Iskandar terus berjalan masuk ke Villa Suzana.

Ruang tamu kedua menjadi sasaran. Matanya sempat melihat setiap ruang di dalam rumah besar ini. Padahal ini bukan kali pertama dia memasuki Villa Suzana. Setiap kali melangkah masuk ke Villa Suzana, dia tidak berasa puas melihat keunikan isi di dalam Villa itu.

Beg pakaian milik Tan Sri Shahril terletak elok di tepi sofa. Hari ini, Tan Sri Shahril akan ke Denmark bagi urusan perniagaannya yang semakin berkembang. Tangannya mencapai beg pakaian milik majikannya, manakala matanya meliar ke sekeliling melihat perabot-perabot mewah yang diimport dari luar negara.

Saat ini juga matanya tertancap pada sebuah gambar besar yang tergantung elok di dinding rumah. Gambar Tan Sri Hashim diapit oleh Puan Sri Suzana dan seorang gadis muda yang kelihatan cantik dan manis dengan senyuman. Ditambah pula dengan lesung pipit di kiri kanan pipi gadis itu.

Kemudian, matanya jatuh pula pada rambut ikal si gadis. Wah, rambutnya diwarnakan merah! Lama jugalah Iskandar melihat wajah cantik manis itu. Siapa gadis itu? Cantik! Detik hatinya. Mungkinkah anak majikannya? Hati Iskandar berteka-teki.

Selama berkhidmat dengan Tan Sri Shahril, majikannya tidak pernah bercerita perihal keluarga kepadanya. Jurang antara dirinya dan Tan Sri Shahril begitu jauh.

“Itu anak saya!”

Iskandar terkejut dan terus pusing belakang. Tan Sri Shahril yang sudah berpakaian kemas tersenyum melihatnya. Iskandar pula berasa malu dan takut. Bimbang jika Tan Sri Shahril akan memarahinya kerana ralit melihat gambar keluarga lelaki itu.

“Saya ada seorang anak aje. Dialah satu-satunya harapan saya. Sekarang ni dia masih belajar di Australia dalam bidang perniagaan. Saya harapkan dia untuk menggantikan tempat saya nanti bila saya dah tak ada. Insya-ALLAH, dua bulan lagi anak saya tu akan tamat pengajian dan pulang ke Malaysia. Dah lapan tahun dia berada di sana.” Satu per satu Tan Sri Shahril menerangkan pada Iskandar.

Iskandar mengangguk tanda faham. Dia sudah dapat mengagak gadis itu sudah tentu anak kepada majikannya tatkala melihat bingkai gambar tersebut.

“Jauh ya Tan Sri hantar anak Tan Sri belajar. Tentu dia pelajar yang cemerlang,” bicara Iskandar, lembut.

Kata-kata Iskandar membuatkan Tan Sri Shahril tersenyum.

“Alhamdulillah, anak saya ni tak pernah kecewakan saya dan Puan Sri. Memang saya sengaja hantar anak saya belajar di negara orang supaya dia tahu bagaimana untuk hidup berdikari. Selama ni dia terlalu manja terutama dengan Puan Sri. Harap-harap bila dia balik sini nanti dah jadi matang. Kalau dulu apa yangdimintaksemua dapat. Kat negara orang tu pandai-pandailah dia bawa diri.”

Iskandar membalas dengan senyuman. Sedikit sebanyak dia mengetahui tentang anak gadis Tan Sri Shahril.

“Untungnya anak Tan Sri dapat ayah yang baik seperti Tan Sri.” Bicara Iskandar lagi memuji kebaikan lelaki ini.

“Semuanya sama aje Is. Tak ada apa-apa beza pun,” balas Tan Sri Shahril ramah.

Tan Sri Shahril melihat jam di tangannya. Saat ini juga Puan Sri Suzana memunculkan diri.

“Zana, I dah nak pergi. Takut nanti terlepas flight pulak. You nak ikut sekali ke?” soal Tan Sri Shahril pada isterinya yang setiap masa kelihatan cantik.

Puan Sri Suzana sudah berdiri di sebelahnya.

“I nak jumpa Datin Roziah sekejap lagi nak bincang tentang persatuan. Lepas tu I nak ke spa nak tengok pekerja I. Kalau I hantar you sekali, nanti I penat. You tahukan yang I tak boleh penat nanti muka I nampak tua,” jawab Puan Sri Suzana tanpa segan silu.

“Betul ni you tak nak ikut?” Tan Sri Shahril meminta kepastian.

“Yalah. Confirm I tak nak ikut. I pun busy jugak sama macam you. Is, bila awak dah hantar Tan Sri ke airport, cepat-cepat datang ambil saya. Saya tak boleh lambat.”

Puan Sri Suzana memandang Iskandar yang sudah menjinjit dua buah beg Tan Sri Shahril.

“Baiklah Puan Sri. Saya akan datang ambil Puan Sri secepat mungkin,” jawab Iskandar penuh yakin.

“Kalau macam tu, I pergi dulu.”

Tan Sri Shahril terus menghulurkan tangannya kepada Puan Sri Suzana. Isterinya itu terus menyambut tangan si suami dan dicium lembut. Kemudian, Tan Sri Shahril mengucup pula kedua-dua belah pipi isterinya.

Iskandar yang masih tercegat di situ cepat-cepat berlalu pergi. Malu pula dia melihat adegan suami isteri yang begitu romantik itu.

Baginya Tan Sri Shahril seorang suami yang lemah-lembut dan penyayang. Cuma isterinya yang serius sepanjang masa dan kurang memberi senyuman. Mungkin perwatakannya begitu. Fikir Iskandar.


JAM tangan dilihat. Sudah pukul 11.30 malam. Badannya mula terasa penat. Selepas menghantar Tan Sri Shahril ke airport, dia bergegas pulang mengambil Puan Sri Suzana pula.

Satu hari ini dia menunggu dan melayan kerenah Puan Sri Suzana yang menyuruhnya membawa ke rumah persatuan. Namun, dia tidak boleh mengeluh. Sememangnya inilah tugas Iskandar sebagai pemandu kepada keluarga Tan Sri Shahril.

Rumah papan setingkat itu direnung lama. Bilalah dia boleh membaiki rumah emaknya ini. Dia nekad apabila gajinya cukup kelak, dia akan mengubah suai rumah ini. Inilah janji Iskandar pada Puan Leha. Kesian emaknya yang tidak pernah merasa kemewahan.

Iskandar terkejut apabila pintu rumah kayu ini dibuka dari dalam. Puan Leha berdiri di muka pintu sambil tersenyum. Iskandar membalas senyuman itu.

“Assalamualaikum, mak. Mak ni macam tahu-tahu Is dah balik. Mak pakai ilmu apa ek?” Iskandar cuba berjenaka sambil membuka kasutnya.

Puan Leha tersenyum panjang.

“Alah, mak tahulah. Mak yang mengandung dan lahirkan Is. Mak tahu bila anak mak akan balik. Apa yang berlaku pada Is pun mak boleh rasa. Perasaan ibu ni begitu kuat pada seorang anak. Bukan mak aje rasa macam ni, mak-mak yang lain pun sama.”

Iskandar sudah berdiri di muka pintu untuk masuk.

“Ooo... macam tu ya mak? Kalau ada benda tak baik berlaku pada Is pun mak boleh tahu jugaklah, ya?”

Puan Leha mengangguk sambil tersenyum manis. Senang dengan jawapan anak tunggalnya itu.

“Dahlah tu. Cepat masuk rumah. Mak tengok Is ni macam penat sangat. Sibuk ke hari ni?”

Puan Leha memberi laluan kepada Iskandar untuk memasuki rumah. Iskandar sudah duduk di atas lantai yang beralaskan tikar mengkuang. Dia mahu berehat sekejap.

“Sibuk tu tak adalah sangat, mak. Cuma satu hari ni Is ke hulu hilir bawa Puan Sri ke rumah-rumah persatuan,” jawab Iskandar sambil memerhati emaknya yang terhencut-hencut berjalan ke arahnya.

Kasihan Iskandar melihat emaknya. Puan Leha hanya mempunyai sebelah kaki sahaja. Sebelah kakinya lagi telah dipotong dan diganti dengan kaki palsu untuk memudahkan dia berjalan.

Kaki Puan Leha terpaksa dipotong ketika usia Iskandar 8 tahun. Ketika itu Iskandar sedang melintas jalan dan tidak semena-mena sebuah van meluru ke arah Iskandar, tetapi demi kasih sayang terhadap satu-satunya zuriat yang dimiliki, Puan Leha sepantas kilat menolak Iskandar ke tepi dan van tersebut terus melanggar Puan Leha sehingga kaki kanannya terpaksa dipotong separas paha. Tetapi emaknya itu tidak pernah mengeluh dengan kecacatan dirinya. Kasih ibu membawa ke syurga!

Namun begitu, Puan Leha tidak pernah sesal bahkan dia gembira melihat Iskandar selamat. Kebahagiaan anaknya adalah kegembiraan bagi Puan Leha. Setelah kematian suaminya, Iskandar adalah kekuatan bagi Puan Leha.

“Kenapa mak tak tidur lagi? Mulai malam esok, mak tak payah tunggu Is lagi. Kerja Is tak tentu masa, mak. Kadang-kadang kalau Tan Sri perlukan Is malam-malam, Is kena kerja mak. Lagipun Is kan ada bawa kunci. Nanti kalau mak tak cukup tidur, darah tinggi mak naik lagi.” Lembut Iskandar berbicara dengan senyuman tidak lekang di bibir.

Tak apolah. Mok meme nok tunggu anok mok balik. Lamo sangat anok teruno mok gi kijo. Raso rusing jugok. Mok ni takdok sapo dale dunio ni selain Is,” (“Tak apalah. Mak memang nak tunggu anak mak balik. Lama sangat anak mak pergi kerja. Risau jugak mak. Lagi pulak, mak dah tak ada sesiapa lagi di dunia ini selain Iskandar,”) ujar Puan Leha dengan suara yang mula berubah kendur.

Mok, bakpo kecek gitunyo? Gapo hok jadi sekalipun, Is takkan tinggal mok. Is pun ado mok jah dale dunio ni. Mok toksoh rusinglah.”(Mak, kenapa cakap macam tu? Apapun yang terjadi,Is takkan tinggalkan mak. Mak janganlah risau.”)

Puan Leha tersenyum mendengar kata-kata anak lelakinya itu. Dia tidak sepatutnya berkata begitu, tetapi sejak akhir-akhir ini dia cepat merindui Iskandar jika anaknya itu lambat pulang. Sejuk hati setiap kali mendengar ucapan kasih dan sayang daripada seorang anak.

“Hisy... mak ni melalut pulak. Oh ya, mak dah siapkan makanan Is dari tadi lagi. Takut lauk dah sejuk. Mak pergi panaskan dulu ya.”

Puan Leha sudah mahu berlalu tetapi ditahan oleh anaknya.

“Mak... mak. Tak payah susah-susah. Biar Is yang buat sendiri. Mak tak payahlah susahkan diri mak. Is ni sihat boleh buat semua kerja rumah ni. Mak cuma duduk dan jangan buat apa-apa. Mak pun bukannya sihat sangat.”

“Sikit aje Is. Mak pun bosan jugak kalau tak buat apa-apa,” balas Puan Leha sebaik mungkin.

Iskandar hanya tersenyum dan memeluk bahu Puan Leha.

“Mak dah makan?”

Puan Leha menggeleng. Wajah Iskandar berubah.

“Kenapa mak tak makan lagi? Dah lewat ni. Nanti mak sakit perut pulak.”

“Mak tunggu Is nak makan sekali,” jawab Puan Leha perlahan.

Iskandar mengelus bahu emaknya.

“Lain kali mak tak payahlah tunggu Is ya. Sekarang ni, Is nak mandi dulu. Lepas tu Is nak mengaji sekejap mak. Lama sangat dah tak baca al-Quran. Rasa tak sedap pulak. Lepas tu Is siapkan makanan. Siap semua Is panggil mak ya. Mak rehat dulu.”

Puan Leha membalas dengan anggukan. Terharu dengan sikap anak lelakinya yang begitu mengambil berat tentang dirinya. Kalau boleh satu kerja dalam rumah ini Iskandar tidak mahu dia lakukan. Betapa sayangnya seorang anak terhadap ibunya.

Puan Leha memandang tubuh anak lelakinya yang sudah memasuki bilik air. Kasih sayangnya tidak berbelah bahagi kepada Iskandar.

Ya ALLAH, berikanlah seluruh kebaikan kepada anakku ini. Sesungguhnya dia tidak pernah ada dosa denganku ya ALLAH. Sempat Puan Leha berdoa di dalam hati sambil mengusap pipinya yang mula basah.

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.