Home Novel Cinta AKU TAK SUKA KAU! (NINA/ISKANDAR)
AKU TAK SUKA KAU! (NINA/ISKANDAR)
EMY RUSLI
16/6/2015 14:32:30
88,091
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 2
PENULIS : EMY RAZIELA
TERBITAN : ALAF21 (MEI 2015)

Apabila manusia tidak kenal erti sebenar kasih sayang, maka mudah saja hati dan perasaan di serahkan pada manusia lain? Kenapa ini semua terjadi? Apabila hati semakin jauh dengan Allah, tiada lagi rasa bersyukur di hati sebaliknya diganti dengan rasa angkuh dan sombong!

Bertaubatlah sebelum terlambat. Sesungguhnya DEMI MASA, manusia dalam kerugian.


--------------------------------------------------------------------------------------------------------

MOTOSIKAL Kriss diparkir elok di tepi pagar rumah besar ini. Cepat-cepat dia berjalan ke arah garaj kereta yang menempatkan beberapa buah kereta mewah.

Setiap pagi Iskandar akan tiba awal di Villa Suzana. Selesai menunaikan solat subuh di masjid berdekatan rumahnya, dia terus memecut ke sini. Dia tidak suka jika lewat ke tempat kerja. Jika dulu sebelum bekerja sebagai pemandu, Iskandar mengambil upah sebagai pemandu teksi. Pekerjaannya itu juga tidak menentu, bila-bila masa sahaja dia boleh mulakan kerja.

Namun kini, dia harus jujur dan amanah terhadap waktu. Tan Sri Shahril sudah memberitahunya awal-awal bahawa sebagai pemandu untuk keluarga kaya ini, khidmat Iskandar diperlukan bila-bila masa dan Iskandar sendiri sedia maklum akan perkara itu.

Iskandar memasuki stor kecil yang terletak di tepi garaj. Keperluan untuk mencuci kereta diambil. Jika ada masa terluang, dia lebih suka mencuci sendiri kereta-kereta besar milik keluarga ini. Dia rasa lebih bersih bila dapat lakukan sendiri. Baru sahaja tangannya hendak mengelap kereta, ada satu suara menyapanya.

“Awal datang hari ni. Rajin sungguh Is.”

Suara Mak Cik Minah di belakang mengejutkan Iskandar.

Iskandar terus pusing belakang dan menghadiahkan senyuman kepada wanita ini.

Eh, Mok Cik Minoh..” (“Eh, Mak Cik Minah...”)

Iskandar melihat jam di tangannya. Jam sudah menunjukkan pukul 8.00 pagi. Rasanya ini bukan awal lagi.

Biasonyo saya mari awal lagi, mok cik. Hari ni kiro lewat doh ni sebab pagi tadi ado kuliah di masjid. Tu lambat sikit nih,” (“Biasanya saya datang awal lagi, mak cik. Hari ni dah kira lewat sebab ada kuliah di masjid. Tu yang lambat sikit,”) jawab Iskandar sejujurnya.

Mak Cik Minah senang hati dengan jawapan anak muda ini yang baginya cukup sempurna. Bertuahnya emak Iskandar melahirkan anak sepertinya, detik hati Mak Cik Minah.

“Kalau pemandu yang dulu, kalau tak pukul 9.00 pagi takkan datang awal macam kamu ni, Is. Tan Sri pun selalu puji kamu. Buat kerja pun bagus dan boleh diharap.”

“Tak adalah, Mak Cik Minah. Sama aje. Lagipun inikan kerja saya. Kalau saya tak buat, siapa lagi nak buat. Tan Sri dah amanahkan saya. Jadi saya tak boleh nak ambil sambil lewa amanah ini, mak cik. Jenuh saya nak menjawab di akhirat nanti.” Panjang lebar Iskandar menjawab dan ketawa di hujung ayatnya.

Mak Cik Minah mengangguk, setuju.

“Betul kata kamu tu, Is. Susah nak cari orang muda seperti kamu. Yalah, buat kerja rajin. Mencari ilmu akhirat pun kamu rajin. Bertuah siapa dapat kamu sebagai suami.”

Iskandar ketawa dengan kata-kata Mak Cik Minah. Jauh pembantu Villa Suzana ini berfikir.

“Jangan cakap macam tu, Mak Cik Minah. Kita tak tahu lagi hidup kita yang akan datang macam mana. Saya ni tak pandai bab-bab agama ni, mak cik. Ilmu akhirat lagilah cetek. Sebab tulah saya nak belajar,” ulas Iskandar lembut.

“Betul tu, Is. Mak cik ni ikutkan dah nak jadi warga emas tak lama lagi. Tapi belum dapat lagi pergi ke masjid mendengar ceramah agama. Yalah, Is pun tahukan yang mak cik ni kerja kat sini bukan senang nak keluar ke mana-mana.

Kalau ikutkan hati mak cik, nak aje berhenti kerja dan habiskan umur mak cik dengan amal ibadat. Tapi kalau mak cik tak kerja macam mana mak cik nak suap mulut mak cik ni. Anak pun tak ada. Mak cik ni sebatang kara, Is.”

Suara Mak Cik Minah berubah kendur. Dia tunduk. Iskandar perasan akan riak di wajah wanita tua ini.

“Mak cik, dunia ini milik ALLAH dan luas. Rezeki ALLAH tu ada di mana-mana. Kalau mak cik tak dapat nak ke masjid untuk menuntut ilmu, mak cik boleh beli kitab-kitab berkaitan. Saya ada banyak buku-buku kitab. Kalau mak cik nak baca, saya boleh pinjamkan.

Mak cik boleh baca bila dah siap semua kerja. Itu pun dikira menuntut ilmu jugak. Tapi lebih afdal jika kita menuntut ilmu dengan adanya guru,” balas Iskandar sebaik mungkin dan memandang tepat wajah Mak Cik Minah.

Selepas mendengar kata-kata anak muda ini barulah wajah Mak Cik Minah berubah ceria.

Iskandar faham perasaan wanita ini. Di usia sebegini, sepatutnya Mak Cik Minah tidak perlu lagi melakukan kerja. Sebaliknya menghabiskan masa dengan beramal ibadat.

“Betul kata kamu tu, Is. Nanti bawakan mak cik kitab-kitab agama ya. Mak cik nak baca bila ada masa terluang,” ujar Mak Cik Minah lagi.

“Insya-ALLAH, mak cik. Nanti saya bawa,” balas Iskandar pula.

“Oh ya, kejap lagi mak cik nak ke pasar. Nak beli barang dapur. Banyak bahan mentah dalam peti tu dah habis. Is bawa mak cik ke pasar ya?” Bersungguh-sungguh Mak Cik Minah memberitahu.

“Boleh mak cik. Lagipun jadual saya tak padat hari ni. Cuma petang ni saya kena bawa Puan Sri ke gym.”

“Ha, baguslah macam tu. Mak cik masuk dulu nak tukar pakaian.”

“Yalah. Saya pun nak lap kereta ni sekejap.”

Mak Cik Minah tersenyum menampakkan giginya dan terus berlalu pergi. Senang berbicara dengan anak muda ini. Iskandar menyambung kembali kerjanya. Kain basahan dicapai, dia mula mengelap kereta milik Puan Sri Suzana.

“BOLEH kita pergi sekarang? Mak cik dah siap ni,” tanya Mak Cik Minah perlahan.

Iskandar yang masih mengelap kereta terus henti melakukan kerjanya dan memandang Mak Cik Minah yang sudah berdiri di depannya. Iskandar tersenyum.

“Mari mak cik. Saya pun dah siap kerja ni,” balas Iskandar lembut dan terus menyimpan perkakas mencuci kereta.

Kedua-duanya sudah memasuki BMW yang dikhaskan untuk urusan-urusan tertentu. Iskandar menghidupkan enjin kereta dan terus menekan pedal minyak.

Sebaik sahaja BMW sudah berada di pintu pagar besar, sebuah Toyota Hilux turut sama memasuki pekarangan Villa Suzana ini. Iskandar tidak jadi meneruskan pemanduannya apabila dia melihat seorang lelaki muda meluru masuk ke rumah itu. Mak Cik Minah yang berada di sebelahnya turut sama menoleh ke belakang. Dia juga melihat lelaki itumemasuki rumah Tan Sri Shahril.

Wajah Mak Cik Minah berubah serta-merta. Bimbang dan takut.

“Siapa tu mak cik? Saya tak pernah nampak pun lelaki tu. Saya turun tengok dulu ya, mak cik. Bimbang jika ada benda tak elok berlaku. Lagipun Tan Sri dah arahkan saya untuk jaga Villa Suzana ni sekali.” Iskandar mula membuka pintu kereta untuk turun, tetapi ditahan oleh Mak Cik Minah.

“Tak usahlah Is.” Terketar-ketar Mak Cik Minah memberi arahan.

Iskandar memandang Mak Cik Minah dengan pandangan yang pelik. “Kenapa mak cik? Puan Sri seorang aje dalam rumah tu. Nanti kalau apa-apa jadi pada Puan Sri, saya yang akan dipersalahkan. Atau lelaki itu ada hubungan kekeluargaan dengan Tan Sri Shahril?”

Mak Cik Minah buntu tidak tahu bagaimana hendak menerangkan pada lelaki muda ini. Lelaki yang baru tiba itu sudah lama tidak ke mari. Apabila Tan Sri Shahril bekerja di luar barulah lelaki ini akan datang ke Villa Suzana. Tidak habis-habis Puan Sri Suzana buat hal! Bisik Mak Cik Minah.

Mak Cik Minah membalas pandangan Iskandar. Dia juga serba salah.

“Err... mak cik pun tak kenal siapa lelaki tu. Err... mungkin anak saudara Puan Sri Suzana. Biarlah. Lagipun kita pergi tak lama. Insya-ALLAH tak ada apa-apa yang berlaku,” bohong Mak Cik Minah dengan suara terketar-ketar.

Iskandar hanya menggangguk percaya dengan kata-kata Mak Cik Minah dan segera menekan pedal minyak. Dia mahu cepat-cepat pulang ke Villa Suzana. Bimbang jika ada perkara yang tidak baik berlaku pada keluarga Tan Sri Shahril.

Mak Cik Minah merenung ke luar tingkap. Ya ALLAH, berikanlah petunjuk kepada Puan Sri Suzana. Bilalah Puan Sri Suzana hendak berubah. Kesian Tan Sri Shahril. Sampai bila Puan Sri Suzana hendak bergelumang dengan dosa. Mak Cik Minah memejamkan matanya. Pening memikirkan isteri majikannya itu.

Selesai sahaja membawa Mak Cik Minah ke pasar raya, Iskandar terus memandu pulang ke Villa Suzana. Dia tidak sedap hati memikirkan lelaki yang memasuki rumah Tan Sri Shahril sebentar tadi.

Sampai sahaja di Villa Suzana, Toyota Hilux masih lagi berada di dalam kawasan Villa Suzana. Cepat-cepat Iskandar memarkirkan kereta di dalam garaj. Mak Cik Minah pula hanya membisu tanpa kata. Bimbang jika Iskandar ternampak Puan Sri Suzana bersama lelaki itu.

“Mak cik masuklah dulu. Biar saya yang bawa semua barang ni ke dapur,” beritahu Iskandar sebaik mungkin dan segera mencapai barang-barang mentah di dalam bonet kereta.

Mak Cik Minah memandang Iskandar.

“Banyak tu. Biar mak cik tolong angkatkan.”

“Tak usah mak cik. Saya boleh angkat semua ni. Mak cik masuklah dulu. Kejap lagi saya hantar barang ni ke dapur.”

“Hmm… yalah. Mak cik masuk dulu,” balas Mak Cik Minah dengan hati yang berdebar-debar.

Sempat matanya melirik ke arah Toyota Hilux itu. Bilalah lelaki tu nak berambus. Kalau si Is ni nampak, tak ke jadi lain nanti. Hati Mak Cik Minah berkata-kata dan terus masuk ke Villa Suzana.

Saat Iskandar menutup bonet kereta, dia ternampak lelaki muda itu tadi sedang menyarungkan kasut dan Puan Sri Suzana berada di belakangnya dengan senyuman manis. Lama Iskandar memerhati.

“I ingat you tak nak datang rumah I lagi. Lama sangat kita tak jumpa. Bila I ajak jumpa kat luar, you pulak tak nak!” Suara Puan Sri Suzana kedengaran manja.

Lelaki itu sudah siap memakai kasut dan berdiri di depan Puan Sri Suzana. Kedudukan mereka begitu dekat.

“Bukan I tak nak datang, sayang. Husband you tu dah lama tak outstation. Takkan I nak datang masa dia ada kat rumah. Mampus nanti dia tikam I.”

Lelaki itu ketawa lucu dan disambut Puan Sri Suzana. Puan Sri Suzana sempat mengelap habuk di bahu lelaki itu.

“Ala, kita boleh jumpa kat tempat biasakan? You tu yang dah tak rindu pada I. Macam-macam alasan you bagi. Itulah, inilah. Entah-entah you dah ada perempuan lain. Maklumlah I ni kan dah tua kerepot!” bidas Puan Sri Suzana.

“You ni suka fikir yang bukan-bukanlah. I kan banyak bisnes, sama macam husband youlah. Cuma I ni taklah sekaya Tan Sri Shahril tu.”

“Hmm... yalah.” Hambar Puan Sri Suzana menjawab.

“Okeylah. I kena pergi sekarang. Nanti tak pasal-pasal ada orang report fasal kita pada Tan Sri.”

“Yalah. Petang ni I nak ke gym. Ingat nak jumpa you lagi malam ni. Boleh tak?” soal Puan Sri Suzana manja.

“Malam ni tak bolehlah sayang. I ada urusan lain pulak. Kan tadi I dah layan you. I janji lepas ni kita akan jumpa lagi. I nak selesaikan urusan bisnes I,” jawab lelaki itu lagi.

Puan Sri Suzana memasamkan mukanya. Lelaki itu mengusap manja pipi Puan Sri Suzana dan mencuit perlahan dagu Puan Sri Suzana.

“Suzana, trust me. I tak ada orang lain selain you. Kita dah lama bersama. Takkan you tak percayakan I. You dah sediakan yang I mintak tu?”

Puan Sri Suzana menghulurkan sampul surat yang berisi wang bernilai 50 ribu ringgit. Lelaki itu tersenyum panjang dan terus menyambut sampul surat itu.

Thank you, sayang. Ni yang buat I makin sayang pada you.”

Puan Sri Suzana tersenyum manis dan melambai ke arah lelaki itu yang mula memasuki perut Toyota Hilux.

Iskandar tergamam. Dia memandang lama ke arah Puan Sri Suzana.

Astaghfirullahalazim! Betul ke apa yang aku nampak ni? Ya ALLAH, tunjukkan kepada aku kebenaran. Aku tidak mahu berburuk sangka ya ALLAH.

Iskandar memejam matanya membuang segala fikiran yang buruk. Jika lelaki itu mempunyai pertalian darah dengan keluarga kaya ini, mustahil aksi Puan Sri Suzana dan lelaki itu begitu mesra seperti pasangan kekasih.

Apakah ada rahsia yang tersembunyi di Villa Suzana ini? Fikiran Iskandar terus diasak pelbagai soalan yang dia sendiri tidak dapat rungkaikan.

Selepas itu Iskandar terus ke belakang menghantar barang-barang dapur. Namun, fikirannya tidak terlepas dari memikirkan aksi Puan Sri Suzana bersama lelaki muda itu sebentar tadi.

Apakah patut dia bertanya kepada Mak Cik Minah? Ah! Mak Cik Minah juga tidak tahu apa-apa tentang lelaki itu. Fikiran Iskandar buntu.


Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.