DI
DALAM Range Rover Evoque Hasef itu, Zahra hanya mendiamkan diri. Dia masih rasa
cuak dengan apa yang berlaku di dalam bilik hotel tadi. Jelas, Hasef sudah
dapat menelah siapa dirinya yang sebenar. Biar pun sekarang dia mungkin nampak
lain tetapi Hasef terus sahaja dapat meneka.
Namun, dia tidak akan mengaku.
Tadi, Hasef telahpun bertanya di mana rumahnya. Sebaik sahaja tahu, SUV itu
bergerak laju ke destinasi yang diperkatakan. Suasana dalam kereta senyap sunyi
seketika. Masing-masing melayan perasaan. Hasef hairan kenapa Zahra tak mahu
mengaku sahaja yang dia adalah gadis penjual nasi lemak itu. Namun dia sangat
pasti Zahralah gadis itu tetapi pada saat itu dia tidak mahu terus mendapatkan
penjelasan dari gadis itu.
“Awak kena ada pendirian…. tak sepatutnya ikut
sahaja kata-kata ayah awak. Awak berhak untuk katakan tidak untuk kerja awak
sebagai escort itu.” kata Hasef tiba-tiba. Zahra melepaskan keluhan. Merasa
seperti dia dipersalahkan pula.
“Apa
pilihan yang saya ada Hasef. Ayah ugut akan jual adik saya dan halau nenek saya
kalau saya berdegil. Saya terpaksa ikut…..asalkan mereka tidak diapa-apakan.
Mereka manusia penting dalam hidup saya selepas ibu saya meninggal 5 tahun
lalu. Saya sanggup buat apa sahaja asalkan mereka tidak diapa-apakan,” balas Zahra.
“Apa
rancangan awak kalau ayah awak hantar awak semula ke kelab tu?” tanya Hasef lagi.
Zahra tersentak. Memang dia pun sedang memikirkan perkara yang sama. Malam tadi
dia sudah terlepas. Malam seterusnya, nasibnya belum tahu.
Nampak gayanya
setiap malam selepas itu dia akan berhadapan dengan masalah yang sama. Ya
Allah, bagaimana ingin ku pertahankan kesucian diriku ini? Bagaimana hendak dia
jauhkan dirinya dari maksiat??? soal Zahra sendiri.
“Saya
tak ada rancangan. Saya benar-benar buntu.” akui Zahra menekup wajah dengan
tangannya.
“Habis…awak
nak biarkan diri awak digunakan macam tu? Awak sepatutnya lebih bijak menolak.
Kalau awak tak ada apa-apa plan biar saya cuba pujuk ayah awak. Manalah tahu..”
ujar Hasef.
“Pujuk??
Maksud Hasef untuk lepaskan saya dari bekerja sebagai escort??? Saya tak pasti awak
akan berjaya. Ayah saya tu degil orangnya. Dia selalu ikut kepala sendiri. Saya
dah banyak kali merayu pada dia Hasef. Macam-macam penjelasan saya bagi tapi
ayah saya degil. Dia nak saya jadi escort juga,” Hasef terdiam.
“Habis,
tak kan awak nak mengalah.”
“Cubalah
Hasef bagi cadangan. Saya memang tak terfikir apa-apa. Kecuali kalau Hasef nak
buat kerja gila kahwin dengan saya.” kata Zahra sedikit bergurau.
“Kahwin??”
soal Hasef. Bila Hasef menyoal begitu dia tahu dia terlepas cakap.
“Lupakan
apa saya cakap. Saya hanya bergurau. Dah tentulah idea tu tak masuk akal kan?”
soal Zahra sambil ketawa sedikit.
Hasef
hanya tersengeh sedikit. Namun, pertanyaan gadis itu tidak terjawab. Zahra
terus rasa segan. Haih Zahra! Kau dah kenapa? Dah tak malu pelawa orang kahwin?
Kan dah malu!
Hasef
terdiam mendengar kata-kata gadis itu. Kahwin? Entah kenapa sejak semalam Hasef
benar-benar belas pada gadis itu. Dan waktu itu bila wajah gadis itu dipandang
hatinya seolah tidak keruan. Perasaan ingin mempertahankan dan menjaga gadis
itu terasa kuat di jiwa sedangkan gadis itu entah siapa-siapa.
Pelik sungguh perasaan itu. Adakah
keputusannya itu bertunjangkan nafsu? Tambahan pula dia hampir tidur dengan
gadis itu semalam. Dan sekarang matanya asyik memandang pada bibir merah gadis
itu. Arggh! Tolong! Dia perlu lakukan sesuatu. Terbayang dia wajah menggoda
gadis itu malam tadi.
Arghh…tidak
sanggup rasanya kalau gadis itu terpaksa melayan orang lain dengan wajah
sebegitu selepas dia. Cemburunya tiba-tiba muncul. Hasef menelan air liur bila
teringat peristiwa malam tadi. Cepat-cepat dia hilangkan dari fikirannya. Aku
ni dah kenapa? Macamlah tak pernah jumpa perempuan secantik Zahra, desis
hatinya. Aku harus ingat Zeti…ye Zeti.
Dan sudah tentulah dia tak akan terfikir
sehingga mahu berkahwin dengan gadis itu hanya untuk menyelamatkan gadis itu.
Zeti tu nak letak mana pulak? bisik hatinya tapi di sudut hati ada rasa
semacam. Kahwin? Hatinya seperti melonjak pula.
SESAMPAI
di rumah Zahra yang terletak di kawasan kampung setinggan itu Hasef turut
keluar bersama-sama Zahra. Hajatnya ingin berjumpa dengan bapa Zahra. Mungkin
dia boleh memujuk lelaki itu supaya tidak lagi menghantar Zahra ke kelab itu.
Manalah tahu kalau-kalau pandangannya diterima.
“Terima
kasih Hasef. Tapi saya rasa baik Hasef balik sahaja.” suruh Zahra. Dia risau
kalau Rais bertindak di luar kawalan. Kereta buruk Rais kelihatan terparkir di
hadapan rumah itu. Melihat kereta itu sahaja hatinya jadi cuak.
“Tak…saya
nak jumpa ayah awak.” kata Hasef degil.
“Jangan
Hasef. Baik awak balik.” suruh Zahra.
“Jangan
takut. Dah tentu dia tak boleh apa-apakan saya dan juga awak. Trust me!” ujarnya memandang tepat pada
wajah gadis itu yang jelas pucat. Zahra terdiam. Degil pula lelaki itu. Dia
ingat dia superman ke batman?
Sebelum
Zahra sampai ke pintu utama rumah, Rais sudah tercegat di hadapan pintu sambil
bercekak pinggang. Keadaannya kelihatan tidak terurus seperti biasa. Matanya
melilau bengis pada Zahra dan kemudian Hasef.
“Aku
ingat kau dah tak mau balik ke rumah ni lagi!” semburnya pada Zahra. Zahra
terpisat-pisat.
“Kau
tak ingat apa aku cakap? Jangan balik lambat!” sambungnya lagi lantas mahu
menempeleng wajah Zahra tanpa mempedulikan Hasef yang turut berada di situ.
Namun, secepat kilat Hasef menahan tangan lelaki itu. Tangan Rais terhenti.
“Pakcik…jangan!”
kata Hasef melarang.
“Eh…kau
siapa ni? Kurang ajar.” ujar Rais kini mahu bergelut pula dengan Hasef. Dia
cuba menghayun penumbuk dan terajangnya pada Hasef. Namun dengan ketinggian dan
saiz badan Hasef yang tegap, Rais akhirnya dipegang pula oleh Hasef. Rais
meronta-ronta. Hatinya diamuk amarah teramat. Kakinya terangkat spontan ingin
menerajang tetapi tidak sampai.
“Pakcik…pakcik…dengar
dulu. Saya..saya yang bayar pakcik malam tadi untuk anak pakcik ni. Saya ada
hajat yang sudah tentu pakcik tak akan tolak. Dengar dulu hajat saya ni,” kata Hasef.
Rais berhenti bergelut bila mendengarkan perkataan hajat itu. Dia menolak tubuh
Hasef dan kemudian membetulkan bajunya.
Hajat? Hajat apa? soal Zahra dalam hati. Dia
sejak tadi merasa panik dengan apa yang berlaku. Terutamanya bila Rais mula
bertindak ganas terhadap Hasef. Dan sekarang Hasef bercakap tentang hajat pula.
Wajah Hasef serta-merta dipandang hairan. Hasef memandang padanya sekilas
sebelum menentang mata Rais semula.
“Hah!
Apa hajat kau? Sebelum aku panggil orang kampung belasah kau. Kau jangan
main-main!” kata Rais dengan bengis. Hatinya geram bila Hasef masuk campur
dalam urusan keluarganya. Zahra makin cuak. Wajah Hasef dan Rais dipandang
silih berganti. Waktu seolah berhenti seketika. Masing-masing menunggu apa
hajat yang mahu diperkatakan oleh Hasef. Hasef memandang tepat pada Rais.
“Pakcik….hajat
saya ialah…” dia memandang wajah polos Zahra seketika. Jantung Zahra berdegup
kencang. “…saya nak ambil anak pakcik Zahra jadi isteri saya.” sambung Hasef tiba-tiba
sekali nafas.
Zahra
terpempan. Hah???. Jantung Zahra rasa mahu meletup. Dia terasa mahu pengsan. Dia
tak salah dengarkah? Biar benar. Isteri? Tadi dia hanya berseloroh. Tak sangka
pulak lelaki itu terikut pula. Ye dia memang terkesan dengan sikapnya yang
gentleman malam tadi. Tidak pun menyentuhnya dan seterusnya menyelamatkan
kehormatannya. Hasef seperti wira padanya. Dia teringat kata-kata lembut Hasef yang
jelas simpati dengan dirinya. Kata-kata itu menyentuh hati wanitanya. Bergetar
setiap kali lelaki itu memandangnya. Namun, dia tidak mahu lelaki itu
menyusahkan diri sehingga ke tahap berkahwin dengannya untuk menyelamatkannya.
“Apa???
Kau gila ke???...” sergah Rais jelas terkejut.
“Pakcik
dengar dulu….ajak saya masuk dan kita bincang semua ni baik-baik di dalam. Tak
elok kalau kita di luar saja.…nanti semua orang dengar,” Rais merenung wajah Hasef
seketika. Mengukur kesungguhan kata-kata lelaki muda yang penuh gaya di
hadapannya itu.
“Baiklah….kau
boleh masuk…” akur Rais sambil mengurut-ngurut dagunya.