“PAKAILAH
baju ni. Saya tak pasti saiz awak tapi saya rasa muat ni,” ujar Hasef memberikan
sepasang baju kurung kepada gadis itu. Gadis yang berkimono itu mengambil baju
dari Hasef. Baju itu kepunyaan adik Hasef bernama Sofea, yang nampak sama saiz
seperti gadis itu. Pagi tadi senyap-senyap dia ke bilik Sofea dan mengambil
baju dan tudung tersebut. Bilik itu kosong kerana Sofea sedang menuntut di
sebuah university di selatan tanah air. Dia hanya pulang bila cuti semester dan
hari raya sahaja. Jadi, mudah sahaja kerjanya kerana baju itu tersangkut elok
dalam almari.
“Eh
kenapa mata awak?” tanya Hasef perasan mata Zahra yang bengkak. Seolah menangis
semalaman. Zahra tersentak lantas tangannya spontan meraba matanya. Ketara
sangatkah bengkak di matanya itu?
“Err…saya
tukar baju dulu.” kata Zahra tidak menjawab pertanyaan Hasef itu. Hasef hanya mengangguk. Dia berdehem. Rasa
tidak selesa bila berdua sahaja dengan gadis itu. Sudahlah begitu merenung
wajah polos itu yang semalam buat dia gila sekejap. Rasa gelora kian terasa.
Bahaya.
“Saya
keluar. Nanti saya datang balik dan bawa naik sarapan untuk awak.” kata Hasef
kerana sedikit prihatin dan juga rasa pelik itu. Dia pun lantas keluar. Dia ke
restoran berdekatan membeli apa yang patut. Boleh saja dia memesan room service
tapi dia perlu keluar. Keluar untuk menghalau perasaan tidak selesa itu. Dalam
perjalanan ke restoran di sebelah hotel itu, teringat dia peristiwa pagi tadi
bila dia keluar awal-awal dan ibunya Datin Amna menegur. Mengingatkan dia
tentang realiti hubungannya dengan Zeti.
“Ke
mana Hasef pagi-pagi begini?” tanya ibunya hairan.
“Err…Hasef
nak jumpa kawan.” ujar Hasef berdalih. Beg plastik di tangan di sorok di
belakang. Tak mahu ibunya tertanya-tanya kenapa dia membawa pakaian Sofea pula.
“Mama
nak cakap sedikit tentang kamu dan Zeti.” Datin Amna mengajak Hasef duduk di
ruang tamu mengadapnya. Hasef pun duduk.
“Cakaplah
mama. Apa dia?” tanya Hasef lembut pada ibu yang dikasihinya itu.
“Bila
kamu nak langsungkan perkahwinan kamu dengan Zeti tu. Dah lima tahun Hasef.
Kamu suka pada dia ke tidak?” tanya Datin Amna. Memerhati riak wajah anak
bujangnya yang seorang itu.
“Eh,
kenapa mama tanya begini? Dah tentu saya suka. Kalau tidak, saya tak akan
tunang dengan dia mama,” ujar Hasef tersengeh.
“Habis…kenapa
kamu masih bertangguh untuk nikah? Mama kurang suka kamu ke hulu ke hilir
dengan Zeti tanpa ikatan yang sah. Mama tahu zaman sekarang perkara macam tu
tak kisah tapi mama ni tak suka. Hati mama ni tak tenteram selagi kamu tak
menikah.” luah Datin Amna. Semalam dia ternampak kelibat Hasef yang pulang
hampir pagi. Pada sangkaannya sudah tentu Hasef keluar dengan Zeti. Mereka buat apa sampai pagi? Galau hati
seorang ibu.
“Alahai
mama jangan risau. Bila tiba masanya kahwinlah saya dengan Zeti tu.”
“Bila?
Cuba kamu bagi satu tarikh yang tetap,” Hasef terdiam seketika. Hatinya masih
belum boleh menetapkan bila. Dia terkenang gadis di bilik hotel itu. Wajahnya
berubah.
“Hmm…Hasef
dah janji dengan kawan ni. Nanti kalau Hasef dah ada tarikhnya Hasef akan
beritahu mama. Lagipun Hasef kena bincang dengan Zeti dulu. Mama jangan risau
ye.” ujar Hasef telah pun bangun mencium pipi ibunya. Hasef tersenyum lantas
berlalu.
“Hasef…mama
nak Hasef nikah dengan Zeti secepat mungkin,” panggil Datin Amna tegas.
“Sorry
mama….Hasef dah lambat ni.” ujarnya telahpun ke keretanya. Kata-kata ibunya
berlalu sepi sahaja. Datin Amna mengeleng-ngeleng.
“Ish
budak ni…kita tak habis cakap lagi dah pergi…” rungut Datin Amna. Masih Hasef ingat
wajah mengharap ibunya itu. Entahlah. Dia memang cintakan Zeti tapi hatinya
masih lagi belum bulat untuk mengahwini. Adakah dia masih belum yakin untuk
mengambil gadis itu sebagai isteri? Entah apa yang menghalangnya. Dia sukakan
gadis itu tetapi dia masih teragak-agak. Dia pening sendiri.
“Encik
nak apa ni?” tanya pelayan kedai menghambat lamunan Hasef. Hasef tersentak.
“Err, dua nasi lemak dan dua teh
ais, bungkus.” ujar Hasef pendek. Si pelayan mengangguk dengan wajah kelat.
Dari tadi dia bertanya barulah lelaki itu menjawab.
NAIK-NAIK
sahaja Hasef ke bilik hotel, gadis itu telahpun siap berpakaian dan bertudung.
Wajahnya tampak manis dan lembut mengingatkan dia pada seseorang tetapi dia
tidak pasti. Kenapa gadis itu seperti pernah dilihat?. Baju kurung Sofea memang
padan sahaja dengan gadis itu. Berbeza sungguh dengan gadis vogue menggoda yang
dia lihat semalam. Pagi itu, gadis itu sama dengan gadis seusianya yang nampak
suci dan syahdu. Hatinya dibalut belas dan simpati. Bagaimana seorang gadis
mentah seusia itu telah dipaksa untuk menjual diri tanpa kerelaannya? Zahra
pula sedikit kekok dipandang begitu tambahan pula berada di bilik hotel seperti
itu.
“Ini
ada nasi lemak dan teh ais untuk awak. Makanlah. Lepas ni saya akan hantar awak
balik,” ujar Hasef menyuakan sebungkus polisterin dan satu cawan plastik berisi
teh ais kepada gadis itu. Gadis itu menyambutnya. Kemudian, Hasef duduk di
salah sebuah sofa dalam bilik itu. Dia juga turut bersarapan bersama dengan sebungkus lagi nasi lemak dan teh ais. Mereka
makan tanpa berkata apa-apa. Suasana senyap seketika.
“Sedap
nasi lemak ni.” puji Zahra tiba-tiba. Hasef mengangkat muka. Dia senyum.
Hatinya sedikit berbunga melihat senyuman gadis itu. Wajahnya manis dan ceria
seolah ada cahaya matahari bersinar di bilik itu. Walaupun malam tadi gadis itu
menggoda dengan make upnya tapi dia
lebih sukakan wajah naif gadis itu pagi itu.
“Hmm…saya
beli di bawah tu. Tapi, ini tidak sesedap nasi lemak yang saya pernah beli di satu
kampung ni….” tiba-tiba kata-kata Hasef terhenti. Dia teringat sesuatu.
Wajah
itu. Wajah seperti mentari bersinar itu mirip seseorang. Hasef lantas bangun
kemudian wajah gadis itu diamatinya seketika. Tentangan mata Hasef menyebabkan Zahra
cepat-cepat menundukkan kepala. Dia terperasan apa-apa ke?, soal Zahra resah.
Dia serba-salah. Nasi lemak yang dimakan terasa tidak tertelan. Kalau boleh dia
mahu lari dari situ. Dia mengangkat muka seketika dan nampak mata Hasef masih
di wajahnya.
Hasef
menghampirinya kemudian memegang wajahnya dan mendongakkan kepala gadis itu.
Tangan lelaki itu terasa hangat di muka. Nafas Zahra turun naik. Dia mula rasa
cuak. Jangan pula lelaki itu ubah fikiran.
“Awak….awak
ni mirip budak perempuan yang jual nasi lemak di kampung Kenangan. Dan yang
saya jumpa di bus stop. Gadis degil dan sombong tu…yang menyumpah tahi kuda dan
tahi kucing tu? Namanya Za..dan awak Zahra…cuma dia pakai tudung dan awak
tidak,” ujar Hasef tiba-tiba serkap jarang merenung wajah yang terdongak itu. Ada
sedikit senyum di bibir Hasef mengingatkan mulut itu yang seperti bertih
menjawab dan mencabar kata-katanya di bus stop itu. Mulut Zahra terkumat-kamit
hilang kata-kata bila direnung dengan dekat begitu. Begitu merasai dekatnya
lelaki itu dengannya saat itu.
“Kenapa
terkedu pulak tak bercakap ni?” sindirnya pada Zahra yang terdiam dengan mata
merenung tajam. Mereka renung merenung seketika. Masa seolah berhenti untuk
mereka berdua. Usapan tangan Hasef mula terasa. Mengingatkan Zahra salahnya
semua itu. Zahra lantas menepis tangan Hasef.
Hasef
hanya tersengeh meskipun cara gadis itu menepis agak kasar. Dia maklum gadis
itu mula rasa tidak selesa. Apakah maknanya itu? Ye sudah pasti telahannya
betul.
“Ye…saya
rasa awak dan gadis itu adalah orang yang sama. Saya pasti sangat,” tuduhnya
merenung Zahra dengan senyum sinis di bibir. Zahra makin galau melihat senyuman
itu. Senyuman yang dia akui menggetar jiwa sejak semalam.
“Err…bukan…awak
silap orang. Saya tak pernah jual nasi lemak.” nafi Zahra acuh tak acuh. Dia
tidak mahu lelaki itu tahu siapa dia. Dia akan malu. Biarlah lelaki itu tidak
tahu siapa dia.
“Eh…betul
ke? Saya rasa saya tak silap. Saya ni
sukar nak lupakan wajah orang macam awak. Terutama bila dah bertelagah. Dan
yang bertelagah dengan saya tu pula arrogant
semacam. Manalah saya tak ingat!,” Wajah Zahra diamati lagi dalam-dalam. Terbayang
dia wajah degil Zahra di restoran dan juga wajah comot terpalit lumpur di bus
stop.
Zahra
bingkas bangun. Dia rasa tidak selesa bila direnung begitu.
“Hasef…,
saya nak balik. Saya takut ayah saya akan cari saya.” kata Zahra tiba-tiba. Hasef
tersentak. Kedegilan Zahra yang itu memang mirip gadis di restoran itu. Memang
sah gadis itu sama dengan gadis nasi lemak itu tapi gadis itu tidak mahu
mengaku pula. Siapa sangka gadis nasi lemak itu sebenarnya gadis escort?
“Kalau
ya pun….habiskanlah dulu sarapan tu.” tegas Hasef terasa panas di hati dengan
kedegilan gadis itu.
“Saya
tak lapar Hasef.” jawab Zahra cepat.
“Habiskan
dulu. Saya hanya akan hantar bila awak dah habiskan sarapan tu. Faham??” kata Hasef
tegas, geram pula dia dengan kedegilan gadis itu. Dia tahu kenapa gadis itu
cepat benar mahu balik. Pasti sebab dia sudah bertanya tentang perkara itu. Dia
pasti sangat, gadis di hadapannya itu ialah gadis nasi lemak yang digilai oleh
rakan baiknya. Itulah juga gadis yang dia bergaduh di perhentian bas semalam. Sebelum
ini bukan main sombong lagi gadis itu. Tapi malam tadi dan hari ini dia seperti
seekor tikus yang terperangkap. Dan siapa sangka dia dan gadis itu kini
berkongsi rahsia bersama. Rahsia di bilik hotel itu. Rahsia yang dia juga
seorang gadis escort. Kecilnya dunia itu. Cuma, beza sungguh wajah gadis itu
malam tadi berbanding hari itu bila tiada lagi solekan di wajah. Zahra duduk
kembali terpaksa akur bila mendengar suara kasar lelaki itu. Dia mengangguk
akur biarpun seleranya entah ke mana.