Home Novel Cinta Hatiku Not For Sale
Hatiku Not For Sale
Batiah Hadi
23/5/2015 22:35:39
466,360
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 3

Tahun 2013

    “YANG kau gatal sangat nak belajar tu kenapa? Kat rumah ni makan pun tak lepas kau sibuk nak pergi belajar?!!” marah Rais kepada anaknya. Zahra yang berdiri di hadapannya terasa ingin menjawab tetapi dia takut kalau penampar pula yang dia dapat. Ayahnya bukan selalu pulang tetapi sekali dia pulang, Zahra dan adik-adik semua kecut perut. Ada sahaja yang dimarahi dan ada sahaja lelaki itu tidak puas hati.

Acap kali tangannya naik melayang pada sesiapa sahaja samada pada Zahra atau Khalil. Kalau tidak kena gaya talipinggang pula hinggap di badan mereka. Rais memukul mereka tak agak-agak dan kadang-kadang tanpa belas kasihan. Hanya kerana nenek mereka Mak Bibah yang buta sahaja yang menghalang baru Rais berhenti membelasah mereka. Kalau tidak lebam-lebam dan berbirat badan mereka berhari-hari. Masing-masing terpaksa menyembunyikan lebam-lebam itu supaya tiada siapa yang tahu.

      “Ayah, ini saja peluang saya ada. Biarlah saya pergi.” rayu Zahra bersungguh pada ayahnya. Sudah seminggu dia tidak nampak kelibat ayahnya. Hari itu ayahnya pulang maka dia ambil kesempatan untuk bertanya kalau-kalau dia dapat keizinan untuk pergi belajar.

    “Habis? Adik dan nenek kau ni siapa pulak nak jaga? Aku kena pergi kerja nak cari belanja kamu semua. Kau pulak senang-senang nak pergi belajar?” soal Rais menjegilkan matanya ke arah Zahra yang ketakutan memeluk adiknya.

    “Saya dah bincang dengan Mak Cik Timah di sebelah. Dia sanggup jaga adik dan nenek masa Zahra tak ada.” jawab Zahra takut-takut. Mak Cik Timah telah berjanji untuk menolongnya sejak dia mendapat tawaran biasiswa itu.

     “Amboi!!! Sedapnya kau suruh orang lain pulak buat kerja kau. Mak Timah tu siapa? Dia hanya jiran. Kau ingat dia nak sangat jaga adik kau kalau tak bagi duit? Kau saja menyusahkan aku kan? Dahlah aku kena cari belanja korang mentekadarah, sekarang ni kena bayar upah jaga pulak!” jerkah Rais marah. Matanya yang merah seperti biji saga lagaknya memandang Zahra tidak berkelip. Seringkali Rais pulang dengan mata merah dan panas barannya.

     “Ayah, tolonglah ayah. Ini sajalah peluang Zahra untuk perbaiki nasib keluarga kita. Tolonglah ayah. Lagipun Zahra dah dapat tempat belajar. Ada biasiswa pula. Bukan senang nak dapat biasiswa ayah,” pinta Zahra lagi. Dia baharu sahaja dapat tawaran ke sebuah pusat pengajian tinggi. Dengan keputusannya yang baik dalam STPM dia mendapat biasiswa kerajaan.

   “Tak boleh, aku kata tak boleh, tak bolehlah!. Kau kena duduk rumah jaga adik dan nenek kau. Kau bertuah aku bagi kau ambik STPM tu. Kalau ikut aku, aku nak jual kau saja di Kuala Lumpur tu. Dapat jugak aku duit banyak! ,” tegas Rais. Zahra tersentak. Sampainya hati ayahnya berkata begitu. Kejamnya berkata seperti itu. Tidak berhargakah dia sebagai seorang anak pada Rais? Di manakah kasih sayangnya sebagai seorang ayah?

   “Ayah! Kenapa ayah kata macam tu?. Saya kan darah daging ayah. Sanggup ayah nak jual saya?” tanya Zahra sedih. Sejak ibunya meninggal 5 tahun lepas ayahnya makin tidak keruan. Makin bengis dan menyalahkan mereka ke atas pemergian ibunya itu. Banyak kali juga dia menyebut akan menjual Zahra dan adiknya.

   “Itu pasal lah aku tak jual walaupun hati aku nak sangat. Sebab kau masih darah daging akulah, aku masih tangguh niat aku tu walaupun ramai yang dah bertanya. Setakat STPM tu tak cukupke kau belajar? Aku rasa orang perempuan sampai situ pun cukuplah. Lepas tu kau carilah lelaki kaya. Tak payah kau belajar lagi, kan senang hidup kau. Bukan kau aje yang senang, akupun boleh tumpang sekaki,” kata ayahnya dengan nada menjengkelkan. Zahra mengeleng-ngeleng. Hinanya seorang wanita pada pandangan Rais. Kenapa mahu dikaitkan kesenangan seorang perempuan dengan lelaki yang kaya? Bukankah seorang perempuan boleh juga dapatkan semua itu tanpa bergantung pada lelaki? Tidak tahukah dia dunia sudah berubah?

   “Ayah, dunia dah maju. Wanita dah sama hebat macam lelaki dan malahan lebih berjaya dari lelaki dalam bidang akademik, perniagaan dan kerjaya. Wanita dah tak perlu mengharap pada lelaki untuk berjaya. Ayah, bagilah saya peluang.” ujar Zahra membela diri.

   “Oh, kau nak jadi hebatlah kononnya? Lupakan sajalah. Aku tak akan bagi kau tinggalkan rumah ni dan pergi belajar entah ke mana. Tugas kau ialah jaga adik dan nenek kau. Aku nak cari duit!.” kata Rais dengan tegas. Hati Zahra makin panas.

    “Cari duit apanya ayah? Zahra tengok ayah jalan sana, jalan sini. Dahlah ayah tu tak ada kerja tetap. Zahra musykil bagaimana ayah cari duit sebenarnya.” kata Zahra sedikit berani. 

    Memang Rais tiada pekerjaan tetap sejak diberhentikan 5 tahun lalu kerana menjaga isterinya yang sakit. Kalau tidak dia menjadi seorang pekerja kilang di sebuah syarikat semikonduktor dengan gaji cukup makan untuk mereka sekeluarga. Lima tahun dulu hidup mereka lebih bahagia. Sekarang kalau Rais pulang dari kerja seperti yang dia katakan, duit belanja yang diberikan sering tidak cukup. Zahra terpaksa berdikit-dikit. Ditambah pula dia perlu membeli lampin dewasa untuk Nenek Bibah yang uzur. 

    Rais tidak ambil peduli yang Zahra seringkali berniaga nasi lemak atau bekerja separuh masa di kedai runcit dan restoran untuk tambah pendapatan. Rais pula tidak tentu bila pulangnya. Kadang-kadang hampir sebulan baru terjengol mukanya itupun hanya sehari dua. Kemudian dia akan pergi lagi. Banyak kali mereka kesempitan duit. Banyak hari juga mereka makan nasi bergaram atau gula sahaja bila kehabisan bekalan makanan. Mereka selalu kelaparan.

   “Oh, kau dah pandai menghina aku ye. Hei, siapa bagi makan kau kalau tak tangan aku ni? Pandai pulak kau komplen ye? Anak tak sedar diri. Baik dulu-dulu aku cekik korang semua biar mampus. Semua menyusahkan aku dari mak kau dulu sampai kau orang semua. Kau semua ni tak berguna. Menyusahkan aku. Aku ni masih lagi ada belas kasihan. Kalau tak aku dah halau korang semua dari rumah ni biar merempat.” herdik Rais dengan suara menakutkan. Hati Zahra tersayat bila ibunya disebut dan betapa mereka adik-beradik menyusahkan ayahnya. Zahra terasa sedih. Sampainya hati ayahnya mengeluarkan kata-kata itu.

    “Ayah, kalau ayah nak kata tentang kami katalah. Tapi janganlah babitkan ibu yang dah tak ada. Dia isteri ayah. Tak bermaknakah dia pada ayah? Ibu di masa hidupnya sangat menyayangi ayah. Tak ingatkah ayah kasih sayang ibu??” marah Zahra membela arwah ibunya. Rais terdiam seketika. Ada riak sedihkah itu? Tapi hanya sekilas cuma bila matanya dijegilkan pada Zahra.

    “Kau apa tahu? Sebab dia lah aku jadi macamni. Aku hilang kerja dan sebab dialah aku terpaksa pikul tanggungjawab jaga kamu semua. Kau nak kata dia tak bersalah?” jerit Rais geram.

     “Ayah! Ibu tak bersalah. Dia sakit ayah, bukan dia sengaja sakit! Ini semua Qada’ dan Qadar tuhan ayah. Kenapa ayah tak mau terima semua ni??…” bela Zahra.

     “Kau ni nak kena penampar kan? Tak cukup lagi aku belasah kau sebelum ni??? Baik kau tutup mulut kau tu sebelum aku belasah kau lagi.” ugut Rais makin menyinga.

      “Tapi ayah…” bantah Zahra.

      “Baik kau tutup mulut kau tu sebelum aku belasah kau.” ugut Rais lagi.

     “Baik ayah saya akan diam lepas ni, saya minta maaf kalau saya lukakan hati ayah…tapi ayah tolonglah bagi saya belajar. Saya janji kalau saya dah berjaya, saya akan tolong ayah dan adik. Kita tak akan susah lagi ayah,” rayu Zahra bersungguh-sungguh namun seolah menyiram minyak ke atas hati Rais yang sudah sedia terbakar.

      “Kau memang tak faham bahasa kan?” jerkah Rais telahpun membuka talipinggangnya dan menarik Zahra dari adiknya. Zahra meronta-ronta. Tubuh Zahra dihenyak ke sofa. Kemudian talipinggang di tangan di libas ke belakang Zahra berkali-kali. Setiap libasan, jeritan Zahra kedengaran bersekali dengan ngogoian dan jeritan adiknya yang tidak sanggup melihat ratahan talipinggang ke belakang kakaknya bila Rais melibas sekuat hati. Rais benar-benar hilang pedoman. Belakang Zahra tempat dia melepas barannya dan apa sahaja yang menyakitkan hatinya tanpa belas kasihan.

    “Rais, sudahlah tu. Kau nak bunuh anak kamu sendiri? Hentikan Rais! Hentikan!!!.” suara nenek Bibah kedengaran dari salah satu bilik di rumah kos rendah itu. Nenek Bibah yang buta sejak 10 tahun lepas sering tidak dapat berbuat apa-apa bila Rais mengamuk. Dia hanya boleh merayu kepada anaknya itu supaya berhenti menyiksa Zahra dan adiknya.

 Wanita berumur 70 tahun itu sudah uzur dan tidak dapat bergerak sangat ditambah dengan mata yang buta. Seringkali Zahralah yang menguruskan neneknya itu terutama selepas kematian ibunya. Rais tiba-tiba berhenti bila mendengar suara ibunya. Dia seolah tersedar. Dia melepaskan talipinggang di tangan dan kemudian menyarung semula talipinggang ke seluarnya.

    “Padan muka kau. Itu balasan pada anak durhaka macam kau!” bentak Rais kepada Zahra yang mengerang kesakitan sebelum berlalu. Dia lantas keluar dari rumah itu dan menghidupkan kereta Proton lamanya. Seketika kemudian kedengaran kereta itu mengaum keluar dari perkarangan rumah itu.

    “Kakak!” peluk Khalil pada kakaknya. Zahra memeluk adiknya dengan wajah yang basah dek air mata. Belakangnya terasa perit amat seolah mahu pengsan menahan kesakitan tapi demi adik dan neneknya dia perlu kuat. Dia tidak mahu kelihatan lemah di mata adiknya itu. Dialah tonggak adik dan neneknya. Dia cuba bangun dan duduk walaupun setiap pergerakan membawa perit di belakangnya.

    “Ayah tak sayang kita. Ayah benci kita. Khalil benci ayah.” ujar Khalil di antara sedu sedannya. Zahra mencium dahi kanak-kanak berusia 10 tahun itu.

    “Khalil takut kak…Khalil takut. Khalil takut kakak mati. Ayah jahat,” ngongoi Khalil.

   Zahra memeluk Khalil rapat-rapat biarpun setiap kali bergerak Tuhan sahaja yang tahu betapa sakitnya. Tapi dia mesti kuat. Kuat untuk adik dan neneknya dan tidak boleh mengalah walau apa pun terjadi. 

    Dia berazam satu hari nanti dia akan membawa adik dan neneknya keluar dari penderitaan itu. Dia hanya menunggu peluang dan akan merebut peluang itu bila ia nyata di hadapannya. 

Namun, sebelum saat itu dia akan bersabar. Dan terus bersabar tapi, peritnya harga sebuah kesabaran itu!

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.