Tahun 2013
“YANG
kau gatal sangat nak belajar tu kenapa? Kat rumah ni makan pun tak lepas kau
sibuk nak pergi belajar?!!” marah Rais kepada anaknya. Zahra yang berdiri di
hadapannya terasa ingin menjawab tetapi dia takut kalau penampar pula yang dia
dapat. Ayahnya bukan selalu pulang tetapi sekali dia pulang, Zahra dan adik-adik
semua kecut perut. Ada sahaja yang dimarahi dan ada sahaja lelaki itu tidak
puas hati.
Acap
kali tangannya naik melayang pada sesiapa sahaja samada pada Zahra atau Khalil.
Kalau tidak kena gaya talipinggang pula hinggap di badan mereka. Rais memukul
mereka tak agak-agak dan kadang-kadang tanpa belas kasihan. Hanya kerana nenek
mereka Mak Bibah yang buta sahaja yang menghalang baru Rais berhenti membelasah
mereka. Kalau tidak lebam-lebam dan berbirat badan mereka berhari-hari.
Masing-masing terpaksa menyembunyikan lebam-lebam itu supaya tiada siapa yang
tahu.
“Ayah,
ini saja peluang saya ada. Biarlah saya pergi.” rayu Zahra bersungguh pada
ayahnya. Sudah seminggu dia tidak nampak kelibat ayahnya. Hari itu ayahnya
pulang maka dia ambil kesempatan untuk bertanya kalau-kalau dia dapat keizinan
untuk pergi belajar.
“Habis?
Adik dan nenek kau ni siapa pulak nak jaga? Aku kena pergi kerja nak cari
belanja kamu semua. Kau pulak senang-senang nak pergi belajar?” soal Rais
menjegilkan matanya ke arah Zahra yang ketakutan memeluk adiknya.
“Saya
dah bincang dengan Mak Cik Timah di sebelah. Dia sanggup jaga adik dan nenek
masa Zahra tak ada.” jawab Zahra takut-takut. Mak Cik Timah telah berjanji
untuk menolongnya sejak dia mendapat tawaran biasiswa itu.
“Amboi!!!
Sedapnya kau suruh orang lain pulak buat kerja kau. Mak Timah tu siapa? Dia
hanya jiran. Kau ingat dia nak sangat jaga adik kau kalau tak bagi duit? Kau
saja menyusahkan aku kan? Dahlah aku kena cari belanja korang mentekadarah,
sekarang ni kena bayar upah jaga pulak!” jerkah Rais marah. Matanya yang merah
seperti biji saga lagaknya memandang Zahra tidak berkelip. Seringkali Rais
pulang dengan mata merah dan panas barannya.
“Ayah,
tolonglah ayah. Ini sajalah peluang Zahra untuk perbaiki nasib keluarga kita.
Tolonglah ayah. Lagipun Zahra dah dapat tempat belajar. Ada biasiswa pula.
Bukan senang nak dapat biasiswa ayah,” pinta Zahra lagi. Dia baharu sahaja
dapat tawaran ke sebuah pusat pengajian tinggi. Dengan keputusannya yang baik dalam
STPM dia mendapat biasiswa kerajaan.
“Tak
boleh, aku kata tak boleh, tak bolehlah!. Kau kena duduk rumah jaga adik dan
nenek kau. Kau bertuah aku bagi kau ambik STPM tu. Kalau ikut aku, aku nak jual
kau saja di Kuala Lumpur tu. Dapat jugak aku duit banyak! ,” tegas
Rais. Zahra tersentak. Sampainya hati ayahnya berkata begitu. Kejamnya berkata
seperti itu. Tidak berhargakah dia sebagai seorang anak pada Rais? Di manakah
kasih sayangnya sebagai seorang ayah?
“Ayah!
Kenapa ayah kata macam tu?. Saya kan darah daging ayah. Sanggup ayah nak jual
saya?” tanya Zahra sedih. Sejak ibunya meninggal 5 tahun lepas ayahnya makin
tidak keruan. Makin bengis dan menyalahkan mereka ke atas pemergian ibunya itu.
Banyak kali juga dia menyebut akan menjual Zahra dan adiknya.
“Itu
pasal lah aku tak jual walaupun hati aku nak sangat. Sebab kau masih darah
daging akulah, aku masih tangguh niat aku tu walaupun ramai yang dah bertanya.
Setakat STPM tu tak cukupke kau belajar? Aku rasa orang perempuan sampai situ
pun cukuplah. Lepas tu kau carilah lelaki kaya. Tak payah kau belajar lagi, kan
senang hidup kau. Bukan kau aje yang senang, akupun boleh tumpang sekaki,” kata
ayahnya dengan nada menjengkelkan. Zahra mengeleng-ngeleng. Hinanya seorang
wanita pada pandangan Rais. Kenapa mahu dikaitkan kesenangan seorang perempuan dengan
lelaki yang kaya? Bukankah seorang perempuan boleh juga dapatkan semua itu
tanpa bergantung pada lelaki? Tidak tahukah dia dunia sudah berubah?
“Ayah,
dunia dah maju. Wanita dah sama hebat macam lelaki dan malahan lebih berjaya
dari lelaki dalam bidang akademik, perniagaan dan kerjaya. Wanita dah tak perlu
mengharap pada lelaki untuk berjaya. Ayah, bagilah saya peluang.” ujar Zahra
membela diri.
“Oh,
kau nak jadi hebatlah kononnya? Lupakan sajalah. Aku tak akan bagi kau
tinggalkan rumah ni dan pergi belajar entah ke mana. Tugas kau ialah jaga adik dan nenek kau. Aku nak cari duit!.”
kata Rais dengan tegas. Hati Zahra makin panas.
“Cari
duit apanya ayah? Zahra tengok ayah jalan sana, jalan sini. Dahlah ayah tu tak
ada kerja tetap. Zahra musykil bagaimana ayah cari duit sebenarnya.” kata Zahra sedikit berani.
Memang Rais tiada pekerjaan tetap sejak diberhentikan 5 tahun lalu kerana
menjaga isterinya yang sakit. Kalau tidak dia menjadi seorang pekerja kilang di
sebuah syarikat semikonduktor dengan gaji cukup makan untuk mereka sekeluarga.
Lima tahun dulu hidup mereka lebih bahagia. Sekarang kalau Rais pulang dari
kerja seperti yang dia katakan, duit belanja yang diberikan sering tidak cukup.
Zahra terpaksa berdikit-dikit. Ditambah pula dia perlu membeli lampin dewasa
untuk Nenek Bibah yang uzur.
Rais tidak ambil peduli yang Zahra seringkali berniaga
nasi lemak atau bekerja separuh masa di kedai runcit dan restoran untuk tambah
pendapatan. Rais pula tidak tentu bila pulangnya. Kadang-kadang hampir sebulan
baru terjengol mukanya itupun hanya sehari dua. Kemudian dia akan pergi lagi.
Banyak kali mereka kesempitan duit. Banyak hari juga mereka makan nasi bergaram
atau gula sahaja bila kehabisan bekalan makanan. Mereka selalu kelaparan.
“Oh,
kau dah pandai menghina aku ye. Hei, siapa bagi makan kau kalau tak tangan aku
ni? Pandai pulak kau komplen ye? Anak tak sedar diri. Baik dulu-dulu aku cekik
korang semua biar mampus. Semua menyusahkan aku dari mak kau dulu sampai kau
orang semua. Kau semua ni tak berguna. Menyusahkan aku. Aku ni masih lagi ada
belas kasihan. Kalau tak aku dah halau korang semua dari rumah ni biar
merempat.” herdik Rais dengan suara menakutkan. Hati Zahra tersayat bila ibunya
disebut dan betapa mereka adik-beradik menyusahkan ayahnya. Zahra terasa sedih.
Sampainya hati ayahnya mengeluarkan kata-kata itu.
“Ayah,
kalau ayah nak kata tentang kami katalah. Tapi janganlah babitkan ibu yang dah
tak ada. Dia isteri ayah. Tak bermaknakah dia pada ayah? Ibu di masa hidupnya
sangat menyayangi ayah. Tak ingatkah ayah kasih sayang ibu??” marah Zahra
membela arwah ibunya. Rais terdiam seketika. Ada riak sedihkah itu? Tapi hanya
sekilas cuma bila matanya dijegilkan pada Zahra.
“Kau
apa tahu? Sebab dia lah aku jadi macamni. Aku hilang kerja dan sebab dialah aku
terpaksa pikul tanggungjawab jaga kamu semua. Kau nak kata dia tak bersalah?”
jerit Rais geram.
“Ayah!
Ibu tak bersalah. Dia sakit ayah, bukan dia sengaja sakit! Ini semua Qada’ dan
Qadar tuhan ayah. Kenapa ayah tak mau terima semua ni??…” bela Zahra.
“Kau
ni nak kena penampar kan? Tak cukup lagi aku belasah kau sebelum ni??? Baik kau
tutup mulut kau tu sebelum aku belasah kau lagi.” ugut Rais makin menyinga.
“Tapi
ayah…” bantah Zahra.
“Baik
kau tutup mulut kau tu sebelum aku belasah kau.” ugut Rais lagi.
“Baik
ayah saya akan diam lepas ni, saya minta maaf kalau saya lukakan hati ayah…tapi
ayah tolonglah bagi saya belajar. Saya janji kalau saya dah berjaya, saya akan
tolong ayah dan adik. Kita tak akan susah lagi ayah,” rayu Zahra
bersungguh-sungguh namun seolah menyiram minyak ke atas hati Rais yang sudah
sedia terbakar.
“Kau
memang tak faham bahasa kan?” jerkah Rais telahpun membuka talipinggangnya dan
menarik Zahra dari adiknya. Zahra
meronta-ronta. Tubuh Zahra dihenyak ke sofa. Kemudian talipinggang di tangan di
libas ke belakang Zahra berkali-kali. Setiap libasan, jeritan Zahra kedengaran
bersekali dengan ngogoian dan jeritan adiknya yang tidak sanggup melihat
ratahan talipinggang ke belakang kakaknya bila Rais melibas sekuat hati. Rais
benar-benar hilang pedoman. Belakang Zahra tempat dia melepas barannya dan apa
sahaja yang menyakitkan hatinya tanpa belas kasihan.
“Rais,
sudahlah tu. Kau nak bunuh anak kamu sendiri? Hentikan Rais! Hentikan!!!.”
suara nenek Bibah kedengaran dari salah satu bilik di rumah kos rendah itu.
Nenek Bibah yang buta sejak 10 tahun lepas sering tidak dapat berbuat apa-apa
bila Rais mengamuk. Dia hanya boleh merayu kepada anaknya itu supaya berhenti
menyiksa Zahra dan adiknya.
Wanita berumur 70 tahun itu sudah uzur dan tidak dapat bergerak sangat ditambah
dengan mata yang buta. Seringkali Zahralah yang menguruskan neneknya itu
terutama selepas kematian ibunya. Rais tiba-tiba berhenti bila mendengar suara
ibunya. Dia seolah tersedar. Dia melepaskan talipinggang di tangan dan kemudian
menyarung semula talipinggang ke seluarnya.
“Padan
muka kau. Itu balasan pada anak durhaka macam kau!” bentak Rais kepada Zahra
yang mengerang kesakitan sebelum berlalu. Dia lantas keluar dari rumah itu dan
menghidupkan kereta Proton lamanya. Seketika kemudian kedengaran kereta
itu mengaum keluar dari perkarangan
rumah itu.
“Kakak!”
peluk Khalil pada kakaknya. Zahra memeluk adiknya dengan wajah yang basah dek
air mata. Belakangnya terasa perit amat seolah mahu pengsan menahan kesakitan
tapi demi adik dan neneknya dia perlu kuat. Dia tidak mahu kelihatan lemah di
mata adiknya itu. Dialah tonggak adik dan neneknya. Dia cuba bangun dan duduk
walaupun setiap pergerakan membawa perit di belakangnya.
“Ayah
tak sayang kita. Ayah benci kita. Khalil benci ayah.” ujar Khalil di antara
sedu sedannya. Zahra mencium dahi kanak-kanak berusia 10 tahun itu.
“Khalil
takut kak…Khalil takut. Khalil takut
kakak mati. Ayah jahat,” ngongoi Khalil.
Zahra memeluk Khalil rapat-rapat biarpun setiap kali bergerak Tuhan sahaja yang
tahu betapa sakitnya. Tapi dia mesti kuat. Kuat untuk adik dan neneknya dan
tidak boleh mengalah walau apa pun terjadi.
Dia berazam satu hari nanti dia
akan membawa adik dan neneknya keluar dari penderitaan itu. Dia hanya menunggu
peluang dan akan merebut peluang itu bila ia nyata di hadapannya.
Namun,
sebelum saat itu dia akan bersabar. Dan terus bersabar tapi, peritnya harga
sebuah kesabaran itu!