“TERIMA
kasih dik,” ujar Malek kepada Zahra yang menghidang. Wajah Zahra
diperhatikannya. Hasef di sebelah mengeleng melihat wajah Malek yang merenung
semacam. Macamlah gadis itu cantik sangat seperti supermodel sampai Malek
terlongo begitu. Dia memerhatikan gadis itu seketika. Cuba mencari tarikan yang
dikatakan oleh Malek. Namun, dengan wajahnya yang agak terlindung dengan tudung
yang sengaja didepankan, Hasef tidak nampak apa-apa yang istimewa kecuali
hidung mancung dan bibir yang merah tanpa gincu.
“Sama-sama
bang.” jawab Zahra tersenyum sekilas pada Malek hanya berbahasa. Senyum ikhlas
untuk pelanggan yang membeli nasi lemaknya tidak lebih dari itu. Lelaki di
sebelah Malek hanya senyap mengambil pinggan nasi lemak dan juga minuman teh
aisnya tanpa berkata apa-apa manakala mata Malek masih terlekat pada gadis itu.
“Nama
adik ni siapa?” tanya Malek sebelum Zahra mahu berlalu. Zahra hanya tersengeh.
Dia tidak mahu memberitahu namanya. Cukuplah setakat menjadi pelayan di situ
namun bila memberikan nama, semacam pencerobohan privasinya pula. Dia mahu
menjadi gadis tanpa nama sahaja di situ ataupun gadis penjual nasi lemak
sahaja.
“Perlu
ke abang tahu? Abang boleh panggil saya adik sahaja.” balas Zahra sopan.
“Kenapa?
Adik takut saya tahu nama adik ke?” tanya Malek kembali.
“Tak….cuma
saya ni tak penting. Saya hanya pelayan restoran dan penjual nasi lemak di sini
sahaja. Saya lebih suka kalau abang tak tahu nama saya,” jawab Zahra ikhlas.
Jawapan
itu menarik minat Hasef di sebelah Malek yang kini mengangkat muka memandang
wajah Zahra. Bibirnya mengulum sedikit senyum bila mendengar kata-kata gadis
itu. Pandai bercakap juga gadis itu walaupun seorang penjual nasi lemak, desis
hati Hasef. Hasef merenung gadis itu seketika.
Zahra yang terperasan terus membalas pandangan
lelaki itu. Ada sesuatu dengan lelaki itu yang menyebabkan dia terus membalas
renungan lelaki itu. Entah kenapa dia terpukau seketika dengan renungan itu.
Renungan dari anak mata yang hitam berkilat itu seolah ada tarikan. Keningnya,
matanya, hidungnya semua elok terletak. Wajah yang sempurna.
Rambutnya yang
tebal berombak tersisir kemas. Kening Hasef yang lebat tiba-tiba terjongket
sedikit, berkerut memandang Zahra. Mata Zahra terlekat pada mulutnya yang seperti
terukir mengherot sedikit seperti tersenyum sinis. Serta-merta Zahra
terperasan.
Mulut yang herot itu kerana melihat Zahra yang tak berkelip
merenung lelaki itu. Zahra serta merta tersedar lantas segera mengalih
pandangan. Entah berapa lama dia merenung lelaki itu. Malunya. Aku ni dah kenapa pulak dok tenung
lelaki ni? bisiknya sendiri dengan wajah sedikit merah.
“Tapi, saya nak tahu juga nama adik. Manalah
tahu kalau-kalau lepas ni kita makin rapat ke?” ujar Malek berkias seolah
memujuk itu menyentak lamunan Zahra. Malek senyum sehabis menggoda untuk Zahra
kemudian mengangkat kening pada Hasef di hadapannya. Zahra menjilat bibir. Tidak
pasti apa yang perlu dijawab.
“Err maaf…saya… ada banyak kerja di
dalam. Abang berdua makan dulu ye.” jawab Zahra tergagap-gagap sekadar berbasa-basi.
Malek menjuihkan bibir sedikit hampa. Si cantik manis itu jelas jual mahal dan
tidak berminat untuk memberitahu namanya.
“Tanya nama pun tak boleh ke dik???
Kenapa nak jual mahal sangat?” tiba-tiba lelaki di sebelah Malek yang
direnungnya tadi menyindir tajam menyebabkan Zahra terpempan. Zahra tidak jadi
berlalu. Amboi! Dia tersinggung dengan nada itu. Namun Zahra menoleh juga. Mata
hitam berkening lebat itu menerjah wajahnya.
“Saya bukan jual mahal cuma saya tak
biasa bagi nama pada orang, abang. Maaf ye bang.” ujar Zahra meminta maaf.
Lagipun mereka pelanggannya, risau juga kerana sebagai pelanggan mereka juga
harus dihormati.
“Kawan saya ni hanya nak tahu nama
sebab dia tak mahu asyik panggil awak tu adik sahaja sampai bila-bila. Tak kan bagi
nama pun tak boleh?” selar lelaki itu masih
merenung tepat ke wajah Zahra dengan senyum menyindir. Zahra menghela nafas.
Geram pun ye. Dia tidak suka dengan nada kata-kata lelaki itu.
“Selalu
pelanggan di sini tak pernah tanya nama saya pun.” dalih Zahra membalas
renungan lelaki itu.
“Kami
ni lain sikit. Suka berurusan dengan orang yang ada nama. Barulah ada
personalised service. Itu namanya customer service. Pelanggan adalah raja,
faham?” balas Hasef. Customer service? Amboi, lelaki ini ingat restoran kecil
itu restoran mahal ke?? Berlagaknya!!!, desis hati Zahra bosan.
“Abang
boleh panggil saya dik aje…” ujar Zahra tersenyum sedikit pada Malek masih
berdegil. Hati Hasef jadi sedikit panas. Degilnya budak perempuan itu.
“Nak
jual mahal sangat kenapa? Ingat kami ni sindiket jual orang ke? Haisshhh! Bagi
nama pun payah!” suara Hasef sedikit tinggi. berdesing telinga Zahra
mendengarnya.
“Bukan
macam tu…” jawab Zahra pantas.
“Habis????”
soal Hasef dengan suara meninggi. Zahra terpempan. Dia tercangak-cangak.
Melihatkan respon gadis itu Hasef panas hati. Dia angin tiba-tiba.
“Dah
Malek jom kita balik! Tanya baik-baik bagi nama pun tak nak. Hilang selera aku
nak makan bila ada orang sombong ni.” marah Hasef seperti hendak bangun. Zahra
tersentak lagi sekali. Hah?? Terkejut dengan tindakan drastik lelaki itu. Malek
merenung Hasef tak percaya. Eh, emo pulak kawan aku ni, desis hati Malek.
“Hasef nanti dulu….” dia berpaling
pada Zahra pula. “Adik…betul kata kawan abang ni. Tak bestlah hanya panggil dik
sahaja. Lagipun…err.. kami bukan ada niat jahat pada adik pun…sebenarnya abang
minat sungguh dengan nasi lemak adik ni. Ingat esok nak tempah untuk staf di
pejabat. Jadi, kalau nak tempah kena lah bagi nama,” ujar Malek cuba
menenangkan keadaan kemudian mengenyit mata pada Hasef di hadapannya. Hasef membulatkan
mata. Malek memang memandai. Bila pula syarikat mereka mahu menempah nasi lemak
itu?. Dari budak perempuan sombong itu pula?. Tak hingin langsung dia!
gerutunya geram.
“Betul ke ni?” tanya Zahra memandang
Malek ragu-ragu. Semua itu seperti tidak masuk akal. Wajah Malek dan Hasef direnung
silih berganti. Pada wajah Hasef yang kelat mata Zahra terlekat di situ. Mereka
merenung antara satu sama lain dengan pandangan tidak puas hati. Zahra tidak
puas hati dengan nada kata-kata lelaki itu dan Hasef pula dengan kedegilan
gadis itu.
“Betul. Kami nak tempah. Nak tempah
dengan siapa ni kalau adik tak mahu bagi nama?” ujar Malek cuba meyakinkan. Hasef
di sebelah sudahpun menghela nafas.
Susah kalau ulat bulu naik daun ni, rungut Hasef
dalam hati. Dia meraup rambutnya dan kini bercekak pinggang. Geramnya sudah
mencanak. Boleh pulak Malek menempah nasi lemak dari gadis sombong itu!!. Wajah
Zahra direnung seperti hendak dimakan. Zahra cepat-cepat mengalih pandangan. Kalau
melihat wajah Hasef mahu saja Zahra beredar dari situ tapi melihat wajah Malek
yang seolah mengharap menyebabkan Zahra sedikit lembut hati. Zahra menghela
nafas.
“Baiklah. Saya percaya dengan kata
abang tu. Abang boleh panggil saya Za. Berapa banyak abang nak tempah esok?”
kata Zahra terpaksa memberikan juga namanya.
“Za saja ke?…err nama penuh?” tanya Malek
seolah merayu. Wajah Zahra ditenung-tenung lagi. Amboi, melebih pulak. Kau nak
buat apa dengan nama penuh aku??? desis hati Zahra sedikit angin.
“Setakat ni Za sahaja ye bang,
berapa abang nak tempah?” kata Zahra sedikit serius. Malek mengeluh. Degil juga
budak perempuan itu. Hasef tambah mendengus.
“Za pun Za lah. Abang nak tempah 15
bungkus nasi lemak special esok. Nanti abang ambil pagi-pagi macam ni, okay
tak?” Malek akhirnya akur.
“Baiklah, esok saya akan sediakan
untuk abang. Kalau abang nak special saya akan letak ayam goreng. Tapi ada
tambahan RM2. Setiap satu RM 3 ye bang.” kata Zahra yang sudahpun menulis
sesuatu di buku nota kecil yang diambil dari poket seluar jeansnya.
“Okay. Berapa pun harganya abang
akan bayar. Jangan risau.” kata Malek merenung gadis itu yang sedang menulis
sesuatu di atas buku nota itu.
“Siapa nama abang ye?” tanya Zahra
pula.
“Nama
abang Malek dan kawan abang ni Hasef. Kami ni satu pejabat,” Malek
memperkenalkan diri. Zahra mengangguk dan tersenyum nipis pada lelaki itu.
Wajah Hasef yang memandang padanya tidak dikerling.
“Bang
Malek, tolong tuliskan juga nombor telefon di sini. Nanti kalau dah siap saya
akan telefon abang.” ujar Zahra memberikan buku nota itu kepada Malek. Malek
pun menyambutnya. Sementara menunggu itu matanya terpandang Hasef yang jelas
sedang memandangnya dengan wajah masam dan kelat. Muka tak puas hati. Ah! Nasiblah!,
bisik Zahra dalam hati.
Namun, Zahra agak terkesan dengan riak wajah
lelaki itu yang ketat semacam, tidak semesra Malek. Pasti masih hangat dengan
apa yang berlaku tadi. Kalau boleh dia tidak mahu berlama di situ direnung Hasef
yang memandangnya seperti mahu tembus sahaja sambil seolah-olah dihakimi pula.
Lelaki itu tidak tahukah merenung seorang perempuan sebegitu adalah kurang sopan. Its plain rude! Malek memberikan semula
buku nota dan Zahra tersenyum pada lelaki itu.
“Kalau tak ada apa-apa lagi saya
pergi buat kerja saya ye. Kalau abang berdua nak tambah apa-apa panggil saja Za
ye.” beritahu Zahra. Malek mengangguk-angguk sambil tersengeh pada gadis itu.
“Okay, Za. Jangan lupa esok ye?” Malek
mengingatkan lagi.
“InsyaAllah. Abang jangan risau.
Saya akan sediakan seperti yang saya janjikan. 15 bungkus nasi lemak special
akan siap esok,” ujar Zahra tersenyum manis mencairkan hati Malek. Namun
senyumnya mati bila melihat renungan tajam Hasef. Hish! Dia ni tak habis-habis
lagi ke? Memang bermasalah le dia ni tenung-tenung macam nak makan orang???
desis hati Zahra geram.