Bab 10

RAJA AGONG AMIRUL meletakkan kedua kepala lututnya ke lantai. Dia mengukir senyuman untuk si adik yang duduk di sofa. Tangan kanannya menyelak rambut adiknya yang berjurai ke tepi telinga. "Mak beritahu kanda, dinda nak jumpa kanda. Kenapa?"

Puteri Agong Mawar memandang wajah abangnya. "Kenapa Kak Nafisah tak datang sini? Dinda rindu..."

Tersentak si abang dengan soalan yang keluar dari mulut si adik. Sejak dia berjumpa semula dengan adiknya yang telah hilang bertahun-tahun ini, adiknya tidak pernah mahu bercakap. Termenung dan menangis sahaja. Tapi... sekarang adiknya mulai bercakap.

"Kak Nafisah dah jadi permaisuri tuanku kan? Kenapa dia tak tinggal sini dengan kita?" soal si adik lagi. Air matanya mengalir. Dia rindukan kakak iparnya yang seorang itu. Dari dirinya kecil lagi, dia lebih rapat dengan Permaisuri Agong Nafisah berbanding Permaisuri Agong Jannah.

Sejak kecil dia kesunyian. Tanpa kawan dan teman sepermainan. Raja Shafiq, melarangnya untuk ke sekolah, sebab itu dia tak pernah ada kawan selain Permaisuri Agong Nafisah. Hidupnya penuh konflik dan derita.

Dari kecil hidupnya hanya dalam istana ini sahaja. Tidak dibenarkan keluar dari kawasan istana. Dia berkawan pun dengan pekerja istana dan adik-beradiknya sahaja. Kalau dulu, dia mempunyai empat orang beradik tapi sekarang hanya dia berdua dengan sang raja sahaja.

Semuanya mulai berubah bila Raja Shafiq mengambil Syed Fathul; walid Permaisuri Agong Nafisah untuk bekerja di istana sebagai ustaz. Dari situ dia mulai dapat kawan baru. Dia suka dengan berkawan dengan anak tunggal Ustaz Syed Fathul. Seorang yang lemah lembut dan sangat memahami jiwanya. Bila Raja Shafiq memisahkan abangnya dengan Permaisuri Agong Nafisah, dia turut bersedih. Dia hilang teman bercerita.

"Jangan menangis," pujuk si abang. Hatinya terluka melihat adik kesayangannya menangis. Meskipun mereka berbeza ibu yang melahirkan, tapi dia sangat sayang dengan adiknya yang seorang ini. Meskipun si adik anak tidak sah taraf, baginya mereka tetap adik beradik. Mereka berkongsi ibu susuan iaitu Permaisuri Agong Jelita.

Dia masih teringat insiden dimana bila dia tahu siapa adiknya ini yang sebenar. Hatinya sakit! Hancur! Adik yang dia sayang... merupakan anak luar nikah ayahnya sendiri. Sungguh dia tidak menyangka bahawa ayahandanya itu sangat kejam kepada kaum perempuan. Barulah dia tahu akan kisah sebenarnya. Sakit hatinya untuk menerima semua ini.

Permaisuri Agong Jelita, bonda yang disangka bonda kandungnya... sebenarnya bukan bonda yang melahirkannya. Permaisuri Agong Jelita merupakan permaisuri kedua ayahnya. Dia lahir dalam perkahwinan Raja Shafiq yang ketiga bersama seorang puteri raja. Bonda kandungnya mangkat setelah melahirkannya dan adik kembarnya; Puteri Agong Amira. Kembarnya; sudah mangkat lima tahun yang lalu.

Isteri pertama ayahnya pula, datang dari gadis kebanyakkan. Hasil perkahwinan mereka, lahirlah Puteri Agong Zinnirah. Tapi kakaknya itu telah mangkat kerana dibunuh oleh seseorang. Seseorang yang sangat dipercayainya iaitu bekas Perdana Menteri Lafiya yang telah menerima hukuman gantung sampai mati.

Puteri Agong Mawar pula lahirnya kerana ayahandanya sanggup gunakan kuasanya sebagai raja untuk merosakkan seorang gadis yang tidak berdosa iaitu Puan Melati. Puan Melati ialah seorang penari istana yang sangat handal ketika itu. Kerana kehandalannya itulah membuat nafsu lelaki Raja Agong Shafiq mudah berkocak dan akhirnya memperkosa dirinya.

Raja Agong Shafiq enggan bertanggungjawab atas perbuatannya kepada Puan Melati meskipun Puan Melati sudah disahkan hamil disebabkan peristiwa gelap itu. Tapi Permaisuri Agong Jelita mengugut suaminya itu. Sekiranya Raja Agong Shafiq enggan menikahi Puan Melati, maka segala aib dan salah suaminya itu akan dilapor kepada Majlis Raja-Raja. Sekiranya itu terjadi, maka akan tergugatlah kedudukannya sebagai Raja Agong Lafiya. Disebabkan mahu kekal sebagai Raja Agong, maka dilakukan juga pernikahan itu. Tapi hanya penghuni istana sahaja yang mengetahuinya dan perkahwinan itu hanya kekal selama lima bulan sahaja.

Kerana terlalu bermegah dengan kedudukan, ayahandanya sanggup melukakan hati perempuan yang tulus mencintainya iaitu bonda kandung Puteri Agong Zinnirah. Ayahandanya sanggup menyiksa dan tanpa perasaan memasukkan isterinya sendiri ke dalam penjara hanya kerana malu mengaku itu isterinya kerana berasal dari kalangan orang kebanyakkan. Ayahandanya juga sanggup menceraikan Puan Melati dengan talak tiga di hadapan semua pekerja istana di saat dirinya masih hamil.

Semasa dia berusia tujuh tahun, Raja Shafiq pernah berkahwin lagi. Akibat pernikahan itu, Raja Shafiq semakin tidak ambil tahu hal mereka adik-beradik. Isteri muda ayahnya itu sangat jahat dengannya dan adik-beradiknya. Puteri Agong Mawar sering didera dan dipukul oleh permaisuri muda itu. Mereka juga dipisahkan dari ayah kandung mereka oleh isteri muda Raja Shafiq. Bila Hari Raya muncul, mereka tidak pernah menyambut dengan ayah mereka.

Mereka cuma hidup dengan Permaisuri Agong Jelita yang sudi sayang mereka meskipun mereka empat beradik bukan anak kandung permaisuri itu. Itulah bonda yang mereka sayang meskipun bonda tiri. Insan itulah yang menjaga, menyayangi, merawat dan mendidik mereka dengan baik.

Argh! Dia fikir ayahandanya hanya seorang ayah yang tidak memahami hati anak-anak sahaja, tapi rupanya hati orang lain juga. Dia malu... sangat malu mempunyai ayah seperti itu. Berkahwin lebih dari satu, tapi tidak bersikap adil kepada kesemua isterinya. Kerana itu... dia bencikan poligami!

Permaisuri Agong Jelita, bonda yang menjaganya sejak kecil, hidup menderita kerana poligami tidak adil ayahnya. Seringkali dia melihat bondanya menangis kerana ayahandanya. Adiknya pula menjadi seorang yang kurang waras kerana tertekan teramat akibat didera secara mental dan fizikal oleh bekas suaminya yang turut mengamalkan poligami yang tidak adil! Perempuan-perempuan yang dia sayang dalam hidupnya... menderita kerana poligami!

Setelah Raja Agong Amirul mengetahui semua kisah yang sakit lagi memeritkan itu, dia segera membawa Puan Melati untuk tinggal di istana bersamanya. Dia mahu menjaga Puan Melati dan Permaisuri Agong Jelita dengan sebaiknya. Dia mahu tebus semua kesalahan dan kekejaman yang telah dilakukan oleh ayahandanya.

"Dinda nak jumpa kakak."

"Kanda sibuk sekarang ni dinda."

"Bawaklah kakak tinggal sini, dengan kita," pinta Puteri Agong Mawar.

Raja Agong Amirul menggelengkan kepalanya. "Tak boleh."

"Kenapa tak boleh?"

Raja Agong Amirul terdiam seketika. Memikirkan jawapan yang sesuai.

"Dah lama dinda tak sembang dengan kakak. Kenapa tuanku halau kakak malam tu?" Anak mata si abang, dipandang lama. "Dinda nampak tuanku marah kakak, tengking kakak dan halau kakak malam kakak jadi isteri tuanku. Kenapa tuanku buat kakak macam tu? Sama macam ayahanda buat pada dinda dulu. Tengking, maki dan herdik. Tuanku kata, tak nak jadi macam ayahanda. Tapi kenapa sekarang dah lain?"

"Dinda... nanti kita bincang ye pasal ni? Kanda kena gerak sekarang, ada mesyuarat."

"Tuanku tak sayang dinda."

"Sayang... mestilah kanda sayang dinda. Dinda je adik yang kanda ada sekarang. Kanda dah hilang Kanda Zinnirah dan Dinda Amira untuk selama-lamanya. Kanda tak mahu hilang dinda. Cukuplah kanda menderita hilang dinda bertahun dulu. Dan kanda tak nak rasa semua itu lagi. Kanda terlalu sayang dinda."

"Dinda nak kakak. Kalau sayang dinda, tolonglah dinda. Dinda nak kakak."

"Kanda Jannah kan ada."

Puteri Agong Mawar menolak tangan si abang yang diletak di atas ribanya. Matanya memandang wajah si abang penuh rasa marah.

"Dinda..."

"Pergilah! Tadi kata ada mesyuarat kan? Pergi! Dinda tak mahu tengok wajah tuanku!" Puteri Agong Mawar sudah mula mahu mengamuk.

"Dinda... jangan macam ni."

"Tuanku kan tahu, dari kecil dinda rapat dengan kakak. Tapi kenapa tuanku masih tak faham hati dinda? Dinda nak kakak! Bukan Kanda Jannah!" Puteri Agong Mawar sudah meninggikan suaranya.

"Dinda..."

"Keluar! Dinda benci tuanku!"

Pintu bilik si puteri dibuka dari luar.

"Kenapa ni?" Puan Melati mendekati anaknya yang sudah mula mengamuk itu. "Kenapa ni... Mawar, Amirul?"

"Halau tuanku dari sini!" arah si puteri. "Tak suka tuanku ada kat sini!"

Puan Melati memandang wajah sang raja.

"Pergilah!" Puteri Agong Mawar menolak tubuh abangnya yang duduk melutut di depannya. "Benci tuanku!" ujar si puteri sebelum keluar dari bilik.

"Anakanda." Puan Melati membantu sang raja untuk bangun.

"Anakanda tak apa-apa, mak."

"Maafkan Mawar ye."

"Tak apa, mak. Mawar kan sakit." Raja Agong Amirul tersenyum. Mana mungkin dia marah dengan satu-satunya adik yang dia ada. Adik kesayangan pulak tu.

"Tapi... kenapa Mawar mengamuk tiba-tiba?"

Raja Agong Amirul mengeluh. "Dia nak jumpa Nafisah."

Puan Melati hanya diam.

"Dari kecik dinda memang rapat dengan Nafisah, mak. Dia mengamuk la sebab anakanda tak bawak Nafisah tinggal kat sini."

"Mak dapat rasa yang Nafisah boleh bantu untuk pulihkan Mawar. Sebab malam dia jadi isteri anakanda, Mawar sembang elok dengan dia. Anakanda tahukan, Mawar... susah nak bercakap dengan kita sejak kita jumpa dia? Tahunya nak mengamuk je. Tapi bila dengan Nafisah, elok je dia, anakanda."

Raja Agong Amirul hanya berdiam.

"Cubalah bawak Mawar jumpa Nafisah. Mungkin kita boleh tahu apa dalam hati Mawar."

"Tengoklah nanti. Anakanda pergi dulu la mak. Ada mesyuarat. Kalau dinda mengamuk, suruh je Doktor Daniel urus."

Puan Melati mengangguk.

*****

"DINDA..." panggil Raja Agong Amirul yang sedang baring di atas riba isteri pertamanya.

"Ye."

"Dinda Mawar... ada tak bercakap dengan dinda?"

"Tak."

"Sekalipun, tak ke?" soal sang raja. Dia memandang anak mata isterinya.

"Hm. Tak. Tapi..."

"Tapi?"

"Hari tu dinda nampak Dinda Mawar bercakap tau. Dengan... Dinda Nafisah."

"Nafisah?" Raja Agong Amirul mengerutkan dahinya. "Mak pun cakap benda yang sama la dinda."

Permaisuri Agong Jannah hanya diam. Tangannya masih memicit kepala sang suami.

"Hari ni, ada tak Dinda Mawar mengamuk?"

"Ada jugak. Dia nak jumpa Dinda Nafisah. Kenapa kanda tak bagi izin dia jumpa Dinda Nafisah? Dinda Mawarkan rapat dengan Dinda Nafisah. Bagilah jumpa, mana tahu cepat sembuh ke nanti adik kesayangan kanda tu."

Raja Agong Amirul mengeluh.

"Istana ni besar. Banyak bilik. Apa salah isteri kedua kanda tinggal di sini? Untung-untung... dinda ada kawan berbual bila kanda sibuk. Khalil ada teman bermain. Dinda Mawar... mesti seronok bila kakak dia ada kat sini, kan? Kalau Dinda Nafisah tinggal di sini, dia akan selalu bersama Dinda Mawar. Mana tahu, dengan adanya Dinda Nafisah di sini, adik kesayangan kanda tu lagi cepat nak sembuh ke?" Satu senyuman lebar terukir buat si suami.

"Dinda, tak elok madu duduk satu bumbung, tahu?"

Permaisuri Agong Jannah melepas satu keluhan berat. 'Ada je nak bantah tau. Susah betul nak cakap dengan raja keras macam batu ni.'

Raja Agong Amirul pantas bangun dari posisi baring. Surat khabar di atas meja diambil.

"Kanda..." lengan suaminya itu dipegang.

"Apa?"

"Dinda Nafisah... bawalah dia tinggal kat sini," pujuk si isteri dengan lembut.

"Untuk apa? Diakan dah ada rumah? Biarlah dia kat sana."

"Kanda... dia tu isteri kanda tau. Dia Permaisuri Agong Lafiya ni jugak, sama macam dinda. Keselamatannya perlu dijaga, kanda. Macam mana kalau ada orang buat khianat kepadanya? Atau cuba buat sesuatu yang buruk kepadanya?"

"Siapa nak buat khianat dekat dia?"

"Kanda. Kanda terlupa agaknya yang kanda dengan Dinda Nafisah tu kena khianat orang? Kanda... dengar sini. Dinda Nafisah di luar sana, hidupnya sering diganggu bekas suaminya. Itu bahaya kanda. Sedangkan dinda di sini, ada kanda, ada semuanya. Ini tak adil kanda. Kanda tak adil pada kami tahu."

Raja Agong Amirul meletakkan surat khabar yang dibacanya itu di atas meja. "Tak adil apa nya? Dinda kan sakit. Masih dalam pantang lagi. Jadi kanda perlu bersama dinda. Dia tu sihat. Kanda tak ada pun tak per. Pandai-pandailah dia nak hidup. Kanda dah masukkan duit dalam akaun dia kan. Jadi pandailah dia nak urus sendiri. Jangan ingat kanda tak tahu dinda upah Dayang Ita dan Panglima Zafrul untuk dia. Jadi okey lah tu. Ada yang jaga, kan?"

"Fizikalnya sihat, tapi hatinya dan mentalnya sakit. Kanda..."

"Tolonglah dinda. Kanda tak nak kita bincang pasal dia."

Permaisuri Agong Jannah menyandarkan tubuhnya ke belakang. "Lambat laun, rakyat pasti tahu kanda ada permaisuri lain selain dinda. Masa tu, apa rakyat akan fikir tentang kanda? Seorang raja membiarkan permaisurinya hidup di luar istana. Kanda sendiri yang akan malu."

Raja Agong Amirul pantas bangun dari sofa dan berlalu keluar dari bilik.

"Ego tinggi melangit."

*****

PERMAISURI AGONG NAFISAH tersenyum manis. "Kenapa dari tadi tengok muka saya, Ita?"

Dayang Ita menggeleng. Dia membetulkan posisi duduknya di depan Permaisuri Agong Nafisah yang sedang mendodoikan Khalil di ruang tamu. "Nafisah... saya... nak mintak izin. Nak balik rumah esok. Untuk sehari dua."

"Ooo boleh. Baliklah. Rindu suami ye?" Sempat lagi si permaisuri mengusik temannya.

"Rindu la. Nafisah tak rindu tuanku ke?"

Gerakkan tangan Permaisuri Agong Nafisah terhenti. Sejak peristiwa suaminya bermalam di sini sampai sekarang, suaminya sedikit pun tidak menghubunginya. Rindu? Mestilah. Tapi... hatinya sakit. Sangat sakit bila teringat akan kata-kata dan perbuatan suaminya.

"Maaf. Tanya je."

"Tak apa. Pukul berapa nak balik esok?"

"Lepas subuh kut. Suami saya ambik."

Permaisuri Agong Nafisah mengangguk. "Saya dah susahkan awak, kan?"

"Tak la."

"Awak lepas ni tak payah la tinggal sini. Awak ada suami. Kesian suami tinggal sorang-sorang kat rumah."

Dayang Ita hanya tersenyum.

*****

RAJA AGONG AMIRUL mengangkat wajahnya tatkala mendengar bunyi pintu pejabatnya dibuka oleh seseorang dengan kasar. "Dinda... kenapa? Sakit?"

"Tuanku. Dinda nak jumpa jugak dengan kakak." Puteri Agong Mawar terus duduk di depan meja si abang tanpa dipelawa.

Raja Agong Amirul mengeluh panjang. 'Balik, balik... isu si Nafisah je. Sejak semalam lagi. Aduh! Pening kepala.'

"Boleh la. Dinda rindu."

Raja Agong Amirul hanya berdiam.

"Kalau tuanku tak bagi, dinda mintak tolong pekerja istana," ujar Puteri Agong Mawar.

"Dinda. Dengar kata kanda. Jangan keluar dari istana. Dinda tak sihat lagi."

Tajam di puteri memandang wajah abangnya. Geram dia bila permintaannya tidak dipenuhi. Sejak semalam lagi dia meminta, tapi sampai ke tengah hari ini tiada tanda menunjukkan yang si abang akan membawanya berjumpa dengan kakak iparnya yang seorang itu.

"Dinda pergi rehat dekat bilik dinda sekarang. Makan ubat. Kanda ada kerja ni."

"Tak nak!"

"Dinda... jangan degil!" Intonasi nada suara si abang sudah berubah.

"Benci tuanku!" ujar si puteri. Pintu pejabat si abang ditutup dengan kuat.

Raja Agong Amirul mengeluh berat. Wajahnya diraup dengan kedua tangannya ke belakang. "Serabutnya. Kenapa semua orang dalam istana asyik nak sebut nama dia je? Haih..."

----- BERSAMBUNG ----- 

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh