Home Novel Cinta Pudina Cinta
Pudina Cinta
A. Darwisy
2/11/2012 01:20:57
234,026
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

“Minggu depan Ally dengan keluarganya hendak bertandang ke rumah kita.” Doktor Ashraff sengaja menekankan nama Ally pada ucapnya sedangkan hakikat sebenarnya, sudah menjadi kelaziman untuk pasangan Doktor Khairul dan isterinya, Deborah untuk datang berkunjung ke rumahnya jika ada kelapangan. Tidaklah selalu tetapi dalam jarang-jarang itu, hubungan persahabatan dan keakraban mereka sepasang suami isteri itu terus utuh terjalin.

Tambahan pula, baru sekarang ini Deborah balik ke Malaysia selepas bermastautatin agak lama di bumi kanggaru, Australia bersama anak lelakinya Ally. Terbersit rasa kagum Ashraff pada sahabatnya, Khairul yang sanggup berkorban ulang-alik menaiki kapal terbang dari Malaysia ke Australia, semata-mata hendak bertemu isterinya yang menetap di sana. Deborah mempunyai perniagaan kasut yang berkembang maju di Australia dan adalah mustahil untuk wanita itu mengikut suaminya dan tinggal terus di Malaysia. Selama lebih tujuh tahun itu, dilihatnya Khairul bersendiri meladeni hidupnya. Dan cuma sebulan sekali saja lelaki itu akan membelah langit untuk berjumpa anak dan isteri.

Tetapi terkadang Ashraff merasakan seperti tidak praktikal pula kehidupan berkeluarga sahabatnya itu. Yalah, mana-mana pasangan suami isteri pun kalau sudah mendirikan rumah tangga, apatah lagi dikurniakan anak, pastinya mahu menjalani kehidupan bahagia itu bersama-sama. Namun apa yang dapat diperhatikan Ashraff, Khairul lain pula polanya. Selama dia mengenali Khairul, semenjak mereka sama-sama menubuhkan Klinik Pakar Pergigian K&A lebih tujuh tahun yang lepas, lelaki itu boleh bertahan hidup seorang diri tanpa isteri di sisi. Ah, asalkan mereka bahagia sudah. Buat apa hendak berfikir tentang urusan keluarga orang lain sedangkan urusan keluarga sendiri, banyak lagi yang perlu dijaga. Gumam Ashraff sendiri.

“Oh...” jawab Rabunah ringkas. Anak perempuannya itu sedang menonton berita di televisyen selepas mereka tiga beranak selesai makan malam sebentar tadi. Si abang dan cucu kesayangan pula masih belum pulang, keluar makan malam di luar. Fatimah masih di dapur, barangkali sedang mengeluarkan jeli kastad dari peti sejuk untuk dibawa ke ruang tamu. Wanita itu memang rajin menyediakan pencuci mulut awal-awal sebelum menyiapkan hidangan makan malam mereka sekeluarga.

“Itu je jawabnya? Tak teruja ke?” tanya Doktor Ashraff sekadar mengusik. Entah kenapa dia rasa sedikit terkilan kerana hubungan persahabatan mereka suami-isteri tidak turun sampai ke anak. Ally pun tidak begitu mesra dengan mereka. Ada tidak ada hubungan profesional yang terjalin selama dua bulan ini selepas anak teruna itu bersetuju untuk menggantikan ayahnya, menggalas tanggungjawab sebagai doktor gigi di Klinik Pakar Pergigian K&A. Tetapi sekilas ikan di laut, Ashraff dapat membaca akan peribadi Ally. Baik budaknya. Hormat dirinya sebagai orang tua.

“Sikit pun tak...” jawab Rabunah selamba. Dalam pada itu, sempat lagi dia mencuri-curi pandang ke arah ayahnya yang sudah tersengih. Dia tahu resam si ayah yang memang suka mencari peluang untuk membangkitkan hal Ally setiap kali Pak Cik Khairul dan Mak Cik Deborah mahu berjumpa ayah dan emaknya. Ah, lagipun sebelum-sebelum ini setiap kali Pak Cik Khairul dan Mak Cik Deborah datang ke rumah, baik makan malam atau makan tengahari, jarang sekali Rabunah menyertai. Yalah, dia bukannya ada di rumah selalu, tinggalnya di asrama universiti. Ada tidak ada, baru-baru ini saja dia berkesempatan untuk duduk semeja makan malam dengan Pak Cik Khairul, Mak Cik Deborah dan... perempuan gila bernama Natasha Giselle yang buat seleranya mati!

“Ally tu pemuda yang baik perilakunya, Una. Akhlaknya pun terjaga. Jelas ciri-ciri pemimpin dan pembimbing dalam diri anak muda tu,” lain macam pula pujian Doktor Ashraff di telinga Rabunah yang mendengar. Ayah ini mahu kenen-kenenkan aku dengan lelaki itukah? Lebih baik aku diam tidak berkutik, nanti dilayan, makin menjadi-jadi pula dia melobi. Buat-buat tidak mendengar saja Rabunah, pura-pura sedang leka melayan berita di kaca televisyen yang sedang memaparkan kes seorang perempuan yang sanggup membuang bayinya sendiri dari tingkat dua pangsapuri.

“Tak berotak langsung manusia zaman sekarang...!” hambur kemarahan Rabunah spontan. Doktor Ashraff yang tidak mendengar laporan berita itu, terkejut mendengar kenyataan yang termuntah keluar dari mulut anak perempuannya. Apa yang dimarahi sangat Rabunah pada Ally sampai begitu sekali dia mengeluarkan kata-kata? Doktor Ashraff terpana!

“Apa kamu kata tadi, Una? Ally yang berkebolehan serba-serbi tu kamu kata tak berotak? Apa masalah kamu ni, Rabunah?” Rabunah tertelan air liurnya apabila melihat si ayah mencerlung, terus saja kecut perut dia rasakan.

“Isy, Una bukan cakap Ally tak berotak. Tapi perempuan yang buang anak tu yang tak berotak. Ayah ni nama je televisyen dekat depan tapi dengarnya tidak.” muncung bibir Rabunah menunjukkan ke arah skrin televisyen yang sedang menayangkan laporan berita menyayat hati tersebut. Rabunah ada terbaca di dalam akhbar baru-baru ini, statistik kes buang bayi di Malaysia yang tidak pernah turun grafnya. Kalau turun pun dalam tahun-tahun tertentu, berapalah sangat peratusannya.

Dari tahun 2005 sehingga Januari 2011 dilaporkan sebanyak 517 kes pembuangan bayi telah direkodkan di mana 287 dari bayi-bayi malang itu meninggal dunia. Nauzubillah! Mahu menitik airmata Rabunah apabila teringatkan fakta yang dibacanya itu. Kenapa manusia semakin kejam dan tidak berhati perut? Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM 20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali, langsung tidak memberi sebarang kesan! Bahkan bilangan pesalah yang ditangkap melakukan jenayah buang bayi pun tidak ramai, sebahagian besar dapat melepaskan diri begitu saja.

“Manusia, ramainya sudah hilang pedoman Una. Itu yang terjadi kes-kes begini. Pegangan agama sudah di hujung tanduk. Mereka tak ada rasa takut, baik pada ALLAH apatah lagi pada undang-undang rekaan manusia.” Doktor Ashraff turut luluh hatinya. Dia yang sedari dulu berkehendakkan anak yang ramai, berusaha tahun demi tahun tetapi rezeki yang ALLAH kurniakan padanya cuma sepasang. Tetapi manusia-manusia tidak berotak di luar sana, meminjam istilah anaknya tadi, senang-senang saja membuang anak!

“Ayah rasa, apa lagi yang kita boleh buat ya? Yalah, sebagai masyarakat... paling tidak dapat mengekang kes jahiliyah ini dari terus berlaku saban hari. Ayah bayangkanlah, bayi dibuang tiga hari sekali di negara kita ni! What a pathetic...!” meski dalam hati mendidih marah, Rabunah meminta pandangan si ayah. Bukan niat Rabunah hendak memesongkan topik cerita dari bercerita tentang Ally kepada gejala membejatkan ini tetapi dia sungguh-sungguh panasaran.

“Barangkali Una pernah dengar hadis yang dipetik dari riwayat Malik ini, di mana Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud, ‘Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya kamu tidak akan sesat, iaitu kitab ALLAH yakni al-Quran dan sunnah rasul-Nya’. Sayangnya kebanyakan dari kita sekarang ini, Islam hanya dijadikan sebagai ‘gharizah at-taddayun’ yakni sekadar hendak melengkapkan naluri beragama semata-mata. Senang cerita, orang sembahyang... kita sembahyang. Orang puasa, kita puasa. Orang sedekah, kita sedekah. Kita rasa cukup dan memadai sudah dengan berbuat demikian,” tenang-tenang saja si ayah melontarkan pendapat, Rabunah mendengar dan mengangguk sekali-sekala. Tidak tahu kenapa, dia turut rasa tersindir. Yalah, sebelum-sebelum ini dia bukannya hendak mendengar sangat cakap si ayah sampaikan disuruh menutup aurat pun, berat saja hatinya hendak berbuat demikian. Rabunah tiba-tiba terasa kerdil.

“Apabila agama tidak didasari ilmunya sedalam-dalamnya, maka mulalah kepincangan dalam masyarakat itu berlaku. Gejala buang bayilah, merogollah, minum araklah... dan banyak lagi yang sebenarnya sukar untuk dibendung bila mana agama tak lagi dijunjung. Buatlah undang-undang macam mana sekalipun tetapi kalau penyelesaian tidak berbalik pada agama, segalanya sia-sia. Islam ini ad-din, menyeluruh dan sempurna segenap segi. Bahkan Islam, rahmatan lil ‘alamin... membawa rahmat pada seisi penghuni dunia,” lembut penerangan Doktor Ashraff, menusuk ke kalbu Rabunah. Bukan tidak pernah dia duduk bersembang dengan si ayah berbicara tentang hal dunia dan isu semasa sebelum ini. Tetapi entahlah, malam ini dia terasa tersentuh pula. Barangkali selepas melihat bayi yang berlumuran darah di kaca televisyen tadi, jiwanya berantakan!

“Berbalik pada soalan Una tadi, apa tugas kita sebagai anggota masyarakat... yalah, tak banyak sikit pun jadilah untuk kita menyumbang. Dua minggu lagi dari sekarang, ayah dengan Ally akan ke Cahya Kasih. Kami mahu sumbangkan tenaga dan masa yang ALLAH bagi ni untuk merawat gigi anak-anak di sana secara percuma. Mahu ikut? Ally pun ada sekali!” sekali dengar, lurus saja bunyinya pelawaan si ayah tetapi dua kali dengar, Rabunah sudah dapat baca tingkah ayah yang sudah tersenyum penuh makna. Perlukah disebut tentang lelaki bernama Ally itu? Tiada signifikan pun baginya. Bisik Rabunah jual mahal.

“Cahya Kasih? Tempat apa tu, yah?” tanya Rabunah berkerut dahi.

“Rumah perlindungan untuk anak-anak terbuang. Anak-anak yang kurang bernasib baik, dibuang ketika masih bayi oleh ibu-bapa mereka yang tak sepatutnya diberi gelaran ibu atau bapa! Cahya Kasih ini dapat bantuan baik kewangan mahupun keperluan yang lain dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan badan-badan bukan kerajaan yang lain. Rata-rata penghuni rumah tu terdiri daripada anak-anak kecil yang berusia seawal 2 tahun sehinggalah yang sudah bersekolah pra mahupun rendah,” tanpa disuruh, Doktor Ashraff menerangkan dengan lebih terperinci untuk pemahaman si anak. Rabunah terangguk-terangguk kepalanya, hatinya meronta-ronta setuju. Lagipun dia sekarang bercuti semester, kerja sambilannya di kedai serbaneka insyaALLAH tidak akan mengganggu jadualnya.

“Dua minggu dari sekarang kan? Una nak ikutlah! Nak juga rasa pengalaman buat kebajikan macam ni,” Rabunah terus menyatakan persetujuan.

“Syukur alhamdulilah. Kalau macam tu, ayah lanjutkan pada pengetahuan Ally. Dia yang beria-ia mahu jayakan usaha murni ni. Itu dua minggu lagi, yang seminggu lagi dari hari ni... jangan buat-buat lupa pulak ye. He he he.” Doktor Ashraff terus-terusan mengusik Rabunah yang mencebik bibirnya. Alah, kalau keluarga Pak Cik Khairul hendak datang sekalipun, dia tidak ada pun tak apa! Bukannya dia yang jadi tukang masak pun, mak kan ada! Bebel Rabunah dalam hati.

Perbincangan dua beranak itu bubar bila mana bunyi enjin kereta memasuki perkarangan rumah mereka. Pastinya, Fauzi dan si mulut becok Syazni yang baru pulang itu. Rabunah bangkit dan menuju ke muka pintu. Sebelum itu, sempat dia mengerling ke arah jam dinding yang sudah menunjukkan pukul 8:30 malam. Amboi, sampai ke malam baru balik! Ini mesti ada cerita baik, terka Rabunah tersenyum sendiri.

Fauzi melambai dari dalam kereta, meminta bantuan adiknya itu untuk membukakan pintu kereta. Rupa-rupanya Syazni sudah tertidur di tempat duduk belakang, padanlah cuping telinganya tidak menangkap sebarang bunyi. Perlahan-lahan Fauzi mencempung tubuh kecil puteri kesayangannya itu sementara Rabunah berhati-hati memegang pintu kereta supaya ternganga lebar. Rabunah membontoti abangnya, mahu mendengar cerita. Yalah, masakan abangnya hendak bercerita di hadapan kedua-dua orang tua mereka. Fauzi sendiri yang mahu berahsia akan temujanjinya tadi dari pengetahuan mereka. Tidak mahu si ayah juga si ibu memasang harap terlalu awal.

Sambil melintasi ruang tamu, Rabunah sempat mencapai sepotong jeli kastad yang terhidang di atas meja tamu. Kelihatan Puan Fatimah sudah duduk di sebelah suaminya, menonton warta berita. Isyak masuk waktunya lambat, pukul 8:44 malam baru azan ke udara. Fauzi menundukkan kepalanya pada Doktor Ashraff dan Puan Fatimah yang tahu akan bahasa tubuh si anak. Tidak boleh menyapa, nanti si cucu yang telinga lintah itu akan terjaga pula apabila mendengar bising-bising. Puan Fatimah sudah awal-awal lagi menurunkan bunyi suara kaca televisyen, sehinggalah Syazni dibawa masuk ke dalam bilik.

Fauzi membaringkan Syazni di atas katil, tubuh puteri kesayangannya itu diselimuti setengah badan dengan gebar berwarna biru. Penghawa dingin dihidupkan dan lampu tidur dipasang, suasana bilik si cilik itu malap-malap saja keadaannya. Memang Syazni tidak suka tidur dalam bergelap, maka Fauzi membeli sebuah lampu tidur berbentuk ladybird yang akan melimpahkan cahaya suram pada seisi bilik. Terkadang, Fauzi sendiri boleh ternyenyak di bilik anaknya sendiri.

So, apa cerita bang? He he he...” belum sempat Fauzi menutup separuh, pintu bilik si anak, Rabunah sudah berbisik di telinganya. Teruja sungguh dia hendak mendengar cerita. Yalah, ada jodoh, tidak lama lagi dia akan punya kakak ipar!

“Amboi, punyalah dia pulak yang tak sabar ye?” balas Fauzi dalam nada berbisik juga. Dua beradik itu sudah melangkah keluar dari bilik Syazni dan menghala ke dapur. Fauzi terasa tekaknya mahu minum yang panas-panas, tetapi tidak membuat keputusan hendak membancuh apa lagi. Kopi, teh, milo atau pek minuman tiga dalam satu. Cerek yang sudah berisi air masak itu, dipanaskan sekejap.

“Mestilah tak sabar. Kak Siti tu macam mana orangnya? Okey?” tanya Rabunah yang sudah menarik kerusi meja makan. Tampang abangnya ditatap, ada sinar pada sepasang mata galak dan jernih itu. Rabunah seperti sudah dapat mengagak akan sesuatu yang baik sudah berlaku. Syukurlah kalau begitu.

“Dia okey... abang selesa bersembang dengan dia. Syazni pun okey je tadi,” jawab Fauzi tulus. Rabunah seperti tidak berpuas hati dengan penjelasan Fauzi. Punyalah seharian dia menunggu cerita sensasi itu, akhirnya itu saja yang dia dapat dari si abang.

“Lah, takkan okey je? Alah, dengan Una pun nak rahsia-rahsia! Beritahu mak dengan ayah nanti! Cepatlah cerita betul-betul. Una nak dengar dari mula, saat pertama abang berjumpa Kak Siti sampai abang balik ni ha,” paksa Rabunah dan sejurusnya kedengaran ketawa lapang si abang. Gelak Fauzi bunyinya seperti tawa orang bahagia, tawa orang yang jiwanya gembira!

“Yalah-yalah! Tak adil tau, main paksa-paksa. He he he. Abang dengan Syazni datang sedikit awal tadi. Memang sudah merancang untuk bertemu di sebuah restoran melayu ni. Tunggu punya tunggu, Siti pun datang. Bertudung orangnya. Abang tengok pun menyenangkan hati. Orangnya tidak control cun, itu yang abang selesa sangat. Berbual dengan dia walau untuk pertama kali, tetapi macam dah kenal lama. Abang dapat rasa keserasian tu, ia datang semulajadi dari dalam diri. Dia layan Syazni pun nampak real, tak ada fake atau dibuat-buat. Syazni pun tak banyak ragamnya tadi. Selalunya budak kecik tu kalau jumpa orang yang dia tak kenal, situlah dia nak tunjuk perangai. He he he.” terang Fauzi merumuskan apa yang berlaku siang tadi. Rabunah tersenyum lebar.

“Wah! Bunyi macam romantik je. Lepas ni, boleh bawa Una pula jumpa kak Siti ya bang? Tak sabar ni! Ha, abang ada tangkap gambar tak tadi? Nak tengok!” Rabunah menadahkan tangan meminta. Manalah tahu, si abang ada mengambil gambar dengan kamera telefon bimbit, bolehlah dia melihat raut wajah bakal kakak iparnya itu. Rabunah berangan jauh! Bukan senang hendak menambat jiwa si abang, Rabunah sudah faham benar akan perangai lelaki bernama Fauzi itu. Fauzi bukan lelaki yang mudah didekati, sukar hendak mempercayai orang luar dan cukup peka dalam memerhati dan menilai tingkah manusia. Andai kata perempuan bernama Siti itu berjaya mencuri perhatian si abang, itu tandanya ada perkembangan yang positif di situ.

“InsyaALLAH, ada rezeki bertemu juga kalian nanti. Gambar tak adalah, Una... abang seganlah nak snap. He he he. Okeylah, abang mahu mandi ni. Kita sambung cerita kemudian ye,” Fauzi menyengih dan meluru masuk ke biliknya sendiri. Geram saja Rabunah menengoknya.

“Nak larikan dirilah tu. Abang kedekut! Tak mahu kongsi cerita dengan Una. Takpe... ada ubi ada batas.” Rabunah mengebam bibirnya lalu menukar arah langkah ke ruang tamu. Kakinya sengaja dihentak-hentak tanda protes.
Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.