Home Novel Cinta Pudina Cinta
Pudina Cinta
A. Darwisy
2/11/2012 01:20:57
235,800
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

“Hey! Yang you dari tadi tak habis-habis gelakkan I ni kenapa? How dare you Dzulkarnain...!” bentak Natasha apabila lelaki yang sedang duduk di sebelahnya itu terus-terusan menyungging senyum. Lengan lelaki itu dipukulnya bertalu-talu, hampir saja stereng yang dipegang lelaki itu terpusing ke arah laluan jalan sebelah.

“Tasha! You jangan over acting boleh tak? Tak pasal-pasal kita accident disebabkan you!” Dzulkarnain mengemaskan pegangan stereng, dalam hati dia berharap cepatlah sampai ke rumah perempuan itu. Tidak kuasa dia hendak berdua-duaan dengan perempuan yang kejap okey kejap tidak anginnya itu. Keluarnya dia dengan Natasha pada hari ini pun disebabkan terpaksa, bukan kerana kerelaan hati. Tetapi apabila mengingatkan kembali insiden menggeletek hati sebentar tadi, benar-benar membuat harinya indah sekali. Puas sungguh dia mentertawakan Natasha. Langsung tidak dia berasa kasihan apatah lagi mahu menjaga perasaan perempuan itu. Padan muka, adalah!

You ni boyfriend jenis apa, ha? I dimalukan, boleh pulak you bantai gelak sekali! Kalaulah I tahu siapa yang serkupkan kepala I dengan popcorn tadi, tahulah I nak buat apa...!”

“Ha ha ha! You deserve it!” balas Dzulkarnain memarakkan lagi api kemarahan Natasha yang semakin terbakar jiwanya, mahu saja dia menelan lelaki itu hidup-hidup! Dzulkarnain tidak ambil endah. Baginya, perempuan itu sekali-sekala perlu ditarbiah dengan cara begitu. Biar dirinya tahu langit tinggi rendah!

Bukan sehari-dua mengenali perempuan bernama Natasha Giselle itu, malah Dzulkarnain sudah masak akan perangai jeliknya. Maruah orang lain suka sangat diinjak-injak macamlah dia seorang saja yang punya harga diri melangit tinggi. Dzulkarnain masih ingat lagi bagaimana perempuan itu memalukan seorang pelayan wanita di sebuah hotel tidak lama dulu.

Ketika itu dia dan Natasha sedang makan malam di hotel tersebut dan secara tidak sengaja, air yang ditatang oleh pelayan wanita itu tertumpah dan hampir mengena baju Natasha. Biarpun sekadar terkena tempias air yang tidaklah banyak mana, Natasha mengamuk seperti singa betina. Ditempiknya pelayan wanita itu habis-habisan sampaikan pengurus hotel itu sendiri terpaksa campur tangan.

Tidak berpuas hati apabila pengurus tersebut menyebelahi pekerjanya, Natasha menyambar cawan di atas mejanya lalu dilemparnya ke arah muka pelayan wanita itu tadi tanpa belas kasihan. Mengucap-ucap Dzulkarnain apabila mengenang semula kejadian memalukan itu. Tidak tahu dia hendak menyorokkan mukanya di mana pada waktu itu. Tetapi benarlah kata orang, hidup ini ibarat roda. Sekejap kita di atas dan sekejap kita di bawah. Barangkali apa yang menimpa Natasha di dalam panggung wayang tadi adalah ‘bayaran tunai’ dari Tuhan untuk perempuan itu terhadap apa yang dilakukannya sebelum ini. Dzulkarnain mentafsir sendiri.

“Okey, dah sampai rumah you! Dipersilakan turun. Ada tangan untuk buka pintu tu sendiri bukan?” ucap Dzulkarnain, sinis sekali bunyinya. Natasha masih tidak mahu mengangkat punggung, seperti ada gam yang melekat di pinggulnya. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja Dzulkarnain menolak-nolak tubuh perempuan itu supaya cepat keluar dari keretanya. Sudahlah dia terpaksa menemankan perempuan itu sehari suntuk demi melunasi sebuah permintaan oleh seseorang yang dekat di hatinya. Jika tidak kerana itu, mati dilanggar steamroll dan hidup semula selepas itu pun, jangan harap dia hendak membazirkan masanya!

“Darling... this weekend, boleh temankan I pergi butik? I ada tempah baju dengan Hatta Dolmat untuk corporate dinner minggu depan. Dia kata baju I dah siap. Kita sama-sama pergi ambil okey?” rengek Natasha dengan suara manja, dielus-elus cuping telinga lelaki di sebelahnya. Dzulkarnain paling pantang kalau dirinya diperlakukan sebegitu. Terus saja tangan Natasha direntap dan ditolak ke bawah, peduli apa dia! Mendidih kemarahan lelaki itu tiba-tiba.

You kalau bercakap dengan I, tangan tu boleh tak jangan merayap!” bentak Dzulkarnain serius. Dia bukan jenis lelaki yang suka dibelai-belai oleh perempuan yang bukan mahramnya apatah lagi dengan perempuan bernama Natasha Giselle itu.

“Alah, bukan luak mana pun! When the time comes, youakan jadi milik I jugak!” Dzulkarnain seperti mahu muntah hijau mendengar kenyataan tidak tahu malu perempuan itu. Macam manalah dia boleh mempunyai hubungan dengan Natasha Giselle? Susah benar dia hendak lari dari percaturan kehidupan yang telah ditetapkan ke atas dirinya itu.

You yakin sangat you boleh dapatkan I? Ha ha ha! Natasha... Natasha... Dream on!” gelak Dzulkarnain sengaja hendak menyakitkan hati Natasha, dengan harapan perempuan itu akan sedar diri! Beberapa kali Dzulkarnain berterus-terang dengan Natasha yang dirinya tidak langsung mempunyai sebarang perasaan terhadap perempuan itu biar sebesar zarah pun tetapi perempuan itu tetap tidak makan saman! Apa yang dilakukannya selama ini, tidak lebih sebagai satu tanggungjawab.

You tengoklah nanti! Suatu hari nanti you sendiri yang akan datang melutut depan I! You will crazy on me!” ucap Natasha melepaskan geram! Dzulkarnain tidak boleh bertahan lagi. Dia keluar dari keretanya dan terus membuka pintu Natasha supaya perempuan itu tidak lagi berlengah-lengah untuk duduk di dalam. Kalau tidak mahu juga bangun, Dzulkarnain sudah berkira-kira hendak menarik tangan perempuan itu memaksanya keluar.

I tahulah nak keluar sendiri! You ingat I hadap sangat nak duduk dalam kereta buruk you ni?”

So? Get out...!” tempelak Dzulkarnain. Bukan masanya lagi untuk menjadi lelaki budiman dengan menahan sabar apabila berhadapan dengan perempuan bernama Natasha Giselle ini. Lagi didiamkan, lagi dipijak pula kepalanya. Sebaik sahaja Natasha menutup pintu kereta, dengan deras Dzulkarnain memecut kenderaannya, membiarkan Natasha terkulat-kulat ditinggalkan sendirian. Natasha menjerit-jerit melepaskan geram. Sebagai membalas perbuatan Dzulkarnain, Natasha menanggalkan sepatu tumit tinggi merah yang disarungnya ketika itu lalu dicampakkan ke arah kereta Dzulkarnain sebagai tanda protes.

Tapak runcing sepatu tumit tinggi 5 inci itu betul-betul mengena cermin belakang kereta Dzulkarnain. Terperanjat lelaki itu dengan tindakan keterlaluan Natasha yang memang sudah dapat dijangka akan perangai gilanya. Dzulkarnain beristighfar banyak-banyak. Mujurlah tidak retak atau pecah cermin belakang keretanya. Kalau tidak, mahu sahaja dia turun dari kereta dan mencekik-cekik perempuan itu. Dzulkarnain terus memecut laju keretanya, dia mahu segera sampai di rumah.

Dzulkarnain menghembus nafas lega sebaik kereta yang dipandu memasuki kawasan kediamannya beberapa minit kemudian. Kepalanya yang berat dek melayan kerenah Natasha sepanjang hari, perlahan-lahan beransur ringan sebaik berendam di tab mandinya. Hampir-hampir terlena di dalamnya, telefon bimbit Dzulkarnain berbunyi. Terkial-kial Dzulkarnain mengelap tangannya yang basah lalu melekapkan telefon bimbitnya ke cuping telinga.

“Ya mama. Saya tengah mandi ni. I’ll call you later,”

“Mahu tunggu kamu call mama, sampai ke sudahlah jawabnya mama tak dapat dengar suara anak mama ni,” ujar wanita di talian sebelah sana dengan nada merajuk.

“Mama perlilah tu ya? Saya baru balik, badan penat sungguh ni,” ucap Dzulkarnain jujur mengharap wanita itu memahami akan keadaan dirinya. Telefon bimbit dikepitkan di antara cuping telinga dan bahu, perlahan-lahan Dzulkarnain bangkit berdiri dan membalut tubuhnya dengan tuala. Hampir setengah jam jugalah dia berendam sehingga hidungnya mulai berair, bersin lelaki itu berkali-kali.

“Mama faham. Ini mesti temankan Tasha keluar tadi. Kamu berehatlah. Jangan mandi lama-lama, kamu tu bukan tahan sejuk sangat. Mama letak telefon dulu, jaga diri kamu baik-baik okey. Assalammualaikum,” pesan wanita itu lembut, tenang Dzulkarnain mendengarnya.

“Waalaikumusalam mama. Mama pun jaga diri baik-baik tau. Love you so much, mama!”

Panggilan dimatikan. Dzulkarnain berasa tubuhnya kembali segar selepas mandi. Seleranya tiba-tiba berkehendakkan sesuatu, langkah terus diatur menuju ke dapur bujangnya. Buka kabinet, cuma ada bahan-bahan kering saja. Peti sejuk pula sekadar menyimpan bertin-tin air bikarbonat dan daging burger yang membeku.

Dzulkarnain melihat jam di dinding, belum masuk waktu Maghrib lagi. Lelaki itu tersengih sendiri lalu mencapai kunci keretanya semula. Dzulkarnain terus menghidupkan enjin dan mengarahkan pemanduan menuju ke satu tempat. Perlahan keretanya menyusup di halaman sebuah rumah dan parkir di situ. Seperti musang mengendap ayam, Dzulkarnain menyelinap masuk ke dalam dan tubuh gempal seseorang dirangkulnya dari belakang. Penuh kasih sayang.

“Bertuah punya budak! Macam hantu muncul tiba-tiba!”

Dzulkarnain tertawa lapang. Kedua-dua belah pipi wanita di hadapannya itu dikucup mesra, rindu sungguh dia! Segala rasa penat dan amarah di siang hari, boleh hilang dalam sekelip mata. Dzulkarnain berasa gelihati melihat reaksi terperanjat pada tampang mamanya, barangkali berasa hairan, tadi berbual di dalam telefon dan sekarang boleh pula berada di depan mata.

“Kamu memandu ke apa ni? Punyalah cepat sampai ke mari? Bukan nak bagi tahu awal-awal kamu nak datang,” Zahlia menggeleng-gelengkan kepala. Ibu mana yang tidak risau akan keselamatan si anak? Lebih-lebih lagi Dzulkarnain merupakan anak tunggalnya. Bukan dia tidak pernah berada di dalam kereta ketika anaknya sedang memandu, seperti kereta itu berkepak saja melayang ke udara!

“Saya terbanglah, ma. Saya kan ada super power. He he he! Tiba-tiba tergerak hati hendak ke sini, itu yang datang tanpa perkhabaran. Rindu sangat dengan mama!” balas Dzulkarnain mengenyitkan matanya, nakal.

“Banyaklah kamu punya tergerak hati. Macamlah mama tak kenal dengan kamu! Ini mesti kes dapur tak berasap dekat rumah ‘sarang burung’ kamu tu. Perut lapar, baru datang nak singgah rumah mama dengan papa kan?”

Dzulkarnain tergelak lagi, mamanya itu memang seorang ‘pembaca’ yang tepat. Tidak boleh hendak menyelindungkan sebarang rahsia, tebakannya asyik mengena saja! Dzulkarnain mencari-cari kelibat papanya, berharap sangat lelaki itu tiada di rumah. Lazimnya, dalam sebulan papa akan ke luar negeri selama seminggu. Tidak pula Dzulkarnain mengambil tahu akan urusan orang tuanya itu. Lagi pula, dirinya dengan papa tidak sebulu. Pantang bertemu, ada saja perbalahan yang berlaku.

“Papa kamu kerja luar, tak balik minggu ni...” ujar Zahlia sepintas lalu. Dia sudah masak akan gerak-geri bahasa tubuh Dzulkarnain. Tangannya terus ligat menyenduk kuah mee kari udang di dalam kuali yang baru dimasaknya. Langkah kanan betul anak lelakinya itu, seperti boleh hidu saja dari jauh.

“Boleh kita makan sekarang, mama? He he he!” tanya Dzulkarnain laju apabila melihat mamanya sudah mengambil pinggan melengkung untuk mereka berdua. Sudah tertelan-telan air liurnya. Masakan mamanya tiada tandingan, lazat hingga ke titisan terakhir!

“Isy, kamu ni! Maghrib lagi 15 minit, makan lepas sembahyanglah. Lagipun mee kari tu panas, melecur lidah kamu nanti.”

“Iman saya tak kuatlah, ma. Nanti sembahyang, tak khusyuk pulak asyik terbayang-bayang mee kari udang mama yang sedap menjilat jari ni. Lagipun Nabi dah suruh, kalau rezeki sudah ada di depan mata, lebih baik kita kasi perabih dulu. He he he!” ulas Dzulkarnain yang sudah tidak sabar-sabar menarik kerusi dan duduk menghadap mee kari udang yang berkepul-kepul wapnya berapungan di udara. Benar-benar membuka selera. Apatah lagi saiz udangnya yang besar-besar, cantik terletak di dalam pinggan melengkung di hadapannya.

“Pandailah kamu, ya. Waktu-waktu kecederaan macam ni lah boleh ingat pesanan Nabi segala. Tapi janji dengan mama, lepas makan, kita sembahyang jemaah sama-sama. Mama nak kamu jadi imam dan baca surah panjang-panjang. Jangan surah lazim yang pendek itu saja yang kamu baca! Pelangkung kepala kamu nanti!” ujar Zahlia mengingatkan. Sambil bergurau, dia menitip pesan. Biasalah orang muda, kalau boleh semua benda mahu cepat dan ringkas. Dia tahu keupayaan anak lelakinya itu dalam menghafaz surah-surah Al-Quran. Sayang kalau tidak dipraktikkan selalu. Bukankah sifat manusia itu sendiri, pelupa. Tidak dibaca, dikhuatiri boleh lupa.

“Okey mama. Jomlah, kita makan cepat! Ya ALLAH, sedapnya!” Dzulkarnain membaca doa makan dan penuh berselera meratah udang besar yang sudah dikupas siap-siap kulitnya. Manis betul isinya! Mee kari udang itu cepat saja dihabiskannya. Kuahnya dihirup sampai licin permukaan pinggan. Zahlia tersenyum, bersyukur kerana setiap kali dia memasak, Dzulkarnain akan menyukainya. Itulah yang diharapkan, moga-moga keikhlasannya memasak untuk keluarga, membawa keberkatan juga kebahagiaan.

Berkumandang saja azan Maghrib, mereka anak-beranak bergilir-gilir mengambil wuduk. Dzulkarnain menunggu mamanya di bilik solat. Lengkap Zahlia bertelekung, Dzulkarnain mengangkat takbiratul ihram. Khusyuk ibu dan anak itu menghadap Penciptanya.

“Ma... papa selalu tak ada di rumah. Dia ke mana sebenarnya?” tanya Dzulkarnain seusai menadah tangan membaca doa. Zahlia yang baru hendak menanggalkan ikatan telekung di kepala, tidak jadi berbuat demikian. Pertanyaan anak lelakinya itu seperti mengesyaki sesuatu. Mudah-mudahan itu sekadar sepotong pertanyaan yang datang dari hati seorang anak yang merindu kepada bapanya. Zahlia berharap!

“Papa sibuk. Mana nak urus dua syarikat serentak, masalah-masalah lain lagi. Kamu rindukan papa?” soal Zahlia mahu menduga. Sekaligus mencantas tunas-tunas wasangka di fikiran anaknya itu.

“Tak serindu saya kepada mama. Sehari tak jumpa, ibarat bertahun lamanya. He he he!” kias Dzulkarnain. Hakikatnya, perasaan rindu kepada papanya tidak sedalam mana. Ada tidak ada sahaja.

“Isy! Anak lelaki mana boleh manja sangat! Kalau terlebih manja, petanda nak kahwin cepat tu!”

Gurau senda dua beranak itu mencipta nuansa bahagia. Dzulkarnain yang masih berketayap di kepala, berbaring manja di peha mamanya. Zahlia mengusap-usap ubun-ubun kepala anak bujangnya, hatinya tiba-tiba tersentuh. Berderai air mata wanita itu lalu menitik ke dahi Dzulkarnain. Berkalih kepala Dzulkarnain lalu menatap lunak wajah si ibu.

“Kenapa mama menangis? Mama ada masalah? Kongsilah dengan saya, ma...” pujuk Dzulkarnain, hatinya tersentak melihat riak-riak sedih di wajah mamanya itu. Zahlia sedaya-upaya mengukir senyum, air mata yang menitis, diseka dengan hujung telekung putihnya.

“Mama tak ada apa-apa masalah, sayang. Hmm... kamu boleh berjanji dengan mama?”

“Berjanji apa, mama? Sebutlah apa saja, saya akan cuba penuhi,”

“Berjanji untuk sentiasa di sisi mama bila sampai masanya nanti. Mama takut mama tak kuat...”

Dzulkarnain mengangguk. Tetapi dalam hatinya terus berdebar kencang. Apa maksud mama? Dia hendak bertanya tetapi dia tidak sampai hati hendak melihat wajah polos lagi bersih itu menangis. Tangan Zahlia digenggam kemas Dzulkarnain. Dia anak lelaki, sudah tentu dia boleh diharapkan!

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.