BUNYI alarm telefon mengejutkan Danisha dari lena yang panjang. Tengah hari tadi, sebaik tiba dari Port Dickson, dia memang penat sangat. Setelah menunaikan solat zuhur, dia terus tertidur. Tidak sempat berbual panjang dengan uminya dan anak-anak.
Setelah mandi dan menunaikan solat asar, dia terus keluar dari biliknya. Aishah yang masih tidur di katil, dibiarkan sahaja. Tiba-tiba dia berasa lapar pula. Baru teringat tengah hari tadi dia tidak makan nasi langsung. Dia hanya makan buah-buahan sahaja ketika dalam perjalanan.
“Ayah dan Aiman pergi ke mana, umi?” Danisha bertanya apabila menyedari mereka tiada di rumah.
“Ke mana lagi? Surau depan simpang tulah,” jawab uminya yang sedang menggoreng karipap di dapur.
“Sekarang dah pukul 5.30, takkan ada ceramah pulak di surau tu? Nisha tengok tak ramai pun jemaah yang bersolat di surau tu,” ujarnya sambil tangannya mencapai karipap yang baru uminya goreng.
“Sebab itulah kena ramaikan. Adakan aktiviti, barulah meriah sikit surau tu.” Sempat juga uminya berceramah sambil membalikkan karipap.
“Semua orang sibuk umi, siapalah yang nak tolong buat semua tu,” balas Danisha pula.
“Aishah tidur lagi ke?” tanya uminya pula.
“Hmm… Nisha pun tak sedar waktu mana dia berbaring di sebelah.”
“Tadi dia minta susu, nak tidur dengan ibu katanya,” beritahu uminya lagi.
“Semasa Nisha tak ada, dia okey ke umi?” Takut juga dia kalau Aishah merengek malam-malam dan menyusahkan uminya.
“Dia okey aje, cuma umi yang tak hantar dia pergi taska,” beritahu uminya.
“Kenapa tak hantar dia pergi taska?”
“Bila dia tak ada, langsung sunyi rumah ni. Tu yang umi tak hantar.”
“Budak sorang tu memang suka pot pet pot pet,” ujar Danisha kemudian tersenyum apabila teringatkan gelagat si kecil.
“Tu yang umi dan ayah suka dengar. Dia mengomel macam orang dah besar pulak,” komen uminya.
Tertawa Danisha mendengar cerita uminya. Tiba-tiba kedengaran orang memberi salam. Dia segera menuju ke muka pintu.
Sebaik pintu dibuka, terpacak Encik Ibrahim dan Aiman yang sudah mengukir senyuman manisnya. “Kenapa lambat balik? Ibu risau tau,” tegurnya.
“Atuk nak sembang-sembang dengan kawan baru dia,” balas Aiman pula sambil menyalam tangannya.
“Ayah ni… siapa pulak kawan baru ayah tu?” tanya Danisha ingin tahu.
“Nisha ni, ayah nak borak-borak pun nak bising. Bukan buat apa pun.”
“Ayah, jangan percaya sangat dengan orang yang baru kita jumpa. Ramai yang pembohong besar dan penyangak, tapi berlagak alim.” Danisha mengingatkan ayahnya.
“Tak baik buruk sangka dengan orang. Kawan baru atuk tu baik dan handsome kan, Aiman?” balas ayahnya pula sambil mengangkat kening.
“Ha’ah, sebiji macam abang.” Selamba sahaja Aiman menuturkannya walau sedar Danisha sedang menjelingnya.
“Kawan mana pulak yang ayah jumpa ni? Ayah ni memang tak serik-serik tau. Nanti kena tipu lagi!” marahnya.
“Takkanlah orang muda tu sanggup nak tipu ayah yang dah tua ni. Dah banyak hari ayah bersolat di surau tu. Setiap kali waktu solat, dia mesti ada,” sangkal ayahnya.
“Amboi! Rajin dan baiknya dia. Tak bekerja ke dia tu?” tanya Danisha terkejut.
“Mestilah bekerja, tapi dia sentiasa pastikan dirinya solat berjemaah di surau tu,” beritahu ayahnya.
“Ya ke?” Danisha bagai tidak percaya pula mendengarnya.
“Takkan ayah nak tipu pulak? Kalau dapat buat menantu, memang ayah suka sangat!” Sengaja ayahnya cakap kuat-kuat.
“Dah, jangan nak padankan dengan Nisha pulak!” tingkahnya.
“Habis tu nak padankan dengan siapa? Ayah bukannya ada anak dara yang lain,” balas ayahnya sambil tersenyum.
“Yang ayah berkenan sangat dengan orang tu, kenapa?” Tiba-tiba Danisha hendak tahu pula.
“Semasa mula-mula bersolat di surau tu, ayah tak kenal lagi dengan Encik Noor ni. Tegur-tegur gitu aje.” Ayahnya memulakan cerita.
“Encik Noor? Macam nama perempuan aje.” Hendak tergelak Danisha mendengar namanya. Memang nama orang zaman dulu-dulu!
“Hish Nisha ni, nama dia yang betul ayah tak ingat. Dah orang lain panggil dia Encik Noor, ayah pun ikutlah.”
“Apa yang bagus sangat dengan Encik Noor tu?”
“Nisha tau tak? Dia sanggup beli tanah tapak surau tu semata-mata tak nak pemaju beli untuk buat rumah mewah,” cerita ayahnya beria-ia.
“Percaya sangatlah ayah dengan cerita tu. Setahu Nisha, tanah tapak surau tu ada pak cik yang wakafkan.” Begitulah yang diceritakan Sofi ketika mereka melawat apartmen Kristal Heights semasa ia dalam pembinaan. Sofi tahu pun kerana ada yang bercerita ketika dia dan suaminya tumpang bersolat di surau itu.
“Memanglah pak cik tu dah wakafkan untuk buat surau, tapi tak ada hitam putih. Sekarang ni ada pemaju nak bangunkan rumah mewah di sebelah tapak surau tu,” beritahu ayahnya.
“Habis tu apa masalahnya?” tanya Danisha pula.
“Bila dah tak ada hitam putih, anak pak cik tu nak tuntut balik tanah tu. Pak cik tu dah meninggal, lagipun pemaju memang nak beli tanah tu.”
“La… sampainya hati anak pak cik tu buat macam tu. Elok-elok arwah dapat pahala berpanjangan, anak dia buat hal pulak.” Tak sangka sungguh Danisha, ada juga yang tamakkan wang ringgit dari mengejar pahala.
“Bukan macam tu. Dengarnya anak dia sakit dan perlukan banyak duit untuk buat pembedahan. Hanya dengan cara itu aje nak dapatkan duit dengan segera. Dia memang dah terdesak,” terang ayahnya panjang lebar.
“Oo… macam tu kisahnya.” Kemudian Danisha menanti ayahnya bercerita lebih lanjut.
“Untuk selamatkan surau tu dan sekolah agama yang ada di situ, Encik Noor ni belilah tanah tu. Bukan sikit duit tau, dekat seratus ribu jugak,” terang ayahnya.
“Banyaknya duit dia?” Danisha sudah terlopong.
“Itu yang ayah berkenan dengan Encik Noor ni. Walaupun kaya, tapi tak kedekut dan sombong,” puji ayahnya lagi.
“Dia kerja apa ayah?” Tiba-tiba Danisha ingin tahu pula.
“Ai! Apa pasal anak ayah nak tau pulak?” Sengaja ayahnya menyakat.
“Apalah ayah ni… Nisha nak tahu aje, tak ada niat apa-apa pun.” Tiba-tiba Danisha termalu sendiri, mujur pandai berselindung.
“Mana nak tau, entah-entah dalam diam anak ayah ni dah berkenan pulak!” usik ayahnya.
“Tak nak cerita pun tak apalah. Bukan penting pun,” ujarnya sambil menyibukkan diri mengemas buku dan surat khabar yang berselerak.
“Apa pulak tak penting? Kalau anak ayah nak cari calon suami, lelaki yang macam dialah patut dicari.” Tidak habis-habis ayahnya memuji pemuda yang entah sesiapa.
“Duit hanya boleh beli harta, tapi tak boleh beli kebahagiaan,” ungkapnya.
“Ayah bukan cakap pasal duit. Lelaki yang mengutamakan agama, memang akan menjaga keluarganya dengan baik. Kalau kaya tu, kira bonuslah.” Encik Ibrahim memberikan pendapatnya.
Danisha diam sahaja mendengarnya. ‘Hmm… ada lagi ke lelaki yang macam tu?’ Dia berbicara sendiri.
“Mana pulak karipap umi kamu?” Tiba-tiba ayahnya bertanya.
“Ada atas meja makan tu. Air kopi pun dah siap sekali,” beritahu uminya yang sedang membasuh kuali.
“Jomlah makan, nanti kalau dah sejuk tak sedap pulak,” ajak Danisha sambil bangun menuju ke meja makan.
“Umi tengok, banyaknya karipap dan donat dalam peti ais tu. Nisha beli dekat mana? Bukan main sedap lagi karipap sardin ni.” Umi bertanya kemudian duduk sekali menikmati hidangan minum petang.
“Mak cik tingkat 3 yang beri. Dia memang rajin memasak dan hantar ke rumah anak umi yang tak berapa rajin ni,” jawab Danisha kemudian tertawa.
“Nisha belajarlah dengan mak cik tu. Esok-esok kalau dah bersuami, tak adalah asyik beli dekat gerai aje,” saran uminya.
“Esok-esok? Hmm… entah bilalah anak ibu ni nak bertemu jodoh,” keluh Danisha pula.
“Nak tak kalau ayah tanyakan Encik Noor tu?” Sengaja ayahnya hendak masuk daun.
“Ayah ni… saja tau!” marah Danisha. Geram sungguh dia dengan ayahnya yang asyik hendak kenakan dirinya.
“Apa salahnya? Aiman pun suka dengan abang tu, kan?” tanya ayahnya pada si kecil.
“Suka apa atuk?” tanya Aiman yang sedari tadi leka menonton televisyen.
“Abang handsome tulah!”
“Kalau ibu suka, abang okey aje,” jawab Aiman pula tanpa memandang Danisha mahupun Encik Ibrahim.
“Abang ni geng dengan atuk atau ibu?” Tiba-tiba Danisha rasa geram pula dengan si Aiman.
“Dua-dua abang geng. Tapi kalau dapat geng dengan abang handsome tu, lagi best!”
“Cayalah Aiman,” puji Encik Ibrahim.
“Amboi! Berlebih pulak anak ibu ni. Ibu tak nak kawan dengan abang, baru tau.”
“Tak apa, atuk ada.” Selamba sahaja Aiman menuturkannya.
“Nanti atuk dah nak balik. Tak adanya nak duduk sini lama-lama jaga abang dan adik,” beritahu Danisha pula.
“Alah… abang suka ikut atuk solat dekat surau. Atuk tinggallah lama-lama dekat sini,” pujuk Aiman sambil bangun menghampiri Encik Ibrahim.
“Mana boleh, rumah atuk tu tak boleh ditinggalkan lama-lama. Nanti ada pulak yang pecah masuk rumah atuk,” beritahu Encik Ibrahim sambil menggosok belakang Aiman.
“Alah… tak bestnya,” keluh Aiman.
“Tak apa, cuti sekolah nanti ajaklah ibu balik kampung.”
“Abang suka, abang suka…” jerit Aiman dengan riangnya.
Tersenyum Encik Ibrahim melihatnya. Kini dia juga tahu, kenapa anak gadisnya sanggup menjaga budak-budak itu. Dia yang baru menjaga mereka beberapa hari, sudah jatuh sayang dan bagai cucu sendiri pula.