“NISHA, ni tuntutan bayaran dari kontraktor untuk projek dekat Sierramas. Kau proses cepat sikit. Projek ni tak adalah sebesar mana pun. Kalau kau lambat, kesian kontraktor tu,” arah Syafik sambil menghulurkan dokumen kepada Danisha.
“Kau pandailah cakap. Kena ikut giliranlah. Siapa hantar dulu, yang itu aku proses dulu,” ujar Danisha pula tanpa memandang pembantu pengurus projek itu.
“Kau tolonglah, kes ini aje. Dia ni bukannya kontraktor besar, duit nak buat projek pun terpaksa pinjam sana-sini,” beritahu Syafik lagi.
“Yalah aku buat dia punya dulu. Nanti suruh dia belanja aku makan sedap-sedap. Jangan asyik nak belanja kau aje,” pesan Danisha walaupun dia tidak bermaksud begitu.
“Kau nak makan apa? Biar aku ajelah yang belanja kau,” pelawa Syafik pula.
“Tak apalah nanti tak pasal-pasal mengamuk pulak bini kau!” Danisha menolak. Dia pun tidak akan sesekali keluar makan dengan suami orang. Dengan staf lelaki yang bujang pun dia cuba elakkan.
“Bini aku okey aje. Dia kan kenal kau? Tak adanya dia nak cemburu,” ujar Syafik kemudian segera menuju ke tempatnya.
Sekilas Danisha membelek dokumen yang diberikan kemudian meletakkannya di bahagian tindakan segera.
“Iman, sampai bilalah kita asyik kena buat BQ dan uruskan tuntutan bayaran kontraktor ni?” keluh Danisha dengan muka mencuka. Dia sudah bosan sungguh. Kerja-kerja QS yang dahulunya bukan bidangnya, tapi kini dia telah mahir walau terkadang tersilap juga.
“Entahlah, aku pun dah menyampah tengok nombor-nombor ni. Nasib baik komputer ni pandai kira sendiri. Kalau tak, tidur pun kita menghitung nombor!” balas Iman pula.
Mereka berdua memang sudah masuk 4 tahun bekerja di syarikat yang hendak kaya cepat ini. Tanya saja apa yang dimahukan, semuanya ada di sini. Mahu khidmat konsultan, siap sedia sepanjang tahun. Perlukan kontraktor untuk reka dan bina bangunan? Cakap saja bangunan bagaimana yang hendak dibina, pasti menepati cita rasa klien.
Danisha yang dahulunya seorang hortikultur terus bertukar jadi QS. Mula-mula dahulu, selama tiga tahun juga dia sibuk menjaga penyelenggaraan landskap untuk projek yang telah mendapat sijil siap kerja. Dari kerja-kerja landskap, dia kena pantau kerja-kerja mekanikal dan elektrikal pula.
Apabila projek telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada klien, dia tolong pula bahagian QS dan pengurusan projek. Dari hanya menolong, perlahan-lahan langsung jadi rutin kerja hariannya. Sudahnya bermacam-macam kerja yang dia kena buat.
“Aku sebenarnya dah penat asyik tolong bank in duit dalam akaun orang. Akaun sendiri asyik kering memanjang,” keluh Danisha lagi. Dia memang telah membeli apartmen di Kristal Height, Sri Gombak setahun yang lalu. Itu yang buat dia sengkek sikit.
Sebenarnya silap dia juga, patutnya sudah habis ansuran keretanya barulah beli rumah. Sebab termakan pujuk rayu Sofi, dia turut setuju membeli apartmen itu dan berjiran dengannya. Begitu pun dia kena berterima kasih juga dengan Sofi. Kalau dia tidak membelinya pada masa itu, sekarang lagilah dia tidak mampu hendak membeli rumah. Harga rumah telah naik mendadak sejak kebelakangan ini.
“Apa kata kita cari pak we yang boleh masukkan duit dalam akaun kita tiap-tiap bulan.” Iman memberi idea mengarutnya.
“Kalau adalah pak we yang sanggup buat macam tu, memang senang banyak hidup kita. Tapi siapa yang hendak dengan kita ni?” soal Danisha pula.
“Kau tak pernah tunjuk muka kau, pasal itu orang tak nampak. Cuba kau mengurat jurutera atau arkitek yang ada di syarikat ni, mesti ada yang sangkutlah!” sakat Iman lagi.
“Setahu aku dia orang ni pun dua kali lima dengan kita. Hujung bulan kering jugak. Lagi besar periuk, lagi banyak belanja,” balasnya. Walaupun mulut berbicara, kerja tetap dibuat juga.
“Apa kata kau mengurat pak naga tu. Dia kan, bujang trang tang tang? Muka pun boleh tahan handsome,” usik Iman.
“Tak payahlah kau nak rekomen aku dengan pak naga seorang tu, entah-entah anaknya sudah berderet-deret,” balas Danisha.
“Kalau anak dia dah berderet-deret, pasti terserlah sifat caring dia. Ini, tak ada tokoh jadi bapak langsung! Jadi bapak naga memang handallah dia.” Tidak habis-habis pula Iman mengumpat bos mereka.
“Tapi tulah, kalau dia senyum memang buat aku tak tahan,” ujar Danisha pula.
“Aik! Dalam menyampah-nyampah boleh pulak tersuka? Kau ni betul ke tidak ni, Nisha? Nanti perasan lebih pulak bos kita tu kalau terdengar kau memuji dia.”
“Bukan ke dulu, kau jugak yang kata senyuman dia bukan main manis?” tanya Danisha balik.
“Itu dulu, sewaktu dia mula-mula masuk kerja. Waktu tu mana nak tau perangai dia macam tu. Sekarang ni, masam, masin, kelat semua ada!” balas Iman sambil tertawa.
“Hmm… nak buat macam mana, kan? Mulanya dulu nak jugak masuk jarum, sudahnya kena cari yang lain jugak nampaknya,” keluh Danisha.
“Bertambah keringlah akaun pak rimau kita,” ujar Iman dengan nada kecewa.
“Kering akaun pak rimau tak apa lagi, hujung bulan tetap ada balik. Ni ha, akaun hati kita ni siapa pulak yang nak tolong bank in dengan cinta?” tanya Danisha.
“Tak tahulah…” Iman menjawab malas.
“Aku sebenarnya bukanlah memilih sangat.
Walaupun bos kita tu perangai macam tu, kira dia kategori handsome
jugaklah.” Dalam menyampah, Danisha memuji.
“Hmm… ingatkan tak perasan!” sampuk
Encik Hisham yang tiba-tiba sahaja sudah tercegat di kubikel Danisha.
Danisha yang terkejut, terus terlopong. ‘Huh,
perasan sungguh pak naga ini. Tapi, memang betul pun apa yang dia cakap!’
Danisha terpaksa telan air liur sambil menahan rasa segan.
“Tolong siapkan BQ projek ni,” sambung
Encik Hisham kemudian terus beredar.
Danisha memandang pelan yang diletakkan
di atas mejanya. “Iman, macam mana kita boleh tak sedar pak naga sudah
bertenggek kat tempat kita?” soalnya. Baru hari pertama bekerja dalam minggu
ini, sudah banyak tugasan yang perlu diselesaikan.
“Entahlah, nasib baik bertenggek sekejap
aje. Kalau sentiasa terpajak di sebelah kita, mahu pengsan kita dibuatnya!”
jawab Iman pula.
Danisha gelak lagi, tetapi kali ini
dalam hati sahaja. Nanti tidak pasal-pasal kena sergah lagi. Dari sihat
walafiat, terus diserang sakit jantung.