Home Novel Cinta Mas Kahwinku RM22.50
Bab 23

WHEN someone loves you, they don’t always have to say it. You can always know it by the way they treat you,” ucap Rani dengan maksud mendalam. Entah kenapa, dia hendak berbahasa Inggeris pula dengan Danisha.

Nasi dalam mulut Danisha hampir sahaja tersembur, mujur dia cepat menutup mulutnya. Kemudian segera menyisip air minumannya.

“Yang kau cakap orang putih dengan aku ni, kenapa?” tanya Danisha, kemudian ketawa kecil. Begitu pun, dalam hati cuba mencari kebenaran kata-kata rakannya itu.

“Kalau aku cakap bahasa ibunda, kau memang sengaja buat tak faham!” tempelak Rani.

“Apa juga yang kau melalut ni?” sungut Danisha pula.

“Sudahlah Nisha.Aku pasti kau pernah dengar ayat ini, kan?” soal Rani kemudian meneruskan suapan. Nasi ayam dijamah dengan berselera sekali.

“Habis tu, apa kaitannya dengan aku?”

“Aku nak kau sedar, ada cinta antara kau dan dia,” beritahu Rani sambil menjeling Danisha yang asyik buat tidak reti sahaja.

“Kau bercakap macamlah kau tahu sangat apa yang ada dalam hati orang lain.”

“Aku cuma tak nak kau terlewat sedar yang kau tu sebenarnya memang ada hati kat dia,” ujar Rani dan terus menarik nafas panjang. Naik semput pula apabila menuturnya dalam sekali lafaz.

Danisha hanya mengeluh perlahan dengan kata-kata Rani. Tidak dinafikan, rasa rindu itu bertandang lagi menjengah sudut hati. Walaupun sedaya upaya cuba ditepis, ia tetap berkunjung tanpa mengira waktu.

Tiba-tiba, dia rasa seperti sudah terkena minyak pengasih pula. Cuba mencari kenapa rasa itu wujud. Takkan hanya kerana pak naga pernah menolongnya? Datuk Khalil juga pernah menolongnya, malah lebih daripada itu. Tidak pula wujud rasa yang satu itu.

“Aku memanglah tak pandai sangat dalam bab-bab hati ni. Tapi, apabila rasa sayang sudah wujud, automatik akan menolak rasa benci jauh-jauh,” tutur Rani lagi dengan ayat mengusik jiwa pula.

“Yalah tu!” Danisha sudah tersenyum-senyum. Tidak menyangka si Rani begitu prihatin dan mengambil berat tentang dirinya. Bagi dirinya, ini soal hati, bukan boleh main taram sahaja.

“Tengok, bila aku cakap kau tak nak akui. Cuba jangan ego dengan diri sendiri,” tegur Rani. Dia berasa geram pula dengan sikap Danisha.

“Macam mana kau boleh nampak semua tu? Kita orang tak ada apa-apa, kau pulak yang berlebih!” ujar Danisha pula.

“Andai rasa itu tulus daripada hati, ia memang akan terus sampai ke kalbu. Malah, turut terpancar di sinar mata.” Bersungguh-sungguh si Rani menyusun ayat sambil mengangkat keningnya.

“Kau ni memang Rani Mukerji betullah!Banyak sangat tengok cerita Hindustan.”

“Tengok tu memanglah tengok, tapi Madhavan tetap pujaan hatiku!” ujar Rani kemudian terus tertawa.

“Ni hero mana pulak ni?Laki kau, nak letak kat mana?” Danisha sudah menggeleng.

“Hish kau ni… jangan cakap kuat-kuat.Laki aku tentulah di jiwa dan raga,” ujar Rani dengan penuh perasaan.

“Ingatkan di dalam bakul!” gurau Danisha sambil tertawa terkekeh-kekeh.

“Melampau bertullah kau ni. Tak baik tau…” marah Rani, Sebenarnya, dia tidak ambil hati pun. Tahu rakannya itu hanya bergurau.

Pandangan Danisha beralih ke luar tingkap, memerhati bangunan bersebelahan yang membuat kerja-kerja pengubah suaian. Adakah dia juga kena mengubah pendiriannya hanya kerana seseorang?

Dia memang tidak pasti ketika mana perasaan yang satu itu wujud. Kini, hatinya akan berdegup-degup apabila pak naga ada berhampiran.

Mereka berdua sememangnya telah lama tidak bertegur sapa. Baik dia mahupun pak naga, masing-masing tiada keperluan untuk berbual. Andai terserempak dengan tidak sengaja, pasti Danisha gelabah semacam.

Sedar Encik Hisham bagai ada sesuatu yang ingin diucapkan, tetapi senyap pula. Hanya mata yang berbicara dan mengharap dia mengerti. Dia cuma mampu meneka dalam kesamaran. Perasaan ego tetap ada biarpun cuba dihindari.

Iman dan Rani pula sentiasa terlebih prihatin.Sering memerhati gelagat mereka berdua. Kadang-kadang, rasa geram dengan sikap Danisha yang jual mahal. Bertambah bengang, apabila pak naga juga tak reti-reti bahasa hendak mengurat!

‘JANGANLAH buang perasaan cinta yang hadir. Tidak salah kalau mahu disembunyikan. Apabila tiba masanya, luahkanlah agar perasaan itu tidak terus dipendam. Nanti hati sendiri yang sakit. Jiwa sendiri yang menderita.’

Danisha cuba merenung dan menghadam kata-kata Iman yang memang ditujukan kepadanya.

‘Saat hati sudah mula berkata sayang, kenapa wajah dia yang terbayang-bayang? Ketika rasa kasih mula tumbuh perlahan-lahan, kenapa kau menyepi dan tak bersuara?’Danisha bermonolong di mejanya.

‘Stop Danisha! Jangan cakap kau sudah jatuh cinta dengan pak naga. Tapi kalau tidak cinta, apa namanya? Kalau tidak kasih, kenapa aku sudah jadi perindu bayangan wajahnya?’ Danisha berbicara sendiri.


“AIMAN, cepat masuk!” suruh Danisha.

“Tunggulah kejap. Tali kasut abang dah terbuka,” balas Aiman sambil mengikat tali kasutnya.

“Hari tu ibu suruh pilih kasut yang pakai pelekat, abang tak nak. Nak jugak pilih kasut yang bertali, kan dah susah?” tegurnya.

“Tak apalah. Ibu, abang nak tanyalah.”

“Apa dia?” tanya Danisha dan terus menghidupkan enjin kereta.

“Kereta yang besar tu, kereta kawan ibu ke?”

“Kereta yang mana pulak ni?” soal Danisha pula.

“Alah, kereta yang warna hitam tulah! Bila ibu jemput abang, kereta tu mesti ada. Anak dia pun sekolah dekat sini jugak ke?” tanya Aiman lagi.

“Taklah! Ibu mana ada kawan yang pakai kereta besar. Kawan ibu yang hantar anak dekat sekolah ni, hanya Auntie Sofi,” beritahu Danisha.

“Oo… ya ke? Ingatkan kawan ibu.”

“Itu mesti kereta orang yang duduk kat sini. Tak payah fikirlah,” balas Danisha. Dia pun malas hendak ambil tahu dan sibuk-sibuk pasal orang lain.

“Abang cakap aje. Kereta tu besar, mesti dia orang kaya. Takkan tinggal dekat rumah flat biasa.”

“Pandai ajelah abang ni! Orang yang pakai kereta buruk sekalipun, belum tentu dia orang susah. Entah-entah, lebih kaya daripada orang kaya yang lain.”

Aiman terus senyap apabila Danisha sudah berkata begitu.

Setelah memarkir kereta, Danisha dan Aiman terus menuju ke taska Aishah. Sebelum itu, dia mengambil surat di peti surat. Ada beberapa pucuk surat termasuk bil penyelenggaraan dan elektrik juga.

Semua bil itu kena bayar tepat pada masanya. Andai bil penyelenggaraan tertunggak lebih dua bulan, kena hadapi risiko bekalan air kena potong pula. Mahu tidak mahu, kena juga Danisha guna duit simpanan di tabung hajinya apabila terdesak. Padahal, duit itu disimpan untuk tujuan mengerjakan haji kelak.

“Aishah,” panggil Kak Kathy apabila menyedari kehadiran Danisha.

Aishah yang sudah terpandang Danisha terus mengambil beg taskanya. Setelah menyalam tangan Kak Kathy, dia terus memakai kasutnya.

“Anak ibu seronok tak duduk taska?” tanya Danisha sambil pegang tangannya.

“Seronok sangat. Hari ini cikgu ajar lagu labah-labah, lepas tu tengok TV pulak,” cerita Aishah dengan gembiranya.

“Hari ni, sedap tak makanan yang Kak Kathy masak?” tanya Danisha lagi.

“Sedaplah jugak. Adik suka makan sup sayur,” beritahu si kecil.

“Okeylah, nanti kalau ibu senang, ibu nak tanya macam mana nak masak sup sayur yang adik suka tu.”

“Alah, tak payahlah tanya.”

“Kenapa pulak?” soal Danisha.

“Nanti malulah adik,” jawab Aishah dengan manjanya.

“Ya ke? Entah-entah adik saja cakap macam tu sebab tak nak ibu paksa makan sayur yang ibu masak,” duga Danisha.

Aishah ini bukan boleh percaya sangat. Otak dia pun bergeliga juga walaupun masih kecil. Kononnya sudah banyak makan sayur di taska, jadi tidak perlu lagi makan di rumah.

“Mana ada!” Aishah menjawab pantas.

“Tak apa, nanti ibu tanya dengan Kak Kathy. Betul ke anak ibu ni suka makan sup sayur tu.” Saja Danisha menyakat si kecil.

“Ibu janganlah tanya,” rengek Aishah dan sudah mula buat muka merajuk.

“Yalah, yalah… ibu tak tanya.” Faham sangat Danisha dengan taktik si kecil ini.

Tidak mahu makan sayur, bercerita konon-kononnya suka sangat makan sup sayur di taska! Boleh tahan jugak budak bijak ini.

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.