Home Novel Cinta Mas Kahwinku RM22.50
Bab 22

TIBA-TIBA, Danisha bagai berperang dengan perasaan sendiri. Dengarnya, Encik Hisham outstation entah berapa lama. Danisha tidak sanggup bertanya kepada staf lain. Tidak juga dengan Iman. Dia mengharapkan Kak Esah membuka mulut. Namun, penat sahaja dia menunggu.

Entah kenapa, tiba-tiba sahaja dia sudah jadi perindu wajah pak naga. Entah apalah yang naga sakti sembur ke mukanya sampai dia asyik teringatkan dirinya. Andai Rani dan Iman tahu, mahu roboh bangunan di Prima Sri Gombak. Tasik Chini pun boleh kering sebab pak naga pun sama terkejut!

Setiap kali bersua, jantung sudah mula tidak buat kerja dengan betul. Asyik hendak berjoget tidak menentu. Andai lagu balada, okey lagi. Tapi, selalunya lagu raplah pulak. Nasib baik kaki dan tangan tak bergerak sendiri!

Padahal, sebelum ini tidak rasa apapun.Mahu pandang mukanya pun tak ingin. Sekarang, mengalahkan pungguk yang rindukan bulan pula. Ada kalanya, dia berasa rimas dengan usikan Iman dan Rani. Namun, jauh di sudut hati tetap tidak dapat menolak perasaan yang tiba-tiba menjengah.


“IMAN…” panggil Rani yang tiba-tiba sahaja muncul di kubikelnya.

“Ada apa? Sekarang belum pukul 10.00 lagi, kau dah nak buka siaran gosip ke?” Iman bertanya malas.

Dia sedang sibuk, ketika ini pula Rani Mukerji mahu bergosip. Perempuan yang seorang ini memang tidak boleh hidup andai tidak menyinggah di tempatnya.

“Kau perasan tak, sekarang ni ada ‘Mulan’ di ofis kita ni?” tanya Rani beria-ia. Tangannya pantas menarik kerusi lipat yang memang khas untuk dirinya ketika bertandang di tempat Iman.

“Mulan?” tanya Iman sambil menoleh ke arahnya. Dalam sibuknya, tetap mahu ambil tahu juga. Ini pasti cerita sensasi, kalah cerita artis.

“Kau ni Iman… lembap betullah! Alah, Pahlawan wanita yang brutal tu,” ujar Rani sambil memberi isyarat mata ke arah Danisha yang kelihatan begitu serius membuat kerja.

“Oh, Mulan tu! Ha’ah, aku pun perasan jugak. Rasanya sejak dua menjak ni, dia seperti rindukan naga saktinya,” balas Iman sambil tertawa. Dia juga sudah melupakan seketika tugasan yang berlambak.

“Tulah pasal… sejak naga sakti hilang dan lenyap dari alam maya ini, dia pun macam geng-geng angau dan tungau jugalah.” Rani sudah tidak mampu menahan tawanya. Dia memang sengaja gelak kuat-kuat.

“Kau orang berdua ni, dah kenapa?Memang sengaja nak perli aku, kan?” Danisha yang sudah tidak tahan akhirnya bersuara.

Dia memang tidak boleh buat tidak tahu dan berpura-pura tidak mendengar perbualan mereka berdua. Bohonglah kalau dia tidak terasa hati disindir begitu.

“Tak adalah. Kita orang cuma cakap aje,” balas Rani pula agar tidak ketara sangat. Padahal, mereka sememangnya sedang memerli Danisha yang masih mahu berlakon tidak faham.

“Kalau kau terasa, memang patut pun, kan?” ujar Iman pula.

“Kita orang bukan apa, tiba-tiba rasa kesian pulak dengan kau. Asyik-asyik jenguk bilik pak naga, tapi tak nak bertanya dengan kita orang,” sampuk Rani pula.

Bukan dia tidak perasan gelagat Danisha, sahabat baiknya itu. Marah-marah juga, apabila orang tu tiada di hadapan mata, tetap juga mencari.

“Waktu bila pulak aku asyik-asyik jenguk bilik pak naga tu? Pandai aje korang reka cerita,” sangkal Danisha pula dan cuba berlagak selamba.

“Kita ni satu ofis, tak payah nak sembunyi perasaan di kalbu. Kalau kau rindu nak bergaduh dengan dia, cakap ajelah,” usik Rani.

“Tolong sikit, ya. Aku lagi suka dia tak ada. Aman dunia.” Laju sahaja Danisha menjawabnya.

“Dunia memang aman, tapi kau tetap tercari-cari. Jangan bohong dengan kita oranglah. Mata kami berdua ni memang tidak pernah salah melihat.” Iman pula mencelah sambil tersengih.

Danisha meraup wajahnya. Bicara rakan-rakannya memang tidak salah, cuma dia yang tidak mahu mengakuinya. Dia sendiri tidak pasti kenapa sejak dia kenakan pak naga, hatinya tidak tenang.

Bermacam di fikiran apabila Encik Hisham memang tidak pernah menyuruhnya buat apa-apa tugasan. Malah, telah mengambil staf baru pula. Dahulu, semasa lelaki itu menyuruhnya buat itu ini, terasa diri dibuli. Apabila lelaki itu tidak peduli, berasa lain pula.

Tidak dinafikan, dia memang rasa sentap sekejap. Sekarang ini, dia bertambah runsing apabila tiba-tiba sahaja pak naga tidak datang ke ofis. Padahal, perlu apa dia memikirkan lelaki itu? Namun, lelaki itu juga yang sering bermain di minda. Entah kenapa, hatinya tertanya-tanya sewaktu ketiadaannya.

“Tengok tu, dah berangan pulak dia!”

Teguran Rani menyedarkan Danisha dari lamunan. Dalam masa yang singkat, sempat pula dia memikirkan hal lelaki itu. ‘Aduhai, aku ni memang sudah parah!’ desisnya.

“Cinta tak ada peraturan, Nisha. Kau boleh aje jatuh cinta dengan orang yang selama ini kau benci.” Rani tidak habis-habis hendak mengusik Danisha.

“Apa yang kau merepek ni? Kau ni memang tak ada kerja ke, Rani?” tanya Danisha sambil menjelingnya.

“Okeylah, aku faham kau nak halau aku. Aku memang nak sambung kerja yang menimbun tu,” jawab Rani yang sudah faham sendiri apabila kedatangannya bagai tidak dilayan.

“Baguslah kalau kau pun dah sedar. Aku tengok, surat dan dokumen yang perlu dimasukkan dalam fail sudah macam apartmen tingginya,” sampuk Iman, sengaja hendak menegur Rani pula.

“Alah, semua tu kacang aje. Tutup mata pun aku boleh siapkan.” Rani juga tidak mahu mengalah.

“Banyaklah kau punya alasan!” tegur Danisha.

“Sebelum terlupa, sajalah nak beritahu kau…”Sengaja Rani tidak menghabiskan kata-katanya.

“Apa lagi?” tanya Danisha dengan perasaan geram.

“Biarlah merindu, asalkan tak jemu. Tapi jangan pendam lama-lama, nanti orang tak tahu,” ucap Rani kemudian mengenyitkan matanya.

Danisha tidak memberi sebarang respons. Dia hanya memandang Rani yang berlalu menuju ke kubikelnya. Seketika, dia bagai tidak tahu apa yang patut dilakukan. Bukan tidak ada tugasan yang hendak disiapkan, cuma hatinya sudah ke laut. Ketika ini, dia memang sudah tidak boleh memberi tumpuan kepada kerjanya.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.