Bella tiba di rumahnya setelah menaiki bas. Dia tiba dengan perasaan yang berkecamuk. Mana tidaknya tadi di Zouk itu dia hampir ditangkap oleh sekumpulan lelaki. Syukur dia dapat larikan diri dan dibantu oleh lelaki kacak yang berada dalam kereta mewah itu. Entah siapa namanya. Lelaki itu sangat kemas penampilannya. Wajahnya ada iras mat salleh. Badannya tegap dan tinggi.
Bella menyapu hidungnya seketika bila teringat lelaki itu. Bella ingat juga mata bundar lelaki itu dengan kening lebat dan hidungnya yang tirus mancung. Tadi Bella rasa segan dengan lelaki itu. Sebab itulah tadi Bella tidak bertanya pun namanya. Mahu tak segan. Bella terus teringat lagi bagaimana dia ditarik oleh lelaki itu masuk ke dalam kereta hingga terkena lelaki itu.
Kemudian lelaki itu terpeluk dia sewaktu menutup pintu kereta itu. Malu..Malu. Bella rasa mukanya terus merah saat itu. Serta-merta dia teringat lelaki itu dan juga bau minyak wangi maskulin lelaki itu yang amat melegakan. Entah minyak wangi apa yang dipakainya. Dan lelaki itu pula amat perihatin dengannya. Mahu menghantar dia ke rumah tetapi Bella pula bimbang untuk mempercayai lelaki itu seratus peratus. Kacak bagaimana pun, lelaki memang tidak boleh dipercayai. Entah apa pekerjaan lelaki itu hingga mampu memiliki kereta mewah seperti itu. Kalau dia kaya kerana pekerjaan yang jujur tidak mengapa. Tapi, apa kata kalau lelaki itu sebenarnya sama sahaja dengan Alex dan kawan-kawannya yang mengejar Bella? Silap hari Bella dijual di sempadan. Hendak lari dari kandang buaya dia termasuk pula ke kandang harimau. Semua boleh berlaku.
Tapi, apa pun semuanya salah Hanim. Dia yang bersungguh menyuruh Bella ke Zouk rupa-rupanya ada niat lain yang tidak elok. Bella rasa sesal sendiri kerana mengikut kata Hanim tadi. Ah, Bella terlalu percaya pada Hanim tadi. Niatnya hanya ingin mendapatkan kerja. Rupanya dia telah ditipu oleh Hanim. Ah, sampai hati Hanim. Air mata Bella rasa mahu menitik. Sungguh dia kecewa dengan apa yang Hanim lakukan. Bella baru sahaja mahu menumpang kasih Hanim sebagai seorang sepupu.
Namun, sanggup Hanim rancangkan perkara begitu pada Bella?. Apa masalah Hanim terhadapnya? Mengapa Hanim bencikan dia hingga tergamak merancang perkara sebegitu pada Bella? Bella maklum layanan buruk Hanim selama ini padanya. Sejak dia dan ibunya menumpang di rumah Hanim dan kemudiannya bila mereka menyewa rumah emak Hanim, Puan Yusni. Puan Yusni ialah mak long Bella dan juga kakak sulung Puan Rubiah. Sangkanya Hanim mahu berbaik dengannya.
Sangkaan Bella memang amat meleset sekali. Bella terfikir lagi. Kalaulah dia tidak diselamatkan, apakah yang berlaku terhadapnya? Adakah dia akan dijual atau dijadikan...arghh! Tak sanggup Bella memikirkannya. Gerun Bella bila memikirkan pelbagai kemungkinan yang bakal berlaku. Teringat dia wajah lelaki-lelaki yang memandang padanya tadi. Semuanya memandangnya dengan muka penuh helah. Muka yang buat dia gerun dan rasa amat terancam.
Bella dari bus stand lagi cuba menghubungi Hanim tapi jelas Hanim telah memadam telefonnya atau telefonnya sudah tidak aktif buat masa itu. Geramnya hati Bella. Namun, ingin menyongsong ke rumah Hanim dia bimbang pula. Lagipun hari agak lewat. Kalau dia datang bising-bising di rumah Hanim dia bimbang kalau terserempak dengan ibu dan bapa saudaranya. Pasti mereka juga akan salahkan Bella seperti biasa. Seperti biasa ibubapa akan menangkan anak-anak mereka. Bimbang juga kalau Hanim ada muslihat lain pula. Nampaknya Hanim adalah seseorang yang tidak boleh dipercayai langsung. Bella akan ingat kenyataan itu sampai bila-bila.
Akhirnya Bella menuju ke rumah sendiri sahaja. Dia tahu dia harus hadapi ibunya yang amat teruja dari siang tadi bila dapat tahu ada kerja kosong untuk Bella. Bella tidak pasti bagaimana dia mahu ceritakan semua yang berlaku kepada ibunya.
Bella sampai ke rumah dan selepas mengunci pintu rumah di belakangnya kelihatan Puan Rubiah sedang menunggunya di ruang tamu. Masa sudah pukul 10 malam. Selalunya Puan Rubiah yang tak berapa sihat itu tidur awal tapi malam itu dia seperti menunggu Bella. Dia kelihatan teruja bila melihat Bella pulang. Bella menutup daun pintu kemudian membuka tudung sarung dan anak tudung dari kepalanya. Rambut lebat ikal separas bahu yang terikat kelihatan di mata Puan Rubiah. Bella kemudian duduk di sofa lama di hadapan ibunya yang sedang berehat di hadapan televisyen itu. Cuba merehatkan tubuh dan emosi seketika di situ.
“Bella, bagaimana?” soal Puan Rubiah dengan wajah yang mengharap. Nampak sangat Puan Rubiah teruja untuk tahu kalau-kalau Bella ada peluang untuk diambil bekerja atau tidak.
“Mak jangan mengharap sangat. Bella rasa tak mungkin dapat pekerjaan itu,” ujar Bella berterus-terang. Dia tidak mahu Puan Rubiah kecewa pula nanti.
“Kenapa pulak?” soal Puan Rubiah hairan. Wajah anak gadisnya itu direnung seketika. Bella hanya tersenyum. Melindungi rasa hati yang galau dan tak keruan sejak tadi.
“Saing Bella tadi ramai yang lebih bagus. Jadi Bella tak mahu letak harapan sangat. Nanti kalau tak dapat rasa kecewa pula,” kata Bella sengaja memberikan alasan yang logik kepada ibunya. Namun untuk membuka pekung sepupunya itu tidak sekali. Hanim anak kepada kakak Puan Rubiah. Bella tidak mahu mengeruhkan hubungan ibunya dan kakaknya. Cuma nanti bila-bila dia berjumpa Hanim dia akan ungkit semua yang berlaku tadi. Nantilah. Dia mahu tahu mengapa Hanim sanggup menipu dirinya begitu. Dia akan marah Hanim di situ juga.
“Yelah ramai tapi Bella kena ada keyakinan diri yang Bella boleh dapat kerja itu. Kalau Bella tak yakin bagaimana?,” nasihat Puan Rubiah.
“Ye mak. Bella perlu ada keyakinan diri macam yang mak cakap tu,” akur Bella. Dia harus lebih berani untuk katakan tidak tadi. Tidak untuk ke Zouk tadi. Tapi Hanim sangat pandai memujuk tadi sehingga Bella terjebak dan percaya.
“Habis tadi Bella rasa sangsi dengan diri sendiri ke?”
“Ada sikit tapi mak jangan risau. Bella akan cuba dapatkan pekerjaan. Kalau tak dapat yang ini, Bella akan cuba pula yang lain,” janji Bella pada ibunya itu. Puan Rubiah mengangguk. Namun, sebagai seorang ibu dia dapat menangkap ada sesuatu yang menyedihkan Bella. Sangkanya mungkin Bella sudah pasti yang dia tidak akan dapat pekerjaan itu. Dia pula bimbang kalau-kalau Bella kecewa bila tidak dapat kerja tersebut.
“Tapi, kalau Bella belum dapat lagi itu maksudnya belum rezeki. Bella jangan risaulah,” pinta Puan Rubiah. Kasihan pula dia bila melihat wajah Bella yang nampak sungguh bimbang dan juga keletihan.
“Ye mak. Bella tahu. Pasti Allah ada perancangan yang terbaik untuk Bella kan mak?” soal Bella pada Puan Rubiah. Puan Rubiah capai anak rambut di tepi pipi Bella lantas kemaskannya ke tepi telinga Bella. Kemudian dia mencapai dagu runcing Bella.
“Sudah tentu sayang. Jadi, Bella jangan risau. Nanti adalah rezekinya tu,” pujuk Puan Rubiah lantas bangun memeluk Bella. Bella mengangguk-angguk. Dalam hati dia rasa bersyukur kerana tiada apa yang buruk berlaku padanya hari itu. Dia diselamatkan oleh lelaki kacak yang berada dalam kereta mewah itu. Kalau difikirkan dia terhutang budi dengan lelaki itu. Kalau tidak entah apa lah yang jadi padanya. Lelaki yang wajahnya seperti dia pernah lihat sebelum ini tetapi dia tidak pasti di mana. Adakah lelaki itu seorang terkenal? Terkenal dan kaya? Bella bukan selalu menonton televisyen pun. Melayari media sosial apa tah lagi kerana dia tidak mampu untuk ada wifi. Dia juga memang tiada masa untuk menonton televisyen kerana dia bekerja di pasar malam dalam 3 malam seminggu.
“Ye mak. Bella pergi mandi dulu ye. Rasa letih pulak,” ujar Bella memeluk ibunya kembali dan mencium pipi wanita itu.
“Pergilah Bella, mandi, lepas tu berehat,” kata Puan Rubiah kepada anak gadisnya itu. Bella mengangguk lantas mencapai tudung dan anak tudung yang tadi berada di sofa bersama dengan beg tangannya. Bella kemudiannya ke biliknya. Beberapa minit kemudian Bella ke bilik air dengan tuala tersangkut di bahu.