Home Novel Cinta ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
Batiah Hadi
13/2/2020 23:02:04
209,183
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

Ben masih berteleku di ruang kerjanya.  Menyiapkan satu design untuk line terbaru pakaian sukan syarikatnya SportActive meskipun hari sudah petang. Satu mesej kedengaran memasuki whatsapp Ben. Ben pantas melirik kepada mesej itu. Dia tersenyum. Teringat percutian cum kerjanya di Bali minggu lepas. Kenangan itu membawa senyum ke bibirnya. Dia teringat kenangan manis berjalan dengan Erinna menyusur pantai di waktu petang menyaksikan matahari terbenam. Satu kenangan manis yang dia akan kenang sampai bila-bila. Ben membaca mesej Erinna. Erinna mengucapkan selamat petang dan mengajak dia berjumpa malam itu. Ben hela nafas. Kalau boleh Ben ingin jumpa Erinna. Tapi dia teringat janjinya pada seseorang. Maka dia pun menghantar mesej kepada Erinna menolak ajakan sepupunya itu. 

Tiba-tiba kelibat setiausahanya Kay kelihatan di sebelah ruang kerjanya dengan muka bersalah. Ben angkat muka. Kay merenung wajah kacak bosnya itu. Sentiasa nampak segak. Hari itu dia memakai kemeja hijau epal dan seluar slack putih sepadan dengan loafer yang dipakai. Ben memang nampak trendy sentiasa. Ootd sentiasa on point orang kata. Itulah sebabnya dia jadi terkenal dan diminati ramai walaupun dia bukanlah seorang pelakon atau penyanyi terkenal. Ditambah pula dengan kekayaannya memiliki dua syarikat.

“Sorry boss, hari ni saya tak boleh belikan boss puyuh goreng untuk Kelly,” ujar Kay petang itu apabila dia ke workstation Ben. Ben yang sedang menaip sesuatu di laptop berhenti menaip. Dia mengangkat muka memandang setiausahanya itu. Walaupun dia pemilik syarikat, seperti syarikat kontemporari yang lain, tiada tempat khas atau pejabat khas untuk seorang boss. Dia ada ruang kerja yang sama seperti orang lain. Semua pekerja boleh menghampiri boss mereka dan berbual dengannya untuk menyatakan pandangan mereka. Contohnya Kay. Bila-bila sahaja dia boleh berada di sebelah Ben begitu. Tak perlu ketuk pintu atau buat appointment.

“Pasal apa pulak?” soal Ben tidak puas hati. Dia kini berpeluk tubuh. Kay kelihatan serba-salah. Kalau mood Ben ke laut silap hari dia kena jerit pula. Walaupun sesiapa sahaja boleh nyatakan pandangan tetapi tidak semestinya Ben akan terima semua. Kadang-kadang Ben ada juga moodnya. Kalau ada idea yang tak kena, mulutnya boleh tahan. Kalau bagi proposal, silap hari dia lempar sahaja dalam tong sampah kalau pada fikirannya tak capai standard. Tapi kalau tiba baik, dia akan belanja semua orang makan. Ataupun belikan tiket percutian atau beri semua orang cuti. Dah namanya syarikat dia sendiri. Jadi ikut dialah untuk buat apa-apa.

“Saya kena balik awal...se... sebab pengasuh beritahu anak saya demam. Saya...saya kena bawa dia ke klinik. Jadi, tak bolehlah saya nak belikan burung puyuh di pasar malam tu untuk boss,” terang Kay dengan suara tersekat-sekat. Mata Ben merenung Kay seketika. Dia hela nafas.

“Tak boleh ke orang lain tolong bawa anak awak ke klinik?” omel Ben dengan wajah serius.

“Pengasuh dah telefon saya. Kalau saya tak ambil dia, tiada siapa boleh ambil dia. Lagipun boss jangan lupa saya ni ibu tunggal. Tiada suami nak tolong ambilkan,” beritahu Kay sambil senyum. Ben buat muka.

“Kamu tahu tak saya sedang sibuk? Saya ada kerja yang hendak disiapkan,” ujar Ben tidak puas hati. Terus senyum Kay terhapus. 

“Tahu boss. Tapi saya tiada pilihan. Tapi... nak mudahkan boss saya dah telefon gerai burung puyuh tu. Boss boleh pick up bila-bila sebelum pasar malam habis. Jadi, boss boleh pergi  selepas kerja habis atau pergi dulu dan siapkan kerja di rumah. Ha, macamana?,” beritahu Kay.  Ben sedikit mendengus. Bukan main lagi setiausahanya itu mencadangkan. Siap minta dia selesaikan kerja di rumah pula. Ben memandang Kay dengan mata tak berkelip. Nampak sangat dia bengang.

“Kalau Boss nak suruh Radhi atau Kadir pun boleh,” cadang Kay cepat-cepat. Cuak dia lihat wajah Ben itu. Ben hela nafas lagi

“Tak apa lah Kay. Radhi emak dia sakit. Kadir tu tadi saya dah suruh balik awal. Esok dia cuti nak balik kampung. Nak bercuti dengan isterinya. Orang ada isteri,” jelas Ben kemudian buat muka. Kay tahu sangat Ben tidak berapa percaya pada perkahwinan. Itulah sebabnya dia masih tak kahwin-kahwin lagi. 

“Maaflah bos. Saya bukan sengaja tau,” ujar Kay dengan muka bersalah. Kasihan pula Ben rasa. Lagipun keluarga lebih utama. Tambah-tambah pula Kay ibu tunggal. Dia sendiri tahu sejarah Kay. Berkahwin sewaktu Ben dan Megat baru bangunkan syarikat lima tahun lalu, setelah setahun Kay bercerai kerana bekas suaminya yang malas dan tidak bekerja. Hanya menggunakan Kay sahaja untuk hidup selesa. 

“Hmm tak apalah. Nanti saya pergi sendiri. Lagipun dah lama saya tak ke pasar malam. Cuma...tolong beritahu saya di mana tempatnya,” pinta Ben. Kay tersenyum lega.

“Boleh boss. Boss cari saja gerai burung puyuh terlajak laris. Mesti jumpa. Hanya ada satu tempat sahaja di pasar malam itu. Gerainya agak hujung. Yang paling ramai orang itulah gerainya,” terang Kay. 

“Baiklah. Cuma.....kalau ada stalkers nampak saya bagaimana?” soal Ben.

“Boss pakailah topi. Tutup sikit muka supaya orang tak kenal. Kalau tak pun pakai penutup muka. Buatlah seperti sedang selsema,” cadang Kay bersungguh. Ben juih bibir.

“Ah, hodoh pulak nanti pakai topeng selsema itu. Saya lebih suka pakai topi saja,” ujar Ben.

“Hodoh? Saya tak setuju. Kalau Boss pakai topeng tu mesti boss nampak misteri. Baru betul bos dipanggil lelaki misteri yang viral,” ujar Kay separuh bergurau.

“Misteri? Sudahlah jangan nak bergurau pulak. Nanti saya potong gaji baru tahu. Dahlah saya kena buat kerja awak hari ni,” marah Ben. Kay terus letak tapak tangan ke mulut. Dia senyap. Takut juga dia kalau gajinya dipotong.

“Saya akan pakai topi sahaja,” ujar Ben tegas.

“Terpulang pada boss. Pakai topi pun elok juga,” ujar Kay mengiakan. Terpaksa.  Ben mengangguk. Nampaknya hari itu dia terpaksa ke pasar malam sedangkan sejak setahun dua itu Kay sahaja yang membelikan untuknya. Mahu tak mahu, Ben terpaksa memandu keretanya sendiri petang itu. Untuk memastikan yang dia tidak diekori oleh sesiapa dia telah menukar kereta Mercedes sportnya dengan kereta Honda Accord sahaja. Di garaj pejabatnya dia memang menyimpan beberapa buah kereta dan kereta itu berubah tempat antara beberapa rumah dan pejabatnya. Itulah masalahnya bila jadi terkenal pasti ada sahaja yang akan mengekor untuk dapatkan cerita sensasi mengenai dirinya. Dia pergi bercuti dengan Erinna pun dia terpaksa sembunyi-sembunyi supaya tidak kena gosip.

Sekarang dia terpaksa pula ke tempat awam seperti pasar malam untuk mendapatkan  puyuh goreng untuk anak rakan baiknya. Dia tidak mahu mereka tahu yang dia ke pasar malam. Kalau tidak sensasi pula. Pasti mereka mahu tahu dia belikan burung puyuh itu untuk siapa. Silap hari mereka akan buruk sangka yang dia ke rumah isteri tersembunyi atau perempuan simpanan. Netizen ini kadang-kadang boleh berimaginasi lebih dari sepatutnya. Ben lebih suka kalau orang-orang yang bermakna dalam hidupnya diberikan privasi dan tidak tergugat ketenangan mereka disebabkan oleh populariti Ben sendiri. Itulah sebabnya sesetengah kereta dia gunakan untuk tujuan ke sana ke mari tanpa dikesan oleh media atau wartawan atau followers yang obses. 


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.