Home Novel Cinta ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
Batiah Hadi
13/2/2020 23:02:04
209,110
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

   Bella hanya memerhatikan sahaja susuk tubuh lelaki itu pergi. Dia amat lega bila lelaki itu telah tergerak untuk selamatkan dia tadi. Kalaulah lelaki itu tiada Bella tidak dapat bayangkan apa yang bakal berlaku terhadapnya. Tiba-tiba Bella rasa seram sejuk mengingatkan tindakan Farouk. Ada rasa ketakutan di sudut hatinya. Namun, seperti yang dia sering lakukan ialah cuba melupakan apa yang berlaku walaupun sukar. Betapa sejak kecil Farouk sentiasa cuba untuk mendekati Bella. Bermula dari Bella tinggal di rumah sewa makciknya lagi.

Ia bermula dari hanya tersalah memegang tangannya ketika di satu majlis di rumah makciknya. Disebabkan dia kecil lagi hanya berusia 6 tahun dia tidak rasa sangsi sangat buat kali pertama kerana Farouk adalah suami mak longnya, Puan Yusni. Namun setelah itu ia jadi makin kerap setiap kali Bella datang ke rumah mereka. Bila sudah besar sedikit kadang-kadang tangan di bahu atau cuitan di dagu dan mulut. Farouk juga selalu memberi dia macam-macam. Coklat, gula-gula, keropok, aiskrim dan macam-macam lagi. Farouk juga selalu memuji Bella dan Bella yang tiada ayah merasa seperti disayangi. Bahkan ada satu ketika Bella amat rapat dengan Farouk.

Namun sejak berusia 10 tahun Bella cuba menjauhkan diri dari Farouk. Sejak itu juga Bella sangsi dengan niat Farouk terhadapnya. Semasa Bella berusia 10 tahun Farouk hampir sahaja berbuat tidak senonoh pada Bella. Memang itu perkara yang Bella tidak pernah lupa. Bella yang sedar apa yang Farouk mahu lakukan adalah salah, terus menolak Farouk dan berlari balik ke rumah. Sejak itu Bella tidak lagi ke rumah makciknya. Namun, Farouk sentiasa mengekori Bella. Sudahlah mereka tinggal di kejiranan yang sama. Bella hanya terselamat apabila dia pergi belajar namun sejak dia membantu ibunya di pasar malam sejak beberapa bulan itu, Farouk kembali mengekori Bella. Bahkan semakin rajin pula menjenguk mereka dua beranak.

Itulah yang merungsingkan Bella. Farouk bukan sahaja menganggu di pasar malam tetapi juga di rumah kalau Bella tinggal seorang diri. Ada beberapa kali dia datang tatkala Bella menyidai kain di belakang rumah. Terpaksa Bella berlari masuk ke rumah lantas mengunci pintu. 

Bella hanya lega bila dia dapat kembali ke gerai sayur-sayuran itu. Dia membetulkan tudung dan pakaiannya yang senget benget disebabkan oleh hal tadi. Kelihatan Puan Rubiah sedang melayan pelanggan. Bella meletakkan bakul kemudian menghampiri ibunya. Dia meletak tangan ke bahu ibunya.

“Mak pergi berehat. Biar Bella yang layan customer pulak,” ujar Bella. Puan Rubiah mengangguk. Dia kemudiannya beralih ke bahagian belakang. Pelanggan-pelanggan di pasar malam itu makin ramai. Gerai sayur itu makin dikunjungi. Puan Rubiah rasa sedikit lega. Mudah-mudahan murah rezeki mereka berdua malam itu. 

“Wah, bila Bella ada aje, ramai yang kerumun,” tegur Puan Maznah pemilik gerai sebelah. Waktu itu Bella sedang sibuk melayan pelanggan yang datang. 

“Alhamdulillah,” ujar Rubiah. Maznah tersengeh-sengeh.

“Orang cantik macam itu lah. Sudahlah begitu mulutnya peramah pula. Malangnya saya tak ada anak lelaki. Kalau tidak awal-awal saya dah pinangkan Bella,” sela Maznah. Wanita gempal itu kini duduk di sebelah Puan Rubiah.

“Allah...entah apa yang cantik budak comot tu. Bella tu muka pun tak pakai bedak. Bergaya pun tak pandai. Anak orang miskin pula,” balas Puan Rubiah. Dia terbatuk-batuk. Sejak akhir-akhir itu kesihatannya tidak menentu. Sudah sebulan dia rasa jerih selalu. Entah apa sakitnya dia tidak pasti. Ada juga Maznah menyuruh dia ke hospital tapi Rubiah enggan. Dia hanya beri alasan mungkin dia penat agaknya. Kalau ke hospital banyak pula ceritanya. Kalau boleh dia tidak mahu tahu lagi apa penyakitnya.

“Itulah yang orang kata cantik semulajadi. Elok pulak pekertinya. Akak, susah-susah kahwinkan aje Bella tu dengan orang kaya. Mesti akak dah tak payah kerja jual sayur. Lagipun akak tu bukan sihat sangat,” ujar Maznah. Puan Rubiah tersengeh. Nak ketawa pun ada. Orang kaya? Orang kaya pergi pasar malam ke? Lagipun Bella itu hidupnya hanya di rumah dan pasar malam. Mana nak jumpa orang kaya?

“Orang kaya manalah nak kahwin dengan Bella? Siapa nak bersaudara dengan orang miskin seperti kami. Lagipun mesti Bella tak setuju. Dia nak kerja dulu. Bella tu ada cita-cita sendiri,” sela Puan Rubiah.

“Manalah tahu jodoh dia. Dapat orang kaya. Zaman sekarang kak. Duit adalah segalanya,” kata Maznah. Rubiah mengeleng-ngeleng.

“Sungguhkah? Akak tak nampak begitu. Soal jodoh ini, akak serahkan pada Bella sendiri. Ikutlah dia nak kahwin dengan siapa. Apapun yang penting orangnya tahu tanggungjawab pada Tuhan dan keluarga. Serik kalau fikir pasal kahwin ini. Susah nak cari lelaki yang baik dan bertanggungjawab. Kaya kalau tak bahagia buat apa. Biarlah miskin tapi sayang menyayangi,” ujar Rubiah. Terkenang suami yang menghilangkan diri dua puluh tahun lalu. Keluar rumah selepas satu pergaduhan. Terus tidak kembali lagi. Lupa tanggungjawab pada isteri dan anaknya. Sejak itu Rubiah yang terpaksa jadi ibu dan ayah pada Bella. Untuk dapatkan bantuan pun susah kerana dia bukan ibu tunggal atau balu. Sekarang mereka panggil orang macam dia ibu tunggul. Ya, seperti tunggul menunggu suami yang tak pulang-pulang. Terpaksa berhempas pulas seorang diri berusaha memberikan kehidupan kepada Bella. Mujur kakaknya membantu. Namun dia syukur, walaupun miskin tetapi dia dapat memberi peluang kepada Bella bersekolah dan belajar hingga ke peringkat tinggi. 

“Betul tu. Macam saya ni satu dalam seribu. Tak begitu Maznah? Walau kita miskin awak bahagia kan? Sayang menyayangi hingga nyawa terpisah,” ujar Kudin suami Maznah bergurau dengan isterinya. Maznah buat muka. Namun ada senyum tersimpul jua. Sudah lebih 20 tahun mereka berkahwin. Manisnya masih ada. Masih sayang menyayangi biar pun mereka tiada zuriat yang dapat menyambung keturunan mereka.

“Hai awak ni...masuk bakul angkat sendiri betullah,” ujar Maznah pura-pura merungut. Mukanya sedikit merah. Ada rasa malu biarpun telah berusia. Kudin menjuihkan bibir kemudian berlalu melayan pelanggan yang datang ke gerainya. Pecah ketawa Maznah dan Puan Rubiah melihat reaksi Kudin itu. Bella yang sedang melayan pelanggan sekali-sekala menoleh pada ibunya yang sedang berbual dengan Makcik Maznah. Mulutnya mengorak senyum. Entah apalah agaknya yang diceritakan oleh mereka berdua sampai ketawa begitu. Pasti ada yang mencuit hati. Hati Bella rasa sedikit terubat melihat kemesraan mereka. Terubat sedikit hatinya setelah melalui trauma di kawasan parkir tadi. Sikit pun dia tidak bersuara pada ibunya atas apa yang berlaku. Biarlah dia simpan sendiri seperti selalu.


Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.