Home Novel Cinta ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
Batiah Hadi
13/2/2020 23:02:04
209,153
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

Bella baru sahaja selesai menunaikan solat maghrib. Dia bersiap-siap dengan slack dan kemeja. Kemudian memakai tudung sarung yang paling baru yang dia pernah ada. Wajahnya yang polos hanya disapu sedikit bedak dan secalit lipstick warna merah jambu. Lipstick yang hanya dipakai sekali sekala sahaja apabila ada interview kerja atau majlis. Tujuannya supaya wajahnya tidak pucat dan nampak berseri sedikit dari biasa. Namun untuk berlebihan Bella rasa segan pula kerana tidak biasa. Bella melirik kepada penampilannya. Dia puas hati melihat penampilannya yang kemas malam itu. Mudah-mudahan dia dapat kerja sebagai pegawai pemasaran di tempat itu. Itu doanya malam itu dan juga doa-doanya selama ini.


“Mak, doakan Bella tau,” pinta Bella pada ibunya Puan Rubiah yang sedang melipat kain. Puan Rubiah angkat muka dan tersenyum pada anak gadisnya yang sedang menghadap cermin itu. Sedang bersiap untuk temubual kerja di sebuah restoran. Sudah setahun anak gadisnya itu menganggur. Puas dia interview sana sini namun masih belum ada rezeki. Selama setahun itu Bella membantu Puan Rubiah bekerja di pasar malam. Menguruskan gerai sayur milik kakaknya.


“Mak selalu doakan kamu. InsyaAllah Bella akan dapat kerja,” ujar Puan Rubiah merenung wajah Bella sejenak sebelum kembali melipat baju. 

“Terima kasih mak,” Bella pun menghampiri ibunya dan mencium pipi ibunya. Puan Rubiah peluk Bella sejenak. Dalam hati dia mendoakan moga Bella berjaya.

Tadi sepupu Bella iaitu Hanim datang ke rumah. Katanya ada sebuah restoran di Jalan Ampang perlukan seorang pekerja. Hanim berikan Bella alamat dan nombor telefon seorang lelaki bernama Alex.

“Kau pergi saja ke sana. Aku dah cakap dengan Alex kau akan datang. Kau akan datang kan? Jangan kau tak jadi pulak. Aku dah beria beritahu Alex tu. Malu aku nanti,” kata Hanim bersungguh.

 

“InsyaAllah. Aku akan pergi nanti. Akak jangan risau,” ujar Bella kepada Hanim yang tua tiga tahun darinya. Hanim tersenyum. Bella turut tersenyum. Dia rasa berbesar hati Hanim sanggup datang ke rumahnya petang itu. Walaupun hubungan mereka tidak rapat tetapi kesudian Hanim memaklumkan dia tentang peluang kerja itu buat Bella rasa sedikit gembira. Mungkin inilah permulaan mereka boleh berbaik setelah selama ini layanan Hanim terhadapnya selalu kurang baik.


Sebelum ini, ada sahaja cara Hanim untuk menyakitkan hati Bella. Bella pun tidak faham mengapa Hanim tidak sukakan dia. Bella sebenarnya memang teringin punya sepupu yang akrab seperti kawan baik. Seperti rakan-rakan lain. Sebab itulah bila Hanim beritahu begitu Bella terus percaya yang Hanim ingin berbaik dengannya. Lagipun sewaktu Hanim memberitahu tentang kerja kosong itu Hanim nampak baik sangat. Nampak sangat perihatin terhadap Bella. Cuma, kata Hanim, Bella harus datang malam itu juga supaya esok dia boleh terus mulakan tugasnya. 

“Mereka nak pakai orang cepat. Itu yang kau kena datang malam ni juga,” ujar Hanim. Bella mengangguk-angguk.

Jadi malam itu Bella usaha juga untuk ke restoran di Jalan Ampang itu meskipun dia bukannya ada kenderaan pun. Bella tidak pasti apa nama tempatnya tetapi Hanim hanya bagi alamat sahaja. Bella sampai setelah menaiki Grab dari rumahnya. Bila sampai Bella terkejut. Dia telefon Hanim. Mengapa pelik sangat tempat dia bakal bekerja. Tempatnya seolah-olah seperti pusat hiburan sahaja. Tempat orang-orang berhibur dan terkinja-kinja.

“Kak Hanim, ini bukan restoran ni,” ujar Bella sewaktu menelefon Hanim sambil menebar matanya ke sekeliling premis pusat hiburan yang terpampang tulisan Zouk itu.

“Memanglah. Pemilik restoran tu ada dalam tempat tu. Kau kena jumpa dia kat dalam sana,” kata Hanim di hujung talian.

“Tapi kak, aku tak pernah masuk kelab macam ni. Tak bolehkah pemilik restoran tu jumpa aku kat luar ni sahaja? Macam pelik aje tempat ini,” ujar Bella merasa sangsi. Matanya lekat kepada beberapa pengunjung dengan pakaian mereka yang tak cukup kain dan mekap tebal. Ada pula yang berpeluk-pelukan. Ada pula bau pelik seperti arak sahaja. Di foyer beberapa lelaki berpakaian rugged sedang berdiri sambil memandang Bella sekali sekala. Ada yang berambut perang dan ada yang bertindik. Ada juga yang stail rambut yang Bella tidak pernah nampak sebelum ini. Semuanya menggerunkan hati Bella. Biar betul Hanim ni. Kalau ya pun tak kan lah temubual dalam pusat hiburan?.

“Kau ni...nak cari kerja buatlah cara nak cari kerja. Dia yang nak bagi kau kerja kau pulak banyak songel. Pergi masuk sana dan cari Alex,” arah Hanim di dalam talian. Keluar nada garangnya macam biasa.

“Tak apa ke kak? Pelik tempat ni,” rungut Bella. Dia rasa tidak sedap hati.

“Itulah sebabnya kau susah nak dapat kerja. Kau ni suka sangat sangka buruk. Pergi saja ke dalam. Kata pada Alex kau datang sebab kerja. Kau masuk saja bukannya kau nak menari atau berhibur dalam tu. Kau datang untuk interview kerja je,” racun Hanim lagi. Bella yang tadi serba-salah kini sedikit yakin. Betullah. Dia bukan mahu menari atau berhibur macam mereka semua. Cuma pelik kerana dia sahaja yang memakai tudung sahaja waktu itu sebab rata-rata yang datang tiada yang bertudung litup sepertinya.

“Betul ke kak?” soal Bella lagi masih teragak-agak.

“Apa, kau tak percaya kat sepupu kau ni ke? Aku tahulah apa aku buat,” soal Hanim. Bella lepaskan satu keluhan. Namun..

“Baiklah kak, aku pergi cari Alex,” ujar Bella akur. 

“Ha, macam tu lah. Pergi cari Alex!” suruh Hanim. 

Bella pun melangkah ke foyer pusat hiburan itu. Di situ beberapa lelaki yang sejak tadi memerhatikan Bella tersenyum di antara satu sama lain. Bila Bella rapat mereka makin menghampiri Bella.

“Saya nak jumpa Alex. Sepupu saya kata ada kerja,” kata Bella kepada mereka. Tiba-tiba seorang lelaki berbangsa Cina sedikit gempal menghampiri Bella.

“Saya Alex. Awak siapa?” soalnya.

“Saya Bella. Saya datang untuk kerja yang sepupu saya Hanim katakan tu,” ujar Bella. Mata Alex melirik pada Bella dari atas ke bawah. Kemudian dia senyum nipis.

“Oh, sepupu kamu Hanim ye?.., Mari kita masuk dulu,” ajak Alex.

“Err...tak bolehkah di luar ini sahaja?” pinta Bella. Alex dan rakan-rakannya berpandangan.

“Hmmm...kita masuklah dulu! Macamana nak bincang kalau berdiri macam ni?” ujarnya tersenyum kemudian memberikan isyarat kepada rakan-rakannya yang kini menghampiri Bella sedikit demi sedikit. Bella mengesan sesuatu yang tidak kena. Tak guna! Adakah Hanim mengkhianatinya? Dia berundur sedikit demi sedikit dengan wajah yang semakin pucat dan lelaki-lelaki itu makin menghampiri Bella.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.