Home Novel Cinta BaYaNGaN GuRaUaN
Bab 05

MERCEDES Benz E-class AMG diparkir sebaik memasuki pekarangan vila. Terlihat kereta papanya sudah terparkir elok di garaj. Lelaki itu sudah pulang ke rumah lebih awal.

“Hafiy!”

Satu suara memanggil dari taman mini. Melambai-lambai figura itu ke arahnya.

“Mari duduk minum dulu. Teman papa dengan mama ni.”

Lantas kaki diayun. Sudah menjadi kebiasaan papanya mengambil angin luar waktu petang begini sambil minum petang ditemani mamanya.

“Adik belum balik lagi, ma?” soal Tengku Hafiy tentang adik bongsunya, Tengku Hazreen Damya sebaik melabuh duduk. Briefcase dan blazernya diletakkan di kerusi sebelah.

“Belum lagi. Biasalah nak exam ni sibuklah dengan study group dia tu. Lewat kamu balik hari ni?”

“Sibuk sikit, ma. Pagi tadi ada mesyuarat untuk finalised calon-calon temuduga tempoh hari. Petang lepas solat Jumaat, ada mesyuarat dengan klien dari Sarawak.”

“Macam mana dengan temuduga hari tu, Fiy? Tak sempat papa nak turun menjenguk.”

Tengku Haiyan yang sedari tadi menghadap bacaannya, bersuara mencelah. Buku di tangan ditutup. Teh panasnya dihirup.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Adalah dua tiga orang calon yang Hafiy rasa layak untuk isi jawatan-jawatan tu. Papa tak payahlah risau. Uncle Mikhail dengan Aunty Zarina ada. Hafiy rasa calon-calon yang kami pilih adalah yang terbaik dan memang layak.”

“Papa tak risau, Fiy. Papa yakin dengan kamu dan semua staf papa.”

Tidak dinafikan, kejayaan Haiyan Holdings selama ini adalah hasil usaha seluruh pekerjanya yang dedikasi, jujur serta ikhlas dalam mencurahkan bakti demi kemajuan Haiyan.

Sepanjang dia mengendalikan syarikat, belum pernah lagi berlaku kejadian buruk yang membabitkan pekerja-pekerjanya. Jadi, tiada sebab untuk dia mencurigai sesiapa.

“Hmm... dah alang-alang kat sini ni, mama nak tanyalah. Kamu bila nak langsung? Dah dekat dua tahun kamu bertunang dengan Helena tu. Bukan apa... tak elok tunang lama-lama ni. Takut nanti orang tua Helena tu bising pula. Lagi-lagi anak mereka tu perempuan. Kamu pun bukannya muda lagi. Tahun ni dah nak masuk tiga puluh dua. Dah patut ada anak pun!”

Tengku Hafiy tersentak. Menungan pada ikan-ikan di kolam turut teranjak. Ditenung mamanya seketika sebelum menggaru-garu kepalanya.

“Err... nantilah, mama. Hafiy nak fokus pada syarikat tu dulu. Bila semuanya dah okey dan stabil nanti, bolehlah Hafiy fikirkan hal tu. Hafiy dah bincang dengan Helena dan orang tuanya. Mereka tak kisah. Lagipun Hafiy tunggu adik Hafiy yang seorang tu balik. Tak bestlah kalau Hafiy kahwin, dia tak ada. Kan, pa?”

Tengku Haiyan sekadar mengangguk dalam senyuman.

“Nak tunggu budak bertuah tu balik? Hermm... berjanggutlah kamu jawabnya, Fiy! Entah sampai bilalah nak kerja kat negara orang putih tu agaknya. Macam papanya sendiri tak ada syarikat nak diuruskan kat sini.

Itu belum lagi mama sebut fasal kahwin. Kalau dah bertahun-tahun nak tunggu dia balik, alamat bertahun-tahun jugalah nak tunggu hal kahwin keluar dari mulut dia. Bukan kamu tak kenal adik kamu tu. Nasib baiklah Kak Leen tu dah kahwin. Kalau tak, kempunanlah mama ni nak timang cucu!”

Ah, sudah!

Tengku Hafiy tarik nafas semahunya. Tengku Dafina sudah mula bersenandung tentang adik lelakinya. Habislah...

Bukan dia tidak biasa, malah telinga sudah lali. Dia sendiri hairan melihat adiknya yang lebih suka mencari rezeki di negara orang semenjak tamat ijazah pertamanya di Universiti Cambridge, United Kingdom. Katanya ingin cari pengalaman dulu sebelum berkhidmat di syarikat mereka.

Itu berkenaan kerjaya, belum disentuh hal peribadi. Sejak dulu lagi lelaki itu memang susah kalau bercakap hal perempuan dengannya. Tak tahu apa sebab musabab. Sedangkan ramai gadis yang tergila-gilakan adiknya yang seorang itu.

“Ada adik kamu tu beritahu bila dia nak balik terus ke sini?”

“Ada juga dia beritahu masa balik sini hari tu. Mungkin lepas dia habiskan Master.”

“Dahlah tu, Fina. Tak payahlah awak risau. Dah bosan duduk kat sana nanti, baliklah budak tu. Lagipun bukannya dia bekerja semata-mata. Sambil belajar juga, kan? Manalah tahu pengalaman yang dia dapat kat tempat orang nanti boleh bantu majukan lagi syarikat kita bila balik ke mari.” Tengku Haiyan menenangkan isterinya.

“Hmm... itulah abang. Suka sangat manjakan anak.”

“Hai, anak awak juga, kan? Saya bukan manjakan, cuma memahami mereka. Budak-budak sekarang bukan macam zaman kita dulu-dulu. Zaman dah moden, pemikiran pun modenlah. Saya tak kisah berapa lama budak tu nak bertapa kat negara orang tu. Asal jangan lupa asal-usul sebagai orang Islam dan Melayu, sudahlah.”

Tengku Dafina terdiam. Dalam hati turut mengiakan. Dia bukan apa, cuma kalau boleh mahu anak-anak sentiasa berada dekat dengannya. Meskipun telah berkahwin dan tinggal berasingan. Hati ibu mana yang tidak risau bila anak-anak jauh dari mata.

“Okeylah ma, pa. Hafiy naik dulu. Badan pun dah melekit ni. Anyway, ma... betul kata papa tu. Mama janganlah risau sangat. Tak adanya adik Hafiy tu nak duduk lama-lama kat sana. Hafiy pun dah pesan kat dia. Daripada bekerja dengan orang, lebih baik berkhidmat untuk keluarga sendiri. Penat dah papa bina syarikat tu untuk anak cucu dia.”

Tengku Hafiy kenyitkan mata pada papanya. Segera briefcase dan blazer dicapai dan bangkit berlalu. Angkat kaki dulu sebelum leteran mamanya bersambung.

Bukan tak suka. Ada baiknya kata-kata itu diucapkan sendiri pada empunya badan. Banyak mana pun wanita itu berleter padanya, keadaan tetap sama selagi anak bujangnya yang seorang itu masih tetap dengan pendirian serupa.


LANGKAH diatur segera memasuki vila. Tergesa-gesa dia berjalan memandangkan solat asar masih belum disempurnakan.

Buk!

Tengku Hafiy terlanggar sesuatu. Tubuhnya jatuh terduduk. Bahunya terasa sengal. Belum hilang sakit di bahu, satu suara yang lain turut menyeringai kesakitan.

“Aduhhh!”

“Eh, Dewi! Tak apa-apa ke?”

“Enggak apa-apa, mas. Cuma lagi pusing!” balas pembantu Indonesia itu memegang kepalanya yang berpinar. “Mas apaan sih? Sampai saya yang segede ini ditabrakin! Apa dikejar sama hantu?”

Berdekah Tengku Hafiy tertawa. Geli hati dengan telatah gadis muda berbadan gempal dari Medan itu. Sakit-sakit begini pun masih ada hati nak berjenaka.

“Tak adalah hantu. Tapi lagi cantik dari tu.”

“Loh? Siapa?”

“Ssyyy!” Tengku Hafiy meletak telunjuknya di mulut. “Perlahan sikit! Dengar Ibu Tengku nanti!”

“Ya. Iya! Iya! Dewi perlahan dikit ni. Mas lari dari siapa?”

“Ibu Tengkulah. Siapa lagi? Sebabkan adik abang tu, ni... telinga ni asyik kena tadah aje dengar bebelan dia. Sebelum kena lagi teruk, baik cabut dulu!”

“Oooo...” Dewi terangguk-angguk faham. “

“Eh, dahlah... abang nak naik dulu. Belum solat Asar lagi.” briefcase dan blazer yang terlepas dari tangan kembali diambil. “Betul Dewi tak apa-apa ni?”

“Iya! Benar! Enggak apa-apa sih, mas. Swear!”

Good! Tapi kalau ada apa-apa beritahu abang, okey?”

“Iya, mas!”

Melebar senyum Dewi menghantar susuk Tengku Hafiy mendaki tangga di sayap kanan vila. Sebaik kelibat lelaki itu lenyap, senyuman mati serta-merta. Kepalanya dipegang semula.

“Masih sakit dibilangin enggak sakit. Ya... tanggung sendiri kamu, Dewi!” ngomel gadis itu turut bangun melangkah ke ruang dapur basah vila.

“Kau dah kenapa membebel sorang-sorang ni, Dewi?” sapa Mak Ros, seorang lagi pembantu rumah Tengku Haiyan berusia lingkungan 60-an yang sedang minum petang bersama suaminya, Pak Man, pemandu kepada Tengku Haiyan.

Berbanding Dewi yang baru setahun bekerja, Mak Ros dan Pak Man telah berkhidmat lebih dari 30 tahun di vila tersebut. Di sinilah tempat mereka menumpang teduh. Dengan anak-anak majikan tempat mereka mencurahkan kasih sayang. Malah, Dewi juga sudah dianggap seperti anak sendiri lantaran tidak dikurnia cahaya mata sejak berkahwin.

“Haah, Dewi. Kenapa kau ni bercakap sorang-sorang?” tegur Pak Man sama.

“Enggak apa-apa, sih. Cuman ditabrakin sama hantu!”

“Hantu??!” Serentak suami isteri tua membalas. Habis tersembur kopi yang baru dihirup Pak Man.

“Eh bukan, bukan! Bukan hantu! Waduh... itu! Dewi lagi ditabrakin samanya Mas Hafiy. Aduhhh!” sekali lagi Dewi pegang kepalanya yang terasa berdenyut. Serasa lepas berlanggar tadi kepalanya juga sudah tidak boleh berfungsi dengan betul.

“Hisy, kau ni! Buat orang terkejutlah. Dah tu, okey tak ni? Kenapa dengan kepala tu?”

“Dewi baik-baik aja, mak. Cuman kepala lagi pusing!”

“Hmm... Dewi, Dewi. Macam-macamlah kau ni! Dah, mari duduk minum. Sejuk air ni nanti.” Mak Ros menuang minuman untuk Dewi.

Biarpun mulut tak henti bercakap setiap masa, namun itulah kelebihan Dewi yang buatkan hari-harinya di dapur sentiasa riuh dan ceria dengan jenaka gadis seberang tersebut.


“ALANG dengan Irish mana, umi?” tanya Izzul pada Puan Qarina yang sedang menuang minuman panas dibantu Iman dan Safiya. Rezeki Encik Izzuddin sekeluarga dapat berkumpul awal malam Sabtu itu sambil bersantai menonton televisyen bersama.

“Tak tahulah. Lepas makan malam tadi terus hilang budak berdua tu. Ada dalam bilik Irish agaknya.”

Sepuluh minit...

Terpacul wajah Irish dan Irma di ruang tamu bersama gelak tawa mereka.

Happy nampak!” Spontan Irhan menyapa.

“Iya ke, Han? Biasa aje. Tapi kalau semua orang tahu pun mesti happy juga!”

“Apa dia? Irfan nak dapat anak buah baru ke, kak lang?” duga pemuda itu teruja. Kebetulan dia balik cuti hujung minggu, dapatlah berkumpul sama.

“Hisy, Irfan ni! Ke situ pula dia!”

“Habis dah tengok kak lang happy semacam! Kalau bukan tu, apa lagi?” Irfan menggosok-gosok lengannya yang perih dek tamparan Irma.

“Ada orang tu dah dapat kerja. Lepas ni bolehlah dia belanja kita semua!”

Semua mata terpasak pada Irma, sebelum beralih ke wajah Irish di sebelah. Pandangan mengganti mulut sebagai isyarat menyoal gadis itu.

Sedetik, Irish menggangguk tanda mengiakan berita tersebut.

“Alhamdulillah! Tahniah!”

Kedengaran suara-suara gembira keluar dari mulut seisi keluarga Encik Izzuddin.

“Dapat offer dari syarikat mana, Rish?” Tiba-tiba Izzul bertanya.

“Haiyan Holdings, long.”

Tepat bening Izzul memanah raut adiknya. “Serius?! Syarikat kawan along tu?”

“Iyalah, long. Kenapa?”

“Tak... along ingatkan tak dapat. Dah lama juga baru dapat jawapan sejak along hantar temuduga hari tu.”

“Itulah. Irish pun ingat macam tu. Lebih tiga minggu dah. Tapi petang dapat call dari dia orang,” jelas Irish.

So, bila kena lapor diri?” celah Iman.

“Isnin depan.”

Stay sana? Ke berulang-alik?”

“Ya kut, kak ngah. Ada juga dia orang beritahu syarikat ada sediakan apartmen untuk pekerja. Tapi Irish rasa baik berulang ajelah. Lebih selesa tinggal kat rumah sendiri. Lagipun tak bolehlah nak berjauh dengan ayah, umi dan adik-adik kita. Rindu nanti!”

“Tahu tak apa!” Irfan membalas kembali gurauan kakaknya. Kali ini dia lebih dulu menjauh diri, sebelum lengannya menjadi sasaran sekali lagi.

Dan... seluruh ruangan itu dipenuhi deraian tawa untuk kesekian kali.


MALAM sudah semakin larut kala Irish melangkah masuk ke dalam bilik. Keluarganya yang lain turut berbuat demikian setelah puas bersembang panjang tadi. Menjelang malam begini dah tentu masing-masing ingin rehatkan diri setelah penat melakukan aktiviti seharian.

Figura lampai itu merebah badannya di atas katil. Mata merenung kipas yang sedang berputar di siling. Seperti mana kipas itu berputar, begitu jugalah dirasakan putaran hidupnya selama dua puluh empat tahun bernafas di muka bumi ini.

Sejenak, minda Irish mula berlegar mengingati sorotan kisah hidupnya. Dari kecil hingga menginjak ke alam remaja. Bagaimana dia mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Lalu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Kini bakal memasuki alam pekerjaan.

Begitu pantas masa berlalu. Serasa baru semalam dia belajar mengeja di sekolah tadika. Tetapi hari ini, dirinya sudah menamatkan pengajian di menara gading dengan segulung ijazah. Dan, lusa... dia akan memulakan khidmatnya di salah sebuah syarikat yang boleh dikatakan cukup gah di Malaysia.

‘Dah ready ke kau nak kerja ni, Irish? Isk!’

Wajahnya diraup keras, cuba mengusir segala aura negatif jauh dari hati. Cuba dikumpul kekuatan untuk menghadapi hari-hari mendatang.

“Boleh! Kau boleh, Irish. Insya-ALLAH pasti boleh. Semangat!”

Sedikit keyakinan mula datang bertamu dalam diri. Mulut kecil itu tersenyum nipis.

Benak gadis itu kembali berputar. Segala peristiwa yang berlaku kali ini hadir menyapa. Dari yang menggembirakan, hinggalah ke cerita yang menyedihkan. Andai dirinya tidak kuat, mungkin dia tidak akan berada hingga ke tahap sekarang.

Melukakan hati banyak pihak. Lebih teruk, menghancurkan masa depannya sendiri!

Syukur alhamdulillah... ALLAH masih bersamanya. Dan, akan tetap terus bersamanya selagi dia tidak pernah lupa dan leka kepada Penciptanya itu.

Irish melepaskan keluhan. Diraup sekali lagi wajahnya.

“Isk! Kenapa tak nak pejam-pejam mata ni?”

Digosok-gosok mata yang sudah pedih. Posisi beralih-alih. Muka ditutup bantal serapat mungkin. Namun... percuma. Matanya masih tetap segar.

“Tak boleh jadi ni. Dari tadi guling tapi tak mahu pejam, baiknya ambil wuduk. Sembahyang sunat, mengaji. Lagi bagus.”

Susuk itu turun dari katil. Langkah menghala ke bilik air.

“Mata ni pun... bila suruh pejam, tak nak pejam. Bila time nak buat kerja, masa itulah nak tertutup, kan?”


Previous: Bab 04
Next: Bab 06

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sayhazs Zailie