Home Novel Cinta BaYaNGaN GuRaUaN
Bab 15

 

PERKARANGAN Villa Haiyan sudah dipenuhi para tetamusewaktu mereka tiba di kediaman milik Tengku Haiyan itu. Izzul yang sedang mendukung anak perempuannya, Qisrina masuk mendahului Safiya yang juga sedang menggendong anak kecil mereka, Alief Qhuarizmie yang berusia sepuluh bulan itu. Irish pula mengekori di belakang bersama Qusyairi. Dari kejauhan sudah terlihat kelibat Tengku Hafiy yang sedang berbual mesra dengan seorang gadis. Sebaik Izzul datang menghampiri, ditepuk bahu rakannya itu.

“Hey, Zul! Bila kau sampai? Tak perasan pun aku!”

“Mana nak perasan. Dok sibuk bersembang dengan tunang dia sampai aku datang pun tak sedar!” Izzul menumbuk lembut dada Tengku Hafiy, menyebabkan lelaki itu tergelak besar.

Sorry, sorry! Betul aku tak perasan. Dah lama sampai ke?”

“Taklah. Baru je.”

Izzul mengangkat tangannya pada Helena yang setia di sisi Tengku Hafiy. Gadis itu tersenyum lalu bergerak menghampiri Safiya untuk bersalaman.

“Hai, Fiya. Sihat?”

“Sihat, El. Alhamdulillah.”

Dan kemudian pandangan Helena tertumpu pada gadis di sebelah Safiya. Rasanya dia tidak pernah bertemu dengan gadis itu.

“Oh, lupa! Kenalkan ini Irish, adik Izzul. Irish, ni tunang Abang Fiy, Helena.”

“Hai, Irish. Helena.”

Helena menghulur salam pada gadis manis di hadapannya itu. Senyuman mekar yang dipamerkan oleh Irish benar-benar membuatkannya terasa selesa walaupun ini baru kali pertama mereka bertemu.

Majlis malam itu diacarakan oleh seorang pemuda yang segak berbaju batik. Mungkin kenalan keluarga Tengku Haiyan barangkali, atau mungkin juga dari kalangan saudara mereka. Tirai majlis dibuka dengan bacaan doa oleh seorang ustaz. Sesudah itu, pengacara majlis menjemput Tengku Haiyan naik ke atas pentas untuk memberikan ucapan sepatah dua kata. Seluruh tetamu kelihatan begitu khusyuk mendengar ucapan beliau, termasuk Irish. Gadis itu memberikan sepenuh tumpuannya pada pentas di hadapan hingga tanpa sedar dirinya menjadi perhatian seseorang dari meja yang diduduki oleh ahli keluarga Tengku Haiyan.

Bagaikan menyedari dirinya sedang diperhatikan, perlahan Irish menoleh. Berderau darah apabila sepasang mata sedang merenung tajam ke arahnya. ‘Siapa dia? Rasanya tak pernah nampak sebelum ni. Tapi kenapa pandang aku sampai macam tu sekali?’ bisik Irish. Puas dia memikirkan siapakah gerangan lelaki tersebut. Manalah tahu mungkin dia pernah mengenalinya. Namun mindanya tidak berjaya untuk mengingati.

‘Hmm, biarlah.’ Akhirnya gadis itu hanya membiarkan sahaja.

Selesai Tengku Haiyan berucap, semua hadirin bangun dan memberikan tepukan padanya. Majlis kemudian dilanjuti dengan acara memotong kek sempena ulangtahun kelahiran cucu bongsu Tengku Haiyan yang berusia dua tahun. Walaupun majlis disambut dalam keadaan yang sederhana, namun kemeriahannya tetap terasa. Sementelah di dapur, kedua-dua pembantu rumah Tengku Haiyan juga tidak menang tangan. Walaupun hidangan pada malam ini kebanyakannya ditempah dari pihak katering, namun ada juga hidangan yang dimasak oleh mereka atas permintaan Tengku Dafina.

“Dewi, tolong mak ambilkan pinggan besar kat almari sebelah meja makan tengah tu,” pinta Mak Ros pada Dewi. Namun tiada reaksi. Lantas wanita itu berpaling ke belakang. “Ai! Hilang dah? Mana pergi budak bertuah ni? Bukan tadi dia duduk kat sini buat kerja ke?”

Mak Ros melangkah keluar dari dapur mencari Dewi. Sangkanya mungkin gadis itu pergi ke tandas sebentar. Namun sebaik dia sampai, pintu tandas bahagian dapur itu kelihatan terbuka menandakan tiada sesiapa di dalamnya.

“Mana pulak budak ni? Takkan tidur kat bilik kut? Sakit kepala?” duga Mak Ros. Walaupun mindanya tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan namun kakinya tetap juga dihayun ke bilik gadis itu. Keluar sahaja dari ruangan dapur, langkah Mak Ros tiba-tiba terhenti. Bibirnya diketap. Dengan perlahan dia melangkah menghampiri pintu di ruangan tengah villa.

“Oi, Dewi!”

Sergahan Mak Ros secara mengejut itu membuatkan Dewi benar-benar terkejut. Habis periuk dan sudip di tangan tercampak. Berdentang-dentung bunyinya sebaik ia jatuh ke lantai.

“Mak! Ngapain shockkan Dewi sampai begini sekali? Aduh, lemah dong jantung Dewi! Bisa kena heart attack Dewi kaya gini!”

Heart attack, ya? Yang kau dok terintai-intai kat sini tu kenapa? Penat mak terpanggil-panggil kau kat dapur dari tadi. Rupanya kau dah kat sini, kan!”

“Sshhh!” Dewi meletakkan jari telunjuknya di bibir.

“Apa sshhh, sshhh?”

“Aduh, mak! Perlahan dikit suaranya. Nanti didengarin sama semua orang.”

“Tau pun kau takut, kan? Amboi! Kerja bukan main melambak kat dapur, kau pulak dok terintai-intai kat sini. Dah kenapa? Curi tulang, ya?”

“Enggaklah, mak. Masakan Dewi dibilangin begitu. Ini... Dewi cuma suka lihat semua orang di luar itu. Cantik-cantik, ya. Cowoknya juga ganteng-ganteng. Aduh! Suka banget Dewi lihat sama mereka. Kan bagus kalau Dewi juga bisa pakai begitu. Pasti lagi grand!” ujar Dewi begitu teruja. Tersenyum-senyum dia melayani angan-angan sendiri.

“Jangan nak berangan!” serentak itu Mak Ros mencubit pipi gebu Dewi. “Kau kalau dah berangan sampai esok pun tak ada sudahnya. Dah, jom masuk dapur! Kerja kau memanggil-manggil dah tu!” Pantas Mak Ros menarik tangan Dewi untuk ke dapur. Namun langkahnya sekali lagi terhenti apabila ditahan oleh Dewi.

“Bentar, mak. Sebentar!”

“Laaa... apa lagi? Kang tak siap kerja tu, bising pulak Tengku nanti. Isshh! Cari pasal betullah budak bertuah ni! Hah, kenapa pulak kali ni?”

“Sabar, mak. Jangan marah-marah dong!” Dewi cuba menenangkan Mak Ros yang sudah

mula panas. Kemudian dia menjengah semula ke luar sambil memerhatikan sesuatu. “Tu...,”

“Apa dia?” Mak Ros turut menyoroti arah yang ditunjukkan oleh Dewi. “Tak nampak apa-apa pun!”

“Ishh! Mak ini! Manusia yang segede-gede itu pun enggak bisa dilihatin. Tu... itu....”

“Mana?!”

“Ya itulah! Anaknya Ibu Tengku yang baru pulang dari oversea itu!” ujar Dewi sambil mengarahkan jari telunjuknya pada seorang lelaki yang sedang berbual bersama tetamu-tetamu di luar. Ditarik sedikit tubuh Mak Ros merapatinya untuk melihat gerangan yang dimaksudkan.

“Yelah, yelah! Mak nampak ni. Ha, kenapa pulak dengan anak Tengku tu?” tanya Mak Ros. Dia tahu semenjak Dewi bekerja sebagai pembantu di villa ini, baru pertama kali gadis ini berjumpa dengan anak lelaki bongsu majikannya lantaran gadis itu bekerja di sini belum sampai setahun. Sedangkan lelaki itu sudah lebih setahun tidak pernah pulang ke Malaysia.

“Anak Ibu Tengku itu ganteng banget ya, mak! HandsomeGrand! Man...,”

“Oi! Tak habis-habis lagi? Dah, kau pergi buat kerja sekarang! Sebelum mak reportkat Tengku baik kau pergi buat kerja sekarang!”

“Ya, iya! Dewi pergi sekarang. Baru bilang sedikit udah mau marah.”

Dengan muka yang sedikit mendung, Dewi kembali ke dapur untuk meyambung kerja-kerjanya semula. Namun rajuknya bukanlah seteruk mana. Hanya merajuk seorang anak pada ibunya. Sebentar lagi baiklah dia. Dia tahu walaupun Mak Ros kuat berleter, namun hati wanita itu baik. Masakan tidak. Sepanjang dia bekerja di sini orang tua itulah tempat dia bermanja dan menumpang kasih sebagai ganti tempat ibunya yang berada jauh di seberang laut sana.

“Dah, siapkan kerja cepat. Lepas tu kita boleh makan. Dah lapar, kan?” tanya Mak Ros setelah kedua mereka sudah kembali ke dapur.

“Iya, mak. Dewi siapin sekarang!”


“MANA adik kau, Fiy?” Izzul bertanya pada rakannya. Sudah lama dia berada di sini namun batang hidung orang yang diraikan masih belum kelihatan. Spontan Tengku Hafiy menoleh ke arah meja utama yang berselang satu meja dari tempat mereka duduk.

“Tadi ada dia duduk kat situ dengan familyaku. Mana entah hilang.”

“Adalah tu dia jumpa sesiapa kut,” duga Izzul.

“Acik Irish... jom kita pergi tengok ikan kat kolam sana tu nak?” tiba-tiba Qusyairi bersuara mengajak Irish sambil jarinya ditunding ke arah kolam ikan di taman mini yang menjadi ‘destinasi’ wajib setiap kali bertandang ke villa itu.

“Boleh. Tapi kena tanya papa dulu.”

“Boleh tak papa?” pinta Qusyairi pada Izzul. Serentak semua mata tertumpu padanya.

“Hmm. Tapi hati-hati. Jangan terjun dalam kolam tu pulak, ya!”

Yes, sir!” jerit Qusyairi patuh. Sepantas kilat dia turun dari kerusi lalu menarik tangan Irish untuk turut bangun.

“Acik Iyish... Qis nak ikut jugak!”

Qisrina yang masih pelat sebutannya itu sudah mendepakan tangan minta dibawa bersama. Dalam tersenyum, Irish menuruti saja kemahuan si cilik itu. Didukungnya Qisrina manakala tangan kanannya memimpin Qusyairi lalu dibawanya menuju ke kolam ikan yang terletak hanya beberapa meter sahaja dari tempat duduk mereka.

“Hai! Nasib baik yang sorang ni kecik lagi. Kalau tak, dengan dia-dia sekali Irish kena angkut!” ngomel Izzul. Kepala anaknya yang tidur dipangkuan Safiya diusapinya.

“Itu baru kau, Zul. Esok-esok aku dah ada anak, tak tahulah macam mana gayanya!”

“Ikut perangai kaulah! Nak ikut siapa lagi!”

Perbualan mereka semakin rancak. Apa yang berlaku di sekeliling juga tidak begitu diambil pusing. Dan dalam pada berborak-borak, tiba-tiba muncul Tengku Dafina bersama anak-anaknya yang lain.

“Mama.”

Baru sahaja Tengku Dafina ingin melabuhkan duduk di kerusi, kedengaran satu suara memanggilnya. Segera wanita itu berpaling.

“Mama panggil Harrys?”

“Ha, Harrys. Mari! Jumpa dengan anak angkat mama, Izzul. Ingat lagi tak kawan abang kamu yang selalu datang sini dulu?”

Of courseThe only one his best friend.” Tengku Harrys terus mengatur langkah menghampiri Izzul. Dijabat tangan rakan abangnya itu sebelum mereka berpelukan.

“Ingat lagi kau, ya?” Tengku Hafiy turut bangun seraya menumbuk lembut dada adiknya, membuatkan lelaki itu tersenyum kecil.

“Sihat, bro?” Tengku Harrys bertanya khabar pada Izzul. Dia masih ingat lagi dulu sewaktu abangnya masih menuntut di UPM, Izzul inilah yang selalu dibawanya ke villa. Dan adakalanya bermalam di sini. Hinggalah Tengku Hafiy melanjutkan pelajaran ke luar negara dan tidak lama selepas itu dia pula turut sama menyertai jejak langkah abangnya. Sejak itu, mereka tidak pernah bertemu lagi.

“Sihat, Alhamdulillah. How about you?”

“Macam nilah. Sama macam dulu.”

Kali ini Izzul pula tersenyum. Sedikit janggal dia untuk berbual dengan Tengku Harrys. Dilihat adik rakannya itu masih seperti dahulu. Cuma penampilannya sahaja agak berbeza. Lebih kacak dan segak walaupun hanya dengan berseluar slack serta kemeja hitam yang dilipat lengannya hingga ke paras siku.

“Err... mana anak kamu yang berdua tu, Izzul? Tak nampak dari tadi. Irish pun Mak Engku tak nampak. Mana dia? Tak datang ke?” Tengku Dafina bertanyakan tiba-tiba. Namun belum pun sempat Izzul ingin membuka mulut, terdengar suara kanak-kanak berteriak dari jauh.

“Nek Engku!!!”

Kelihatan Qusyairi sudah berlari-lari dari arah kolam meluru untuk mendapatkan Tengku Dafina sebelum memeluk wanita itu. Kelakuan yang sama turut diulang oleh Qisrina, membuatkan kedua kanak-kanak itu berada dalam pelukan Tengku Dafina serentak.

“Cucu Nek Engku berdua ni ke mana je?”

“Pergi tengok ikan kat kolam tu dengan Acik Irish.” Qusyairi menjawab pertanyaan itu sambil muncungnya disuakan ke arah Irish di belakang. Irish yang masih lagi tercegat di tempatnya sekadar menguntum senyuman. Dapat dirasakan seluruh mata tertumpu padanya kini. Dengan perlahan, kakinya diatur mendapatkan Tengku Dafina.

“Mak Engku.”

Irish menyalami tangan wanita itu lalu dikucupnya lembut. Dan serentak itu Tengku Dafina meraih tubuhnya ke dalam pelukan sebelum dahinya dicium wanita itu seperti selalu.

“Mak Engku ingat Irish tak datang tadi.”

“Hmm... mama ni risau betul Kak Irish tak datang, kan!” Tengku Hazreen yang muncul dari belakang turut menyalami Irish bersama-sama kakaknya, Tengku Hazleen.

“Ha! Irish belum pernah jumpa dengan Harrys lagi, kan? Tu... kenalkan adik akak yang baru balik tu. Tengku Harrys.”

Tengku Hazleen mengarahkan telunjuknya ke arah lelaki yang dimaksudkan. Irish menoleh. Seketika, dua pasang mata mereka bertemu. Berderau sekali lagi darah Irish tatkala anak mata lelaki itu merenung tepat ke arahnya. ‘Bukan lelaki ni yang tenung aku tadi ke?’ desisnya. Dan sekarang ini pun lelaki itu masih tetap merenungnya tanpa berkalih walau seinci. Tidak tahan dengan panahan mata itu, Irish hanya menghadiahkan senyuman sekilas sebelum dialihkan pandangannya ke tempat lain.

“Eh, jomlah duduk! Dah lama tak berkumpul ramai-ramai macam ni!”

Tengku Dafina kembali bersuara memecah kesunyian. Lantas kesemua mereka duduk mengelilingi meja berkenaan, kecuali Tengku Haiyan yang masih sibuk melayan tetamu. Bermacam-macam cerita yang mereka borakkan. Hingga sesekali gelak tawa mengiringi perbualan, membuatkan suasana semakin riuh.

Hanya Tengku Harrys yang lansung tidak terusik dengan apa yang disembangkan di dalam kelompok itu. Matanya asyik memerhatikan Irish yang sedang memangku seorang anak perempuan kecil dalam lingkungan usia empat tahun yang sudah terlena dalam pegangan. Menurut mamanya tadi, itu adalah anak Izzul. Sesekali kelihatan gadis itu menepuk lembut kanak-kanak tersebut apabila lenanya terganggu.

“Hoi! Kau okay tak?” tegur Tengku Hafiy dengan perlahan sambil menyiku adiknya yang berada di sebelah. Bukan dia tidak perasan. Sedari tadi dilihat mata Tengku Harrys tidak lepas-lepas dari memandang Irish.

Sedikit tersentak dengan sergahan itu, cepat-cepat Tengku Harrys melarikan pandangannya dari terus menatap gadis yang duduk tidak jauh di hadapan.

Okay.”

Selamba sahaja suara lelaki itu menjawab, meninggalkan satu rasa yang sudah lama terbuku di hati.


Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.