LANGKAHNYA diatur penuh kemas memasuki bangunan besar itu. Ini kali kedua dia menjejakkan kaki ke Haiyan Holdings. Kali pertama lebih kurang tiga minggu yang lalu sewaktu menghadiri temuduga. Namun hari ini kakinya melangkah dengan penuh semangat untuk memulakan satu fasa baru dalam hidup demi membina kerjaya serta cita-cita di syarikat itu. Sama seperti sebelum ini, hatinya tetap berdebar-debar ketika memasuki ruang legar bangunan tersebut. Cuma debarannya kali ini agak berlainan memandangkan hari ini adalah hari pertama dia berkhidmat di sini.
‘Mampukah kau melaksanakan segala tugas yang akan dipertanggungjawabkan pada diri kau, Irish? Bukan calang-calang syarikat tempat kau akan bekerja ini.’ Hatinya berbisik risau.
“Tak apa, Irish. Belum cuba belum tahu. Insya-ALLAH, kau boleh!” Irish menasihati diri-sendiri. Segera kakinya dihala ke meja penyambut tetamu. Ruang legar ketika itu sudah dipenuhi pekerja-pekerja Haiyan Holdings yang mula memasuki pejabat masing-masing.
“Assalamualaikum. Selamat pagi,” sapa Irish pada gadis yang berada di meja penyambut tetamu itu dengan lembut.
“Waalaikumussalam. Selamat pagi. Ya cik, boleh saya bantu?”
“Saya datang untuk lapor diri hari ni.”
“Oh, cik nak lapor diri? Tunggu sebentar, ya.” Bicara gadis itu sambil tunduk memeriksa fail yang berada di hadapannya. Sesaat kemudian, dia mendongak semula memandang Irish. “Cik Irish Qiara binti Izzuddin?”
“Ya, saya.”
“Cik Irish boleh ikut saya. Silakan.”
Gadis itu bangun dan meminta Irish mengikutinya sambil di tangan memegang erat sebuah fail. Hanya beberapa langkah mereka berjalan, Irish memanggil gadis tersebut.
“Err, maaf cik...,”
“Panggil je saya Zaryn, Cik Irish.” Gadis itu memperkenalkan diri. Tampak mesra dengan senyuman di bibir, membuatkan Irish berani untuk memulakan perbualan.
“Zaryn, tak ramai ke yang lapor diri hari ni?”
“Ada tiga orang je yang perlu lapor diri hari ni. Termasuk Cik Irish.”
“Patutlah senang je Zaryn dapat detect saya.”
“Sudah semestinya! Lagipun, Cik Irish sorang je perempuan. Yang lagi dua orang tu lelaki. So bila Cik Irish cakap nak lapor diri tadi, saya cuma periksa nama je.”
Irish mengangguk kepalanya. Terasa ada keserasian bila dia bersembang dengan gadis kecil molek ini, walhal ini baru pertama kali mereka berbual. Satu perkara yang amat jarang bagi dirinya apabila bertemu dengan orang yang baru dikenali. Tetapi hari ini, ditambah lagi dengan sikap Zaryn yang peramah membuatkan Irish mula berasa senang dengan gadis tersebut.
“Macam mana interview Cik Irish hari tu? Mesti seronok, kan?”
“Okaylah, Zaryn. Alhamdulillah.”
“Mestilah okay, kan? Kalau tak, tak adalah saya dapat jumpa Cik Irish lagi hari ni!”
“Oh ya, lupa! Saya tak sempat nak ucap terima kasih kat awak lepas temuduga hari tu. Abang saya dah tunggu kat luar.”
“Tak apa, Cik Irish. Saya tak kisah pun. Ni dah jumpa, kan? Lepas ni lagi hari-hari Cik Irish jumpa muka saya. Sampai dah tak larat nanti nak tengok agaknya!”
Serentak itu ketawa mereka bergema di dalam lif. Mujur hanya mereka berdua di dalam itu. Dan ketawa mereka terhenti sebaik sahaja pintu lif terbuka di tingkat dua belas.
“Silakan, Cik Irish.” Zaryn melangkah keluar diikuti Irish. “Bangunan syarikat ni ada lima belas tingkat semuanya. Satu tingkatmewakili satu department. Pejabat Cik Irish kat tingkat dua belas ni yang mana tingkat ni adalah untuk department kewangan. Tapi tingkat ni dia istimewa sikit, tak sama dengan tingkatyang lain. Sebabnya tingkat ni sekali dengan bilik CEO, CFO, COO dan beberapa pegawai atasan Haiyan Holdings yang lain. Kalau Cik Irish perasan, tingkat dua belas ni agak besar sikit berbanding tingkat-tingkat yang lain. Memang bahagian kewangan syarikat ni dipantau rapi oleh Tengku sekeluarga. Jadi senang sikit kalau letak satu tempat. Cuma bilik Chairman je, iaitu bilik Tengku Haiyan kat tingkat atas, tingkat tiga belas. So, Cik Irish ni kira bertuah tau. Dapat kerja satu tingkatdengan our big bosses Haiyan Holdings!” seloroh Zaryn sambil mengangkat sebelah keningnya.
“Bertuah apanya, Zaryn. Kecut perut adalah kena menghadap mereka hari-hari!” Irish berbisik di telinga Zaryn, agak perlahan hingga membuatkan gadis itu tergelak kecil.
“Relaxlah, Cik Irish. Big bosses kat sini semuanya baik-baik. Tak pernah beza-bezakan pangkat walaupun mereka bukan berketurunan biasa. Saya dah empat tahun kerja kat sini, dah rasa macam kerja dengan keluarga sendiri. Cik Irish dah lama kat sini nanti tahulah rasanya macam mana.”
Sampai sahaja di hadapan sebuah bilik, Zaryn menghentikan langkah. Kemudian dia berpaling menghadap Irish. “Sampai sini je saya boleh hantarkan Cik Irish. Lepas ni Kak Maisarah, setiausaha Tengku Hafiy pulak yang akan uruskan,” ujar gadis itu sambil memandang ke arah wanita yang dimaksudkan.
“Tadi bukan Zaryn cakap ada dua orang yang lain ke yang kena lapor diri hari ni. Mana diorang, ya?”
“Oh, yang tu! Memanglah ada lagi dua orang. Tapi diorang department lain. Cik Irish sorang je yang saya kena hantar kat bahagian kewangan ni. Lepas ni Cik Irish bolehlah masuk.”
“Hmm? Masuk? Masuk mana?”
“Masuk bilik Tengku Hafiy, our CEO. Memang dia dah pesan nak berjumpa dengan semua staf baru sebelum mereka mulakan tugas di sini.”
Zaryn lantas menyerahkan fail yang dipegangnya kepada wanita yang dipanggil Kak Maisarah tadi sambil berkata sesuatu.
“Okay, Cik Irish. Saya turun dulu. Kalau ada apa-apa, saya ada kat bawah. Tapi kalau macam jauh sangat nak turun, Kak Maisarah yang dekat ni pun ada. Jangan risau. Staf kat sini semuanya sporting-sporting. Tak gitu, Kak Mai?” soal Zaryn pada Kak Maisarah. Wanita itu hanya mengangkat kedua ibu jarinya sambil tersenyum.
“Okay, Cik Irish. Saya gerak dulu. Enjoy your first day!” Zaryn mengenyitkan matanya sambil berlalu meninggalkan Irish.
IRISH duduk di dalam ruangan pejabat itu sendirian. Baru sebentar tadi Kak Maisarah memaklumkan bahawa Tengku Hafiy menyuruh agar dia masuk ke sini terlebih dahulu kerana lelaki itu ada beberapa hal yang perlu diuruskan. Sementara menunggu tuan empunya bilik tiba, mata Irish melilau memandang setiap sudut ruang pejabat yang tersusun kemas dan rapi itu. Ringkas tetapi menarik. Mungkin sama seperti tuannya yang sederhana, tetapi berkarisma. Itu yang didengar daripada mulut Izzul tentang rakan baik alongnya itu.
Irish memandang jam di tangan. Jarum sudah melewati angka 9.30 pagi. Perasaannya mulai gelisah. ‘Ada ke tak, ya?’ desisnya. Hati Irish mula berbolak-balik. Namun hanya seketika bila tiba-tiba kedengaran pintu bilik pejabat itu terkuak dari luar.
“Assalamualaikum.”
Suara seorang lelaki di belakang menyapa telinganya. Irish bingkas bangun dari kerusi yang diduduki. “Waalaikumussalam.”
“It’s okay. Duduk je, Cik Irish. Maaf saya lambat sikit. Ada hal yang kena selesai dulu. Maklumlah, hari Isnin.” Tengku Hafiy memberitahu dengan ramah sambil tersenyum. “Dah lama
tunggu?”
“Tak adalah, Tengku.” Tenang Irish menjawab. Namun yang sebenarnya dia cuba menutup rasa gugup dalam diri kerana pertama kali berhadapan dengan majikannya ini.
Tengku Hafiy memandang Irish sekilas sebelum matanya dialih pada fail yang diberikan oleh setiausahanya sebelum dia masuk ke sini tadi. Fail tersebut mengandungi semua maklumat dan dokumen berkenaan gadis yang sedang berada di hadapannya ini. Hanya sepintas lalu, dia menutup kembali fail tersebut.
“Hmm... rasanya tak ada apa yang perlu ditanya lagi. Dengan adanya awak kat sini hari ini maka terjawab sudah yang awak merupakan salah seorang daripada tiga calon yang telah dipilih untuk berkhidmat dengan Haiyan Holdings. Dan mengikut penilaian kami, awak adalah calon yang layak untuk memegang jawatan sebagai Eksekutif Kewangan di sini. So Cik Irish, awak dah bersedia untuk menjadi sebahagian daripada kami?”
“Insya-ALLAH, saya akan berikan yang terbaik dan termampu untuk syarikat.”
“Baiklah. Saya ucapkan selamat datang dan selamat menyertai keluarga Haiyan Holdings. Semoga tujuan kita untuk memajukan lagi syarikat ini akan diberkati dan diredhai oleh-Nya. Insya-ALLAH. Jadi sekarang mari, saya perkenalkan awak pada semua stafdi sini dan apa yang ada kat tingkat ni. Kemudian saya akan tunjukkan bilik awak.”
Semua pekerja yang berada di tingkat dua belas diperkenalkan kepada Irish. Bukan itu sahaja, malah Tengku Hafiy juga turut menunjukkan setiap ruangan yang terdapat di tingkat itu bagi memudahkan pekerja baru memulakan tugas di syarikat berkenaan. Irish yang pada mulanya agak gementar, mula terasa yakin dan seronok sedikit demi sedikit tatkala diperkenalkan kepada semua pekerja di tingkat tersebut yang pada pengamatannya amat mesra dan peramah. Majoriti mereka adalah Melayu. Hanya beberapa orang sahaja yang berketurunan Cina dan India serta bumiputera Sarawak. Selesai sahaja urusan tersebut, Tengku Hafiy kemudiannya membawa Irish masuk ke sebuah bilik.
“Alright, Miss Irish. This is your room. Kalau rasa tak selesa, terlalu kecil ke atau apa saja, bagitahu saya.”
“Eh, tak ada Tengku. Ini dah lebih dari selesa. Terima kasih.”
“Kalau macam tu, tak apa. Tapi kalau ada apa-apa, just inform me. Okay?”
“Baik, Tengku.”
“Good. Saya keluar dulu. Sekejap lagi pembantu awak, Insyirah akan datang dan awak bolehlah belajar sikit-sikit dulu dengan dia berkenaan syarikat ni. Apa-apa masalah, awak rujuk dengan dia. This is you first day. So, just relax. Semuanya akan baik-baik saja.” Tengku Hafiy memberikan kata-kata akhirnya dengan sebuah senyuman sebelum meminta diri.
Sebaik Tengku Hafiy keluar dari bilik itu, Irish menarik nafas sedalam-dalamnya. Setiap ruangan bilik itu diperhatikan. Bilik itu tidaklah kecil. Tidak juga terlalu besar seperti bilik Tengku Hafiy. Sederhana sahaja, namun cukup untuk membuat dia berasa sangat selesa. Perabot, hiasan dalaman, lukisan. Semuanya serba ringkas, tetapi menarik dan elegan.
‘Hmm... macam mimpi je aku ada kat sini. Inilah rezeki yang umi dan ayah pernah cakapkan. Rezeki yang Allah dah tentukan untuk hamba-Nya. Lagi banyak kita bersabar, lagi besar rezeki yang Allah akan berikan. Dan sekarang semuanya sudah jelas depan mata. Cuma tinggal usaha sahaja yang perlu ditingkatkan lagi untuk mencapai cita-cita dan impian hidup yang selama ini aku doa dan impikan. Tanpa menoleh ke belakang lagi.’
Nafas lega dihela untuk kesekian kalinya.