“PUKUL berapa awak cakap dengan Izzul nak datang ke rumah orang tuanya nanti?” Tengku Haiyan menyoal isterinya yang sedang menuang minuman panas ketika mereka sedang menikmati sarapan pagi. Hanya mereka berdua dan Helena di meja makan ketika ini. Anak-anaknya yang lain masih belum turun dari bilik masing-masing.
“Saya bagitahu Izzul petang. Lepas solat Zohor kita geraklah, bang.”
“Dah bagitahu anak-anak semua?”
“Sudah,” balas Tengku Dafina. Memang dia sudah memaklumkan perkara itu pada kesemua anak-anaknya. Hanya Tengku Hazleen sekeluarga yang tidak dapat turut serta kerana mengikut suaminya pulang ke kampung.
“Harrys?” soal Tengku Haiyan lagi.
“Dah, bang. Awal-awal saya dah bagitahu dia.”
“Okay ke budak tu? Apa kata dia?”
“Nak kata setuju, tidak. Nak kata membantah pun tidak. Insya-ALLAH, dia okaylah tu.”
Jawapan Tengku Dafina membuatkan satu keluhan terbit dari mulut lelaki separuh umur itu. Berfikir sejenak tentang penerimaan anak lelakinya berkenaan hasrat mereka ini. Kalau boleh dia tidak mahu memaksa anak-anaknya dalam soal memilih teman hidup. Biarlah mereka sendiri yang tentukan pilihan masing-masing. Zaman sekarang bukan seperti dulu yang mana calon pasangan ditentukan oleh orang tua.
“Morning, ma, pa!” sapa Tengku Hazreen tiba-tiba dengan nada penuh ceria. Dia baru sahaja turun dari biliknya diikuti Tengku Hafiy di belakang.
“Hmm, turun dah? Mari sarapan sini. Sejuk nanti tak sedap pulak,” arah Tengku Dafina pada anak-anak dan menantunya. “Abang kamu mana, Reen?”
“Abang? Ni kan abang, ma. Mama tak nampak?” Tengku Hazreen menjawab sambil melayang-layangkan tangan di hadapan mamanya. Spontan bahunya ditepuk.
“Ishh, dia ni! Mama nampaklah. Maksud mama abang Harrys kamu. Mana dia? Tak turun sekali ke?”
“Ooo... Abang Harrys. Reen dah ketuk pintu bilik dia tadi. Senyap je,” terang gadis itu seraya menyuap mee goreng ke dalam mulutnya.
“Fina. Awak pergilah jenguk Harrys kat bilik tu,” pinta Tengku Haiyan.
“Tak apa. I’m here.”
Suara itu membuatkan semuanya menoleh. Entah sejak bila Tengku Harrys sudah berada di ruangan makan itu. Kelihatan dia begitu santai dengan jeans dan t-shirt berserta jaket kulit yang sudah tersarung kemas di badan. Di tangannya pula sudah siap memegang topi keledar beserta sepasang glove. Lelaki itu menghampiri meja makan. Disalami satu-persatu ahli keluarganya sebelum berlalu dari situ.
“Nak ke mana, Harrys?” tanya Tengku Haiyan, membuatkan langkah lelaki itu terhenti.
“Keluar.”
“Keluar? Pukul berapa nak balik? Harrys tak ingat hari ni kita nak pergi mana?” sedikit terkejut Tengku Dafina dengan jawapan anak bujangnya.
Lama Tengku Harrys terdiam, membuatkan suasana menjadi sedikit sepi. Masing-masing bagaikan menunggu jawapan darinya. “Papa dengan mama buatlah apa yang baik untuk Harrys. Harrys terima. I’ve got to go. Assalamualaikum.”
Sebaik menghabiskan ayatnya, Tengku Harrys terus berlalu meninggalkan mereka di meja makan. Semua yang ada di situ kelihatan terpinga-pinga. Sudah lama Tengku Harrys tidak menunggang motosikalnya. Mereka sudah sedia maklum yang lelaki itu lebih gemar memandu kereta untuk ke mana-mana, termasuklah ke pejabat. Motosikal itu hanya akan dinaiki jika dia berada dalam keadaan emosi yang tidak baik. Dari riak lelaki itu tadi, memang agak tegang kelihatan wajahnya.
“Apa yang tak kena dengan anak bujang awak tu, Fina?” lembut sahaja suara Tengku Haiyan bertanyakan isterinya.
“Entahlah, bang. Saya pun tengah fikir jugak ni apa yang tak kena.”
“Ma... Abang Harrys kalau dah bawa sports bike dia, means jiwa kacaulah tu!” Tengku Hazreen mencelah tiba-tiba.
“Jiwa kacau? Kenapa pulak?”
“Dia tengah marahlah tu,” jelas Tengku Hazreen lagi.
“Iyalah. Marah kenapa? Kalau tak cakap, mana nak tahu apa yang dia marahkan tu.”
Kata-kata Tengku Dafina itu membuatkan tawa Tengku Hafiy pecah tiba-tiba. Spontan semua mata tertumpu ke arahnya.
“Yang kamu ni tiba-tiba ketawa kenapa, Hafiy? Orang tengah susah hati fikir pasal adik dia yang sorang tu, dia boleh senang hati ketawa pulak!” tingkah Tengku Dafina sedikit geram.
“Harrys tu jiwa kacau pasal mama carikan calon isteri untuk dialah tu. Macamlah mama tak tahu anak bujang mama tu kan allergic perempuan!”
“Tapi mama bukannya cari calon yang bukan-bukan untuk dia pun!”
“Ha! Yang tu satu lagi. Awak dah bagitahu Harrys ke belum?”
“Bagitahu apa, bang?”
“Siapa calon pilihan awak tu. Harrys dah tahu belum siapa kita nak pergi pinang nanti?”
Terdiam Tengku Dafina seketika, seperti baru teringatkan sesuatu. Lambat-lambat dia menjawab. “Belum. Saya ingat nak bagitahu nanti-nantilah.”
Sekali lagi Tengku Hafiy tergelak. Kali ini lebih galak dari tadi hingga membuatkan Helena di sebelah menepuk lengannya agar dia memperlahankan tawa.
“Patutlah pun dia marah sangat. Mama tak bagitahu lagi rupanya siapa calon menantu pilihan mama tu. Hai! Harrys, Harrys!” Tengku Hafiy menyambung kembali sisa-sisa tawanya itu. Sedikit tercuit dengan apa yang sedang berlaku. Dia yakin kalau mamanya berterus terang tentang siapa calon pilihannya, keadaan mungkin akan menjadi sebaliknya.
‘Kau ingat abang tak tahu apa yang ada dalam hati kau, Rys. Ini abang kaulah!’ senyuman Tengku Hafiy semakin melebar.
KEDATANGAN Tengku Haiyan sekeluarga disambut penuh mesra oleh seluruh keluarga Encik Izzuddin. Seawal kehadiran mereka tadi hingga ke meja hidangan, dan kini sudah kembali duduk di ruang tamu rumah itu, ada sahaja perkara yang disembangkan oleh dua buah keluarga tersebut. Bagaikan sudah lama mengenali walaupun ini adalah pertemuan kali kedua mereka selepas majlis perkahwinan Tengku Hafiy kira-kira sebulan yang lalu.
Semua yang ada di situ kelihatan rancak berbual, kecuali Tengku Dafina yang sedikit gelisah. Kepalanya asyik memikirkan tentang hajat yang membawa dia sekeluarga datang ke mari hari ini. Dilihat anak menantunya rancak berborak dengan Puan Qarina bersama anak menantu wanita itu. Manakala Tengku Hafiy, Izzul, dua adik lelakinya serta ipar-iparnya masing-masing tidak berenggang sedari tadi. Apa sahajalah yang dibualkan oleh anak-anak muda tersebut. Irish pula tiada di sini. Menghadiri majlis perkahwinan kawan sekolah katanya. Itu satu hal. Yang suaminya ini pula pun asyik benar bersembang dengan ayah Izzul. Terlupakah suaminya itu niat utama mereka datang ke sini?
Dalam kerancakan mereka bersembang, telefon bimbit Encik Izzuddin tiba-tiba berbunyi. Lelaki itu meminta diri untuk menjawab panggilan sebentar. Dan kesempatan ini tidak dilepaskan oleh Tengku Dafina untuk bercakap dengan suaminya.
“Amboi! Seronok betul abang berbual, ya.”
“Kenapa, yang? Salah ke? Lagipun memang abang seronok bersembang dengan ayah si Izzul tu. Banyak cerita dia.”
“Memanglah tak salah, bang. Tapi abang lupa ya tujuan sebenar kita datang ke mari untuk apa? Bersembang tu lepas-lepas ni pun boleh,” bisik Tengku Dafina seraya menjeling suaminya di sebelah.
“Hai, nak jeling-jeling manja pulak isteri abang ni kat sini. Abang tak lupalah, Fina. Cuma tengah cari waktu yang sesuai. Tak bolehlah nak terus terkam. Kita kan nak menyunting anak dara orang ni. Kenalah sabar.”
Sebentar kemudian kelihatan Encik Izzuddin kembali ke ruang tamu dan duduk semula di tempatnya. “Maaf ya, Tengku. Klien call tadi.”
“Tak mengapa, Encik Izzuddin. Biasalah kerja ni kadang tak kira waktunya bila.”
“Ha, lupa pulak. Dah lama bersembang ni baru perasan. Tengku tak usahlah berencik-encik dengan saya. Panggil Izzuddin je dah cukup.”
Tengku Haiyan tertawa kecil. “Yelah, Izzuddin. Tujuan kami ke sini pun untuk mengeratkan lagi silaturahim antara keluarga kita. Izzul tu dah macam anak kami sendiri sejak dia berkawan dengan Hafiy. Tapi saya dengan isteri ni tak pernah lagi jumpa orang tua dia. Alhamdulillah, orang kata rezeki kamilah hari ni dapat kenal dengan lebih rapat macam ni. Terima kasihlah sebab Izzuddin dan keluarga sudi terima kedatangan kami.”
“Eh! Tak ada apalah, Tengku. Sepatutnya kami yang ucap terima kasih sebab Tengku sekeluarga sudi datang ke teratak kami ni. Sudi terima layanan kami sekeluarga. Kalau ada yang terkurang tu, maaflahlah ya. Maaf jugak pada yang lain-lain.”
“Tak ada apa yang kurang pun, Izzuddin. Semuanya cukup.”
“Alhamdulillah.” Encik Izzuddin menarik lafaz lega kala mendengar jawapan Tengku Haiyan. Risau juga sekiranya layanan yang diberikan tidak dapat memuaskan hati tetamu mereka yang bukan sebarangan orang itu.
“Izzuddin...,” kata-kata Tengku Haiyan terhenti di situ. Mulutnya terasa berat tiba-tiba untuk meneruskan ayat. Dia mencuri nafas seketika sebelum menyambung bicara. “Memang tujuan kami datang ni untuk berkenal-kenal dan mengeratkan lagi hubungan keluarga kita. Tapi ada satu lagi hajat lain yang kami bawa bersama untuk dibincangkan.”
“Hajat apa tu, Tengku?” soal Encik Izzuddin sedikit hairan.
“Begini, Izzuddin. Saya bagi pihak keluarga datang ke mari membawa hajat sebenarnya. Hajat untuk merisik dan menyunting bunga yang sedang mekar dalam rumah Izzuddin ni.”
Berderau darah Encik Izzuddin tatkala mendengar kata-kata dari mulut Tengku Haiyan itu. Adakah lelaki itu tersalah cakap? Atau telinga dia yang tersilap dengar? Menyunting bunga di dalam rumahnya beerti ingin menyunting anak gadisnya.
“Betul ke apa Tengku cakapkan ni? Atau mungkin saya yang salah dengar.”
“Tak, Izzuddin. Memang betul apa yang saya cakapkan ni. Dan tak mungkin Izzuddin dan yang lain-lain salah dengar.”
Sekelip mata wajah Encik Izzuddin berubah. Dahinya juga berkerut memikirkan sesuatu. “Tengku... bunga yang ada dalam rumah saya ni cuma tinggal sekuntum je. Dan bunga tu cuma tinggal Irish seorang.”
“Iya. Memang Irishlah yang kami maksudkan, Encik Izzuddin.” Laju sahaja Tengku Dafina mengiyakan kata-kata itu. Berharap benar agar hajatnya itu diterima.
“Kalau tak keberatan boleh saya tahu. Untuk siapa risikan ni, Tengku?”
“Untuk anak lelaki kami. Tengku Harrys.”
Berderau sekali lagi darah Encik Izzuddin saat mendengar penjelasan Tengku Dafina. Tidak tahu apa yang harus diperkatakan. Sekilas ingatannya melayang pada anak gadisnya yang entah berada di mana ketika ini.
Suasana di ruang tamu itu berubah menjadi hening. Masing-masing tidak bersuara. Baik keluarga Tengku Haiyan apatah lagi keluarga Encik Izzuddin. Puan Qarina juga hanya mengambil sikap berdiam diri apabila perkara ini disuarakan secara tiba-tiba. Dia dapat melihat ketegangan di wajah suaminya. Bagaimana berat perasaannya saat ini, dia yakin suaminya itu juga sedang merasakan hal yang sama.
“Macam mana, Izzuddin? Dapat terima hajat kami ni?” Tengku Haiyan memberanikan diri bersuara setelah melihat lelaki itu hanya terdiam sedari tadi.
“Irish tahu ke tentang hal ni?”
“Tak, Encik Izzuddin. Irish tak tahu. Cuma Izzul je yang tahu tentang perkara ni.”
Serentak itu pandangan mata Encik Izzuddin menyorot ke arah anak sulungnya. Izzul pula cuma mampu membalas pandangan itu dengan perasaan bersalah. Pada keluarganya sekadar diberitahu tentang kedatangan keluarga Tengku Haiyan hari ini hanya untuk berkenalan dengan lebih rapat lagi tanpa memberitahu hal yang satu itu.
“Err... Encik Izzuddin jangan marah Izzul, ya. Memang saya yang pesan pada Izzul supaya rahsiakan perkara ini dulu. Biar kami yang sampaikan hajat kami ni sendiri,” beritahu Tengku Dafina lagi.
Encik Izzuddin menundukkan wajah. Satu keluhan berat dilepaskan. Tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan kepada keluarga itu. Memang kalau diikutkan, dia tidak layak lansung untuk bergaul dengan keluarga Tengku Haiyan. Inikan pula berbesan. Tetapi dari pengamatannya, jelas yang mereka benar-benar megharapkan hajat ini dapat diteruskan. Dalam keadaan kusut begini, dia hanya teringatkan nasib Irish.
“Macam nilah, Tengku. Saya nak bagi apa-apa keputusan pun tak berani. Sebab bukan saya yang dirisik. Apa-apa sekalipun, kami sekeluarga kena berbincang dan bertanya pada tuan empunya badan sendiri sama ada dia setuju ataupun tidak. Faham jelah kan budak-budak zaman sekarang ni. Semuanya nak ikut kehendak sendiri. Yang saya boleh cakap sekarang, saya mohon budi bicara Tengku dan keluarga untuk beri kami sedikit masa berbincang dan buat keputusan.”
Penjelasan Encik Izzuddin itu membuatkan Tengku Haiyan tersenyum. Mengerti dengan maksud kata-kata lelaki di hadapannya ini. Kemudian dia menoleh Tengku Dafina di sebelah. Dia tahu isterinya itu sedikit kecewa dengan jawapan Encik Izzuddin. Pantas jemari wanita itu digenggam, memujuknya agar bersabar.
“Assalamualaikum.”
Kedengaran satu suara lembut memberi salam, sekaligus mengalihkan perhatian mereka semua yang berada di situ.
“Baru balik, Irish.” Puan Qarina menyapa Irish yang sedang menuju ke arah mereka.
“Iya, umi.”
Irish sedikit terkejut saat melihat ruang tamu rumah dipenuhi dengan tetamu-tetamu yang sama sekali di luar jangkaannya. Dalam termangu kakinya tetap juga melangkah untuk bersalaman dengan mereka. Sebelum keluar tadi memang dia telah dimaklumkan bahawa ada tetamu yang akan datang ke rumah hari ini. Namun tidak sangka pula tetamu yang dimaksudkan itu adalah keluarga Tengku Haiyan.
“Dah lama sampai, Mak Engku?” tanya Irish sewaktu bersalaman dengan wanita itu.
“Dah lama jugak, Irish. Dah siap makan pun kami semua.”
Irish tersenyum mendengarkan jawapan tersebut sebelum dia berlalu ke arah Puan Qarina dan duduk di sebelah uminya itu.
“Berbalik pada perbincangan kita tadi, kalau Izzuddin sekeluarga perlukan masa untuk berbincang dan buat keputusan, tak mengapa. Kami faham. Yelah. Nak mendirikan masjid ni bukan satu perkara yang mudah, kan. Tambah-tambah lagi kalau bukan dengan pilihan sendiri.” Tengku Haiyan menyambung bicaranya. Kemudian dia menoleh pada Tengku Dafina.
Bagaikan mengerti maksud pandangan tersebut, lantas wanita itu membuka beg tangannya untuk mengambil sesuatu. Setelah itu dia meletakkannya di atas meja. “Kak Ina, ini sebagai tanda hajat kami. Tak kisahlah berapa lama masa yang Kak Ina dan keluarga perlukan untuk berbincang dan buat keputusan. Tapi saya harap Kak Ina dapat terima dan simpan cincin ni dulu. Bila dah ada keputusannya nanti, bagitahulah kami. Kalau hajat kami ni diterima, Alhamdulillah. Tapi kalau jawapannya nanti sebaliknya, saya tak kisah kalau akak nak pulangkan semula. Kalau tidak pun, tak apa. Anggap saja ini sebagai hadiah dari kami.”
Puan Qarina mengambil barang yang berupa sebuah kotak baldu kecil berwarna merah itu lalu dibukanya. Sebentuk cincin belah rotan yang ringkas tetapi menarik reka bentuknya terletak rapi di dalam kotak tersebut. Memang cantik. Dan yang pasti harga cincin itu juga bukan setakat ratusan ringgit. Puan Qarina memandang Irish di sisi. Begitu juga dengan Irish. Dia tahu anaknya itu pasti tertanya-tanya keadaan yang sedang berlaku ketika ini. Kotak yang berada di tangan itu ditutup semula sebelum diletakkan kembali di atas meja.
“Terima kasih, Tengku. Tapi akak rasa belum masanya untuk kami terima cincin ini. Lebih-lebih lagi, kami belum beri apa-apa kata putus.”
“Tak apa, Kak Ina. Macam yang saya cakapkan tadi. Saya memang nak akak simpan cincin tu dulu. Bila dah ada kata putus nanti akak bagitahulah kami, ya.”
Irish yang sedari tadi menjadi pemerhati, semakin bingung mendengarkan perbualan yang sememangnya tidak diketahui hujung pangkalnya itu. Tiba-tiba dia teringatkan Izzul. Mungkin alongnya tahu tujuan kedatangan Tengku Haiyan sekeluarga ke rumah mereka hari ini. Pantas matanya mencari wajah lelaki itu menagih jawapan. Namun cepat-cepat Izzul melarikan pandangan darinya. Begitu juga dengan adik-beradiknya yang lain.
‘Kenapa dengan semua orang ni. Buat tak tahu je aku pandang. Cincin? Bincang? Kata putus? Hmm... dengan siapa aku nak tanya ni, ya.’
Minda Irish terus ligat memikirkan tentang isi perbualan antara keluarganya dengan keluarga Tengku Haiyan itu. Hinggalah ke petang selepas tetamu sudah berangkat pulang, masih tiada seorang pun yang berani membuka mulut untuk menerangkan tentang keadaan sebenar yang telah berlaku sepanjang hari itu.
“DUDUK, Irish.” Encik Izzuddin mengarahkan anak gadisnya itu duduk setelah meminta Irma memanggilnya di bilik untuk berkumpul di ruang tamu. Ada perkara yang mereka sekeluarga perlu bincangkan malam ini. Suasana ruang tamu di kala itu sunyi sepi. Yang kedengaran hanyalah bunyi kipas syiling yang sedang berputar melakukan tugasnya. Mulut masing-masing bagaikan terkunci. Hanya menunggu Encik Izzuddin membuka mulut memulakan bicaranya.
“Irish nampak siang tadi siapa yang datang, kan?”
Pertanyaan Encik Izzuddin itu hanya dibalas anggukkan oleh Irish.
“Tahu kenapa mereka datang ke sini?”
“Tak, ayah.” Ringkas jawapan yang Irish berikan. Kepalanya masih tertunduk memandang lantai. Tidak berani menentang wajah ayahnya yang kelihatan serius ketika ini.
“Sebelum tu ayah nak tanya dulu. Irish ada berkawan dengan sesiapa sekarang ni?”
Spontan Irish mendongak. Dahinya berkerut. “Maksud ayah?”
“Irish ada berkawan dengan mana-mana lelaki ke sekarang?”
“Tak ada.”
Encik Izzuddin menghela nafasnya seketika sebelum berpaling pada isterinya di sebelah. “Awak ceritalah, Ina.”
Permintaan suaminya itu membuatkan Puan Qarina bangkit dari sofa dan berjalan mendekati Irish lalu duduk bersebelahan dengan gadis itu. Kemudian dia mencapai tangan Irish dan menyerahkan sesuatu dari genggamannya.
“Apa ni, umi?” Irish agak kaget melihat kotak kecil yang berada di telapak tangannya. Kotak baldu kecil berwarna merah yang sama dilihatnya siang tadi sewaktu Tengku Dafina menyerahkan ia kepada uminya.
“Irish... sebenarnya Tengku Haiyan sekeluarga datang ke rumah hari ni bawa hajat.”
“Hajat? Apa maksud umi?”
Irish dapat merasakan jantungnya berdebar tiba-tiba. Berdebar menanti ayat seterusnya yang akan keluar dari mulut Puan Qarina.
“Mereka berhajat untuk melamar Irish.”
“Hah??!” membulat mata Irish tatkala mendengar ayat itu. Kotak baldu yang dipegangnya juga hampir terlepas. “Lamar Irish? Buat apa?”
“Kalau dah melamar namanya, untuk dibuat calon isterilah dik oi! Boleh tanya buat apa pulak!” Iman mencelah tiba-tiba. Geli hati mendengar soalan itu.
“Tapi untuk siapa?” soal Irish lagi. Namun soalan itu hanya dibiarkan tanpa jawapan. Masing-masing tidak berani untuk memberitahu untuk siapa lamaran itu dihantar.
“Kenapa semua diam? Ke lamaran ni tak bertuan?”
“Lamaran tu untuk adik Hafiy, Rish.”
“Hah??!” sekali lagi Irish terkejut dengan jawapan itu. Kali ini pandangannya tepat dihalakan ke arah Izzul. “Tengku Harrys?”
Izzul mengangguk perlahan. Dia tahu Irish pasti terkejut dengan berita ini. Sama seperti dirinya sewaktu mula-mula Tengku Dafina meluahkan hasratnya tempoh hari.
“Along jangan main-mainlah. Jangan bergurau dengan hal macam ni!”
“Tak ada siapa yang berani bergurau dalam keadaan macam ni, Irish. Tengok muka semua orang sekarang ni ada macam bergurau ke?” celah Rafie pula, sekaligus membuatkan Irish terdiam.
“Irish, apa yang along bagitahu tu betul. Memang Tengku Haiyan sekeluarga datang ke sini siang tadi nak merisik dan melamar Irish untuk Tengku Harrys. Tapi Irish dengar sendiri kan yang kami belum beri apa-apa kata putus lagi. Sebab kami nak bincang dan tanya pada Irish sama ada setuju atau tidak. Ini berkaitan dengan hidup Irish, masa depan Irish. Jadi umi dengan ayah nak Irish tentukan sendiri. Fikir baik-baik sebelum buat keputusan.”
Penjelasan Puan Qarina itu membuatkan Irish semakin tunduk membisu. Masih tidak percaya dengan khabar yang baru di dengarnya ini. Sungguh, dia bingung memikirkan apa sebenarnya yang sedang berlaku.
‘Kenapa tiba-tiba ni? Ya Allah! Dugaan apa pula kali ini?’ keluhnya dalam hati.
“Ayah bagi tempoh seminggu untuk Irish fikirkan tentang hal ni. Lepas tu buat keputusan. Sama ada terima atau tak, itu hak Irish. Tapi ingat, jangan sampai bergaduh disebabkan perkara ni. Irish cari rezeki dengan mereka. Dan ayah tak nak Irish terima kerana termakan budi atau status yang mereka pegang,” tegas sahaja kata-kata Encik Izzuddin kedengaran. Lalu dia bangun dari sofa yang didudukinya. “Terima atau tak, bagi ayah jawapannya minggu depan. Jangan sampai buat orang tertunggu-tunggu dengan keputusan kita.”
Dan lelaki itu terus berlalu dari situ meninggalkan ahli keluarganya. Dia tidak tahu kenapa emosinya begitu terganggu sejak keluarga Tengku Haiyan pulang dengan meninggalkan sesuatu yang sukar untuk diterimanya. Kalau dia punya kuasa untuk menolak, sudah ditolak hajat itu awal-awal sewaktu mereka meluahkan hasrat siang tadi. Tetapi demi menjaga air muka tetamu serta maruahnya sekeluarga, ditahan saja emosinya ketika itu. Lagi pula, semua keputusan di tangan Irish. Biarlah anaknya sendiri yang menentukan masa depannya.
Di ruang tamu pula semuanya mendiam seribu bahasa. Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Bagai mengerti dengan kata-kata ‘amaran’ yang diucapkan oleh ayah mereka sebentar tadi.
SEISI keluarga itu sedang leka menonton televisyen kala bunyi deruman enjin Ducati 1098S berwarna merah memasuki perkarangan villa. Waktu ketika itu sudah menjangkau ke pukul 11.30 malam. Beberapa minit kemudian, kelibat Tengku Harrys kelihatan muncul di balik daun pintu utama. Riak wajahnya masih sama sepertimana dia meninggalkan rumah seawal pagi tadi.
“Harrys ke mana dari pagi keluar baru balik?” sapa Tengku Dafina apabila melihat anaknya hanya berlalu melewati mereka di ruangan itu. Tengku Harrys yang baru sahaja ingin melangkah menaiki anak tangga, tidak jadi untuk meneruskan. Terkaku sebentar dirinya di situ sambil tertunduk memandang lantai.
“Harrys?” panggil Tengku Dafina sekali lagi.
“Keluar ambil angin.”
“Harrys dah makan belum? Kalau belum mama minta Mak Ros ke Dewi sediakan.”
“Tak apa. Harrys dah makan. Kalau tak ada apa-apa Harrys naik dulu.”
Tanpa menunggu lagi Tengku Harrys terus mendaki anak tangga menuju ke biliknya. Dia hanya mahu merehatkan badan serta fikiran ketika ini. Dan perlakuannya itu menimbulkan rasa tidak puas hati pada Tengku Dafina. Lantas wanita itu bangkit dari sofa dengan harapan ingin berbual sebentar dengan anak bujangnya itu.
“Nak ke mana awak, Fina?”
“Nak naik atas jenguk Harrys sekejap, bang.”
“Tak usahlah. Budak tu baru je balik. Biarlah dia berehat dulu.”
“Tak adalah, bang. Saya ni bukan apa. Risau menengok budak si Harrys tu.”
“Mama, tak apa.” Tengku Hafiy bangun lalu memaut bahu mamanya agar wanita itu kembali duduk. “Mama duduk je kat sini. Biar Hafiy yang pergi tengok Harrys. Okay?”
“Tapi...,”
“Mama, listen to me. He’s not in a good mood right now. So let me see him. Hafiy tahulah nak handle adik Hafiy tu macam mana. Mama duduk je tengok TV tu, okay?”
“Hmhh... yelah, yelah!” akhirnya wanita itu mengalah.
Tengku Hafiy tertawa kecil bila melihatkan mamanya sudah menarik muka. Terbit rasa kasihan di hati. Tetapi dia tidak mahu ada pertengkaran yang akan berlaku sekiranya Tengku Dafina berjumpa Tengku Harrys dalam keadaan emosi adiknya itu tidak stabil. Dia tahu fikiran Tengku Harrys sedang berserabut ketika ini.
“Hafiy naik tengok Harrys dulu.”
Tengku Hafiy berlalu dari situ dan terus menaiki tangga menuju ke bilik Tengku Harrys. Firasatnya kuat mengatakan ada sebab mengapa adiknya berkelakuan sebegitu hari ini. Jarang dia melihat Tengku Harrys dalam keadaan marah-marah. Dan sebagai anak lelaki sulung, satu tanggungjawab untuk dia memperbetulkan keadaan dan salah faham yang timbul sekarang ini. Sampai sahaja di hadapan bilik lelaki itu, dia mengetuk pintu. Namun tiada jawapan. Tengku Hafiy membuka pintu bilik tersebut. Dalam samar cahaya, dia dapat melihat satu susuk tubuh sedang berbaring di atas sofa dalam bilik itu. Perlahan dia menghampiri. Dilihat mata adiknya sudah terpejam sambil tangan kanannya diletakkan ke atas dahi. Tidak pasti sama ada Tengku Harrys sudah terlena ataupun sekadar baring melepaskan penat.
“Harrys. Tidur ke?”
Teguran itu membuatkan Tengku Harrys sedikit terkejut. Tidak sedar entah bila abangnya itu masuk ke dalam biliknya. Tahu-tahu sahaja lelaki itu sudah melabuhkan duduk di sofa sambil menghadapnya.
“Bila abang masuk?”
“Abang ketuk pintu tadi senyap. Redah jelah. So, what’s up bro? Kau okayke?”
“Tak ada apa-apa. I’m okay,” balas Tengku Harrys lalu bangkit dari baringnya dan duduk bersandar.
“Okay kau cakap? Tak payah nak berlakonlah, Harrys. Dari pagi tadi kau keluar dengan muka macam tu, okay kau cakap?” Tengku Hafiy tergelak mendengarkan jawapan adiknya. “Kau ke mana satu hari ni, ha? Tahu kan keluarga pergi merisik untuk kau?”
“Tahu.”
“Then, mana kau menghilang? Patut orang tua pergi merisik, happy, excited! Ini tak. Muka dah macam ayam kena berak kapur je abang tengok!”
Serentak itu Tengku Harrys mencapai sebiji bantal kecil di sebelah lalu dibalingkan ke arah Tengku Hafiy. Tetapi tangan abangnya lebih pantas menangkap. Apalagi, makin galaklah ketawa lelaki itu.
Tengku Harrys mendengus geram. Malas mahu melayan abangnya lagi dia bingkas berdiri sambil menanggalkan jaket yang masih tersarung di badan sebelum berlalu ke almari untuk mengambil tuala dan pakaiannya. Seharian dia menunggang motosikal hari ini tanpa hala tuju. Semata-mata ingin lari dari masalah yang sedang membelenggu diri. Setelah itu dia merehatkan diri di kondo miliknya dan Fezrul. Menghabiskan masa bersama rakan baiknya itu sedikit sebanyak dapat meringankan sedikit beban di fikiran. Namun untuk bercerita pada Fezrul tentang masalah yang sedang dihadapi, belum waktunya lagi.
Dia tidak tahu apa yang telah berlaku siang tadi dan apa yang terjadi dengan risikan itu. Dan sememangnya dia tidak mahu mengambil tahu lansung mengenainya. Dia pasrah seandainya ini adalah takdir yang sudah tertulis buat dirinya. Sejak mengetahui tentang perkara tersebut dari mamanya tempoh hari, dia hanya mengambil sikap berdiam diri. Lansung tidak bertanya siapa calon pilihan mamanya itu, walaupun dia dapat mengagak siapakah orangnya. Malah sejak itu hatinya menjadi tidak tenteram. Emosinya juga sering terganggu. Hingga kadangkala dia melepaskan kemarahannya pada orang lain. Dan yang menjadi mangsa selalunya adalah Irish.
‘Irish.’
Hmmh! Menyebut nama itu sahaja membuatkan dirinya dilanda rasa bersalah.
“Kau tak nak tahu ke apa jadi dengan majlis merisik siang tadi, Rys?”
Pertanyaan itu mematikan lamunan Tengku Harrys. Dia menoleh pada abangnya yang masih duduk di sofa. Tiada sebarang jawapan. Hanya satu renungan tajam diberikan pada lelaki itu sebelum berpaling semula menghadap almari mencari sesuatu.
“Eh, budak ni. Senyap pulak dia! Rys, dengar tak apa abang tanya ni?”
“Dengar.”
“Dengar tapi buat tak tahu pulak!” tingkah Tengku Hafiy geram.
“Perlu ke?”
“Hai, of courselah! Takkanlah kau tak nak tahu siapa bakal isteri kau tu. Dan apa jawapan yang we all bawa balik hasil perbincangan siang tadi.”
Masih lagi senyap. Tiada tanda-tanda yang Tengku Harrys akan membuka mulut.
“Harrys!”
Sebaik namanya disebut sekali lagi, terus sahaja Tengku Harrys menghempas pintu almari dan meluru ke arah abangnya.Kolar baju Tengku Hafiy direntap lantas dia menarik lelaki itu untuk bangun menentang matanya.Jelas kemarahannya tidak dapat dibendung ketika ini.
“Nak ambil tahu pasal apalagi?! Who’s my future wife?? The answer is Tengku Melissa, right?! And of course family Pak Ngah dah terima risikan tu! Now I want to ask you one question. When is the date of our engagement? Next month? Next year? Or probably next week, my dear brother?!”bentak Tengku Harrys geram. Mukanya sudah merah padam menahan marah.Namun marahnya itu hanya percuma sahaja bila ketawa Tengku Hafiy berderai sekali lagi hingga memenuhi segenap ruang bilik tersebut.
“Hey, Rys! Kau ni dah kenapa??! Astaghfirullahalazim! Cuba bawa mengucap sikit!” jerkah Tengku Hafiy lalu melepaskan genggaman Tengku Harrys di kolar bajunya. Terkedu juga dia diperlakukan sebegitu. Sungguh, seumur hidupnya inilah pertama kali Tengku Harrys berkelakuan seperti ini. Namun sedikit pun dia tidak ambil kisah atau berasa hati. Dia tahu adiknya benar-benar tertekan saat ini. “Itulah. Lain kali orang offer nak bagitahu, jangan jual mahal sangat. Kan dah jadi macam ni!” tingkah lelaki itu lagi bersama tawa yang masih bersisa.
“What?! Salah ke apa yang Rys cakap?”
“Memang tak betul pun! Kau ingat mama nak ke buat perempuan macam Lissa tu jadi menantu dia? Mati hidup balik pun mama takkan buatlah!”
Serta-merta wajah Tengku Harrys berubah mendengarkan kata-kata abangnya. “Bukan Lissa? Then, who?!”
“Macam nilah, Rys. We all balik tadi dengan tangan kosong sebab keluarga pihak perempuan belum beri apa-apa keputusan lagi. Mereka minta tempoh untuk berbincang dan beri kata putus yang abang sendiri pun tak tahu sampai bila. So...,” Tengku Hafiy merapati adiknya lantas memaut bahu lelaki itu sambil membisikkan sesuatu. “... kau bincanglah dengan Irish baik-baik pasal hal ni. Mana tahu dapat lembutkan hati dia untuk terima kau!” ujarnya seraya menepuk bahu Tengku Harrys sebelum beredar untuk keluar dari situ.
“Abang, wait!” pantas Tengku Harrys menarik bahu abangnya, menghalang lelaki itu dari terus melangkah. “Apa maksud abang bincang dengan Irish baik-baik?”
“For your information, calon pilihan mama yang selalu disebut-sebut tu, she was Irish.”
“What?!”
“Yes! Sebab tu abang suruh kau bincang baik-baik dengan dia. Doa-doalah keluarga dia akan beri jawapan yang mengembirakan. Sebab mama memang betul-betul berhajat nak bermenantukan Irish untuk kau.”
Tengku Hafiy terus berpaling dan menyambung langkahnya. Sebelum merapatkan pintu, sekali lagi dia berpesan. “Bincang baik-baik dengan Irish. Ingat pesan abang ni. Good night!”
Daun pintu ditutup. Namun mata Tengku Harrys masih tertumpu di situ dengan pandangan yang tidak berkelip.
“Irish?” ucapnya seakan tidak percaya.