"KAU ibarat bougainvillea. Kau kembang, kau mekar, kau cantik berwarna-warni. Kau jadi tarikan buat semua lelaki yang memandang kau. Kau buatkan, semua kumbang cuba mendampingi kau ...."
Muazzam berjeda seketika. Wajah gadis itu dipandang sekilas sebelum dia menyambung butir bicara, "Tapi akhirnya kau rebah. Kau rebah ke pangkuan aku. Rebah ke pangkuan lelaki yang membisikkan kata cinta buat kau. Kau lemah angkara bisikan cinta semata-semata, Waddah."
Ujaran Muazzam dapat dilihat kepuitisan bahasanya. Namun terselit kesinisan kata. Nafas mulut menghembuskan kepulan asap rokok ke ruang udara. Matanya terhala ke luar jendela bilik yang dihuni oleh mereka berdua.
Qaseh Mawaddah bangun dan bersandar pada kepala katil. Air matanya masih mengalir menodai pipi. Gebar ditarik bagi menutupi keseluruhan tubuhnya yang sudah kedinginan. Wajah Muazzam dipandang penuh rasa sakit di hati.
Dia marah kerana kepercayaannya dikhianati. Dirinya menjadi mangsa nafsu serakah lelaki yang sangat dia cintai. Kenapa perlu samakan dia seperti bunga?
Dia? Bougainvillea? Kenapa?
Apa gunanya dia diumpamakan seperti bougainvillea jika diri sendiri tidak mampu dia pertahankan. Cantik hanya subjektif. Jika cantik menjadi kayu ukur dalam perhubungan, sudah pasti cinta itu tidak akan kekal lama.
'Kenapa Muazzam perlu membuktikan cinta mereka dengan cara begini?' Qaseh Mawaddah merintih di dalam hati. Dia meramas geram gebar yang melitupi tubuhnya. Cuba melampiaskan rasa hati.
"Kenapa abang buat Waddah macam ni?" soal Qaseh Mawaddah dalam nada suara yang tertahan.
Hatinya pedih. Menangis air mata darah sekalipun tidak akan mampu mengembalikan semula kesuciannya. Ruang matanya dikaburi dek mutiara jernih yang bertakung semula.
Tangisan mula kedengaran halus. Dia sama sekali tidak menyangka yang Muazzam sanggup bawa dia ke tempat begini. Dia ingatkan lelaki itu mahu bawa dia bersiar-siar seperti selalunya.
Dia tidak dapat menebak perbuatan Muazzam tatkala lelaki itu datang dengan membawa dua cawan air Nescafe. Dia hanya menyambutnya dan minum tanpa rasa curiga.
Mustahil dia mahu mencurigai kekasih hati sendiri. Tidak mungkin Muazzam akan melakukan sesuatu yang melampaui batas perhubungan mereka.
Dia hanya menurut saat lelaki itu mengajak dia masuk ke dalam kereta sebaik saja menghabiskan minuman. Tanpa mengesyaki sesuatu, Qaseh Mawaddah akur.
Dan sedar-sedar pagi ini, dia berada di atas katil. Tanpa sehelai pakaian terlekat di tubuhnya. Sementara Muazzam pula berdiri di hadapannya dengan riak tidak bersalah. Malah berbangga kerana menjadi yang pertama. Siap bermadah pujangga.
Dia sakit? Dia marah?
Ya! Hatinya sakit. Sakit kerana sesuatu yang dia pelihara selama ini hilang hanya kerana seorang lelaki. Marah! Marah kerana meletakkan kepercayaan terlalu tinggi dalam perhubungan yang belum tentu kesudahannya.
Rasa marah Qaseh Mawaddah tiba-tiba memuncak. "Jantan tak guna!" dia menjerit seperti terkena histeria. Segala bantal dicampak ke arah tubuh Muazzam. Lelaki itu cuba mengelak. Tetapi balingan gadis pujaan hatinya tepat saja mengena pada sasaran.
Muazzam menoleh. Matanya meratahi segenap wajah sang kekasih hati. "Kenapa Waddah cakap abang tak guna? Selama ni kan Waddah cakap Waddah sayang abang. Abang pun sayang Waddah sepenuh hati abang. Abang nak Waddah jadi milik abang seorang. Dan sekarang dah terbukti yang hanya abang akan memiliki Waddah. Bukan lelaki lain," Muazzam bersuara perlahan.
Dia kembali ke katil dan duduk di sebelah Qaseh Mawaddah. Tangan gadis itu digenggam erat. Cuba mengalirkan sedikit ketenangan. Jeritan gadis itu juga perlu dihentikan. Jika gadis itu menjadi api, dia perlu menjadi air untuk meredakan kemarahan sang kekasih.
Muazzam cuba bersikap tenang seolah tiada apa yang berlaku. "Waddah jangan risau. Abang akan bertanggungjawab sepenuhnya pada Waddah. Nanti lepas Waddah tamat belajar, kita kahwin okey?" lembut suara Muazzam memujuk.
Matanya memandang tepat ke arah gadis itu. Air mata sang kekasih diseka dengan jari-jemari jantannya. Dagu Qaseh Mawaddah ditarik supaya mendongak memandang wajahnya. "Abang janji."
Qaseh Mawaddah mencari anak mata lelaki bersetentangannya itu. Cuba mencari keikhlasan kata-kata yang barusan ditutur oleh Muazzam. Benarkah bagai dikata? Atau sekadar bermulut manis mahu memujuk dia semata?
Wajah itu nampak benar-benar ikhlas. Tetapi jika Muazzam ikhlas, kenapa perlu buat dia begini? Kenapa Muazzam perlu meletakkan dia dalam situasi yang menjengkelkan seperti ini?
Hati Qaseh Mawaddah masih lagi dibelenggu rasa keliru. Antara kasih dan maruah yang terhimpit. Dia seolah-olah tersepit dan sukar untuk berfikiran waras.
"Abang benar-benar ikhlas, Waddah. Abang janji dengan Waddah, abang akan kahwin dengan Waddah," tekan Muazzam sekali lagi. Dia perlu meyakinkan gadis itu.
"Betul?" soal Qaseh Mawaddah inginkan kepastian. Lelaki itu mengangguk.
Senyuman semakin mekar di bibir Qaseh Mawaddah. Dia mulai termakan pujuk rayu sang lelaki. Pada dia, asalkan Muazzam mahu bertanggungjawab, itu sudah cukup.
"Cuma ... Waddah takut, Waddah risau nanti mak dengan ayah tahu macam mana?" soal Qaseh Mawaddah perlahan.
Muazzam menarik sang kekasih ke dalam pelukannya. "Jangan takut, sayang. Waddah kan ada abang. Apa pun yang terjadi lepas ni, kita hadapi bersama ...," pujuk Muazzam perlahan.
Dia berharap sangat Qaseh Mawaddah akan termakan pujukan dia. Apa lagi yang seorang gadis perlukan selain pujukan penuh romantis dari lelaki seperti dia. Hati seorang gadis lembut ibarat tisu. Kerasnya bak kerak nasi. Biar lama direndam pasti akan lembut pada akhirnya.
"Abang janji?" Qaseh Mawaddah meleraikan pelukan. Anak mata sang kekasih dicari lagi.
"Ya. Abang janji dengan Waddah," Muazzam menoktahkan janjinya.
"Abang janji takkan tinggalkan Waddah? Abang janji yang abang akan bertanggungjawab?" Muazzam mengangguk. Sekali lagi gadis itu ditarik ke dalam pelukan jantannya. Perlahan-lahan senyuman sinis terkoyak dibibir hitam Muazzam.
Qaseh Mawaddah melepaskan nafas kelegaan. Dia sangat berharap agar Muazzam akan menepati janjinya. Pada siapa lagi dia perlu berharap jika bukan pada Muazzam.
Sungguh, rasa cinta mengatasi segalanya biarpun hubungan itu haram. Semudah itu dia terpujuk dengan pujuk rayu sang lelaki. Entah di mana letaknya akal dan imannya.
"Dah, jom siap. Abang hantar Waddah balik," Dia melepaskan pelukan lalu bangun daripada duduknya.
Dicapai baju dan seluar yang bergelimpangan di lantai. Disarung satu per satu ke tubuh. Dikutip pula pakaian kekasih hati. Diletak semula di birai katil.
Muazzam mencapai jam di atas meja bersebelahan katil, kemudian disarung ke pergelangan tangan. Sekilas itu matanya memandang masa yang tertera.
"Dah pukul 5.00 pagi sayang. Cepat siap. Nanti lambat Waddah masuk kelas," tutur Muazzam lembut.
Qaseh Mawaddah segera tersedar. Dia segera mencapai pakaiannya lalu masuk ke bilik air. Rasa marah yang membuak-buak pada Muazzam tadi perlahan-lahan beransur hilang. Dia sendiri pelik.
Hebat sangatkah cinta pada si teruna hingga tergadai maruah? Masih tegarkah dia mencintai lelaki yang menodai kepercayaan dia? Sedangkan kaum lelaki itu sememangnya tercipta sebagai pelindung kaum wanita?
Bait-bait terjemahan ayat suci al-Quran yang pernah disebut oleh seorang penceramah agama dalam salah satu kuliahnya di laman Facebook satu ketika dulu terlakar di ruang minda.
Kata Ustaz itu, lelaki dicipta dengan pelbagai kelebihan yang melayakkan lelaki sebagai pemimpin kepada kaum wanita. Setiap lelaki mempunyai tanggungjawab yang harus dipikul. Dan salah satunya adalah memelihara wanita yang berada di bawah tanggungjawabnya.
Dan lelaki yang lalai serta tidak mempedulikan wanita yang berada di bawah tanggungjawabnya akan diazab dan diseksa oleh api neraka. Allah SWT telah berfirman;
"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka". Surah An-Nisa' : 34.
Qaseh Mawaddah bagai tersedar. Siapakah dia pada Muazzam? Dia bukan wanita yang mempunyai hubungan yang halal di sisi agama, apatah lagi isteri kepada lelaki itu.
Apa yang pasti, dia wanita yang punya rasa hati. Hati yang menginginkan perlindungan daripada seorang lelaki yang halal baginya. Janji Muazzam pada dia harus lelaki itu tunaikan segera sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku.
***
TEPAT jam 6.00 pagi, Suzuki Swift milik Muazzam berhenti di hadapan post guard menghala masuk menuju ke kolej. Enjin kereta tidak dimatikan. Dia menoleh memandang Qaseh Mawaddah. Wajah gadis itu dapat dilihat dalam cahaya yang samar-samar.
"Abang minta maaf," Muazzam bersuara memecahkan kebisuaan antara mereka.
Qaseh Mawaddah menggeleng. Dia tidak mahu membincangkan hal itu lagi. Dia perlukan masa untuk menghadam semula apa yang telah terjadi.
"Dah sampai. Waddah balik dulu," pinta Qaseh Mawaddah sebelum membuka pintu kereta. Tangannya segera dicapai oleh Muazzam. Mata lelaki itu menikam wajahnya.
"Waddah tak marah abang lagi?"
Qaseh Mawaddah menggeleng. Kenapa dia perlu marah? Dia cintakan lelaki itu. Namun apa yang berlaku buat dia di persimpangan. Antara cinta dan kemarahan. Selebihnya dia keliru. Keliru dengan perasaan sendiri. Keliru dengan tindakan diri sendiri.
"Abang tak lupa janji abangkan?" soal Qaseh Mawaddah ingin memastikan.
Muazzam laju mengiakan. "Selama kita berkawan, pernah ke abang mungkir janji dengan Waddah?"
Qaseh Mawaddah menggeleng lagi. Dia tunduk. "Waddah cintakan abang ...."
"Abang pun cintakan Waddah. Sepenuh hati abang. Next week abang cuti, kita jumpa lagi okey?" pujuk Muazzam. Jemari Qaseh Mawaddah dalam genggamannya diangkat lalu dikucup. Lama. Kemudian perlahan-lahan dilepaskan.
"Waddah balik kolej dulu. Hati-hati abang bawa kereta. Nanti Waddah text abang," dia mengakhiri pertemuan mereka.
Qaseh Mawaddah membuka pintu kereta dan menapak keluar. Kakinya segera dihalakan ke pintu masuk kolej. Lampu jalan masih lagi menerangi laluan. Memudahkan dia berjalan masuk menuju ke asrama.
Seketika dia berpaling melihat kereta Muazzam yang kian hilang dari pandangan. Keluhan berat dilepaskan.
Ya Allah! Benarkah apa yang dia lakukan? Memaafkan lelaki itu? Menerima janji-janji itu? Lelaki yang menodai dia tanpa sekelumit pun rasa bersalah? Layakkah lelaki seperti itu melindungi dia? Bodohkah dirinya kerana termakan pujuk rayu Muazzam? Dia berada di persimpangan dilema. Wajah mak dan ayah sekali lagi menabiri ruang mata.
BERSAMBUNG ....