Home Novel Cinta Bougainvillea! Kerana Kau Bunga Larangan
Bougainvillea! Kerana Kau Bunga Larangan
ainRAZAK
21/11/2020 14:23:26
62,612
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

KEBIASAANNYA hari minggu di kolej, diisi dengan pelbagai aktiviti. Tidak kurang juga ramai pelajar mengambil peluang ini untuk beristirahat. Ada juga yang keluar 'mencuci mata'.


Lain pula dengan Qaseh Mawaddah. Memandangkan Muazzam telah membatalkan pertemuan mereka pagi ini, dia cuma lepak-lepak di asrama menghabiskan masa dengan mencari maklumat untuk projek akhir nanti.


Letih dan penat mengadap komputer riba seharian, Qaseh Mawaddah membawa diri ke padang yang terletak di hadapan blok asramanya. Dia duduk bersantai di kerusi, menghala ke padang.


Angin sepoi-sepoi bertiup menyapa lembut wajahnya, menghantar rasa damai. Mulut pula sudah dipenuhi roti gardenia berinti sardin. Puas bila dapat menikmati makanan tanpa gangguan sesiapa.


Habis mengunyah sebiji bun, tangannya dibawa menyelongkar lagi beg plastik yang berisi beberapa jenis roti yang dia beli di kedai asrama tadi. Dikoyak sebungkus lalu disua ke mulut.


"Hoi!" sergah satu suara. Qaseh Mawaddah tidak menoleh. Dia tahu siapa yang menyergahnya.


Tanpa dipelawa, Zaidi terus duduk di sebelahnya. Dia mengengsot sedikit saat bahu mereka bersentuhan. "Isy, haram tau dekat-dekat. Duduk jauh sikit," dengus Qaseh Mawaddah. Bahunya disapu-sapu dengan hujung anak-anak jari.


"Eleh, haram konon. Yang kau keluar dating dengan pakwe kau tu, tak haram pula," ejek Zaidi. Bahu Qaseh Mawaddah sengaja ditolak dengan hujung jari telunjuk. Mujur gadis itu sempat mengelak.


Zaidi tersengih. "Kau dah kenapa termenung sorang-sorang? Tak keluar dating ke hari ni?" dia menyoal. Dipandang sekilas wajah gadis di sebelahnya. Monyok semacam saja.


"Tak. Hari ni aku cuti. Kau dah kenapa datang sini? Nanti tak pasal-pasal si sotong tu jeling dekat aku. Dah naik juling mata dia aku tengok."


Zaidi tertawa tatkala mendengar omelan rakan baiknya. Pot pet tidak berhenti. Dah serupa bertih jagung. Dia suka dengar Qaseh Mawaddah menyebut nama panggilan Syira si sotong. Kelakar!


"Ha! Eloklah sangat kau ketawa. Nanti dia datang betul-betul, baru kau tahu!" tempelak Qaseh Mawaddah. Dia menarik muka.


Geram melihat Zaidi ketawa. Dia malas mahu bertekak dengan Syira. Buang masa dan tenaga. Asyik cari masalah dengan dia saja. Tidak pernah mahu berbaik.


"Dia tak ada. Awal pagi lagi dah keluar. Dia cakap ada reunion dengan kawan-kawan masa sekolah menengah dulu."


"Eh, dia tak ajak kau ke?"


"Dia ada ajak aku pergi juga, tapi aku yang malas nak ikut. Malaslah nak bergaul dengan kawan-kawan zaman sekolah dia tu. Segan aku."


Qaseh Mawaddah menjungkit kening. "Oh ... buah hati kau tak ada, baru kau berani nak dekat-dekat dengan perempuan lain ya?" Qaseh Mawaddah menampar bahu Zaidi. Beradoi lelaki itu.


"Huh! Kau cakap haram sentuh-sentuh. Asal kau tampar aku pula? Haram tau." Zaidi memulangkan paku buah keras. Gadis di sebelahnya tersengih. Lesung pipit di pipi, menambahkan lagi seri di wajah Qaseh Mawaddah. Cantik!


"Aku bukan nak hasut kau, Zaidi. Sekarang pun kau dah takut dengan dia, nanti dah kahwin, mesti kena queen control. Hah, padan muka kau!" ujar Qaseh Mawaddah serius.


Tidak dapat hendak dibayangkan kalau Si Syira sotong tu kahwin dengan Zaidi. Silap hari bulan, Zaidi mahu keluar rumah pun tak boleh.


"Bukan takutlah Waddah, tapi sayang ...." Zaidi membetulkan. Huh! Nampak sangat dia terlalu sayangkan Si Syira


"Eleh, sayanglah sangat. Sampai dengan aku pun dijelingnya bagai nak rak. Apa maknanya sayang kalau cemburu macam tu Zaidi?" Qaseh Mawaddah cuba mengasak lagi. Sengaja dia mengumpan reaksi rakannya.


"Daripada kau hasut aku macam ni, baik kau temankan aku pergi cari makan. Aku lapar ni." Zaidi cuba mengubah topik. Dia memegang perut.


"Huh, berlakon! Kau sengaja mengelak eh?" Qaseh Mawaddah mencebik.


"Eh, mana ada mengelak. Kau tengok ni. Dahlah kau makan tak simpan sikit untuk aku. Kawan jenis apalah kau ni, Waddah?" Zaidi menunjukkan plastik bun Gardenia yang kosong. Dia ronyok lalu dimasukkan ke dalam plastik berwarna biru.


Qaseh Mawaddah hanya tersengih. "Jomlah, kesian pula dekat kawan aku ni. Meh sini aku teman kau. Kita pergi kedai Abang Mat dahlah. Malas aku nak pergi jauh-jauh. Takut terserempak dengan sotong," bebel Qaseh Mawaddah seraya berdiri.


Sempat lagi memerli Zaidi, dia mengibas-ngibas belakang punggungnya.


Zaidi mengetuk kepala Qaseh Mawaddah dengan botol air mineral yang sudah kosong. "Adoi! Sakitlah pandai! Agak-agaklah wey, takde insurans kut kepala aku ni!" jerit Qaseh Mawaddah kuat. Geram betul dia dengan tindakan Zaidi.


"Suka sangat cakap makwe aku tu sotong. Karang kau dapat laki sotong baru kau tau," bidas Zaidi turut membalas geram.


Qaseh Mawaddah terkekeh ketawa. Kalau bercakap dengan Zaidi, memang tidak akan habis. Langsung tidak bernoktah.


"Dahlah, jom gerak. Tapi kau kena belanja aku tau. Aku tak bawa dompet. Tadi pun aku bawa duit cukup-cukup aje. Malas dah nak naik pergi ambil dekat bilik. Penat ...," ujar Qaseh Mawaddah.


Gila nak panjat tingkat tiga semata-mata mahu mengambil dompetnya? Tidak turun semulalah alamatnya. Lebih baik dia berehat terus di bilik.


Qaseh Mawaddah memandang Zaidi yang sudah pun berdiri. Cuba memancing simpati. Matanya dikerdip-kerdipkan. Persis kucing parsi menggatal.


"Bolehlah ek," rengek dia lagi. Wajah Zaidi dipandangnya manja.


Huh! Zaidi mendengus. "Okeylah, okeylah ... aku belanja kau hari ni. Nanti kau belanja aku pula. Ada tiga bulan tau kita nak habiskan masa bersama-sama. Hari-hari kau kena belanja aku," kata Zaidi nakal.


"Eh, melampau. Kau belanja aku sekali aje pun. Kenapa pula aku nak kena belanja kau hari-hari?" protes Qaseh Mawaddah tak puas hati.


"Dah, jangan cakap banyak. Aku lapar dah ni. Karang aku makan kau baru tahu," ugut Zaidi.


Mata Qaseh Mawaddah terbuntang. "Wey! Mulut kau memang takde insurans, kan? Melampau sungguh!" marah Qaseh Mawaddah. Zaidi suka sangat bergurau begitu. Dia pula suka fikir yang bukan-bukan.


"Macamlah kau baru kenal aku. Dah jom. Aku belanja kau," balas Zaidi kemudian. Tak tegar dia mahu mengusik sahabatnya itu lama-lama. Merajuk nanti, siapa mahu siapkan final project?


"Yeay! Zaidi belanja!" Qaseh Mawaddah melompat kesukaan. Tidak dihiraukan pemuda di sebelahnya.


"Macam budak-budak," bidas Zaidi lantas menarik hujung lengan baju Qaseh Mawaddah. Diheretnya gadis itu mengikuti langkahnya. Lagi banyak cakap, lagi lambat jalan. Dia sudah lapar. Terkunci terus mulut gadis di belakangnya. Qaseh Mawaddah menurut tanpa membantah.


***


SEMENTARA menanti Zaidi memesan makanan, Qaseh Mawaddah duduk di meja Gerai Abang Mat Conner paling hujung. Bertentangan dengan jalan raya.


Ramai orang yang keluar masuk kedai untuk membuat pesanan. Nampak gayanya lambat lagilah dia dan Zaidi boleh menerima pesanan mereka.


Qaseh Mawaddah memandang jauh ke tengah jalan. Bunyi deruan enjin kereta yang lalu-lalang, bersilih ganti. Masing-masing berlumba menuju ke destinasi yang diingini.


Matahari semakin tenggelam, hari kian beransur gelap. Dia melihat jam di tangan dengan ekor mata. Waktu menunjukkan jam 7.00 malam. Sebentar lagi azan maghrib pasti berkumandang dari surau berdekatan kolej.


Qaseh Mawaddah tercari-cari wajah Zaidi tetapi lelaki itu tidak kelihatan. "Mana kau pergi ni Zaidi?" omel Qaseh Mawaddah gelisah. Dia sudah berkira-kira mahu bangun.


"Hoi! Kau cari aku ke?" tamparan Zaidi melekap di bahunya. Pemuda itu menarik kerusi lalu duduk di hadapan dia. Wajahnya ditenung lama. Serius.


"Kau dah kenapa tengok aku macam tu? Buang tabiat ke apa?" soal Qaseh Mawaddah laju.


Pandangan mata Zaidi menikam wajahnya. Dia melarikan bebola mata. Jantungnya berdetak laju. Tidak mungkinlah bertentang mata dengan Zaidi pun dia boleh berdebar sakan.


Ketawa Zaidi meletus kuat. "Yang kau gelabah cari aku pahal? Rindu?" ujar Zaidi dalam sisa tawanya.


Qaseh Mawaddah mencebik. Malas mahu melayan perangai tiga suku Zaidi. Matanya kembali memandang ke jalan raya.


Tiba-tiba Qaseh Mawaddah berdiri tegak. Matanya tertancap pada sebuah kereta yang amat dia kenali, sedang berhenti di seberang jalan berhampiran perhentian bas. Kereta itu diamati lama sebelum laju langkah kakinya diatur menuju ke arah kereta tersebut.


"Waddah! Waddah!"


Panggilan Zaidi langsung tidak dihiraukan. Dia terus menapak ke tepi jalan. Ingin memastikan sama ada pandangan matanya tadi salah atau pun betul. Sesekali telefon bimbitnya ditekan. Lihat kalau-kalau ada mesej daripada buah hati. Tetapi malangnya, satu pun tiada. Kosong!


Zaidi mengejarnya dari belakang. Kereta yang lalu-lalang langsung tidak dihiraukan. Dia terus melintas. Bunyi hon langsung tidak dipedulikan.


Suzuki Swift berwarna kelabu itu kian didekati. Dia meneliti nombor plat kenderaan. Memang dia tidak salah melihat! Kemudian cermin di bahagian pemandu diketuk kasar. Perlahan-lahan cermin itu dijatuhkan dari dalam.


Terjengul wajah Muazzam yang berkaca mata hitam. Lelaki itu juga kelihatan agak terkejut. Pasti tidak menjangka yang mereka akan bertemu. Pandangan curiga diberikan.


"Abang buat apa dekat sini?" soal Qaseh Mawaddah tenang.


Belum sempat Muazzam menjawab soalannya, seorang gadis keluar dari tempat duduk penumpang di bahagian depan. Mata Qaseh Mawaddah segera membulat. Syira! Dadanya dipegang erat. Terperanjat!


"Hai, Waddah. Kau dah kenapa macam nampak hantu? Kau tak pernah tengok aku ke?" soal Syira selamba.


Zaidi yang mengekori Qaseh Mawaddah dari belakang terus menghampiri mereka. Wajahnya juga nyata terkejut.


"Macam mana kau boleh keluar dengan Muazzam?" soal Qaseh Mawaddah kasar. Nafasnya sudah turun naik. Menahan rasa marah.


Muazzam segera menapak keluar. Dia mendekati Qaseh Mawaddah. Tubuh mereka dirapatkan. Haruman perfume yang dipakai oleh Muazzam menyesak hidungnya.


"Eh, kita orang kan dah bertunang, kau tak tahu ke? Muazzam tak kasi tahu kau?" soal Syira dengan wajah sombong.


Sengaja mahu menyakitkan hati bekas teman sebiliknya. Kalau boleh, semua lelaki yang dekati gadis itu, dia mahu jadikan haknya.


Zaidi menolak Muazzam dan berdiri bersebelahan Qaseh Mawaddah. Dia mendepani Syira. Wajahnya sudah berkerut menahan marah. Jika sahabatnya marah, dia apatah lagi.


"Tunang? Sejak bila kau bertunang? Kenapa aku tak tahu?" Giliran Zaidi pula menyoal. Kasar saja bunyinya.


Muazzam cuba memegang tangan kekasih hatinya tetapi segera ditepis oleh Zaidi. "Kau jangan sentuh dia!" tegas Zaidi bersuara. Dia lihat Qaseh Mawaddah seolah sudah hilang punca. Wajah gadis itu berubah keruh.


"Okey, okey." Muazzam mengangkat kedua-dua belah tangannya ke atas.


Syira berjalan menghampiri Zaidi. Cuba menerangkan perkara yang sudah jelas di depan mata. "Ala, bie ... I sebenarnya tak nak kahwin dengan dia. Mak bapak I yang tunangkan kita orang." Syira masih lagi mahu menegakkan benang yang basah. Dia cuba menarik tangan Zaidi. Tetapi segera ditepis kasar oleh jejaka itu.


"Apa yang you cakap ni, Syira? Baru tadi you kata yang you setuju dengan rancangan ibu bapa kita. Sekarang you cakap lain pula!" tempelak Muazzam kuat. Dia berpura-pura marah.


Qaseh Mawaddah berundur setapak ke belakang. Cuba menjauhi sketsa yang sedang berlangsung di layar mata.


Drama apakah semua ini? Hatinya menjerit kuat. Wajah Muazzam, Syira dan Zaidi dipandang silih berganti. Pelbagai perkara bersesak dalam mindanya.


"Waddah, Abang ...," Muazzam terusan memanggil. Dia mahu menjelaskan kedudukan yang sebenar. Tetapi percakapannya segera dipintas oleh Zaidi yang sedang meluahkan rasa marahnya pada Syira.


"Syira, kita putus! Dah Waddah, jom!" tanpa menunggu kata balas dari kedua mereka, Zaidi pantas memegang tangan Qaseh Mawaddah dan mengheret gadis itu berlalu dari situ.


"Bie!" Laungan Syira langsung tidak dipedulikan oleh Zaidi. Kaki gadis itu sudah menghentak-hentak ke tanah. Muazzam pula sudah tersandar ke keretanya dengan wajah kusut.


Qaseh Mawaddah hanya menurut ketika Zaidi mengheret dia pergi dari situ. Dunia dirasakan kelam ketika itu juga. Kecurangan di depan mata. Pengkhianatan yang merobek seluruh jiwanya. Kesucian yang telah ternoda. Dia menyesal! Dia berdendam! Dia benci dengan makhluk yang bergelar lelaki!







BERSAMBUNG ....




Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.