Home Novel Cinta Bougainvillea! Kerana Kau Bunga Larangan
Bougainvillea! Kerana Kau Bunga Larangan
ainRAZAK
21/11/2020 14:23:26
62,583
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

QASEH MAWADDAH membuka sandal yang dipakai lalu disusun di atas rak yang sudah tersedia di luar bilik. Plastik yang berisi tupperware makanan yang diberi oleh Puan Hanim tadi diletakkan di atas meja belajar.


Badannya dihempaskan di atas tilam yang belum bercadar. Huh! Letih sungguh dia rasakan. Bayangkan dia angkat keseluruhan barangnya naik ke tingkat tiga seorang diri. Berapa round jangan ditanya. Dia pun belum sempat mahu mengira.


Mahu minta tolong si ayah? Memang tidaklah dia mahu menyusahkan ayahnya yang sudah meniti usia. Puan Hanim juga dihalangnya dari menolong. Dia tidak mahu menyusahkan kedua buah hati dunia akhirat dia. Dia sendiri susah, itu lebih baik.


Encik Rizqi dan Puan Hanim pula sudah pulang sebentar tadi seusai dia habis memunggah semua barangnya naik ke bilik. Dipeluk dan diciumnya mak dan ayah sepuasnya sebelum mereka bergerak pulang.


Matanya memandang kipas yang sedang berputar laju. Lantas ingatan hinggap pada kenangan masa lalu.

Umar. Umar Al-Khattab.



"WADDAH, boleh tolong Kak Miya tak?" Qaseh Mawaddah mendongak. Gadis yang memakai baju kurung berwarna ungu itu sedang memandangnya sambil tersenyum.


"Tolong apa ya Kak Miya?" soal Qaseh Mawaddah tidak mengerti.


Miya atau nama sebenarnya Salamiah tersenyum-senyum lagi. Gadis itu rakan seusia Umar. Mereka sekampung. Anak jiran dia. Mak Cik Syakirah.


"Kak Miya nak minta tolong Waddah. Tolong sampaikan sesuatu."


"Sesuatu?" kening Qaseh Mawaddah berkerut. Apakah yang gadis itu mahu dia sampaikan? Dan kepada siapa dia harus sampaikan?


Gadis itu mengangguk. "Ini. Kak Miya nak Waddah tolong sampaikan pada Umar." Tutur Miya lantas menghulurkan sesuatu yang dikeluarkan dari beg sandangnya.


"Apa ni?" Qaseh Mawaddah berasa curiga.


Sampul kecil berbunga-bunga dipandangnya penuh sangsi. Nampak gaya macam surat cinta. Adakah surat cinta ini untuk Umar? Qaseh Mawaddah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.


Makanya, Miya memang benar menyukai Umar? Jadi, khabar angin yang menular itu memang bukan sekadar khabar angin kosong. Khabar angin yang berisi.


Qaseh Mawaddah menekup mulutnya dengan kedua belah telapak tangan. Jika benar seperti yang dia duga, dia rasa Miya akan kecewa.


Umar bukan seperti lelaki lain. Fokus lelaki itu hanya pelajaran. Tidak ada yang bisa mengganggu gugat jiwa dan hati seorang Umar, meskipun dibisikkan dengan kata-kata cinta dan sayang.


Dia amat mengenali Umar kerana pemuda itu begitu rapat dengannya. Memandangkan dia tidak punyai abang, dia sudah menganggap Umar seperti abang kandungnya sendiri biarpun mereka hanya sepupu.


"Tolong sampaikan harapan Kak Miya pada Umar ya? Kak Miya tahu, Waddah rapat sangat dengan Umar,"


Memang benar mereka rapat biarpun jarak usia mereka amat ketara jauhnya. Namun, rapat bukanlah bermaksud dia perlu menjaga semua hal peribadi Umar.


"Insya-Allah Kak Miya. Nanti Waddah sampaikan tapi Waddah tak janji tau." Qaseh Mawaddah terpaksa bersetuju.

Tidak sampai hati dia mahu menolak permintaan tulus dari gadis di hadapannya ini. Namun dia yakin, gadis itu pasti akan kecewa.


Sampul yang diberikan kepadanya tadi disimpan di dalam beg galas. Dia masih menanti kedatangan Umar di depan sekolah. Miya pula sudah menghilangkan diri di sebalik pintu pagar.


Gadis itu merupakan guru gantian sekolahnya. Manis dan sopan, tetapi malangnya Umar tidak memandang langsung mana-mana gadis. Dia juga sukar menebak rasa hati sepupunya.


Selepas Umar datang menjemputnya kemudian, Qaseh Mawaddah langsung terlupa tentang surat yang diberikan oleh Miya.


Dan yang paling tidak disangka, berita kematian mengejut Miya sampai ke pengetahuan mereka sekeluarga. Desas desus juga mengatakan yang kematian Miya ada kaitan dengan penolakan cinta Umar.


Sampai sekarang Qaseh Mawaddah masih lagi mengingati kisah itu. Dan sampai sekarang juga rahsia itu masih kekal utuh di dalam ingatan dia. Dan perkara itulah juga punca kedinginan sikap dia pada Umar.



BUNYI getaran yang keluar dari telefon Redme Note 9 yang diletakkan di atas meja belajar mengejutkan Qaseh Mawaddah dari kenangan masa lalu. Mata yang dipejam tercelik kembali. Dia bangun lalu mencapai telefon bimbitnya. Butang hijau dileret ke tepi.


"Hai sayang, dah sampai hostel ke?" sapa satu suara sebaik dia melekapkan telefon ke telinga. Serta merta mekar senyuman Qaseh Mawaddah.


"Haah. Baru aje sampai. Waddah lupa nak text abang, maaf tau." pohon Qaseh Mawaddah.


"Okey, abang faham. Abang nak jumpa Waddah malam ni, boleh ke? Seminggu tak jumpa tau, dah macam setahun abang rasa." pinta suara di hujung talian sana.


Gemersik suara lelaki itu membuat Qaseh Mawaddah terbuai-buai. Dia bergolek-golek di atas tilam. Hati menari suka. Seminggu bagaikan setahun? Huh, lelaki! Manisnya mulut bila berbicara, kalah madu.


"Tak mengganggu abang ke? Kan esok abang kerja. Dan Waddah pun ada kelas." Sengaja Qaseh Mawaddah berkata begitu sedangkan hatinya sendiri meronta-ronta mahu bertemu muka dengan kekasih hati.


"Esok abang MC. Tak sihat," balas lelaki tadi perlahan.


"Eh! Kenapa? Abang demam ke?" pintas Qaseh Mawaddah laju. Dia bimbangkan keadaan lelaki itu.


"Haah, abang demam. Demam rindu ...," Kata-kata lelaki itu bikin Qaseh Mawaddah tersenyum lebar. Debar di dadanya kian menerjah. Rindunya pada lelaki itu juga semakin memuncak. Dia meguntum senyuman bahagia.




BERSAMBUNG ...


Previous: Prolog
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.