Home Novel Cinta Bougainvillea! Kerana Kau Bunga Larangan
Bougainvillea! Kerana Kau Bunga Larangan
ainRAZAK
21/11/2020 14:23:26
62,593
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Prolog

PROLOG



Bougainvillea ...


Kau bunga indah.
Kau mekar sebagai penyeri laman.
Dirimu sekadar dipandang,
Tidak bisa digapai, mahupun ditawan.


Kerana


Kepercayaanmu dimamah dusta,
Kesetiaanmu ditabur noda.
Cinta, mati tanpa pusara,
Cinta, mengundang derita.


Bangkit Bougainvillea!
Menjerut noda yang tersisa.
Mekar tanpa nakhoda.

Kerana Kau Bunga Larangan.




07 JUN 2020

HOSPITAL SUNGAI BULOH


LIRIH suara Qaseh Mawaddah merintih menahan kesakitan yang kian menyengat. Mulutnya terkumat-kamit membaca doa Nabi Yunus ketika berada di dalam perut ikan nun.


"Lailahailla anta, subhanaka inni kuntu minaz zolimin."


Diulangnya entah kali keberapa. Tangannya menggengam erat kusyen van di sebelah bagi melampiaskan rasa sakit yang semakin kerap singgah.


"Lambat lagi nak sampai ke kak long?" soal seorang wanita sedikit mendesak. Dia duduk bersebelahan Qaseh Mawaddah. Keningnya bertaut menandakan kerisauan.


"Waddah nampak macam dah nak bersalin ni," ujar wanita itu lagi. Tangan dibawa menggosok-gosok bahu gadis di sebelahnya bagi mengurangkan rasa sakit.


"Setengah jam lagi kita sampai ke hospital. Banyakkan doa, mohon pada Allah. Semoga Allah permudahkan urusan Waddah dan anak yang bakal lahir, insya-Allah." nasihat seorang wanita lagi yang sedang memandu van.


Qaseh Mawaddah terangguk-angguk. Rasa sakit cuba ditahan sedaya mungkin. Usia kandungannya baru sahaja mencecah minggu yang ke-37. Belum masanya lagi melahirkan. Tapi keadaan dia, sudah menunjukkan tanda-tanda mahu bersalin.


Selepas solat asar berjemaah dan bacaan taklim petang tadi, kesakitan dia semakin kerap. Kak long sudah mengarahkan dia dan ketua rumah bersiap sedia untuk ke hospital. Dia hanya menurut arahan kak long. Segala keperluan dia dan bayi sudah disediakan lebih awal.


"Kak ngah, sakit sangat ...," ujar Qaseh Mawaddah lemah. Suaranya sudah tenggelam timbul. Hentakan van yang dipandu oleh kak long, menambahkan lagi rasa sakit.


"Sabar, Waddah! Kita dah masuk kawasan hospital ni, zikir banyak-banyak. Ingat Allah, ingat Rasul. Ingat mak dengan ayah Waddah dekat kampung," balas kak long ikut cemas.


Air mata Qaseh Mawaddah sudah merembas laju. Sakit yang teramat dia rasakan ketika ini. Setiap perbuatan jahilnya dulu satu per satu terbayang di ruang mata.


Ya Allah ... sempatkah dia bertaubat? Sempatkah dia memohon keampunan daripada kedua ibu bapanya? Sempatkah dia berbakti kepada mereka?


Tiba-tiba dia teringat akan kata-kata Ibu Yusliha, Kata Ibu Yus, "Anggaplah kesakitan itu satu nikmat ujian dariNya. Rasa sakit itu penghapus dosa kita. Sebagai hamba, kita tidak dapat lari dari berbuat dosa. Dulu, kita pernah lakukan dosa besar dalam hidup kita. Kita menganiayai diri kita sendiri. Maka, hapuslah dosa kita itu dengan bertaubat. Dengan solat-solat sunat dan zikir. Kita perlu sentiasa mengingati Allah. Bersyukurlah kerana Allah telah menjentik hati kita agar sedar tentang kesilapan masa lalu kerana Dia sayang pada kita."
Kata-kata itu menusuk lembut ke dalam hati Qaseh Mawaddah. Dia memejamkan mata. Cuba menghilangkan rasa sakit. Bibir tergerak-gerak berdoa.


'Ya Allah, andai ini kali terakhir aku bernafas di muka bumi-Mu ini, kau bahagiakanlah hidup kedua orang tuaku. Andainya aku diberi kesempatan sekali lagi ya Allah, biarlah aku berbakti kepada mereka sepanjang hayatku sebelum mata ini terpejam rapat,' desis hati kecil dia.


Pintu van segera dibuka sebaik sahaja mereka tiba di pekarangan jabatan kecemasan wad bersalin. Seorang jurarawat mara ke arah mereka. Qaseh Mawaddah segera melangkah keluar.


"Duduk sini, dik," arah jururawat sambil menghulurkan sebuah kerusi roda. Qaseh Mawaddah tersenyum hambar.


"Contraction berapa kali dik?" soal jururawat tersebut. Matanya terhala pada Qaseh Mawaddah.


"Semakin kerap. Selang 5 minit," jawab kak ngah bagi pihak Qaseh Mawaddah.


"Jom! Terus ke labour room. Kita check jalan dulu. Nampak macam dah nak bersalin ni." Jururawat tadi berbicara cemas.


Qaseh Mawaddah terus ditolak masuk ke dalam dewan bersalin. Dia sudah tidak mampu untuk menjawab setiap soalan. Segalanya diserahkan kepada kak ngah. Matanya seakan mahu terpejam.


"Bangun Waddah. Jangan tertidur. Zikir banyak-banyak. Ingat pada Allah," bisik kak ngah separa kuat. Pipi Qaseh Mawaddah ditampar halus. Terus saja gadis itu tersedar.


Qaseh Mawaddah diangkat dan dibaringkan ke atas sebuah katil. Suhu bilik yang sejuk, mencengkam kulitnya walaupun dibaluti dengan sehelai jubah yang tebal.


"Ya Allah ... sakitnya. Tolong doktor ...," rintih Qaseh Mawaddah. Dia sudah mengalirkan air mata.


Tiba-tiba dia dikelilingi oleh beberapa manusia yang lengkap berpakaian biru. Kepala mereka juga ditutupi dengan sejenis alas kepala juga berwarna biru. Masing-masing tertumpu kepadanya.


Jubah yang dipakai Qaseh Mawaddah ketika tiba tadi, sudah digantikan dengan uniform hospital. Tudung juga mahu ditarik tetapi dia cepat menahan. Walaupun dia sakit, auratnya perlu dijaga.


Seorang doktor pelatih meminta izin untuk memeriksa bahagian bawah. Mahu atau tidak, dia terpaksa membenarkan. Rasa sakit sudah tidak dapat dibendung lagi.


"Doktor!" jerit doktor lelaki yang melakukan pemeriksaan. Semua mata terhala ke arahnya.


"10 cm doktor! Dah nampak kepala baby!" jelas doktor pelatih itu dengan cemas. Tangannya menggigil. Barangkali ini juga kali pertama dia berdepan dengan kelahiran secara realistik.

Seorang doktor senior segera mendekati mereka. Dia memandang tepat ke arah wajah Qaseh Mawaddah yang semakin terpejam. "Dik ... you dengar sini. You boleh dengar suara I kan?" Qaseh Mawaddah mengangguk lemah.


"Bagus! Bila I cakap push. You push, okey. Jangan angkat punggung you. You teran macam nak berak. Kepala baby dah nampak sikit ni. Kalau you angkat punggung, bahagian bawah you akan terkoyak banyak. Buat macam I kata ya?" sambung doktor Cina itu lagi.


Qaseh Mawaddah mengerdipkan mata. Sakit perut memulasnya kembali menyerang. Kali ini terasa lebih hebat. Dia hanya rasa seperti mahu meneran. Rasa sakit sudah tidak tertahan.


"Push dik! Push!" jerit seorang doktor.


Qaseh Mawaddah menggenggam erat palang besi di tepi katil. Dia menarik nafas dalam-dalam. Dengan sepenuh hati dia meneran. "Allah! Allah!" jerit Qaseh Mawaddah kuat. Suaranya memenuhi segenap ruang dewan bersalin. Peluh membasahi dahi yang dilitupi tudung.

Sayup-sayup telinganya menangkap suara tangisan bayi. Alhamdulillah, alhamdulillah. Dia mengucap syukur pada Allah SWT sepenuh hati. Air matanya tidak henti mengalir ke pipi.


Mak, ayah! Qaseh Mawaddah merintih dalam rasa berdosanya yang tidak bertepi. Wajah satu per satu insan tersayang, terbayang di ruang mata. Rasa rindu yang tidak terucap.


"Tahniah dik! Awak dapat baby girl."


Ujaran seorang jururawat meragut pergi lamunan dia. Qaseh Mawaddah hanya tersenyum nipis membalas kata-kata jururawat tersebut. Bibir yang pucat dan kering digagahkan juga untuk tersenyum. Walaupun tampak hambar.


Hati dibalut rasa pedih dan bersalah. Saling bercampur baur. Dalam usianya menginjak 23 tahun, dia melahirkan seorang bayi yang tidak berbapa. Apakah masyarakat dapat menerima andai aibnya terbuka?


Dirasakan panas sekujur tubuh kecil yang diletakkan di atas dada. Dia sempat menyentuh bayi yang masih merah itu. Perlahan-lahan mata Qaseh Mawaddah tertutup rapat. Dia terpejam dalam kepenatan.





BERSAMBUNG ...

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.