Home Novel Cinta Bougainvillea! Kerana Kau Bunga Larangan
Bougainvillea! Kerana Kau Bunga Larangan
ainRAZAK
21/11/2020 14:23:26
62,583
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

"AWAK nampak baik, sopan, macam gadis yang dididik dengan penuh adab dengan agama. Tapi saya tak sangka yang awak rupanya ...."

Jari telunjuk Qaseh Mawaddah pantas dibawa ke bibir Zuhaiyr Annas. Lelaki itu mati kata. Mata mereka saling bertentangan. Qaseh Mawaddah tersenyum sinis.

"Apa yang awak lihat, apa yang awak pandang, dan apa yang awak dapat miliki, tidak semestinya sama di sini," ujar Qaseh Mawaddah mendatar. Dia lekapkan telapak tangannya ke dadanya yang masih dilapisi selimut tebal.

"Jadi, awak nak cakap yang awak langsung tiada sekelumit perasaan pun bila bersama dengan saya?" desak Zuhaiyr ingin tahu.

Qaseh Mawaddah bingkas. Ditinggalkan saja Zuhaiyr yang masih bersandar di kepala katil. Soalan lelaki itu dibiarkan seketika.

Zuhaiyr memandang Qaseh Mawaddah dengan perasaan ingin tahu yang menggunung. Dia perhatikan setiap tindak-tanduk gadis itu. Dia tidak pasti, apakah maknanya cinta bagi seorang Qaseh Mawaddah?

"Bukan ini yang awak perlukan?" Pendek soalan Qaseh Mawaddah.

Zuhaiyr menggelengkan kepala. "Cinta, Waddah. Saya perlukan cinta. Cinta agung awak pada saya. Selama dua tahun Qaseh Mawaddah. Dua tahun saya hanya memerhati. Saya menunggu masa yang tepat untuk melahirkan rasa cinta saya pada awak dan ...."

"Huh! Persetankan dengan cinta awak, Zuhaiyr. Semua itu hanya mainan kata-kata." Qaseh Mawaddah mendengus. Dia duduk semula di birai katil. Lelaki itu terus menghampirinya.

Zuhaiyr Annas dapat rasakan yang hati Qaseh Mawaddah begitu pejal. Keras hingga tidak mampu ditembusi oleh segala pujuk rayu. Bercakap tentang cinta sahaja, sudah buat gadis itu melenting marah.

Mungkin juga dia punya kisah silam yang membelenggu diri, membuatkan Qaseh Mawaddah begitu gigih membina benteng sekukuh konkrit daripada dipanah rasa cinta yang maha hebat.

"Cinta dan perbuatan itu seiring, sayang. Saya akan bertanggungjawab pada awak ...," ujar Zuhaiyr lembut. Dia ikhlas. Dia sangat berharap hati gadisnya cair bak lilin yang terbakar dek panasnya api asmara yang dia bakar.

"Jangan berjanji, Zuhaiyr. Awak takkan mampu tunaikan janji tu!" bentak Qaseh Mawaddah.

Lelaki dengan janji? Huh! Ibarat pantai dengan lautan. Tak dapat dipisahkan walaupun janji itu tidak mungkin dapat ditunaikan.

"Tapi awak belum mencuba. Selepas mencuba, baru awak akan tahu apa yang saya mampu berikan pada awak."

"Cuba? Awak gila ke Zuhaiyr? Cinta awak hanya kegilaan. Kegilaan yang bakal membawa awak ke medan kehancuran. Awak pilihlah wanita yang lebih layak untuk awak jadikan pemaisuri hati. Dan saya yakin, gadis itu bukan saya." Qaseh Mawaddah menoktahkan keputusan.

"Tapi ...." Zuhaiyr masih mahu meneruskan kata-kata.

"Tak ada tapi-tapi lagi awak. Dah, jom! Saya nak balik kolej. Lagipun 'sepupu' awak ni, dah jumpa barang yang dicari. Jadi sekarang, masa untuk balik ke kolej." Pantas Qaseh Mawaddah bangun daripada duduknya. Dia tersenyum sinis.

Zuhaiyr terpaksa melepaskan Qaseh Mawaddah. Dia menggeleng perlahan. Kerasnya hati seorang Qaseh Mawaddah. Dia tidak akan bisa menembusinya.

Beg dompet dan telefon bimbit dicapai di tepi katil dan dimasukkan ke dalam kocek seluar jeannya. Jam tangan dipakai kemas. Siap semuanya dia mendekati Qaseh Mawaddah. Bahu gadis itu disentuh dan dibawa mengadapnya.

"Saya janji dengan awak, Waddah. Ini yang terakhir. Saya akan letakkan awak di tempat paling tinggi dalam hati saya. Saya tahu, saya bukan yang pertama di hati awak tapi bagi saya awaklah yang teristimewa di hati saya," luah Zuhaiyr lunak. Dia mencari anak mata si gadis.

'Maaf Zuhaiyr. Aku bukanlah gadis yang selayaknya untuk kau jadikan sebagai teman istimewa apatah lagi isteri,' desis hati kecil Qaseh Mawaddah.

Dia menunduk. 'Kuat Waddah! Kuat! Kau tak boleh lemah dengan kata-kata cinta lelaki yang hanya menagih tubuh kau. Kata-kata mereka hanya kepura-puraan. Jangan mudah termakan dengan pujuk rayu mereka.'

Qaseh Mawaddah kembali tersedar. Matanya melawan pandang anak mata Zuhaiyr dengan tajam. "Jangan bermain dengan janji, Zuhaiyr. Sebabnya, awak takkan mampu tunaikan janji itu nanti," ujarnya sinis.

"Saya tidak bermain dengan janji, Waddah. Saya benar-benar akan tunaikan janji yang saya ikrarkan pada awak."

"Dahlah, saya nak balik. Hari dah makin lewat," pintas Qaseh Mawaddah. Dia sudah lali dengan janji palsu lelaki. Tangan Zuhaiyr dicapai lalu diheret menghampiri pintu. Lelaki itu sekadar menuruti.

***

ENCIK RIZQI membantu isterinya Puan Hanim mengubah kedudukan pasu bunga. Diangkatnya pasu-pasu tersebut kemudian diletakkan berderet di atas bata yang telah disusun dua lapisan.

Dia bangun dan memandang hingga ke hujung koridor rumah separuh batu yang didiami oleh mereka. Cantik dan kemas. Penuh dengan warna-warni bunga yang sedang mekar sekarang.

Memang ketika musim panas, pohon yang sentiasa menjadi peneman isterinya akan mengeluarkan bunga yang beraneka warna. Berseri-seri halaman rumah mereka dibuatnya.

"Okey tak, maknya?" soal Encik Rizqi kepada isterinya yang tengah mencabut rumput yang galak tumbuh di dalam pasu bunganya.

Puan Hanim bangun dan turut sama melihat. Dia mengukir senyuman puas. "Cantik, bang. Memang elok letak dekat situ. Kalau Waddah balik tengok ni, mesti dia seronok," komen Puan Hanim. Tiba-tiba dia teringatkan anak daranya yang satu itu.

Sejak menghantar Qaseh Mawaddah ke kolej sebulan yang lalu, hanya sekali saja Qaseh Mawaddah menjawab panggilan mereka. Itu pun bersembang tidak lama.

Tetapi selepas itu langsung tiada khabar berita. Bila dia membuat panggilan telefon, nombor yang didail tidak dapat dihubungi. Dia risau sebenarnya, risau andai terjadi sesuatu yang buruk pada anak gadisnya.

"Awak dah cuba call Waddah?" Puan Hanim menganggukkan kepala. Dia terdengar keluhan kecil yang keluar dari bibir suaminya.

"Saya dah call banyak kali, bang. Last call tadi, pukul 3.00 petang. Langsung tak ada bunyi. Pelik juga sebab sebelum ni Waddah jawab saja panggilan kita. Tak pernah tak jawab," Puan Hanim meluahkan rasa hatinya. Dia duduk di tangga batu rumah mereka.

"Dia sibuk nak siapkan final projectlah tu," Encik Rizqi cuba menyedapkan hati isterinya. Dia sendiri pun sudah naik risau.

"Kalau ya pun sibuk, telefonlah rumah. Sekurang-kurangnya, kita tahu keadaan dia macam mana. Ini tidak, sejak hari tu langsung dia tak call kita." Wajah Puan Hanim sudah berkerut seribu. Pening memikirkan anak gadisnya.

"Kalau macam tu, cuti hujung minggu ni kita pergi melawat Waddah," putus Encik Rizqi. Isterinya mengangguk tanda setuju.

Puan Hanim bangun daripada duduknya dan kembali melakukan kerja-kerja membersihkan rumput yang makin meliar ke pohon bougainvillea mereka. Wanita itu tersenyum. Tidak sabar rasanya mahu bertemu dengan anak gadisnya setelah sebulan terpisah.

Gerak geri Puan Hanim dipandang ralit oleh si suami. Senyuman yang tidak lekang dari bibir si isteri turut buat Encik Rizqi bahagia. Cuba diselindung rasa gelisah yang bertandang. Sudahlah telefon pun tidak, duit pun anak gadisnya tidak minta. Apa yang terjadi sebenarnya? Sakitkah puterinya itu? Tiba-tiba dadanya berdegup kencang.






BERSAMBUNG ....


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.