2
"BLA
bla bla...bla bla bla."
Mulutnya
ikut sama berbunyi tatkala suara Aishah riuh bercerita tentang rambutnya yang hitam
dan lebat. Hampir setiap kali menemani Aishah ke salun rambut, pasti cerita itu
diungkit. Yun sudah hafal cerita itu.
"Ambil
daun bunga raya yang bersih dan ramas sehingga keluar lendir. Ambil lendirnya
dan campurkan dengan sebiji telur ayam kampung serta sesudu madu lebah. Lepas
itu, gaul dan sapu pada rambut. Lepas itu, perap dengan tuala lebih kurang
sepuluh minit sebelum bilas dan cuci. Aku amalkan dua kali seminggu."
Hmm.Yun telah hafal skrip itu
setahun lalu.
"Yun!
Kau ajuk aku, ya?" Teka Aishah dari cermin besar di hadapannya. Yun ketawa
kecil. Dia tidak menjawab tetapi deras bangun lalu menggeliat dengan kedua
tangannya ditolak ke atas.
"Ni
yang aku paling malas teman Aishah yang perasan lawa ni. Berdandan mengalahkan
artis. Siapa selebriti ni?" Tanya Yun, meluahkan isi hati. Amoi yang
sedang mendandan rambut Aishah menumpang senyum.
"Eh,
takkan artis saja yang nak jaga penampilan. Aku pun!"
"Aku
pun? Kalau jaga penampilan tu tak melibatkan masa orang lain, tak apa jugak!
Ini tidak...sikit-sikit Yun...sikit Yun! Yun teman aku sana. Yun teman aku sini.
Macamlah Yun ni kerja goyang kaki."Ajuk Yun. Dia sempat juga membebel di
hujungnya. Jika bukan kerana Aishah, pasti dia sudah ada tempat yang menjadi
sasaran untuk dijadikan bahan berita.
"Yunnnn,
kau kan kawan aku. Kalau bukan kau, siapa lagi nak teman aku?"
"Wan
ada! Puan Jannah pun boleh." Selamba dia membalas. Aishah hanya mencebik
bila dia memetik dua nama itu. Yun terus mundar-mandir. Tak sanggup rasanya
hendak berlama-lama di salun rambut itu. Sesungguhnya masa yang berlalu ibarat
air yang menitik. Ia akan terus menitik, tiada henti selagi belum habis.
"Tu
jalan utara selatan tu...tengah boringlah
tu."
"He
he he. Aku nak mintak dirilah, Shah. Nak cari pasal sikit."
"Alah
Yun....Sikit aje lagi." Rayu Aishah. Yun melepas nafas, sepanjangnya. Dia perlu
kuat hati mendepani rayuan Aishah.
"Malam
ni aku kena teman kau lagi, kan? Habis tu, apa yang aku ada untuk diri aku
sendiri, untuk kerja aku? Untuk rezeki aku yang halal?"
"Okay,
okay, okay! Aku jumpa kau pukul enam. Kat tempat biasa, ya?" Balas Aishah
pula. Yun tidak menjawab tapi dia mula menggalas beg biru tuanya. Dia berjalan
pantas, dengan minda sudah merencana tempat yang ingin dituju.
DENGAN sedikit calitan nipis di
bibir, dia sudah bersedia. Dari cermin meja solek, bebola matanya sempat
menjeling jarum jam yang hampir menginjak ke angka enam petang. Tak pasal-pasal
dia terpaksa bersiap seperti hendak menyambut raya. Dengan baju kurung moden ala-ala
fishtail stripe, dia bakal melangkah
ke Majlis Koktail Anugerah Glamor Selebriti. Itu sahaja baju yang agak baru
dalam koleksi pakaiannya. Selebihnya hanya jeans dan t shirt, tak lupa kemeja
sesekali. Telefon bimbit di atas tilam berbunyi lantas dia segera mencapainya.
Barangkali ia mesej daripada Aishah yang bersungguh-sungguh mahu ditemani.
"Mana
kau ni, Yun?Menggigil dah aku tunggu dalam kereta ni."
Yun
membaca mesej itu hampir berbisik. Kemudian, senyumannya berbunga halus.
Menggigil tunggu di dalam kereta atau menggigil kerana tak sabar hendak berada
dalam kalangan manusia glamor? Namun persoalan itu tidak diajukan kepada Aishah.
Dia tidak mahu membalas kerana memang sengaja membiarkan Aishah menanti dengan
penuh teruja. Yun mengunci pintu rumah lalu menyarung sandal.
"DENGAN ini majlis menjemput
Dif-dif kehormat, Dato' dan Datin, Tuan dan Puan, Encik dan Cik untuk menikmati
hidangan yang telah disediakan bagi meraikan mereka yang bertanding dalam
Anugerah Glamor Selebriti. Dipersilakan."
Suara
pegacara majlis menjemput tetamu menikmati hidangan kedengaran lunak di
telinganya.
"Jom!"
Ajak Aishah lalu menarik sedikit tangannya, tetapi tidak lama kerana Yun buat
kejung. Ratusan manusia memenuhi majlis cocktail
reception itu. Mereka mula bertebaran ke segenap pelusuk dewan untuk
menikmati hidangan yang disediakan secara buffet.
"Cik
Aishah. Ada nota untuk Cik Aishah."
Aishah dan
Yun sama-sama berpaling ketika nama Aishah disapa seorang pelayan lelaki.
Aishah senyum sambil mengambil nota kecil dalam dulang itu. Sambil itu, matanya
liar juga mengimbas wajah insan-insan yang mungkin dikenali di dalam majlis
itu.
"Pandang ke belakang. I tunggu you di sini. Zuhayr."
Selesai
membaca nota tersebut, Aishah pantas menoleh ke belakang. Matanya sempat
melilau sebelum terlihat akan seorang lelaki yang sedang mengangkat tangan. Itu
Zuhayr! Aishah hampir menjerit namun sedar yang dirinya berpakaian anggun. Lantas,
dia mengetap bibir sebelum melangkah menuju ke arah lelaki itu.
"Eh,
kau nak jumpa siapa pulak tu?"
"Mamat
tu...kenal? Anak Muhammad Wilson, bekas wartawan Dunia Kita." Aishah
menghentikan langkah yang baru diatur dua tapak. Herot-berot kening Yun,
berikhtiar mengingati sebaris nama itu. Aishah melangkah lagi sehingga begitu
dekat dengan lelaki itu.
Muhammad
Wilson! Muhammad Wilson! Ya, dia mulai ingat. Dia pernah berkenalan dengan
Muhammad Wilson tahun lepas, ketika Majlis Salam buat Palestin. Muhammad Wilson
menyumbang sajak nukilan sendiri. Itu yang Yun kagum dengan Muhammad Wilson.
Dia membesar di Malaysia sehingga begitu fasih dengan Bahasa Melayu. Isterinya
orang Melayu dan mereka dikurniakan sepasang anak kembar lelaki serta seorang
anak perempuan. Barangkali lelaki yang kini sedang berbual dengan Aishah merupakan
anak kembar yang dimaksudkan itu. Oh, tiba-tiba Yun terkenang kisah anak-anak
Muhammad Wilson! Namun, ia hilang apabila terasa satu rempuhan kecil di
bahagian tangan kanan.
"Opssss...sorry!" Ucap Yun, spontan. Dia
mengangkat muka dan senyum, namun lelaki itu tidak memandangnya, malah sibuk pula
mengesat tuxedonya yang basah dek terkena tumpahan air. Beberapa orang tetamu
berhampiran mengalih pandangan terhadap lelaki itu. Yun jadi serba salah. Dia
ingin segera beredar lalu menutup muka dengan tangan kanannya. Baru berjingkit
setengah tapak, suara lelaki itu kedengaran menegurnya.
"Eh,
cepatnya lari!"
"Err..."
"Saya...nak
ke sana. Nak ganti air encik." Akal Yun pantas mencari jalan keluar.
"Ganti
air saja? Baju saya ni?" Yun menjatuhkan tangan yang melindungi mukanya.
Wajah lelaki bertuxedo hitam itu ditenungnya, namun tompokan hitam disebalik
tuxedo itu bagai memaku pandangannya.
Wah, ini sudah lebih! Entah-entah
salah sendiri, aku pulak yang dipersalahkan!
"Ganti
air sudahlah! Takkan nak ganti baju pulak." Suara Yun tak kurang kuat
juga, bagai memanggil tetamu lain menjenguk perselisihan yang baru tercetus
antara mereka.
"Oh,
awak ni memang jenis tak bertanggungjawab, kan? Awak hanya pandai membuat
huru-hara tapi tak pandai membaiki keadaan." Bidas Zill Qayyim, marah juga
akan wanita yang melanggarnya sebentar tadi. Sudahlah wanita berkain belang bak
kuda belang itu telah melanggarnya. Bila meminta ganti rugi, dia menjawab pula.
"Saya
buat huru-hara? Encik pulak apa kurangnya? Yang encik bawak air ke hulu ke
hilir tu kenapa?"
"Oh,
kuda belang masuk bandar rupanya! Buat-buat alim pulak...tak tahu majlis apa
yang dia tengah attend. Tengok baju
dia sudahlah...tak ubah macam kuda belang!"
"Kuda
belang? Encik tu burung gagak..serba hitam macam orang mati hidup semula."
Balas Yun,
meledak amarah yang merobek perasaan bila digelar kuda belang oleh lelaki itu.
Ada suara-suara sumbang yang mentertawakannya. Semuanya gara-gara gelaran kuda
belang.
"Emm...buat
bazir masa aje cakap dengan kuda belang. I
surrender!" Keluh Zill Qayyim lalu mengangkat tanda menyerah kalah.
Tak pasal-pasal, dia menjadi tumpuan sebahagian tetamu pula di majlis itu. Dia
berlalu menuju ke tandas dengan perasaan sebal.
"ITU pun jadi isu pada kau.
Hulur saja duit dobi pada dia. Apa susah?" Kata Aishah sewaktu memandu
pulang. Yun tidak mengalih bebola mata yang dihantar ke luar.
"Masalah
di sini, salah aku ke? Kami jalan bertentangan, kan? Kalau pun aku tak nampak
dia, takkan dia tak boleh mengelak bila nampak aku atau saja-saja buat dirinya
dilanggar."
Balas Yun,
sambil mengetap gigi. Memori itu masih berputaran jelas di mindanya. Dan
semakin diingat, semakin sakit rasa hatinya.
"Ada
pulak saja-saja buat dilanggar? Takkan nak memalukan diri sendiri di majlis
orang kut."
"Alah,
kalau dah gatal! Macam-macam, kan?" Yun menjawab lagi. Aishah mengeluh
perlahan. Qatrun Nada, atau lebih dikenali sebagai Yun. Begitulah sikapnya
sejak dikenali dua tahun lepas.
"Yun,
kita ni perempuan. Janganlah kasar sangat dengan orang. Kalau orang tak
berdendam tak apa, takut ada yang simpan dendam. Aku sayang kau, Yun!"
Aishah menegur sebelum memberhentikan kereta di tepi jalan. Apartment Yun tidak
jauh dari situ. Yun tidak menjawab tetapi nasihat Aishah berbekas juga di
hatinya.
"Thanks, Shah!" Balas Yun, perlahan
sebelum menolak pintu kereta. Dia keluar dari perut kereta, membawa hati yang
sangat kecil.